9 Februari 2009

Moga ada keredhaanNya


Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya layak untuk Allah SWT yang menentukan segala pengaturan hidup kita. Tidak dapat tidak pergantungan kita terhadapNya sangat-sangat diperlukan. Tidak kira samada tika susah mahupun senang. sempit atau lapang.Moga-moga kita terdiri dari kalangan orang-orang yang sentiasa mengingati Allah Taala; samada tika kita berdiri, berjalan,bekerja,duduk diam, berbaring dan sambil merehatkan diri serta berfikir akan keagungan ciptaan Allah dengan pelbagai karenah pergerakan alam (termasuk karenah manusia).
Alhamdulillah, selesai sudah beberapa aktiviti/program yang sememangnya memenatkan badan dan otak.Sebuah program canaian minda kepada pelajar-pelajar baru sesi 2008/2009 dengan harapan mereka dapat memahami Islam dengan lebih mendalam dan meluas, Islam dan isu sekitar umatnya, Islam dan musuh-musuh yang ingin memadam cahayanya serta membunuh umatnya. Bukan mencabut nyawa mereka tetapi lebih zalim dari itu, mencabut fitrah insan yang mengesakan Allah SWT. Hingga menjadikan manusia umpama binatang dan lebih ditakuti apabila manusia lebih teruk daripada binatang. Semua jelas, terang benderang dalam Al-Quran Al-Karim. Sedarkah kita...??? Atau hanya melagukan Al-Quran di halqum dan kotak suara???
Moga Allah memberkati kami yang terlibat untuk menjayakan program tersebut dan peserta-peserta yang tidak jemu mengikutinya hingga selesai majlis. Aamin...

5 Februari 2009

Kekuatan Aqidah Islamiyah


Aqidah adalah merupakan satu ikatan keyakinan yang mengikat diri seseorang, pemikiran seseorang hati seseorang dengan suatu kepercayaan yang dia yakini dan dengan itu kehidupannya menjadi satu kehidupan yang terarah dan terpimpin.

Aqidah bukan hanya mencorakkan minda atau pemikiran tetapi juga perasaan interaksi, sikap, sahsiah dan struktur budaya, sistem hidup dan akhlak seseorang. Aqidah merujuk kepada keyakinan bahawa sumber nilai norma dan hukum hakam ialah Allah SWT yang maha esa. Segala-galanya dijadikan berkhidmat untuk Allah, sesuai dengan kehendak Allah.

Maksud firman Allah :" Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah:177.)

Sabda Nabi SAW “ Iman adalah hendaknya engkau percaya pada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasulNya, dan kamu percaya pada hari kemudian dan kepada qadar (ketentuan) yang baik mahupun yang buruk". ( HR Muslim)

Aqidah Islam selaras dengan fitrah manusia. Allah berfirman:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا

Maksudnya " Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".(Surah Al-Rum 30).

Kerana kita datang dari Allah Taala

يأيها الناس اعبدوا ربكم الذى خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون

" Wahai sekalian manusia! Beribadatlah (mengesakan dan taat) kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang –orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa”. (S. al-Baqarah:21).


Firman Allah Taala yang brmaksud:"Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina. Kemudian dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur". (As-Sajadah: 7-9).


"Demi jiwa serta penyempurnaan ciptaanNya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu bertambah–tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut (rosak) dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”. (As Shams: 7 - 10).


Dan kepada Allah pula kita akan kembali samada membawa bekalan keuntungan atau kerugian.

"Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, Kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan. Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." ( As-Sajdah:11-12). Ketika itu sudah tiada lagi gunanya penyesalan.



Pentingnya aqidah islamiyah pada diri seseorang insan pada segenap sudut hidupnya:

1. Bahawa keperluan kita terhadap aqidah adalah di atas segala kepentingan sebab tidak ada kebahagiaan , kenikmatan, dan kegembiraan bagi hati kecuali dengan beribadah kepada Allah Rabb pencipta segala sesuatu.

2. Bahawa aqidah islamiyah adalah kewajiban yang paling besar dan yang paling ditekankan dalam kehidupan, kerana semua rasul diutuskan untuk menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah yang esa. Sabda Rasulullah SAW: "Aku diperintah untuk memerangi manusia sampai mereka bersaksi bahwa tidak ada sembahan yang lain kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. (HR Bukhori dan Muslim)

3. Bahawa aqidah islamiyah adalah satu-satunya aqidah yang boleh mewujudkan keamanan. Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 112. "(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, Maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati".

4. Demikian pula , hanya aqidah islamiyalah satu-satunya aqidah yang boleh mewujudakan kecukupan dan kesejahteraan . Allah berfirman. "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya". (Surah Al-'Araf : 96) .

5. Sesungguhnya aqidah islamiyah adalah kekuatan sehingga dapat berkuasa di muka bumi dan sebab bagi berdirinya daulah islamiyah. "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah Kami tulis dalam Lauh Mahfuz bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang sholeh".


Orang yang beriman tidak boleh membuat pilihan sendiri di dalam sesuatu hukum malah ia mesti menerima segala hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasul – Nya. Firman Allah :

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة اذا قضى الله ورسوله امرا ان يكون لهم الخيرة من امرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا.

Maksudnya : Tidaklah harus bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan rasulnya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum – hukum Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”. (Al-Ahzab: 26).


Bagi membina aqidah yang jitu, mestinya kita mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Hendaklah kita merasa takut kepada Allah semata-mata dan tidak takut kepada yang selain daripadaNya. Dan ketakutan kita kepada Allah seharusnyalah menjadi pendorong untuk kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dimurkai dan diharamkan oleh Allah SWT. Kita juga mestilah sentiasa mengingati Allah SWT dalam apa jua suasana dan mestilah mencintai Allah SWT lebih daripada kecintaan terhadap perkara-perkara yang lain.


Kita perlu bertawakkal (serah diri) kepada Allah SWT dan kita bertawakkal ini hendaklah dalam semua urusan dan perkara. Disamping itu perbanyakkan bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita dan sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT dan bertaubat kepadaNya kerana taubat itu merupakan kifarat bagi segala kesalahan disamping menjadi penenang hati bagi mereka yang insaf dan sedar. Akhir sekali, untuk kita memperolehi aqidah yang benar perlulah kita sentiasa di dalam keadaan bermuraqabah terhadap Allah SWT (merasai bahawa Allah melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan) baik dalam keadaan terang atau pun tersembunyi.


Mudah-mudahan dengan kekuatan aqidah islamiyah yang kita miliki dapat menepis segala arus jahiliyyah moden kini. Fikiran dan jiwa kita terpelihara dari tipu daya musuh Islam. Selain itu, Allah Taala sentiasa mengawasi kita sehingga kita menemuiNya dengan tenang dan dalam keredhaanNya.