27 Januari 2012

Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah (sambungan)


KETIGA - Menghuraikan bekalan yang harus ada pada penyeru ke jalan Allah Taala untuk menuju hari pembalasan, (dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam dengan sabda baginda): 
-Puasalah pada hari yang amat panas demi hari kebangkitan kelak
-Sembahyang 2 raka’at di malam yang gelap demi kelengangan kubur
-Tunaikanlah Haji demi kegigihan melaksanakan hal-hal yang sukar
-Bertuturlah dengan perkataan yang benar dan kuasailah diri dari memperkatakan yang bathil
-Hulurkanlah sedekah dan tunaikan secara senyap-senyap. 
KEEMPAT - Huraian ini juga mengajukan beberapa bahtera penyelamat untuk Para Da’ei Muslim, hendaklah mengenderainya moga-moga mereka sampai ke pantai bahagia di dunia dan di akhirat :  
 -Mengenal Allah Subhanahu Wata’ala dan beriman kepadaNya
 -Beribadah kepada Allah Subhnahu Wata’ala dan cenderung kepadaNya
 -Mengingati Allah Subhanahu Wata’ala
 -Takut kepada Allah Subhanahu Wata’ala
 -Sentiasa bermuraqabah dengan Allah Subhanahu Wata’ala
 -Cinta kasih kepada Allah Taala
 -Ikhlas kepada Allah Subhanahu Wata’ala
 -Redha
 -Mengasihi Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam
 -Mengasihi para sahabat Rasulullah Sallahu’alaihi Wasallam 
Tujuan asas buku ini dan perbahasan yang terkandung di dalamnya ialah untuk menegaskan bahawa para Da’ei Muslim tidak akan mencapai kejayaan selama mereka belum bersifat “Rabbaniyyin”. Sesungguhnya banyak persoalan penyelewengan, fitnah yang berlaku di dalam kehidupan dan perkembangan dakwah di sana sini. Hal ini adalah pertamanya kerana kecuaian para Da’ei itu sendiri menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Kesibukan mereka di dalam kerja-kerja penyampaian dakwah telah mengurangkan ‘commitment’ mereka sendiri dan penyertaan mereka dengan kandungan dakwah itu sendiri. Selama belum tercapai interaksi antara Du’at dan Hidayah yang dikembangkan oleh mereka selagi itulah mereka tidak akan dapat menjadi penunjuk dan pembimbing orang lain. Orang yang tidak memiliki sesuatu pasti tidak akan dapat memberikan apa-apa. OIeh sebab itu, hendaklah para Du’at memberi perhatian yang besar kepada proses penggarapan; lebih dari usaha penyampaian. Mereka hendaklah meningkatkan usaha-usaha penjernihan diri sendiri sebagai usaha untuk meningkatkan orang lain. Orang yang mendidik dirinya lebih wajar mendapat penghormatan dari orang yang mendidik manusia lain. 
Sesungguhnya para Du’at Muslim dalam konteks menanggung beban perjuangan untuk                      menegakkan  kebenaran Allah Subhanahu Wata’ala dan menyebarkan panji Allah Subhanahu Wata’ala bagi menegak negara Al Qur’an hendaklah menginsafi hakikat yang fundamental ini. Hal ini telah pun disebut oleh salah seorang pemimpin harakah semasa yang mendapat petunjuk dari Allah Subhanahu Wata’ala. Beliau berpesan:
“Wahai saudara, dirikanlah negara Al Qur’an di dalam hati sanubari saudara, niscaya ia akan terbina pula di tanahair saudara.” 
Akhirnya marilah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar memberi taufiq dalam amalan kita serta menganugerahkan keikhlasan dalam mengerjakannya. Di samping itu kita sentiasa beramal dan istiqamah dalam hidup. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:
وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا آُنتُمْ تَعْمَلُونَ 
“Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, nescaya Allah Subhanahu Wata’ala, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan dikembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah Subhahahu Wata’ala menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan.”. (Surah Al-Taubah: Ayat 105).
-----------------------------------
Alhamdulillah, mudahan kita semua mendapat manfaat dan mengamalkannya serta menyampaikan kepada sahabat lain sebagai penguat daya tahan di atas jalan dakwah.

23 Januari 2012

Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum w.b.t.

Sudah agak lama tidak mencatat suatu pengisian untuk perkongsian bersama di nota maya ini. Namun alhamdulillah masih terisi dengan beberapa tulisan dari laman-laman lain melalui copy & paste. Terisi juga...

Pernah seorang penceramah menyebutkan dalam suatu program berkaitan peranan pendakwah dan ICT bahawa paling kurang jika tidak dapat idea untuk menulis di laman-laman peribadi, sudah berbaloi dengan mengambil petikan-petikan  dari halaman lain dan dimuatkan dalam halaman kita. Ini kerana, menurut beliau, bukan semua pelayar internet berpeluang menyinggah satu-satu laman walaupun sebuah laman yang terkenal atau melayarinya kerap kali.

Maka gunalah peluang dan kesempatan untuk menyampaikan risalah Islam melalui medium yang ada kini.
-------------------------------

Dr. Fathi Yakan
Kali ini ingin berkongsi dengan anda semua dengan sebuah buku yang baik khususnya untuk para pendakwah. Buku yang berjudul قوارب النجاة فى حياة الدعاة ( Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah); yang dikarang oleh seorang tokoh pendakwah terkenal Syeikh Fathi Yakan. Antara buku beliau yang terkenal adalah 'Apa erti komitmen saya terhadap Islam?'. Saya hanya akan nukilkan ringkasannya sahaja sebagai perkenalan dan tazkirah.




Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah
Buku ini adalah ringkasan dan intisari kuliah yang telah saya sampaikan dalam beberapa pertemuan yang membincangkan masalah pendidikan. Dalam huraiannya saya menyentuh beberapa halangan dan penderitaan yang sering dihadapi oleh para pendakwah Islam. Saya juga menyentuh beberapa ciri-ciri dan sifat Imaniyyah yang wajib dimiliki oleh seorang Da’ei yang menyeru kepada Allah       Subhanahu Wata’ala, supaya mereka menjadi golongan Rabbani, mampu menghadapi sebarang cabaran dan dapat mengatasinya dengan berkat pertolongan Allah Subhanahu Wata’ala.

Buku ini mengandungi 4 persoalan asas: 
PERTAMA -  5 jenis dugaan yang kerap menimpa seorang Muslim lebih-lebih lagi Da’ei.
   ( tersebut di dalam hadith Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam) :
i. Orang Mukmin yang dengki kepadanya
ii. Orang Munafiq yang membencinya
iii. Orang kafir yang mahu memeranginya
iv. Syaitan yang hendak menyesatkannya
v. Nafsu yang sentiasa bertarung dengannya. 
KEDUA - Menyentuh muasafat Imaniyyah yang mesti dimiliki oleh para aktivis Muslim dan Da’ei  di setiap zaman dan tempat untuk menjadi manusia yang Rabbani, (dalam ayat-ayat suci Al-Quran): 
i. Orang yang sentiasa bertaubat
ii. Orang yang ‘abid
iii. Orang yang sentiasa bertahmid memuji Allah Subhanahu Wata’ala
iv. Orang yang berpuasa atau mengembara
v. Orang yang rukuk dan sujud
vi. Orang yang sentiasa menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang munkar
vii. Orang yang sentiasa menghormati batasan-batasan Allah Subhanahu Wata’ala.

bersambung...

7 Januari 2012

Usrah yang sebenar...jom baca

Oleh: Us. Idris Ahmad

Nizam tarbiah Parti Islam Semalaysia Pas banyak. Antaranya ialah usrah, tamrin, daurah tadribiah, jaulah, rehlah, mukhayyam, qiamullail, majlis ilmu, ziarah, riadhah. Usrah pula menjadi tonggak kepada program tarbiah.  Pengabaian kepada usrah bermakna ia akan membawa kecacatan kepada Pas di masa akan datang. Kerana tanpa usrah maka gerakan akan menjadi jumud dan tidak dapat melahirkan pekerja dan tenaga pelapis. Tanpa usrah yang betul maka tidak akan dapat mencapai matlamat yang perlu ada pada mana-mana gerakan. Segala keputusan akan dapat dilaksanakan dengan baik apabila konsep usrah dipraktikkan dalam gerak kerja jamaah.

Perlu difahami bahawa usrah juga bukan majlis ilmu semata-mata tetapi ia satu majlis untuk meningkatkan komitmen kepada Islam dan memperjuangkan Islam di atas muka bumi ini. Usrah juga merupakan majlis untuk membincang masalah  organisasi dalam jamaah. Kesilapan memahami fungsi usrah menyebabkan perjalanan usrah menjadi lesu dan tidak bermaya dan tidak memberi apa-apa kesan pada peribadi dan juga pergerakan jamaah.

Usrah bermakna keluarga.  Rapatnya hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang lebih akrab daripada hubungan saudara sekeluarga.

Manakala istilah yang disebut oleh ulamak gerakan ialah kumpulan individu Muslim yang beriman kepada Allah yang berusaha untuk membina fikrah Islam dalam diri dan membina peribadi Muslim, berusaha untuk tolong menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam dan melaksanakan amanah yang dipikulkan kepada mereka di atas muka bumi ini untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan pengabdian kepada manusia dan taghut.

Kesimpulannaya usrah adalah proses untuk mengikat hubungan yang lebih mantap di kalangan ahli jamaah untuk melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur menegur antara sesama ahli dan nasihat menasihat adalah asas kekuatan jamaah. Kemanisan berjamaah akan terasa apabila pelaksanaannya menepati dengan kehendak usrah.

Ketika Pas memulakan kepimpinan ulamak 1982 maka gerakan usrah tumbuh seperti cendawan. Boleh dikatakan setiap ahli Pas mengenali usrah, sehingga melahirkan individu yang berkualiti walaupun bilangan mereka sedikit. Boleh dikatakan setiap cawangan ada markaz, hasil daripada suntikan usrah sehingga melahirkan pengorbanan yang tinggi. Malahan antara sebab yang menjadi penyebab kepada desakan supaya Pas membawa gagasan kepimpinan ulamak ialah apabila order lama yang tidak berapa selesa dengan istilah usrah. Mereka hanya hendak menjadikan Pas sebagai sebuah parti politik semata-mata, sedangkan mereka lupa Pas sebagai gerakan Islam dan gerakan politik. Ketika itu muncul tokoh-tokoh tarbiah di dalam Pas seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Nor, Ustaz Yahya Osman, Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Tokoh-tokoh ini cuba meletakkan Pas sebagai landasan yang betul supaya ada perbezaan dengan lawannya Umno pada ketika itu. Sebelumnya tidak banyak beza dari segi shakhsiah dan pakaian ahli Pas dengan ahli Umno, Cuma yang berbeza ialah ideologi poitik ketika menjelang pilihanraya umum. Waktu itu muslimat yang berjubah dan bertudung labuh di merata tempat. Lelaki pula yang berjubah dan berserban.

Pengalaman saya turun mengadakan muzakarah tarbiah di peringkat negeri-negeri yang  melibatkan peserta daripada semua Lajnah Tarbiah kawasan-kawasan amat menduka citakan. Umumnya apabila ditanya kepada kawasan-kawasan, hanya 30 peratus sahaja usrah di cawangan-cawangan berjalan.

Jika trend ini berlaku ia tidak baik kepada masa depan Pas, terutama dari sudut perkaderan, pembinaan syaksiah ahli dan gerak kerja jamaah terutama persiapan menghadapi pilihanraya.

Usrah di peringkat cawangan amat perlu dilaksanakan, kerana kekuatan Pas terletak di cawangan-cawangan. Jika usrah berjalan dengan baik, tidak timbul soal penculaan di setiap lokaliti tidak berjalan. Malahan daftar pemilih juga tidak menjadi kalut, kerana setiap minggu perkara ini akan diperingatkan oleh naqib di dalam setiap kali pertemuan kepada semua ahli keluarga yang belum lagi mendaftar. Ertinya banyak perkara di dalam organisasi dapat diselesaikan.

Selalu persoalan yang ditimbulkan oleh cawangan-cawangan, mereka tidak ada naqib. Maka dengan sebab itu usrah tidak berjalan. Jawapan saya kepada mereka jangan menjadi alasan untuk tidak membuat usrah. Perkara yang penting ialah pertemuan mingguan. Mereka boleh melaksanakan sendiri,  dengan membaca Yasin, solat hajat dan isi dengan tazkirah tulisan pimpinan Pas seperti tulisan Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib dan buku keluaran Lajnah Tarbiah Pas Pusat. Cukup sekadar membaca di dalam dua muka surat tanpa huraian (kalau mampu lebih baik) kemudian boleh berbincang dengan ahli mengenai organisasi, kebajikan ahli dan sebagainya. Apa yang penting ialah pertemuan supaya ukhwah terjalin dengan kukuh.