10 Disember 2009

Memahami maksud ayat Surah Al-Baqarah ayat 195

Kesilapan menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau Al-Hadis menyebabkan diri seseorang dibelenggu kesesatan. Dan lebih membahayakan apabila penafsiran tersebut didengari atau dihebahkan kepada khalayak umum. Pemikiran dan pemahaman masyarakat akan terpesong dari konsep sebenar, sepertimana yang dikehendaki oleh syariat Islam itu sendiri apabila berdepan dengan sesuatu masalah atau suasana.
Oleh itu, amat penting untuk seseorang mukmin meneliti terlebih dahulu sesuatu maksud yang dikehendaki oleh syariat dalam menafsirkan sesuatu ayat dari Al-Quran ataupun Al-Hadis. Tidak sekadar hanya melihat kepada maknanya. Walaupun ada usul menyebutkan bahawa "Al-'Ibrah bi 'Umumi al-Lafdzi La bi Khususi al-Sabab"; maka ia perlu digunakan betul pada tempatnya dengan mengambil penelitian dari pelbagai sudut ilmu.
Mari kita membaca dan meneliti maksud ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ini pada ayat 195. Dalam masa yang sama kita menilai bersama kelebihan orang berjihad pada jalan Allah Taala dan bahaya bagi mereka yang tidak menyertainya. Layari:

Berjuanglah untuk menegakkan agama Allah

Selamat menuntut ilmu

29 November 2009

Fitnah: Peringatan - Pengajaran - Pemutihan

Sesekali buka internet pasti inginkan entri baru dari dua blog yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia yang cintakan dan impikan ' Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'. Apatah lagi bagi mereka yang bergelar pemuda.Blog Us. Nik Abduh dan blog Us Nasaruddin menjadi tatapan selain dari beberapa akhbar dan web/blog yang lain.
Penulisan Us Nik Abduh setiap kali dibaca pasti perlu diamati dengan baik apa isi dan fakta yang ingin diutarakan oleh beliau serta aturan ceritanya. Lenggokan bahasa beliau menyebabkan aku perlu baca sendirian tanpa gangguan. Dalam maksudnya, penuh isi dan hikmah. Fakta aku dapat, ilmu kerohanian pun dapat. Alhamdulillah.
Tulisan terbaru beliau masih berkenaan TGNA ayahanda beliau dan keluarga. Bila kenangkan apa yang menimpa mereka, teringat semula aku akan kisah keluarga Rasulullah SAW dan beberapa kisah para sahabat. Hebat benar fitnah apabila melanda seseorang. Makin berat jika berkait dengan keluarga dan saudara mara. Sudah hujung benar usia dunia ini.
Aku juga membaca komen2 di penulisan terbaru beliau. Pelbagai pandangan dan reaksi pembaca. Cuma ingin sekali aku paparkan buat pembaca satu tajuk kupasan ilmiah sebagai peringatan kepada kita: Aids Al Haraki

Mudah-mudahan Allah Taala perkukuhkan dan merapatkan saf perjuangan seluruh pendukung jamaah Islam yang ikhlas berjuang di jalanNya sehingga kebenaran itu ternyata. Aminn Ya Allah.

2 November 2009

Kita selalu alpa dan jahil....

Sehari-hari meniti liku-liku hidup kita seringkali diuji. Samada ujian dengan kesusahan dan keburukan atau kesenangan dan kebaikan. Betapa kita gundah dengan ujian-ujian dari Allah Taala jika tersalah langkah dek kerana tidak meneliti dengan kanta Islam. Sukar untuk kita ingat pada Dia tika riang gembira, lapang dan selesa tetapi bersungguh benar kita merapat diri kepadaNya apabila sempit dada, tersepit jiwa dan kerja. Bersama-samalah kita ingat selalu dan sentiasa kepadaNya.
Di bawah ini suatu kisah hidup yang pernah atau mungkin berlaku atau seakan-akan sama jalan peristiwanya dengan kehidupan kita. Mudahan diperolehi pengajaran dan kita lebih halus meneliti jambatan hidup ini.
----------------------------------------------------------------------------
Tuhan tidak pernah 'tinggalkan' kita...
Azamin Amin | Tue | Oct 27, 09 | 11:37:03 am MYT

"...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian."

Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang? Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 15 tahun lalu.

"Azamin...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata saya mula bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan. Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"

Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding saya.

"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.

"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah Azamin tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!

"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakalanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan saya terdiam seketika.

Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira enam tahun lalu, saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.
Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.
Dalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.

Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu di muka keluarga.
Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.

"Nah, wang belanja sedikit untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, saya sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.

Peristiwa kedua cukup menyeramkan saya, ketika dalam perjalanan pulang daripada menziarahi pengebumian jenazah seorang bapa saudara (adik ayahanda saya pula) di Setiawan, Perak pada tahun yang sama. Waktu itu kira-kira 12 tengah malam.
Entah macamana, saya tersesat mencari jalan susur keluar menuju ke Kuala Lumpur. Kalau tidak silap, saya berpusing di tempat yang sama, sekitar kawasan Cenderung Balai, Teluk Intan.
Malam cukup pekat. Tidak ada 'sebiji' kereta pun pada masa itu yang lalu lalang, apatah lagi orang pejalan kaki untuk saya bertanya haluan. Kiri kanan ladang kelapa sawit dan tiada lampu di sepanjang jalan raya.

Lebih menakutkan, tiada papan tanda atau 'sign board' penunjukk jalan kelihatan dan makin mengerikan bilamana minyak kereta sudah hampir habis. Aduhai.
Saya cuba untuk bertenang, supaya isteri yang duduk di kerusi belakang kereta sambil membelai anak berusia setahun tidak berkongsi kepayahan yang dilalui hati nurani ini. Apatah lagi, minyak kereta juga sudah kekeringan yang amat sangat. Lampu minyak, menyala tanpa henti menandakan bahaya bakal menimpa jika tidak diisi.

"Abang...rasa macam lama je...tak jumpa jalan ke?," soal isteri mengesyaki sesuatu.

"Taklah, abang tengah cari stesen minyak ni..." kata saya berselindung. Memang benar kata isteri, sudah lebih sejam saya memandu di kawasan yang sama, sama gelap dan likat tanpa jumpa jalan keluar.

Tiba-tiba saya nampak sebuah warung dipenuhi orang di sebelah bertentangan kanan jalan. Asalnya mahu gembira, tetapi terbit rasa aneh dan ganjil, bila sebuah warung, di sepanjang jalan gelap dipenuhi orang, jam 12 tengah malam. Sedangkan saya sudah melalui jalan tersebut berkali-kali, tetapi baru kini bertemu warung aneh di malam hari.

Sesat selama sejam

Lantas, dengan kocakan dada yang cukup berdebar, saya memberhentikan kereta di kiri jalan. Pada hemat saya, akal, minda dan perasaan saya sudah cukup letih dan berselirat sehingga melihat perkara-perkara aneh pula.

"Abang...kenapa berhenti?

"Rehat sekejap...rasa mengantuk sikit," kata saya menyembunyikan perasaan takut tadi. Sah..isteri saya tidak nampak, apa yang saya lihat.Lalu, dengan kekuatan yang saya ada, saya baca surah-surah pendek seperti al-Ikhlas, al-Kafirun dan an-Nas. Lebih kurang 10 minit juga, saya cebiskan beberapa doa yang diajar bonda antaranya:

"Dengan Nama Allah yang dengan nama-Nya tidak akan memberi mudharat apa pun yang ada di bumi dan di langit dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Riwayat Tirmidzi & Abu Daud)

"Ya, Allah selamatkan aku, isteri dan anakku daripada sebarang malapetaka. Kasihanilah anakku yang tidak berdosa," doa saya kepada Tuhan sambil merenung sikecil yang tidur lena sejak dari tadi.Saya tarik nafas panjang, dan berserah pada Allah. Kelibat warung sudah tidak kelihatan dan kemudian saya memandu dan terus memandu tanpa hala tuju.

Tiba-tiba, kurang lima minit saya terlihat sebuah papan tanda tertulis 'Kuala Lumpur' dan lima minit kemudian, sebuah stesen minyak kelihatan di sebuah simpang empat. Alhamdullilah, Allah menyelamatkan saya ketika saya berharap benar pertolongan-Nya.

Suatu hari, sekitar tahun 2002, rumah saya kehabisan barang keperluan. Ketika itu, dalam hati saya berdoa, janganlah ada tetamu yang datang kerana tidak ada sebarang 'habuk' pun untuk dijamu. Buruk sungguh kelaku saya sehingga berdoa begitu. Bukan apa tetapi saya malu dan khuatir tidak dapat meraikan tetamu dengan juadah yang boleh dijamu.

Ya, kita fikir perancangan dan doa kita betul padahal Allah itu lebih menyayangi kita. Sebenarnya, sudah diajar jika ada tetamu, jamu dan layan sedaya mampu kerana kehadiran mereka, 'membawa' rahmat dan 'membersihkan' dosa.
Bonda saya ada berpesan, jika ada tetamu, apa yang ada di dapur jangan disimpan. Jamulah semuanya kerana utamakan tetamu adalah ajaran Nabi dan agama.
Lantas, selesai sahaja berdoa, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Doa saya tidak diperkenan, dan tetamu pun datang. Hati saya berbolak-balik. Saya memandang wajah isteri dan memberi isyarat bertenang. Dalam keadaan gelisah, kami mampu jua hidangkan 'teh o bujang' tanpa sekeping biskut pun ada sebagai hidangan.

"Tak pa, Min...kami datang ni nak tengok anak sulung awak, janganlah susah-susah. Lagipun kami ada hal lain lagi," sambil tetamu bersalaman, mengepilkan wang not RM50.00 ke telapak tangan.

Kemudian, air mata basah mula menjadi teman...

Benarlah kata Tuhan, Nabi dan agama. Janganlah kita memandai-mandai berdoa yang tidak baik atau berfikir yang bukan-bukan sedangkan Allah tidak pernah tinggalkan kita.
Apa-apa yang kita rasa dan lalui, adakalanya kita rasakan tidak baik bagi kita sedangkan ianya elok untuk kita dan hanyalah Allah sahaja yang mengetahui.
Ujian yang bertindih, bertali-arus adakala membuatkan saya kerdil dan 'menyumpah' diri dengan kata-kata tidak baik seolah-olah dimurkai tuhan sedangkan ujian itu cukup baik dan manis bagi saya selepas itu.

"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al- Baqarah, ayat 216)

Teringat ketika putus cinta lantaran kekasih meninggalkan diri saya yang sudah menjalinkan hubungan yang agak lama. Remuk hati dan berkecai perasaan. Kasih yang dibaja, kononnya untuk membina mahligai, hancur di tengah jalan. Tahun itu, sekitar 1994. Saya sujud dan bermunajat duka bahawa selepas ini, hanya Allahlah yang menentukan dan memilih buat saya tanpa perlu saya tercari-cari lagi, getus hati kecewa.
Saya adukan keperitan yang ditanggung kepada majikan, yang menjadi kawan rapat saya juga di kala susah. Saya ketika itu berusia 20an manakala majikan yang dikenali Encik Rakha itu, berusia lewat 40an.

"Beginilah Min...kau rasa kereta proton Satria itu segak bergaya dan cukup cantik bagi kau sedangkan Allah nak 'mengurniakan' sebuah 'Mercedez Benz' bagi kau di kemudian hari...tetapi kau tak tahu lagi.

"Jika suatu hari nanti, kau dah dapat yang jauh lebih baik dari sekarang...jangan lupa beritahu aku," kata bos lelaki itu yang suka membahasa diri sebagai 'aku'.

Ya, setahun selepas saya berdoa duka lara itu, Allah sekali lagi 'menjawab' keresahan hati saya dan kini saya sekali tersenyum dengan simpulan kata-kata bos lelaki itu tatkala memandang tiga cahaya mata hasil perkongsian kasih nan bahagia bersama jodoh, isteri yang tercinta.
Ya. Setiap yang berlaku ada hikmah. Dan tidak berlaku sia-sia. Sungguhpun perit dilalui ketika berlaku, di kemudiannya, Allah persiapkan kebahagiaan dan kejayaan setelah lama bersabar.
Dan selepas itu, ujian demi ujian terus datang dari Allah yang cukup sayang pada hambaNya dan tidak pernah menghampakan, jika diperlukan.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar" (An Nisaa ayat 40) .
---------------------------------------------------------------
Terima kasih kepada penulis ( Sdr. Azamin ) kerana dapat memberikan satu input yang baik kepada saya dan para pembaca untuk kita lebih teliti dan halusi dalam perihal hubungan seharian kita dengan Allah Taala.

Rujuk:Isnin 2 November 2009 | 14 Dzulka'edah 1430 Hijrah- Harakahdaily

11 Oktober 2009

Puasa Enam Hari Syawal - Kekalkan Tarbiyah Di Sepanjang Kehidupan II


Di dalam hadis yang lalu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawwal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah Taala berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.

Ibadah puasa adalah ibadah yang dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Demikianlah erti puasa pada zahir. Manakala, pada sudut batin puasa ialah menghalang diri dari melakukan segala macam perkara yang boleh membatalkan puasa dan pahala puasa tersebut. Iaitu dengan menjaga segala anggota tubuh badan, aqal dan jiwa dari segala sifat-sifat mazmumah.
Dari itu, hikmah dan faedah ibadat puasa dapat dirasai. Antaranya ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah SWT. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya. Selain itu, puasa dapat menyucikan diri kita dari segala dosa-dosa, lalu mengisi pula hati nurani yang kosong bersih itu dengan perkara mahmudah serta melatih anggota tubuh melakukan sebanyak mungkin ketaatan dan meninggalkan kemungkaran.
Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa" (Surah al-Baqarah:183)
Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."

Secara terperincinya puasa mempunyai hikmah dan faedah seperti:
• Tanda syukur kepada Allah SWT. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
• Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
• Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik.
• Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, kedekut, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
• Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.
• Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."

Demikianlah sebahagian dari kebaikan berpuasa enam hari di bulan Syawal khususnya dan puasa-puasa fardhu atau sunat yang lain umumnya. Inilah tarbiyah ( didikan ) yang paling berkesan dalam membentuk peribadi mukmin muttaqin. Tarbiyah yang merangkumi dua aspek iaitu rohani dan jasmani. Semoga mereka ini tergolong dari kalangan orang-orang yang cemerlang di dua alam; alam dunia –ketenangan dan kebahagian dan alam akhirat- nikmat yang tidak boleh dibayangkan.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ini. Apa yang penting ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahawa diri ini benar-benar ingin mencari dan memburu keredhaanNya. Semoga kita dimasukkan di dalam golongan yang mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

9 Oktober 2009

Puasa Enam Hari Syawal - Kekalkan Tarbiyah Di Sepanjang Kehidupan

Perginya bulan Ramadhan Al-Mubarak seperti meninggalkan suatu waktu yang sangat bernilai dan penuh kenangan. Para salafussoleh menangisi pemergian bulan Ramadhan. Manakan tidak, bulan Ramadhan adalah bulan dibuka pintu rahmat dan ditutup pintu azab. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan. Bulan yang diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia. Bulan yang terkandung padanya satu malam menyamai seribu bulan. Bulan yang terkandung padanya semangat perjuangan iaitu roh peperangan Badar Kubro dan lain-lainnya. Demikianlah kelebihan yang ada pada bulan tersebut sebagai satu kelebihan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Setelah sebulan berpuasa Ramadhan, kita menyambut Syawal bagi meraikan kesyukuran atas kemenangan melaksanakan perintah Alah SWT. Dan bertambah-tambah kesyukuran bagi mereka yang benar-benar bertuah kerana dapat memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadhan. Oleh itu, kedatangan 1 Syawal diraikan dengan laungan takbir, mengagungkan keesaan Allah SWT yang memerintah alam dan berkuasa memberi hak pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Berbahagialah mereka yang menghayati takbir dengan hati yang suci dan berjaya menanam semangat cinta kepada Islam.

Walau bagaimanapun, setelah umat Islam bergembira dan bersuka ria ( mengikut batas-batas syara' ), menjamu selera, berpakaian baru, berwangi-wangian dan saling ziarah menziarahi; Allah SWT meminta supaya kita berpuasa enam hari di bulan Syawal. Ini seolah-olah dapat menjadi bukti bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat? Dan supaya kita tidak lupa dan lalai dengan sebulan beribadat di bulan Ramadhan setelah bergembira di hari raya ‘Aidilfitri.

Berpuasa enam hari di bulan Syawal amat besar ganjarannya. Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : “ Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun ”. (Hadis riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa). Hadis ini menjadi hujjah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan yang berpuasa sebulan penuh.

22 September 2009

Eid Mubarak

Assalamualaikum w.b.t. Salam Aidilfitri.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, walillahil hamd.

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Allah maha besar,Allah maha besar,Allah maha besar sebesar-besarnya
Segala pujian bagi Allah,
dan maha suci Allah (dari kekurangan) pagi dan petang

لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ ، وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ،
وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ ، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ, اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah
Tidak kami perhambakan diri melainkan kepadaNya sahaja
dalam keadaan mengikhlaskan diri beragama kepadaNya walau dibenci oleh orang-orang kafir.
Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah sahaja (Yang Maha Esa),
Dia telah membenarkan janjiNya (memenangkan Rasul dan para pengikut baginda S.A.W.), Dia telah menolong(memenangkan) hambanya(Nabi Muhammad S.A.W.), Dia telah memperkuatkan /memuliakan tenteranya, Dia telah menewaskan tentera Al-Ahzab dengan sendirian (tanpa bantuan sesiapa).
Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, bagi Allah segala puji-pujian.

Demikianlah untaian lafaz-lafaz mengagungkan Allah Taala, Rabbul 'Alamin; lantaran rasa syukur di atas segala nikmat yang masih dapat kita kecapi hingga detik ini. Dan nikmat yang paling berharga ialah nikmat IMAN dan ISLAM. Dua nikmat yang dapat menyempurnakan fitrah seorang insan supaya tidak menjadi seperti haiwan atau lebih darinya. Dua nikmat yang dapat membahagiakan dan menyelamatkan diri serta sesiapa sahaja dari azab dunia dan akhirat. Dua nikmat yang sukar dipelihara dan dipulihara tetapi manis bila mengecapinya.

Alhamdulillah, kita telah pun dapat melalui sebulan Ramadan dan menyambut Syawal pada tahun ini. Segalanya boleh dikira-kira dan ditilik-tilik sejauh mana penghayatan kita pada bulan jamiah Ramadan itu dan implikasinya di hari-hari mendatang, sehinggalah kita bertemu kembali di Ramadan akan datang (insyaAllah). Mengira dan menilik pada hablumminallah wa hablumminannas serta kembalikah kita pada fitrah seorang insan dan hamba kepadaNya...

Maksudnya " Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".(Surah Al-Rum 30).

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Get This from CyArena.com

4 September 2009

Jami'ah Ramadhan: Menambah eratkan hubungan dengan Khaliq


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, sudah hampir kita berada di pertengahan bulan mulia ini- Ramadhan al-
Mubarak. Dan kini juga kita telah pun berada di 10 hari yang kedua di bulan Ramadhan, hari-hari pengampunan dari Allah Taala. Sedang hari-hari rahmat telah berlalu. Kita hanya mampu merenung dan bermuhasabah sejauh mana perjalanan ibadah

Ramadhan kita kali ini. Sudah dapat mencongak prestasi kita dalam merebut kelebihan beribadah di bulan mulia ini. Dan hari-hari yang berbaki, moga kita dapat menyusun aktiviti-aktiviti ibadah dan berjaya melaksanakannya dengan jaya. Masa yang ada tidak kita sia-siakan.

Aktiviti ibadah kita janganlah sesempit pada fikiran awam. Pengertian ibadah kita luas. Malang sekali jika hanya menyepi di teratak sendiri dengan alasan untuk beribadah dan bermunajat kepada Allah Taala. Alangkah baiknya jika anggota bergerak ke sana ke mari untuk Islam sedang hati iltizam bermunajat kepadaNya. Dengan itu, ibadah kita dapat dikongsi sesama saudara muslim yang lain. Ibadah kita tidak ananiyah tetapi jama'iyah. Jika benarlah begitu, semakin rahmat, berkat dan bermaknalah alam ini. Moga dapat sama-sama kita pupuk nilai hidup sufi haraki.

Dan dari itu juga marilah sama-sama kita realisasikan Allah matlamat hidup kita.
Ia boleh direalisasi dalam perkara berikut secara urutan:

1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.
2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.
3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran
Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.
4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang
sukar untuk dilakukan.
5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri
dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah SWT.
6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid,
takbir, tahlil, ma'thurat dan zikir-zikir harian yang lain.
7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab
Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.
8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.
9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan. Ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah SWT.
10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.
11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan 11 rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.
12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.
13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.
14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.
15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.
16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).
17. Tidak banyak berangan-angan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.
18. Tidak mengejar kamasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.
19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.
20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan-Nya.
21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.
22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya-Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Sumber: Harakahdaily- Agama

8 Ogos 2009

Merealisasi slogan : Islam pejuang silam

Sabtu 8 Ogos 2009 | 16 Sha'ban 1430 Hijrah
Tazkirah Jumaat: Merealisasi slogan Islam pejuang silam
Ustaz Zainudin Hashim | Fri | Jul 10, 09 | 11:38:03 am MYT

Warisan para pejuang (mujahid) di kalangan ulama, sarjana, cendekiawan dan bidang pekerjaaan lain pada zaman silam, adalah generasi yang benar-benar hidup dengan Islam serta melaksanankannya dalam agenda kehidupan berasaskan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

Mereka meletakkan keyakinan penuh bahawa Islam sahajalah yang mampu menyelesai segala permasalahan, masalah krisis keyakinan umat, krisis pegangan terhadap ajaran agama, penyimpangan akidah, pengamalan cara hidup yang tidak selari dengan tuntutan syarak menjadi keutamaan untuk diberi pengamatan sepenuhnya.

Apapun yang penting selain taat setia, wala', ikrar, sumpahan janji terhadap Allah SWT dimeterai pada setiap pelaksanaan ibadat solat lima waktu, mereka buktikan dalam bentuk slogan yang amat terkenal khususnya di kalangan para harakiyyin iaitu ulama haraki yang berjuang untuk meletakkan Islam pada tempat yang paling tinggi dalam segenap agenda hidup.

Lima slogan
yang dimaksudkan:
1. Allah matlamat hidup kita.
2. Rasulullah ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita.
3. Al-Quran perlembagaan hidup kita.
4. Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita.
5. Mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita.

Bagaimana merealisasi Allah matlamat hidup kita?

Allah 'minded' memang menjadi darah daging kepada generasi kalangan ulama silam. Ini menunjukkan bahawa mereka meletakkan Allah segala-galanya dalam agenda hidup mereka yang utama. Ia juga menggambarkan betapa Allah menjadi pra syarat pertama yang mesti didahulukan dalam segenap perancangan jangka pendek atau panjang untuk melebarkan sayap-sayap Islam, tanpanya segala perancangan bagaikan tidak mendapat restu Allah SWT.

Ia boleh direalisasi dalam perkara berikut secara urutan:

1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.
2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.
3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.
4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang sukar untuk dilakukan.
5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah SWT.
6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid, takbir, tahlil, ma�thurat dan zikir-zikir harian yang lain.
7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.
8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.
9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan. Ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah SWT.
10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.
11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan 11 rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.
12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.
13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.
14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.
15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.
16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).
17. Tidak banyak berangan-angan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.
18. Tidak mengejar kamasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.
19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.
20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan-Nya.
21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.
22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya-Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Sementara maksud Rasulullah sebagai ikutan, pemimpin dan contoh teladan kita dibuktikan secara sungguh-sungguh pelaksanaan sunnah-sunnah baginda dari sudut kenyataan, ungkapan, cara hidup, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mentadbir negara dan banyak lagi, pendek kata ia boleh digarap melalui penghayatan Sirah baginda Rasulullah s.a.w.

Al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita difahami sebagai sumber faktor kekuatan jati diri pada ketika umat Islam semakin longgar ikatan dan hubungan mereka kepada ajaran agama mereka sendiri. Justeru ia perlu dibaca setiap hari, dihayati, didiskusi dalam majlis-majlis ilmu bagi mengembalikan sejarah kegemilangan kekuatan umat Islam pada era sahabat dan tabi'in.

Jihad pada jalan Allah adalah cara hidup kita merupakan slogan keempat, ia bukan sahaja difahami dalam konteks carta haraki sebagai memikul senjata dalam medan peperangan, akan tetapi diertikan juga sebagai jihad melawan tipu daya syaitan yang berusaha untuk menyekat pergerakan diri kita untuk mendaulatkan Islam dan merasa lemah dan lesu untuk berbuat demikian.

Akhir sekali ialah mati pada jalan Allah adalah cita-cita tertinggi dalam hidup kita, iaitu ada ruang dalam hati kecil kita, mahu memperjuangkan Islam walau tergadai nyawa, harta, masa, tenaga, keluarga seperti yang pernah dibuktikan oleh para ulama dalam menghadapi tribulasi ketika berdakwah menegakkan kebenaran agama Islam. Ada yang terbunuh syahid dan ada pula yang sedang menunggu giliran untuk meraih anugerah sebagai golongan syuhada untuk bersama para anbiya di dalam syurga. - lanh _

Rujukan:
Harakahdaily - Agama

+ Tidak mampu nak buat semua, tak daya nak pikul semua, tak kuasa nak galas belaka. Moga ada erti mujahadah dalam hidup ini untuk jaya di kehidupan sana.

12 Julai 2009

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi

Rabu 13 Mei 2009 | 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Fri | May 08, 09 | 1:02:22 pm MYT


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan." Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.
Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali." Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu. Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap. Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'. Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat. Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya. Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi. Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.
Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan. - lanh _

Sumber: Harakahdaily.net

2 Julai 2009

Taubat - Mengembalikan diri kepada Allah Taala


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala pujian hanya untuk Allah. Salawat dan salam buat junjungan baginda Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan mukmin yang benar-benar mengikut jejak langkah mereka.

Daripada Abi Hurairah radhiya Allahu anhu (r.a.), beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Demi Allah sesungguhnya aku memohon keampunan kepada Allah dan aku bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari 70 kali". -Riwayat al-Bukhori.

Daripada al-Aghor bin Yasar al-Muzanni r.a., beliau berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda:"Wahai manusia, bertaubatlah kamu semua kepada Allah, maka sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari 100 kali". -Riwayat Muslim.

Para alim ulama' telah berpendapat bahawa: Taubat daripada segala dosa itu suatu kewajipan. Jika maksiat atau kesalahan itu di antara hamba dengan Allah S.W.T. tidak berkait dengan hak anak Adam, maka syarat taubat itu tiga:
1- Berhenti dari melakukan maksiat tersebut
2- Dia menyesal atas perbuatannya
3- Dia berazam tidak kembali mengulangi maksiat itu selama-lamanya

Jika hilang atau tiada salah satu syarat tersebut tidaklah sah taubatnya.
Dan jika maksiat atau kesalahan hamba itu berkait dengan hak anak Adam, maka syarat-syarat taubat itu menjadi empat syarat dengan satu lagi tambahan iaitu dia melepaskan (menyerahkan semula) hak kepada tuannya. Jika hak itu berbentuk harta atau seumpamanya perlulah dikembalikan semula. Jika hak itu berbentuk hukuman qazaf dan seumpamanya dia perlulah minta balasan daripada tuan itu atau meminta kemaafannya. Dan jika dia ada mengumpat mintalah halal daripada insan yang dia umpat.

Wajib atas seseorang itu bertaubat atas semua dosa-dosanya, jika dia bertaubat sebahagian sahaja dari dosanya maka dosa itu sahajalah yang akan terhapus sedangkan dosa yang dia tidak mohon taubat masih kekal.

Maksud firman Allah Taala:"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudianlah hendaklah kamu bertaubat (kembali taat kepadaNya)". -Surah Hud:3



Rujukan:
- Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadhus Solihin
- Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

13 Jun 2009

Teruskan beramal - Istiqomah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah SWT yang menciptakan kita dan sekalian alam serta mengaturkannya mengikut kehendak dan kekuasaan-Nya. Salawat dan salam buat junjungan Baginda Muhammad s.a.w. yang tidak pernah putus asa mengunjukkan hidayah buat umat ini; salawat dan salam jua buat ahli keluarga dan sahabat baginda serta pengikut-pengikut setia mereka.

Sebahagian sahabat-sahabat telah pun selesai menghadapi peperiksaan. Mungkin sebahagian rasa sebebas-bebasnya kerana selesai menanggung beban, sedang sebahagian yang lain penuh debaran menunggu keputusan.Penuh harapan.
Justify Full
Di musim imtihan ini ramai di kalangan kita yang mengisi aktiviti-aktiviti selain mutolaah dan muzakarah dengan ibadah-ibadah sunnah; membaca Al-Quran, puasa sunat, qiyammullail, berzikir, memenuhi solat-solat qabliah-ba'diah, solat dhuha dan lain-lain lagi. Ibadah-ibadah fardhu juga acapkali kita pelihara. Masjid dikunjung saban waktu solat fardhu. Perkara maksiat kita awasi sebaik mungkin.

Suatu amalan yang cukup baik bagi mendidik diri (jiwa dan anggota) bagi menuntut taqwa dan mardhotillah. Kita mengharapkan amalan-amalan tersebut diterima oleh Allah Taala sebagai amal yang ikhlas keranaNya. Tidak untuk memohon kesenangan dunia semata-mata, tetapi menuntut ketenangan jiwa dan kebahagian di akhirat kelak. Hari yang tiada guna lagi harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang menghadap Allah dengan hati yang tenang. Allah menyeru mereka "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan pembawakan kebaikkannya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhoi (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah dalam kumpulan hamba-hamba Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga Ku". (Al-Fajr:27-30).

Walau bagaimanapun, amatlah rugi dan malang jika amalan-amalan kita itu terputus di pertengahan jalan menuju ketaqwaan itu. Selesai sahaja exam kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti keduniaan dan santai sehingga melupakan kita dengan amalan-amalan yang telah kita pupuk tika di musim peperiksaan. Adakah kita bermain-main dengan ibadah? Ayuh, istiqomah -kanlah diri kita!

Bahkan buku-buku dan kitab-kitab juga kita tinggalkan. Jangan hendak dibaca serta difahami, ditatap atau belek pun tidak. Makin hanyut kita dalam arus kejahilan. Jom, tetapkan pendirian kita!

Ingin bersantai-santai? Ingin berehat-rehat? Ingin bergembira? Silakan...asalkan tidak melanggar syara'.Tetapi patutkah setiap hari? setiap masa? Lupakah peranan kita?

Rujukan:
-Tafsir Pimpinan Ar-Rahman


27 Mei 2009

Kesedihan dan Tangisan -Bekal kita di sana - 2

Selain daripada dalil-dalil tersebut, beberapa peristiwa juga boleh diambil iktibar melalui sirah nabawiyyah dan sejarah hidup para sahabat dan salafussoleh. Antaranya:

- Rasulullah s.a.w. bersedih di waktu terputus wahyu beberapa masa.

- Rasulullah s.a.w. menghadapi peristiwa 'amu alhuzni dan hadith al-ifki.

- Rasulullah menghadapi tentangan sengit dan bersedih dengan kejahilan umat dakwah Baginda dalam peristiwa di Kota Thaif.

Dan pelbagai lagi kisah duka Rasulullah s.a.w. namun Baginda sentiasa mendapat tarbiyah dari Allah Taala. Al-Quran Al-Karim adalah sebahagian daripada tarbiyah yang diterima Baginda s.a.w.

Para sahabat , tabien dan salafussoleh juga menangis apabila mengenangkan dosa-dosa mereka, mengenangkan kehidupan hari akhirat dan masalah umat yang dilanda kejahilan serta bergelumang dengan kemaksiatan.

- Daripada Mus'ab bin Saad, beliau berkata: Hafsah telah bertanya kepada Umar r.a.: Wahai Amirul Mukminin, kalaulah aku dapat memakai pakaian yang lebih lembut (mewah) dari pakaian kamu dan makan makanan yang lebih baik (enak) daripada makanan kamu. Sedang sesungguhnya Allah telah meluaskan rezeki dan memberikan banyak kebaikkan (kesenangan)? Maka Umar r.a. berkata: Sesungguhnya aku akan membantah dengan kamu. Apakah kamu tidak ingat bahawa Rasulullah s.a.w. menghadapi kehidupan yang susah dan begitu juga Abu Bakr r.a.? Maka Umar r.a. terus menerus menyebutnya sehingga beliau menangis mengenangkan kesusahan mereka. Maka Umar r.a. berkata kepada Hafsah: Demi Allah aku akan bersama hidup sepertimana mereka hidup, mudah-mudahan aku dapat keredhaan dengan sebab mengikut jejak langkah mereka berdua.

- Daripada Abdullah bin Isa,beliau berkata: Telah ada pada wajah Umar r.a. dua garisan hitam dari sebab menangis.

- Daripada Abi Solah,beliau berkata: Telah datang sekelompok orang dari penduduk Yaman kepada Abu Bakr As-Siddiq r.a., maka mereka telah meminta untuk dibacakan kepada mereka Al-Quran Al-Karim, dan (sedang dibaca) mereka menangis. Maka Abu Bakr As-Siddiq r.a. berkata: “Seperti inilah kami (para sahabat r.a.)”.

- Daripada Abu Raja’, beliau berkata: “Aku telah melihat Ibnu Abbas dan di bawah kedua matanya seperti tali selipar daripada sebab (aliran) air mata”.

- Ustaz Abdullah Nasih ‘Ulwan, apabila berbincang mengenai perpaduan dan kesatuan umat Islam, airmatanya pasti tumpah menandakan beliau adalah seorang yang sangat cintakan kesatuan umat Islam.

Dan begitu juga para tabien, alim ulama’, tuan-tuan guru yang sering menumpahkan air mata apabila menceritakan atau menyebut perihal hari akhirat dan masalah ummah sejagat.

Wallahu 'alam.

----------------------------------------------

Seperti apa siksa neraka itu? Rasulullah saw. pernah menggambarkan sebuah contoh siksa yang paling ringan. “Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahwa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Belum saatnyakah kita menangis di hadapan Allah, atau jangan-jangan, hati kita sudah teramat keras untuk tersentuh dengan kekuasaan Allah yang teramat jelas di hadapan kita. Imam Al-Ghazali pernah memberi nasihat iaitu jika seseorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis karena takut dengan kekuasaan Allah, justeru menangislah karena ketidakmampuan untuk itu.


Rujukan:

Tafsir Pimpinan ArRahman Kepada Pengertian Al-Quran

Al-Mu'jam Al-Mufahris Li Alfaz Al-Quran Al-Karim

Al-Tibyan Fi Adab Hamlah Al-Quran

Al-'Asyrah Al-Mubassyirun Bil Al-Jannah

http://akhisalman.blogspot.com/
http://www.dakwatuna.com/


17 Mei 2009

Kesedihan dan Tangisan -Bekal kita di sana

Orang-orang yang beriman tidak akan merasa terlalu bersedih pada hal dunia dan apa yang menimpa mereka pada perkara dunia serta terhadap tingkah laku para mad'u mereka.

ولا تهنوا ولا تحزنوا و أنتم الأعلون ان كنتم مؤمنين ) – آل الامران: 139)

Bermaksud: " Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sunguh-sungguh) beriman".

Banyak ayat Allah Taala yang menjelaskan bahawa orang-orang beriman dan bertaqwa tidak gentar, takut dan berdukacita pada menghadapi kehidupan dunia dan musuh-musuh mereka. Tetapi mereka bersedih dan tangis pada perihal dosa-dosa, kelalaian mereka pada mengingati Allah SWT dan hari akhirat serta kekurangan amal soleh sebagai bekal di sana. Mereka terkesan apabila dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan disebut nama Allah. – Surah Al-Anfal, ayat 2.

Terdapat lebih kurang tujuh tempat di dalam Al-Quran yang berkaitan dengan 'tangisan'. Dan di sini penulis bawakan beberapa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan tajuk ini. Firman Allah SWT:
إذا تتلى عليهم آيات الرحمن خروا سجدا وبكيا ) – مريم: 58 )
Bermaksud: "….Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah) mereka segera sujud serta menangis."

ويخرون للأذقان يبكون ويزيدهم خشوعا ) الاسراء : 109)
Bermaksud: " Dan mereka bersegera menumuskan muka mereka dengan sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyu' ".

"Mereka" ialah ahli kitab yang mendalam ilmu mereka dan mengetahui kebenaran Al-Quran lalu memeluk Islam.

أزفة الأزفة . ليس لها من دون الله كاشفة . أفمن هذا الحديث تعجبون . وتضحكون ولا تبكون .
وأنتم سامدون. فاسجدوا لله واعبدوا . – سورة النجم : 57-62
Bermaksud: "Telah hampir masa datangnya saat yang hampir itu (akhirat). Tiada sesiapa pun selain Allah yang dapat menahan atau menghilangkan huru-hara kiamat itu. Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (kesalkan kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh lagi yang melalaikan kewajipan. Oleh yang demikian hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadahlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid)."

Di dalam hadis Rasulullah s.a.w. juga ada menyebut tentang 'tangisan'.

“Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, niscaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” (HR. Bukhari dan Muslim)

(سبعة يظلهم الله في ظله، يوم لاظل إلا ظله: - منها- ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه)
Maksudnya:
Tujuh golongan yang mana Allah naungi mereka di bawah naungannya: -diantaranya- dan seorang lelaki yang mengingati Allah bersendirian lalu mengalir air matanya. (HR Bukhari dan Muslim)

عن عبد الله بن الشخير قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بنا، وفي صدره أزيز كأزيز المرجل من البكاء
Maksudnya:
Abdullah bin ٍSyikhir berkata: "Aku melihat Rasulullah s.a.w bersembahyang menjadi imam kami dan dadanya ada mempunyai bunyi esakan kerana menangis seperti bunyi periuk yang menggelegak." (HR Abu Daud dan Tirmizi)

ياأيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا، فإن أهل النار يبكون في النار حتى تسيل دموعهم في خدودهم، كأنها جداول حتى تنقطع الدموع، فيسيل –يعني الدم- فيقرح العيون
Maksudnya: Hai manusia! Menangislah kamu.. Jika kamu taidak boleh menangis buat-buatlah menangis (sehingga boleh menangis), maka sesungguhnya ahli neraka menangis sehinggalah mengalir air mata di pipi mereka seolah ada anak-anak sungai sampailah habisnya air mata. Maka mengalirlah darah sehingga mata menjadi luka. (Hadis Hasan)

اقرءوا القرأن وابكوا , فان لم تبكوا فتبا كوا
Maksudnya: Bacalah Al-Quran dan menangislah, maka jika tidak boleh menangis maka buat-buatlah menangis. (Riwayat Ibnu Majah - Dhoif)

Oleh kerana itu, perlunya tadabbur tika membaca Al-Quran Al-Karim dengan memahami maknanya dan mengaitkannya dengan diri kita dan isu umat sekitar

5 Mei 2009

Sayyidul Istighfar

اللهم انت ربي لا اله الا انت خلقتني و أنا عبدك و أنا على عهدك ووعدك ما استطعت , أعوذبك من شر ما صنعت , أبوءلك بنعمتك علي و أبوء لك بذنبي فاغفرلي فانه لا يغفر الذنوب الا أنت .


Terjemahan: Ya Allah Engkau Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau, Engkaulah yang menciptaku dan aku adalah hambaMu. Dan aku akur pada arahanMu dan perjanjianku kepada Mu dengan sedaya upayaku. Aku juga memohon perlindungan Mu dari segala kejahatan yang telah aku lakukan. Dan aku akui nikmatMu kepada ku dan aku akui akan dosaku kepadaMu. Maka ampunkanlah daku, sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.


Kelebihan membaca Sayyidul Istighfar:

" Barangsiapa yang menyebutnya pada waktu siang dengan penuh yakin terhadapnya (ikhlas dan yakin dengan ganjarannya), maka (jika) dia mati pada hari itu sebelum hampir tiba malam maka dia daripada kalangan ahli syurga. Dan barangsiapa yang menyebutnya pada waktu malam dengan penuh yakin terhadapnya (ikhlas dan yakin dengan ganjarannya), maka (jika) dia mati sebelum tibanya subuh maka dia daripada kalangan ahli syurga".

( Hadis riwayat Bukhori: Bab Kelebihan Istighfar, Hadis 6306, Fathul Bari oleh Ibnu Hajar al-Asqalani )


26 April 2009

Bacalah Al-Quran Al-Karim 2

Al- Quran adalah Kalamullah yang mempunyai mukjizat (perkara yang luar biasa), diturunkan kepada penutup segala nabi dan rasul a.s. dengan perantaraan Jibril a.s. yang amanah, ditulis dalam mushaf-mushaf, dipindahkan kepada kita dengan mutawatir (berturut-turut =diriwayatkan oleh ramai perawi di mana mustahil untuk mereka bersepakat untuk berdusta), dinilai sebagai ibadah dengan membacanya, bermula dengan surah Al-Fatihah dan berakhir dengan surah An-Nas.

Inilah suatu definasi tentang Al-Quran Al-Karim yang telah bersepakat oleh para ulama' dan ahli ilmu Usuluddin.

Al-Quran Al-Karim merupakan perlembagaan hidup bagi umat manusia (bukan hanya khusus untuk umat Islam), petunjuk bagi makhluk dan suatu tanda ke atas kebenaran pengutusan Rasulullah s.a.w. serta risalah yang dibawa baginda. Al-Quran juga sebagai hujjah dan bukti yang benar kukuh sehingga ke hari Qiamat. Sesuai di sepanjang zaman, tempat dan pada semua generasi, umat, bangsa. Kerana Al-Quran Al-Karim dari Allah Taala dan umat manusia serta alam juga dari penciptaanNya. Maka Allah Taala lebih berhak untuk menentukan undang-undang yang sesuai untuk mahkluk ciptaanNya.

Asy-Syathibi dalam kitab Al-Muwaafaqaat mengatakan : "Sudah menjadi kesepakatan bahwa kitab yang mulia ini adalah syari'at yang sempurna, sendi agama, sumber hikmah, bukti kerasulan, cahaya penglihatan dan hujjah. Tiada jalan menuju Allah selainnya, tiada keselamatan kecuali dengannya dan tidak ada yang dapat dijadikan pegangan sesuatu yang menyelisihinya. Kalau demikian halnya, mahu tidak mahu bagi siapa yang hendak mengetahui syariat yang bersifat universal, berkeinginan mengenal tujuan-tujuannya serta mengikuti jejak para ahlinya; haruslah menjadikannya (Al-Quran) sebagai kawan bercakap dan teman duduknya sepanjang siang dan malam dalam teori dan praktik; maka dekat waktunya ia mencapai tujuan dan menggapai cita-cita serta mendapati dirinya termasuk orang-orang terdahulu, dan dalam rombongan pertama jika ia mampu. Dan tidaklah dapat mampu atas hal itu kecuali orang yang sentiasa menggunakan apa yang dapat membantunya, iaitu sunnah yang menjelaskan kitab ini. Selainnya, adalah ucapan para imam terkemuka dan salaf terdahulu yang dapat membimbingnya dalam tujuan yang mulia ini." ( Lihat AI Muwafaqaat, oleh Asy-Syathibi, 31224.)

Tiga bukti kebenaran Al-Quran Al-Karim secara ringkas yang boleh kita sama-sama hayati.
Pertama: Keindahan, keserasian dan keseimbangan kata-katanya. Kata yaum yang berarti "hari", dalam bentuk tunggalnya terulang sebanyak 365 kali ( ini sama dengan satu tahun), dalam bentuk jama' diulangi sebanyak 30 kali (ini sama dengan satu bulan). Sementara itu , kata yaum yang berarti “bulan” hanya terdapat 12 kali. Kalimah panas dan dingin masing-masing diulangi sebanyak empat kali, sementara dunia dan akhirat, hidup dan mati, setan dan malaikat, dan masih banyak lainnya, semuanya seimbang dalam jumlah yang serasi dengan tujuannya dan indah kedengarannya.
Kedua: Pemberitaan ghaib yang diungkapkannya. Awal surah Al-Rum menegaskan kekalahan Romawi oleh Parsi pada tahun 614; setelah kekalahan mereka dalam masa sembilan tahun di saat mana kaum mukminin akan bergembira. Dan itu benar adanya, tepat pada saat kegembiraan kaum Muslim memenangkan Perang Badar pada 622, bangsa Romawi memperoleh kemenangan melawan Parsi. Pemberitaan tentang keselamatan badan Firaun yang tenggelam di Laut Merah 3.200 tahun yang lalu, baru terbukti setelah mumianya (badan yang diawetkan) ditemukan oleh Loret di Wadi Al- Muluk Thaba, Mesir pada 1896 dan dibuka pembalutnya oleh Eliot Smith 8 Julai 1907. Mahabenar Allah yang menyatakan kepada Fir’aun pada saat kematiannya: Hari ini Ku selamatkan badanmu supaya kamu menjadi pelajaran bagi generasi sesudahmu (QS 10: 92).
Ketiga: isyarat-isyarat ilmiahnya sungguh mengagumkan ilmuwan masa kini, apalagi yang menyampaikannya adalah seorang ummi yang tidak pandai membaca dan menulis serta hidup di lingkungan masyarakat terkebelakang. Satu bukti kebenaran (mukzijat) rasul-rasul Allah yang bersifat superrasional.

Sesungguhnya Al-Quran Al-Karim telah menunjukkan kepada beberapa teori ilmiah yang mendalam; tidak dapat disingkap melainkan pada kurun kini, suatu bukti bahawa Al-Quran ini daripada pencipta sekalian alam iaitu Allah SWT. Antara firman Allah Taala:
- “ Dan Kami hantarkan angin sebagai sebagai pembawa air dan pemindah benih*,maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya, dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menimpannya”.- Surah Al-Hijr: 22.
*Iaitu angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, anign juga membawa debunga jantan kepada debunga betina, dari sebatang pohon ke pohon yang lain dan dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan.
Oleh kerana itu, seorang orentalis, profesar di Universiti Oxford telah menyatakan bahawa orang-orang Arab (ashabul ibil) telah mengetahui bahawa angin yang membantu proses pendebungaan pokok-pokok dan buah-buahan sebelum orang-orang Eropah mengetahuinya dengan jarak masa 13 kurun sebagai maksud dengan sebab Al-Quran Al-Karim.
Sungguh disayangkan bahwa tidak sedikit umat Islam dewasa ini bukan hanya tidak pandai membaca Kitab Sucinya, tetapi juga tidak mengfungsikannya, kecuali sebagai penangkal bahaya dan pembawa manfaat dengan cara-cara yang tradisional.
Rupanya, umat generasi inilah antara lain yang termasuk diadukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. : Wahai Tuhan, sesungguhnya umatku telah menjadikan Al-Qur'an sesuatu yang tidak dipedulikan (QS 25:30).

- At- Tibyan Fi U'lum Al-Quran: Muhammad Ali as-Sobuni
- http://www.bakis5.com/qur'an.htm
- http://www.freewebs.com/ramadhaan/quran.htm
- Harbu al-Gharbi ‘ala al-Islami wa an-Nabiyi (Serangan barat ke atas Islam dan Nabi), Muhammad Abdul Malik az-Zaghbi


17 April 2009

Bacalah Al-Quran Al-Karim


Pada entry sebelum ini, saya ada menyebut tentang membaca. Membacalah, kerana dengan membaca antara sumber kekuatan umat. Dan saya juga ada menyebut sedikit berkenaan saranan membaca Al-Quran. InsyaAllah, kali ini saya saya akan coretkan untuk sidang pembaca beberapa kelebihan membaca Al-Quran Al-Karim. Semoga dengan itu akan menambahkan lagi semangat kita untuk sentiasa membaca Al-Quran. Malang sekali sebagai muslim kita tidak membaca Al-Quran. Apakah anggota keluarga Muslim yang memiliki mushaf tidak mampu membaca Kitab suci itu? Diduga jawabannya adalah "tidak"! Apakah setiap Muslim yang mampu membaca Al-Quran mengetahui garis besar kandungannya serta fungsi kehadirannya di tengah-tengah umat? Amat malang jika sekali lagi jawaban yang diduga serupa.

Di antara keutamaan Al-Qur'an:

1. Firman Allah Ta'ala: " Alif Lam Mim. Demikian itulah Al-Kitab (Al-Quran) yang tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa". (Al-Baqarah:1-2). Taqwa ialah takut kepada Allah Taala dengan mengikuti segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

2. Firman Allah Ta'ala: "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Qur'an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri." (An-Nahl: 89)

3. Firman Allah Ta'ala: "Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus." (Al-Ma'idah: 15-16).

4. Firman Allah Ta 'ala: "Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi ouang-orang yang beriman. " (Yunus: 57).

5. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Bacalah Al-Qur'an, karena ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafa 'at bagi pembacanya." (HR. Muslim dari Abu Umamah).

6. Dari An-Nawwas bin Sam'an radhiallahu 'anhu, katanya: Aku mendengar Rasul shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Didatangkan pada hari Kiamat Al-Qur'an dan para pembacanya yang mereka itu dahulu mengamalkannya di dunia, dengan didahului oleh surah Al Baqarah dan Ali Imran yang membela pembaca kedua surah ini." (HR, Muslim).

7. Dari Utsman bin Affan radhiallahu 'anhu, katanya: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarkannya." (HR. Al-Bukhari)

8. Dari Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, katanya: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu dibalas sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf; tetapi alif satu huruf; lam satu huruf dan mim satu huruf." (HR. At-Tirmidzi, katanya: hadits hasan shahih).

9. Dari Aisyah radhiallahu 'anha, katanya: Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Orang yang membaca Al-Qur'an dengan mahir adalah bersama para malaikat yang mulia lagi taat, sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap dan susah membacanya baginya dua pahala." (Hadits Muttafaq 'Alaih). Dua pahala, yakni pahala membaca dan pahala susah payahnya.

10. Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Tidak boleh hasad (iri) kecuali dalam dua perkara, yaitu: orang yang dikaruniai Allah Al-Qur'an lalu diamalkannya pada waktu malam dan siang, dan orang yang dikaruniai Allah harta lalu diinfakkannya pada waktu malam dan siang". (Hadits Muttafaq 'Alaih). Yang dimaksud hasad di sini yaitu mengharapkan seperti apa yang dimiliki orang lain. (Lihat kitab Riyadhus Shaalihiin, hlm. 467-469).

Demikianlah beberapa kelebihan membaca dan mengamalkan Al-Quran Al-Karim yang dapat kita hayati bersama dari sumber Al-Quran dan As-Sunnah. InsyaAllah jika berkesempatan saya cuba bawakan pula kelebihannya pada pandangan ulama' dan ilmuwan.

Bukanlah kelebihan yang kita harapkan sangat tetapi sebagai galakan untuk kita mendampingi Al-Quran. Al-Quran adalah petunjuk jalan hidup kita menuju alam kematian. Tidak dapat tidak kita mesti sentiasa membacanya.