Menteri digesa tarik balik hina pelajar agama
KOTA BHARU, 5 Feb: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khhspace="10"alid Nordin disifatkan menghina pelajar agama di Mesir apabila berkata pihak kementerian menghadapi kesulitan menghubungi pelajar bidang agama di Mesir disebabkan tidak berdaftar dengan kementerian.
Kenyataan itu yang disiarkan dalam Akbar semalam bertajuk “Tiada Pilih Kasih Bawa Pulang Pelajar Dari Mesir” yang boleh disifatkan sebagai tidak benar dan berniat memburuk-burukkan pelajar pengajian bidang agama di Mesir.
Demikian kata Setiausaha Alumni Kesatuan Pelajar Kelantan Mesir (KPKM), Ustaz Md. Asri Mat Daud dalam satu Kenyataan mereka hari ini.
Menurut beliau, Kenyataan Khalid adalah tidak benar sama sekali kerana semua pelajar yang melamjutkan pelajaran di Mesir mestilah melalui Kementerian Pengajian Tinggi dan mereka tidak boleh belajar sekiranya dokumen mereka tidak diuruskan oleh pihak kementerian dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK).
Tambahan pula, semua nama pelajar-pelajar yang berada di Mesir adalah di bawah pengetahuan persatuan pelajar di setiap negeri dan pihak mereka telah menghantar nama-nama tersebut kepada JPMK.
Pelajar Malaysia pula mestilah memiliki kad pelajar daripada pihak JPMK setiap kali ingin berurusan dengan Jabatan Penuntut.
Oleh itu, tidak timbul isu mereka yang tidak berdaftar tetapi apa yang pasti kesulitan yang dihadapi adalah kegagalan pihak kementerian dan Jabatan Penuntut Malaysia di Mesir melaksanakan tugas dengan baik dan mengabaikan urusan kebajikan pelajar sehinggalah keadaan menjadi kelam kabut apabila situasi getir seperti sekarang berlaku.
Pihak Alumni KPKM mendesak agar menteri berkenaan tidak sewenang-wenang melemparkan tuduhan dan emnadikan perara tersebut sebagai alasan yang boleh mengesahkan lagi diskriminasi terhadap pelajar agama yang telah lama wujud.
Sementara itu, Gerakan membantu pelajar Mesir (GETIR) Alumni KPKM terus memberikan bantuan kepada pelajar di Mesir.
“Terkini, pengerusi GETIR Ustaz Zulkifli Yusuf telah berlepas dari lapangan terbang Kota Bharu menuju ke Mesir dengan kapal terbang Singapore Airlines untuk menyampaikan sumbangan ibu bapa kepada pelajar di sana khususnya yang berasal daripada Kelantan.
“Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan telah menghantar bantuan kewangan sejumlah RM 120,000 melalui wakilnya ustaz Zulkifli Yaacob yang telah bertolak beberapa hari yang lepas,” katanya.
Sumber: Harakahdaily
---------------------------
Itu belum termasuk pelbagai info, berita dan hal ehwal pengurusan yang bermacam-macam berkenaan perpindahan/bawa pulang pelajar ke Malaysia...
5 Februari 2011
3 Februari 2011
Alhamdulillah... masih selamat
Sampaikan berita yang benar dari sumber yang betul dan tepat. Berhati-hati dengan berita yang disampaikan di Malaysia - bijak mengambil berita.
Doakan kemenangan untuk ISLAM dan kesejahteraan kami di sini.
Pelajar Malaysia Di Mesir Selamat
KAHERAH, 2 Feb - Pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir pada ketika ini dalam keadaan selamat berikutan krisis politik yang melanda negara ini semenjak 25 Januari lalu.
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sehingga kini menjalinkan hubungan kerjasama yang baik dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dalam menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan pelajar.
Perhubungan internet dan komunikasi yang disekat semenjak 28 Januari lalu menyebabkan saluran maklumat tidak dapat disampaikan secara meneyeluruh.
Namun, Pejabat PMRAM sebagai pusat operasi utama dalam mengumpul dan menyampaikan maklumat kepada Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahawasiswa (DPM) melalui YDP dan Pengerusi serta AJKT.
PMRAM mengharapkan doa dari masyarakat luar agar mendoakan keselamatan pelajar-pelajar yang berada di Mesir serta dipermudahkan segala urusan.
Rujukan: Web PMRAM
Media Perlu Saring Berita
KAHERAH, 2 Feb - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) menggesa kepada pihak media di Malaysia supaya memastikan kebenaran berita yang diperolehi tentang keadaan pelajar Malaysia di sini.
Hal ini berikutan beberapa media tempatan menyiarkan berita situasi pelajar Malaysia di Mesir yang jelas bersalahan dengan apa yang berlaku di sini.
Selain itu, sumber berita yang diterima perlu dikaji dengan teliti agar tidak menimbulkan pelbagai spekulasi pelbagai pihak.
Pihak PMRAM yang merupakan persatuan induk bagi pelajar Malaysia di Mesir, sentiasa menerima perkembangan pelajar-pelajar tanah air yang berada di serata Perlembahan Nil.
Semoga perkara ini diambil perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkenaan.
Rujukan: Web PMRAM
Keangkuhan dengan kuasa...
Jika memegang kuasa dengan kemewahan, kemegahan dan demi keduniaan maka tamaklah untuk dilepaskan. Jika memegang kuasa dengan kesusahan, pengorbanan dan demi kesejahteraan mudah-mudah melepaskan.
Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah
Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.
Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.
Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).
Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?
Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.
Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.
Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.
Sekian, wasalam.
Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M
Sumber: Harakahdaily
---------------------
Doakan kemenangan untuk ISLAM dan kesejahteraan kami di sini.
Langgan:
Catatan (Atom)