24 Disember 2013

Hari Krismas dan umat Islam

Hukum Sambutan Hari Krimas Oleh Umat Islam
    Rata-rata masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai penganut berbeza agama. Manakala dalam setiap agama pula mempunyai tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati sesuatu peristiwa. Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan beberapa buah negara di Timur Tengah.

    “Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua perkara ; 
Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan 
kedua :pengorbanan Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.

Persoalan : Adakah perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?

Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada dua :

1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :

    Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.

    Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka”).

    Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.

    Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :

• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda S.A.W. yang berbunyi :

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ ثَابِتٍ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي مُنِيبٍ الْجُرَشِيِّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)


• Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah S.W.T. berfirman :


Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya Yang lain; dan sesiapa di antara kamu Yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka Sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum Yang berlaku zalim. (Surah Al-Maidah ayat 51)


Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, Dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) Dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra Yang ada di antara kamu Dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) Yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra Dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa Yang kamu rahsiakan dan apa Yang kamu zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu Yang melakukan perkara Yang demikian, maka Sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan Yang betul.(Surah Al-Mumtahanah ayat 1)

• Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum tertentu, seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :

حَدَّثَنَا عُبَيْدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ الْأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ قَالَتْ وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami 'Ubaid bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam dari Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk menemui aku saat itu di sisiku ada dua orang budak tetangga Kaum Anshar yang sedang bersenandung, yang mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum Anshar pada perang Bu'ats." 'Aisyah menlanjutkan kisahnya, "Kedua sahaya tersebut tidaklah begitu pandai dalam bersenandung. Maka Abu Bakar pun berkata, "Seruling-seruling setan (kalian perdengarkan) di kediaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam!" Peristiwa itu terjadi pada Hari Raya 'Ied. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan sekarang ini adalah hari raya kita." (Hadith ke-899 riwayat Imam Bukhari)

    Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan  Allah, maka tidak harus kita menyertainya.

2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :

    Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.

    Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan tahniah terhadap  syiar yang telah dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).

    Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :


Maksudnya : dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisaa’ ayat 86)


Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah ayat 8)

    Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.

Kesimpulan : Agama Islam merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :

1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.

2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa redha dengan perayaan ini tetapi  ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti. 

    Apa yang paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.

Artikel dari Manhal PMRAM

23 Disember 2013

Syiah: Dendangan lama dengan rentak baru

PAS tetap teguh dengan Ahli Al-Sunnah Wal Jama’ah, kenapa masalah sunni dan syiah ditimbulkan sekarang?


Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Qiyas yang nyata. Inilah sumber hukum para Ahli al Sunnah wal Jama’ah. Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli PAS wajib menganut mazhab Ahli al Sunnah wal jama’ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah waljama’ah dalam PAS. Perkara ini tidak ada dalam perlembagaan parti lain, termasuk UMNO sendiri yang berdegar Ahli al Sunnah wal Jama’ah. Oleh kerana berprinsipkan Ahli al Sunnah waljama’ah inilah maka Jawatankuasa Disiplin PAS boleh bertindak terhadap aliran mazhab yang lain dalam PAS, bukan sahaja dalam kes disiplin salah laku terhadap pentadbiran PAS.
Namun PAS yang teguh berpegang dengan Islam dan mazhab Ahli al Sunnah wal Jama’ah ini mengadakan hubungan dengan semua pihak lain, termasuklah di kalangan bukan Islam. PAS lebih ke depan dalam mengadakan hubungan dengan semua kumpulan Islam NGO yang berbeza pendekatan dan berbagai mazhab. PAS dapat membezakan dengan ilmu Islam, berdasarkan batas-batas yang diizinkan oleh syara’. Begitulah PAS menyokong kerajaan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Iran, Oman, termasuklah negara barat dan komunis.
Saya telah menulis satu kajian terperinci khusus kepada ahli-ahli PAS dan semua pihak yang ingin tahu. Kajian itu bertajuk: “Mazhab-Mazhab dan Firqah dalam Islam” (edisi tulisan jawi ) dan “Ensaiklopedia Mazhab dan Ideologi” (edisi rumi), dengan merujuk kepada sumber-sember ulama terdahulu dan terkini .
Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya. Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam.
Para ulama zaman dahulu dan kini meletakkan mazhab-mazhab ini dalam kajian feqah muqaran (perbandingan) dan disebut juga dalam kitab-kitab tafsir dan hadis. Sehingga kini penganut mazhab ini diizinkan menunaikan ibadat haji di Makkah bersama seluruh umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia, walaupun mengikut cara mazhabnya, seperti mencabut bumbung bas dan kereta ketika berihram. Persidangan Kemuncak Negara-negara Umat Islam (OIC) dua tahun yang lalu mengambil kira perkara ini dan menjadikan resolusinya.
Perkara ini sebenarnya sudah difahami oleh umat Islam sejak lebih seribu tahun yang lalu, sehingga tidak menghalang kemaraan perkembangan Islam di seluruh pelosok dunia dan kerajaan Islam Ahli Sunnah menjadi kuasa besar tunggal yang paling hebat. Mazhab Ahli Sunnah terus berkembang tanpa takut kepada mazhab Syiah, Khawarij, Mu’tazilah dan lain-lain yang ada dalam masyarakat Islam sendiri, sehingga mampu juga menghadapi perang salib yang bertalu-talu sehingga beberapa abad.
Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di abad yang lalu berlaku, setelah umat Islam meninggalkan ilmu Islam, dan ilmu Islam juga dilemahkan. Umat Islam dipecahkan dengan fahaman sekularisma yang memisahkan politik dan urusan duniawi daripada agama Islam, menyebabkan mereka menganut berbagai-bagai ideologi yang asing daripada Islam, khususnya Nasionalisma (semangat kebangsaan dijadikan aqidah) yang boleh menganut apa sahaja ideologi yang berikutnya. Aqidah nasionalisma menyebabkan umat Islam dipecahkan dengan semangat kebangsaan masing-masing, sehingga bangsa Arab menganggap kerajaan Uthmaniyah Turki adalah penjajah asing. Iran yang dikuasai oleh majoriti Syiah Imamiyyah dan Yaman yang dikuasai oleh raja syiah Zaidiyyah dan mazhab ‘Ibadhiyyah yang menjadi mazhab majoriti penduduk Oman dipisahkan daripada umat Islam. Dalam masa yang sama perkara berbeza mazhab di dalam Sunni dan di dalam sama-sama Syi’ah dijadikan bahan untuk melagakan umat, sehingga boleh dilagakan oleh penjajah dan mendapat khidmat dan bantuan penjajah untuk menentang di antara satu sama lain. Berakhir dengan jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah dan seluruh tanah air umat Islam dibahagikan di kalangan negara penjajah Timur (komunis) di Asia Tengah dan penjajah Barat (kapitalis) di Asia dan Afrika.
Dahulunya para ulama yang mendalami ilmu Islam dapat menangani secara budaya ilmu yang tinggi yang disalin dalam kitab-kitab yang dikarang, walaupun pendapat yang paling lemah dan dikira salah dimasukkan juga di dalam kitab dan dihujah secara ilmu, bahkan ada pendapat mazhab lain yang diambil kira sekiranya ada hujah yang kuat.
Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat mengembirakan pendukung Islam dan menakutkan musuhnya yang dengki. Umat Islam wajib kembali semula kepada budaya ilmu yang tinggi dengan menggunakan teknologi maklumat terkini bagi menolak mazhab yang lemah secara hujah, dalam masa yang sama menyedari adanya agenda penjajah baru yang mengulang tayang senario lama dengan solekan baru yang disesuaikan dengan situasi terkini.
Perlu difahami betapa kuasa besar timur dan barat mewujudkan negara haram Israel secara sepakat, sebagai strategi pengacau dalam dunia Islam, khususnya rantau Asia Barat. Semua negara kuasa besar juga berlumba menanam pengaruh di rantau yang mempunyai sumber tenaga minyak, gas dan uranium, paling besarnya ialah rantau Asia Barat dan Asia Tengah. Mereka memejam mata terhadap Israel yang telah mempunyai teknologi persenjataan yang diharamkan oleh masyarakat antara bangsa, seperti teknologi nuklear sejak tahun enam puluhan dengan bantuan negara barat dan zionis bekas Soviet, bahkan senjata haram itu telah digunakan secara kecilan dalam peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan. Dalam masa yang sama tindakan diambil terhadap mana-mana negara Arab yang memajukan teknologi sumber nuklear, walaupun bertujuan keamanan seperti sumber tenaga elektrik. Loji di Iraq dan Libya pernah dimusnahkan dengan serangan udara di atas nama keamanan dunia dan keselamatan Israel.
Umat Islam sepatutnya melakukan muhasabah terhadap sikap double standard kuasa besar barat dalam tindakan ke atas menjatuhkan regim Mu’ammar Gaddafi di Libya dengan lebih keras, dibandingkan kedinginan dan tidak konsisten tindakan ke atas regim Basyar Asad di Syria yang sama zalimnya. Tidakkah kerana kedudukan yang berbeza bagi keselamtan Israel dan kepentingan barat? Sebelumnya barat membantu Taliban menjatuhkan Mujahidin di Afghanistan, kemudiannya menyapu Taliban habis-habisan, bagi menempatkan regim yang lebih baik kepada mereka. Adakah drama berdarah ini akan ditayangkan di Asia Barat? Menteri Pertahanan Israel membuat kenyataan terbaru, bahawa Basyar perlu dikekalkan kerana lebih baik daripada kumpulan pengganas yang menentangnya sekarang.
Mengapa perlunya kewujudan pengkalan tentera kuasa besar barat di rantau Teluk? Adakah kerana keselamatan negara yang diwujudkan pengkalan itu, atau kerana menjaga telaga minyak dan keselamatan Israel? Umat Islam pula perlu membaca dan memahami percaturan politik antara bangsa. Mengapa sekarang dicetuskan peperangan terhadap mazhab Syiah yang telah wujud sejak lebih seribu tahun. Adakah kerana mazhab Syiahnya atau kemajuan teknologi Iran yang mencabar barat dan Israel? Maka negara serantau menjadi wakil kepada barat dan Israel untuk menyelamatkan mereka dengan mengulangi strategi pecah dan perintah.
Teruskan membaca di Web TGHH

21 Disember 2013

Guru juga belajar

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

       Melihat sahabat-sahabat blogger masih menulis di lembaran maya ini (blog) terasa semangat pula untuk terus menulis, walaupun umum tahu bahawa blog sudah kurang dilayari oleh masyarakat kini. Melainkan blog dan web yang sudah terkenal dan sentiasa update and up to date, yang kadangkala dalam sehari dua ke tiga isi dimuatkan dalam laman mereka. Apatah lagi jika isi-isinya panas dan menarik, pasti menjadi tumpuan pelawat.
          Laman-laman sosial lain seperti facebook dan twitter telah mengganti tempat berbanding blog dan website di hati masyarakat kini, terutama di kalangan muda-mudi. Manakan tidak ia lebih ringan, mudah dan ringkas serta punyai pelbagai aktiviti. 
                Namun blog dan website masih menjadi minat bagi kalangan masyarakat yang suka menulis dan membaca!

          Lebih kurang 2 minggu lagi cuti sekolah akan tamat. Bermulalah sesi persekolahan tahun 2014 yang akan membawa matlamat dan harapan baru bagi sesebuah sekolah. Bahagian pentadbiran sekolah, guru-guru, ibubapa dan pelajar-pelajar akan sibuk membuat persiapan untuk meneruskan agenda ilmu bagi sesi baru. Selain ibubapa yang pening kepala menguruskan persekolahan anak-anak, guru-guru dan bahagian pentadbiran sekolah turut merasainya. Terutama bagi sebuah sekolah agama swasta yang hanya bergantung kewangan kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai. Lebih-lebih lagi sekolah yang bercita-cita melahirkan generasi pimpinan mukmin.

           Semasa mengikuti sebuah kursus baru-baru ini, banyak ilmu yang penulis perolehi berkaitan cara penyampaian ilmu kepada murid dan cara take care mereka. Penyampaian ilmu kepada murid yang bijak, kurang pandai dan lemah. Cara mendekati dan mendidik murid bermasalah dan hyper active. Alhamdulillah banyak yang kami perolehi hanya tinggal untuk dipraktik melalui peranan masing-masing. 

           Menjadi pendidik untuk membentuk generasi pimpinan mukmin pada masa hadapan para pendidik perlu membina niat ikhlas, minat, azam, kesungguhan, kesabaran.... Peserta turut dimotivasi sebelum kami memotivasikan murud-murid nanti. Kedapatan pendidik yang luntur semangat dalam pendidikan terutama menghadapi karenah pelajar kelas akhir. Penulis orang baru dalam bidang ini mungkin tidak sepengalaman mereka. Mudah-mudahan dengan motivasi yang kami dapat akan menambah semangat juang untuk membina generasi mendatang.

          Antara kateria pendidik yang menarik perhatian penulis adalah minat membaca! Maka teringatlah penulis akan ucapan al-marhum guru penulis dahulu "ustaz juga sekarang sedang belajar macam kamu". Beliau merujuk kepada diri beliau bahawa sedang belajar untuk mengajar! Sedangkan beliau sudah puluhan tahun mengajar di maahad. Dari sini menjelaskan bahawa  seorang pendidik juga sedang belajar. 

         Umumnya, semua manusia perlu sedar bahawa mereka sedang belajar. Dan belajar itu hingga sampai masa kembali kepada Tuhannya.