11 Mac 2009

Ya Rasulullah


Sudah lebih seribu empat ratus tahun Rasulullah s.a.w. meninggalkan kita umat akhir zaman. Cintanya para sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. hingga terasa kering kontang jiwa mereka tika mendengar khabar kewafatan baginda s.a.w. Sebahagiannya terkunci (kelu) lidah mereka dan ada terduduk diam tidak bergerak. Antaranya adalah Umar al-Khattab r.a., sahabat yang menghunus pedangnya kepada sesiapa yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Dan dia merasakan bahawa dirinya telah dungu. Tetapi Abu Bakr r.a. orang yang tetap tegas hatinya, beliau masuk menziarahi Rasulullah s.a.w. yang sedang tenang kaku di atas hamparan pembaringan baginda s.a.w. Abu Bakr mencium baginda s.a.w. lalu menangis dan berkata kepada baginda: "Demi ayahku dan ibuku ,engkau wahai Rasulullah sangat wangi di tika hidup dan juga tika mati mu. Adapun kematian itu Allah telah tetapkan ke atas mu maka sesungguhnya engkau telah merasai mati itu, kemudian engkau tidak akan merasai lagi mati itu selamanya. Wahai Rasulullah, ingatlah kami di sisi Tuhanmu".

Kemudian Abu Bakr keluar di hadapan rombongan orang ramai. Maka beliau berkhutbah kepada mereka: " Wahai manusia ! sesiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad maka sesungguhnya Muhammad telah mati, dan sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah Taala maka Allah S.W.T. Maha Hidup tidak akan mati, kemudian Abu Bakr r.a. membacakan ayat 144 dari surah Ali Imran yang bermaksud :"Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul, apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berpaling ke belakang (murtad)? Barangsiapa berpaling ke belakang maka dia tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur".

Mungkin antara kita pernah kehilangan orang yang dikasihi, kematian ibu, bapa atau anak. Bagaimana keadaan mereka yang ditimpa kehilangan selama-lamanya itu? Hingga ada yang tidak mempercayai bahawa orang yang dicintai itu telah pergi selamanya. Begitulah keadaan kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. Orang yang telah mengunjukkan petunjuk kepada mereka hingga merasai kemanisan iman. Orang yang telah menyelamatkan mereka dari kegelapan jahiliyyah kepada sinaran cahaya Islam dan mengubah corak hidup mereka serta membuka aqal dan mata mereka dan menaikkan mereka hingga menjadi pemimpin dan contoh tauladan kepada umat sedunia. Bagindalah pendidik mereka, ketua, penunjuk jalan hidup, mereka berlindung kepadabaginda s.a.w. tika menghadapi pelbagai musibah dan huru-hara.

Namun, suka duka, susah senang bersama Rasulullah s.a.w. selama lebih kurang 23 tahun telah berakhir. Dan hari ini kitalah mata rantai penyambung risalah dakwah yang di bawa baginda s.a.w. Apakah kita merasai cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. ? Apakah bukti kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. ? Sedangkan kitalah kelompok umat yang paling dikasihi baginda jika kita mencintai baginda s.a.w. dan mengamalkan sunnah baginda dalam keadaan kita tidak pernah bertemu Rasul utusan Allah itu.

Apa peranan kita selepas ini ??? Dalami ilmu dan fikir-fikirkankanlah.....

-Sirah Nabawiyah: Durusun Wa 'Ibar
-Feqh Sirah