Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Ramadhan sudah berada di penghujung hari. Sudahkah kita bermuhasabah diri? Membanci segala kerja buat kita sepanjang Ramadhan tahun ini. Bagaimana timbangan antara amal soleh dan toleh kita? Mudahan perbuatan-perbuatan kita yang baik diterima Allah Taala dan segala perbuatan buruk kita diampunkan Allah Taala.
Marilah kita menjadi hamba Allah bukan menjadi hamba Ramadhan. Teruskanlah segala amal kebaikkan kita di bulan mulia ini pada bulan-bulan yang lain. Mohon kepada Allah Taala kurniakan istiqomah kepada kita dalam beribadah kepadaNya. Masa akan terus berlalu tanpa boleh disekat. Justeru, apa sahaja kesempatan waktu yang ada kita isikan dengan perbuatan soleh dan menjauhi diri dari perbuatan toleh.
1 Syawal yang akan kita raikan sepatutnya membawa bersama tarbiyah Ramadhan. Ditakuti jika pada hari pertama kita meninggalkan Ramadhan sudah hilang kesan tarbiyahnya maka boleh jadi pada hari-hari berikut kesan tarbiyah Ramadhan kian pudar..... lalu hilang. Dan kita menjadi seperti insan yang tidak bertemu Ramadhan pada tahun ini. Malang sekali, selama sebulan kita hanya berlapar dan berdahaga. Usahakanlah agar 1 Syawal diisi dengan pelbagai amal kebaikan dan menjauhi amal kejahatan. Mahkluk-mahkluk pembisik kejahatan sering berada di sekeliling kita, berhati-hatilah. Telitilah setiap langkah dan gerak kita bersama naungan rahmat Allah Taala.
Selamat tinggal Ramadhan. Moga kita bertemu lagi di tahun hadapan dengan kenangan yang lebih indah dan bermakna.
Selamat datang bulan Syawwal. Moga kehadiran mu menjadikan diri kami menepati fitrah insan soleh.
SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
كل عام وأنتم بألف خير