Suasana dan unsur baik yang ada pada masa sekarang jangan menghilangkan suasana dan faktor baik yang ada pada masa dahulu...kekalkan.
Kisah Ustaz Din Tantowi mengingatkan suasana 20 tahun dahulu. Suasana sebuah kampung di rumahku berusrah.
--------------
Sejak sekian lama, kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph". Bertugas dan bekerja dengan hambar. Terkadang dihambat rasa letih dan bosan. Dahulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerak kerja amal jama'ie, amal fardhi dan amal ijtimaei. Saya masih ingat, selain usrah saban minggu, jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhayyam, namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis. Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari, bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi.
Ukhuwwah cukup erat dan intim. Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan, "Ana uhibbuka fillah yaa akhi..." sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi-pipi merah yang menahan getir perjuangan ini. Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah. Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah.
Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan. Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap. Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita. Manakan tidak. Makan setalam, tidur sebantal dan musafir sekenderaan, bersulam doa rabithah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang.
Buku-buku haraki sentiasa di tangan, sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah. Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan-pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan.
Semangat jihad berkobar-kobar, merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala. Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya baharulah disudahi dengan perkembangan isu semasa. Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan.
Timbul masalah, segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing-masing menutup masalah dan aib saudara masing-masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar. Cepat melupakannya serta segera memaafkan. Masalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah Islamiyyah yang tebal segera merawatnya.
Mesyuarat dengan penuh mesra. Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza. Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata. Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri, tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri. Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti-nanti. Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan.
Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini. Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan. Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat. Namun, sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang. Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif. Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api. Nak bercakap rasa tak kena, tak bercakap rasa salah. Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala, kalau sempat pun sekadar bersalam tangan. Rasa sukar untuk mendekap pipi, sebab masing-masing sibuk memburu waktu entah nak ke mana. Kalau peluk semua ahli mesyuarat, terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan. Ada yang rasa janggal dan geli geleman.
Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan. Memandang sahabat seperti musuh. Ya, musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik. Menyertai PAS bukan lagi menyertai "Gerakan Islam" tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam.
Hadir mesyuarat seperti menghadiri parlimen untuk berdebat dengan musuh. Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti di parlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang. Tidak lagi bermula dengan al ma'thurat dan doa rabithah. Asma'ul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras. Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa.
Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini. Nak baca macam mana, usrah pun sudah 5 tahun tidak hadir. Terma-terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri, wehdatul amal dan sebagainya.
Mesyuarat sebelum mesyuarat, mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin. Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus. Sebab, sebelum masuk mesyuarat, perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komuniti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan. Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu, ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi.
Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini. Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga-mencurigai antara satu sama lain. Suasana sentiasa tegang dan panas. Bila-bila masa boleh mencetus perbalahan. Masing-masing menanti waktu turning point sebagai masa mahu bertindak. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat. Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra. Seperti merenung musuh, kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita. Ada sahaja yang tidak kena dan hati sentiasa tidak puas.
Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur. Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja. Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa, kalau pun masih terasa hanya sekadar manis-manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka.
Terma-terma asas perjuangan Islam seperti jihad, negara Islam, hudud, mukhayyam tarbawi, usrah, harakah Islamiyyah, naqib, ukhuwwah fiLlah dan lain-lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum. Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak, tidak kena timing, keterlaluan, non-Muslim tidak akan mengundi kita, kolot dan macam-macam lagi sms akan masuk menempelak. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi. Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah. Habis semangkuk, perut boleh kenyang tetapi "umph"nya tiada. Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula "umph" dalam perjuangan ini?
Harapan saya, agar pemuda dapat menikmati semula "umph" tersebut. Untuk itu, pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat (UMPH).
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber:
Tarbawi