Ditulis oleh Presiden PAS -
Isnin, 05 November 2012 11:15
Republik Arab Syria (selepas ini
ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat,
bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di
utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di
sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab
yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat. Umum menyangkakan
bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria
berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah
muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti
Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath
paling kiri di kalangan negara Arab.
Dari segi hubungan dengan negara
jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya
hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram
Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap
mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga
kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel
seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan.
Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh,
bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat
apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang
menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria
mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China.
Kebangkitan rakyat berlaku sejak
awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika
itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa
kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan
Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media
tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam
membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit.
Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang
membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa
menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan
di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu
boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang
sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam
untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya.