31 Mei 2008

Antara cara tangani masalah sosial


Assalamualaikum w.b.t

Dalam entri yang lalu saya baru sahaja menimbulkan isu aurat yang sering diabaikan oleh umat Islam dan beberapa langkah untuk kita tangani bersama masalah tersebut. Kini keluar pula satu cadangan yang baik untuk menangani masalah sosial yang antaranya berpunca dari sikap pelajar-pelajar sekolah (putri) berpakaian. Lebih malang sebilangan daripada mereka sengaja mengenakan pakaian putih yang jarang, berkain lembut dan berfesyen.

Baru -baru ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah memberi cadangan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia supaya ditukar pakaian putih pelajar putri kepada pakaian berwarna yang sesuai. Dan sekira pihak kementerian berkenaan ingin mengekalkan uniform putih maka PKPIM menyarankan diwajib untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh. Ini kerana pakaian putih yang biasa dipakai oleh para pelajar putri agak jarang/trasparent hingga menampakkan pakaian dalam dan berkemungkinan warna kulit. Perkara ini jelas berlaku bagi mereka yang tidak memakai tudung atau bertudung singkat. Ini adalah sebahagian punca dari kurangnya penerapan pengetahuan dan didikan agama dalam sesebuah keluarga dan sekolah itu sendiri. Dan dari sini juga kita sama-sama boleh mengukur tahap penghayatan agama Islam bagi masyarakat Malaysia.

Cadangan ini juga menurut Us. Nasruddin Tantawi dalam blog beliau ianya satu tuntutan agama yang mendidik agar kita sentiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang boleh membawa ke arah jenayah dan mungkar . (Sadduz Zarai’=dalam istilah Usul feqh). Dan pada saya cadangan ini perlu diambil berat oleh pihak kementerian dan mereka yang bertanggungjawab terhadap pelajar-pelajar berkenaan bagi memelihara lima maqasid syara' yang menyeluruh dan menjadi satu keperluan:- agama, diri, aqal, keturunan dan harta.

19 Mei 2008

AURAT: PERANAN KITA
(Satu cadangan)

عن أبى سعيد الخدرى رضى الله عنه أن النبى صلى الله عليه وسلم قال
من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فان لم يستطع فبلسانه وان لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الايمان
رواية امام بخارى ومسلم
Maksudnya :
“Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangan (kuasa), jika dia tidak mampu maka hendaklah dia ubahkan dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya sahaja . Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Umum mengetahui, bukan semua muslim diasuh dan dididik oleh keluarga yang tahu nilai-nilai agama. Ada yang mengetahui tetapi tidak memahami dan mampu mempraktiknya untuk membentuk sebuah keluarga Islamik. Ada pula kalangan ibubapa yang mula sedar di tika usia anak-anak meningkat remaja; justeru menghantar mereka ke sekolah agama untuk dididik oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah serta alim ulama'; walaupun kedua ibubapa ini masih dengan cara lama hidup mereka. Tidak kurang juga yang kembali ke pangkal jalan dan meniti jambatan kebenaran. Berjinak-jinak semula ke surau dan masjid, mendengar kuliah-kuliah dan pengajian agama melalui alat-alat eletronik dan media massa. Alangkah bahagia sungguh mereka yang telah mendapat hidayah dan rahmat Allah SWT itu.

Oleh demikian, peranan dan tanggungjawab ini bukan sahaja terpundak di atas bahu ibu bapa sahaja, tetapi setiap orang yang menyedari dan mengetahui akan hakikat ini perlu menyampaikan kepada mereka yang tidak tahu atau tahu tetapi perlu dididik dengan beransur-ansur untuk berubah. Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk berubah bagi mereka yang sudah sebati dengan kehidupan separuh bogel itu. Di sinilah peranan dakwah fardiyah.
Dari itu, masalah aurat dan etika pakaian muslim ini tidak akan selesai jika hanya berlegar dengan pandangan-pandangan dan ungkapan atas angin; tanpa ada suatu cadangan yang relevan untuk dilaksanakan. Beberapa cadangan yang boleh kita praktik bersama:

1- Berilah nasihat kepada adik beradik, saudara mara dan kekawan kita. Jangan segan untuk beri nasihat. Kuatkan iman dan semangat.

2- Hadiahkan pakaian muslim kepadanya.

3- Hadiahkan buku tentang aurat muslim atau melalui e mail, e-book dsb.

4- Doakan untuk dia agar berubah.

Cadangan-cadangan ini hanyalah sebagai buah fikiran daripada penulis.Kemungkinan para pembaca budiman mempunyai cadangan-cadangan lain dan idea atau cara yang lebih sesuai yang boleh dikongsi bersama.

‘Mudah untuk diungkap, senang difahami, rasa boleh dipraktik, harap jadi kenyataan….

و الله تعالى أعلم