Memaparkan catatan dengan label Sejarah dan Tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah dan Tokoh. Papar semua catatan

13 Februari 2015

Al-Fatihah- Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

انا لله وانا اليه راجعون
Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepadaNya jua kita kembali.

Perginya Seorang Murobbi Ummah

Al-Fatihah buat Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabi'ul Akhir 1436
Khamis, 9.40 malam

Semoga berganti berpuluh orang seumpama beliau. Thabatkan kami di dalam perjuangan ini Ya Allah.






17 Julai 2013

MESIR TERUS DIGANGGU - TGHH

Dunia terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala zaman kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah.

Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di antara Fir’aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir’aun itulah yang berlagak sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat, bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir’aun telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah.

Nabi Ya’akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir, daripada zuriatnya ramai para anbiya’, maka Mesir dinamakan bumi para anbiya’. Allah juga telah mengutuskan Rasulnya Musa A.S. untuk melakukan Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir’aun, untuk berdepan secara langsung dengan Fir’aun paling zalim dan ganas. Akhirnya Fira’un dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di akhirat. Fir’aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan.
Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat, sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin.

Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir, kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam berdarah ini sedang diulangi sekali lagi.

Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat.

Mereka memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad. Semuanya kerana kepentingan strategic kuasa besar terhadap sumber tenaga dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya, perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan ketika berkuasa.

Apabila Demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada semua pihak. Maka rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat pilihan rakyat. Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau, sebangsa, se agama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan berpihak kepada kumpulan Islam.

Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah supaya mengerah rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya, satu lakonan menipu rakyat dan seluruh dunia.

Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan sumbangan duit negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelsaikan masalah yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang sebahagiannya buta huruf dan buta akal.

Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam puluh tahun warisan kerajaan dictator terdahulu. Protes yang dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun dalam keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya.

Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat. Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Ka’abah. Sedang negara Barat sendiri masih hati-hati membuat kenyataan.
Maka berlakulah pesanan Rasulullah S.A.W. :

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ 
سنن ابن ماجه - (ج 12 / ص 44)
(Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang mengelirukan (musimnya tidak menentu), berlakunya dibenarkan (dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal bercakap. Lalu ditanya apakah maksudnya ?. Sabdanya :” Orang-orang yang terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar). 
Berlakunya yang di-sabda Rasulullah S.A.W. menjawab soalan Malaikat Jibril : Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (Yang membinasakan seluruh alam)”. Sabdanya:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ
صحيح مسلم - (ج 1 / ص 87)
(….dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba (kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi).

Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang ?. 
Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir’aun dan melupai sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir’aun dunia dan akhirat.

Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim. 
Firman Allah yang bermaksud:
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat secara Demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku.
Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja : (1) Beriman dan beramal soleh, (2) Kufur menentang Islam secara nyata dan (3) Munafiq yang berpura-pura. 

11 Julai 2013

3 Mac 2013

3 Mac: Memperingati Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah


Khilafah Turki Uthmaniah jatuh pada tanggal 3 Mac 1924 bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah. Sejarah yang cukup perit untuk dinukilkan di sini. Bermula tarikh inilah, hilangnya kekuasaan yang mutlak pada Islam. Ia telah dirampas oleh musuh-musuh Islam yang sudah berusaha sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi untuk menjatuhkan Islam.

Segala perancangan yang diatur berkurun-kurun lamanya, akhirnya membuahkan hasil. Teringat memori pada 3 Mac lalu, saya mula bertolak dari Mesir ke Syria, bumi yang bakal menjadi pusat pemerintahan akhir zaman, walaupun ada yang mengatakan bumi Palestin.

Ya, kita perlu sedar, Islam jatuh di bumi Turki, dan akan naik kembali di Syria atau Palestin, mengikut perbezaan pandangan ulama. Anda juga jangan lupa, Islam mula berkembang dari Mekah, bumi kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan beberapa orang sahaja pejuang Islam ketika itu.

Kemudian ia beralih ke Madinah dan membentuk lebih banyak pejuang-pejuang Islam. Segalanya bermula dengan “usrah”. Seterusnya berkembang lagi ke negara-negara berhampiran dan negara-negara besar ketika zaman Khulafa ar Rasyidin.

Ia terus berkembang dengan beberapa perjuangan-perjuangan umat terdahulu, sehinggalah mencapai kemuncak pada zaman kegemilangan Baghdad sekitar 700 Hijrah yang banyak melahir para ulama Islam. Perjuangan bertukar bentuk kepada perjuangan memartabatkan ilmu Islam, sehinggakan orang kafir berlumba-lumba mengkaji Islam.

Sedikit demi sedikit kegemilangan Islam mula terhakis disebabkan dengki, sombong, gila kuasa, isu khilafiah, perpecahan, dan sebagainya, sehingga menyebabkan kejatuhan khilafah pada tanggal 3 Mac 1924 di Turki.

Zaman ini menyaksikan perpecahan masih berlaku di beberapa buah tempat, dan di beberapa buah tempat yang lain dalam proses kebangkitan Islam. Dunia yang selama ini diselaputi dengan kejahilan, hari ini semakin menyerlah kebangkitan Islam yang menembusi selaput kejahilan tersebut. Selepas beberapa kurun dinafikan, akhirnya Islam itu bangkit semula dengan perjuangan yang tidak berhenti...

11 Mac 2009

Ya Rasulullah


Sudah lebih seribu empat ratus tahun Rasulullah s.a.w. meninggalkan kita umat akhir zaman. Cintanya para sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. hingga terasa kering kontang jiwa mereka tika mendengar khabar kewafatan baginda s.a.w. Sebahagiannya terkunci (kelu) lidah mereka dan ada terduduk diam tidak bergerak. Antaranya adalah Umar al-Khattab r.a., sahabat yang menghunus pedangnya kepada sesiapa yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Dan dia merasakan bahawa dirinya telah dungu. Tetapi Abu Bakr r.a. orang yang tetap tegas hatinya, beliau masuk menziarahi Rasulullah s.a.w. yang sedang tenang kaku di atas hamparan pembaringan baginda s.a.w. Abu Bakr mencium baginda s.a.w. lalu menangis dan berkata kepada baginda: "Demi ayahku dan ibuku ,engkau wahai Rasulullah sangat wangi di tika hidup dan juga tika mati mu. Adapun kematian itu Allah telah tetapkan ke atas mu maka sesungguhnya engkau telah merasai mati itu, kemudian engkau tidak akan merasai lagi mati itu selamanya. Wahai Rasulullah, ingatlah kami di sisi Tuhanmu".

Kemudian Abu Bakr keluar di hadapan rombongan orang ramai. Maka beliau berkhutbah kepada mereka: " Wahai manusia ! sesiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad maka sesungguhnya Muhammad telah mati, dan sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah Taala maka Allah S.W.T. Maha Hidup tidak akan mati, kemudian Abu Bakr r.a. membacakan ayat 144 dari surah Ali Imran yang bermaksud :"Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul, apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berpaling ke belakang (murtad)? Barangsiapa berpaling ke belakang maka dia tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur".

Mungkin antara kita pernah kehilangan orang yang dikasihi, kematian ibu, bapa atau anak. Bagaimana keadaan mereka yang ditimpa kehilangan selama-lamanya itu? Hingga ada yang tidak mempercayai bahawa orang yang dicintai itu telah pergi selamanya. Begitulah keadaan kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. Orang yang telah mengunjukkan petunjuk kepada mereka hingga merasai kemanisan iman. Orang yang telah menyelamatkan mereka dari kegelapan jahiliyyah kepada sinaran cahaya Islam dan mengubah corak hidup mereka serta membuka aqal dan mata mereka dan menaikkan mereka hingga menjadi pemimpin dan contoh tauladan kepada umat sedunia. Bagindalah pendidik mereka, ketua, penunjuk jalan hidup, mereka berlindung kepadabaginda s.a.w. tika menghadapi pelbagai musibah dan huru-hara.

Namun, suka duka, susah senang bersama Rasulullah s.a.w. selama lebih kurang 23 tahun telah berakhir. Dan hari ini kitalah mata rantai penyambung risalah dakwah yang di bawa baginda s.a.w. Apakah kita merasai cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. ? Apakah bukti kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. ? Sedangkan kitalah kelompok umat yang paling dikasihi baginda jika kita mencintai baginda s.a.w. dan mengamalkan sunnah baginda dalam keadaan kita tidak pernah bertemu Rasul utusan Allah itu.

Apa peranan kita selepas ini ??? Dalami ilmu dan fikir-fikirkankanlah.....

-Sirah Nabawiyah: Durusun Wa 'Ibar
-Feqh Sirah

30 Oktober 2008

Figur: Omar Mokhtar, singa padang pasir digeruni musuh

Tokoh terbilang ini nama penuhnya Omar al-Mokhtar Muhammad Farhat Abridan Muhammad Mukmin Buhadimeh Abdullah bin Manaf Bin Muhsen bin Hasan bin Ikrimah bin al-Wataj Bin Sufyan bin Khaled bin al-Joshafi bin Toher Bin al-Arqa' bin Said bin Uwaidah bin al-Jareh bin Khofi bin Hisham Bin Manaf al-Kabir yang berketurunan sampai kepada bangsa Quraisy. Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.


Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli. Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-Sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah. Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu muda. Kepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar. Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.


Menyertai jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris. Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali. Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu.


Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya. Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.


Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting:

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.

2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-'Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.

3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.


Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.


Ketokohan Omar terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu. Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.


Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.


Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya. Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tinggi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya berada di bawah penguasaan mereka.


Dihukum gantung sampai mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.


Beliau meingatkan kepada mereka: "Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini." – lanh


Susunan: Ustaz Zainudin Hashim

Khamis 30 Oktober 2008 | 29 Shawwal 1429 Hijrah

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17569&Itemid=1

5 Ogos 2007

Pentingnya membaca....


Sebagaimana badan memerlukan makanan dan minuman maka begitu juga fikiran dan otak yang memerlukan curahan ilmu dan pengetahuan. Antara cara menimba pengetahuan dan ilmu adalah dengan membaca. Betapa pentingnya membaca sepertimana kita maklumi melalui ayat Al-Quran yang pertama turun adalah gesaan supaya membaca : اقرأ . ( Membacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu). Mungkin saudara boleh membuka seketika kitab Safwatut Tafasir yang telah menjelaskan bahawa Surah al-A'laq ini bermula dengan seruan supaya membaca dan belajar. Selain itu, turut disebut seruan supaya menulis kerana semua itu merupakan syiar Islam.
Sebenarnya, diri kita sendiri mengakui bahawa membaca adalah merupakan suatu aset penting dalam menambah ilmu, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta buah fikiran dengan penulis. Dan perkara ini akan lebih jelas apabila penulis mengarang tulisannya seolah-olah sedang berkomunikasi dengan kita.
Dari mula saya membicarakan tentang kepentingan membaca dalam masyarakat kita tetapi apakah yang ingin dibaca; buku, papan iklan, surat, surat khabar, majalah, blog, web atau hati dan fikiran manusia?? Bacalah! Baca apa sahaja yang berada di sekeliling anda. Namun, apa yang penting bahan bacaan anda tersebut adalah bahan yang penting untuk kebaikan dan perkembangan minda serta menuntun jiwa ke arah kebaikan. Awas! Bahan bacaan yang boleh merosak dan menyesatkan akal dan jiwa anda dari menerima tadahan iman dan akal yang sejahtera.



“ANDA 5 TAHUN AKAN DATANG BERGANTUNG KEPADA BUKU APA YANG ANDA BACA HARI INI DAN DENGAN SIAPA ANDA BERSAHABAT” - Hukama’