24 April 2012

Pemimpin: Antara Afdhal dan Mafdhul


Sebagai pencerahan kita bersama di dalam memahami kaedah perlantikan pemimpin dalam Islam. Bukanlah semua pemimpin yang afdhal itu dapat ditabalkan sebagai pemimpin mengikut kepada maslahat. Teruskan membaca...


HUKUM MELANTIK PEMIMPIN MAFDHUL



2. Memilih calon pemimpin yang layak dan baik adalah satu perkara yang tidak boleh ditolak. Setiap insan pastinya inginkan yang terbaik untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan negaranya. Maka pemimpin juga mestilah yang terbaik atau afdhal walaupun ia hanya untuk sebuah persatuan.

3. Di antara dua calon yang bertanding mesti salah seorang daripadanya lebih afdhal daripada yang seorang lagi menurut pandangan pengundi. Calon A lebih afdhal daripada calon B kerana akademiknya bagus menurut penyokong calon A. Menurut penyokong calon B pula, calonnya lebih baik daripada calon A kerana dia pandai mengawal mesyuarat. Jadi kedua-duanya lebih layak dan lebih baik menurut penyokong masing-masing, dan lawannya adalah mafdhul. Maka afdhal dalam situasi ini adalah nisbi, ia tidak tetap.

4. Perbincangan tentang pemimpin afdhal dan mafdhul ini telah berlaku sejak zaman sahabat RA terutamanya dalam membincangkan tertib afdhal para Khulafa’ Rasyidun. Dr. Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-Islam wa Falsafatu al-Hukm menyatakan:
Ia bersempena dengan dakwaan golongan Syi’ah yang menuduh para sahabat menafikan Ali daripada kepimpinan yang menurut mereka dia lebih afdhal daripada yang lain, maka berlakulah perbincangan tentang afdhal dan susunan tertibnya dalam kalangan sahabat, begitu juga keharusan pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang lebih afdhal. (Dr. Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa Falsafatu al-Hukm).

5. Apabila kita merujuk al-Qur’an, afdhal atau lebih baik boleh berlaku di antara seseorang dengan seorang lain, seorang nabi lebih afdhal daripada bukan nabi, bahkan sesama para nabi pun sebahagiannya lebih afdhal berbanding sebahagian yang lain dengan kelebihan yang Allah SWT berikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 253 bermaksud:
Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikannya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran, serta Kami kuatkan dia dengan Ruh al-Qudus (Jibril).

6. Allah Azza wa Jalla juga maha berkuasa untuk melebihkan satu umat ke atas yang lain. Manusia itu sendiri lebih afdhal daripada makhluk yang lain sebagaimana firmanNya dalam surah al-Israa’ ayat 70 bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada perkara yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

7. Afdhal berlaku dengan kelebihan tertentu, lawannya adalah mafdhul iaitu yang tiada kelebihan tersebut. Maka pemimpin mafdhul yang kita bincangkan adalah berkaitan dengan pemilihannya ketika wujud pemimpin yang lebih afdhal. Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) menegaskan bahawa maksud afdhal di sini bukannya yang lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah atau lebih taqarrub kepada Allah SWT, katanya:
Bercakap tentang al-fadhil dan al-mafdhul bukannya yang lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat taqarrub kepada Allah dalam amalannya. Boleh jadi seorang wali Allah yang menjadi tonggak dan rujukan seluruh alam yang jika dia bersumpah dengan nama Allah pasti akan terjadi, tetapi pada zamannya terdapat seorang yang lebih sesuai dan layak daripadanya untuk menguruskan urusan umat Islam. (al-Juwaini, al-Ghiyathi)

8. Kepimpinan berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran yang tidak semua orang sesuai dan layak untuk memikulnya. Ia juga melibatkan ketajaman pemikiran dan keluasan pandangan. Manusia itu sendiri kemampuannya berbeza-beza di antara satu sama lain. Belum tentu seorang pensyarah lebih afdhal menjadi pemimpin masyarakat berbanding anak-anak muridnya. Dan belum pasti seorang yang cemerlang akademiknya lebih afdhal untuk menjadi ketua bagi persatuan mahasiswa/wi. Terdapat manusia yang cerdik otaknya tetapi lemah jasadnya. Tidak kurang yang kelihatan gagah badannya tetapi tewas dengan harta dan rasuah.

9. Dalam soal kepimpinan, yang kita maksudkan dengan afdhal dan mafdhul ialah keupayaan dan kesesuaian seseorang dalam memikul tanggungjawab. ‘Adhuddin al-Iji (756H) menyatakan ada kemungkinan pemimpin mafdhul lebih sesuai dengan jawatan kepimpinan berbanding afdhal, al-Iji menegaskan:
Yang diambil kira dalam sesuatu wilayah (kekuasaan) ialah mengetahui kebaikan dan keburukan, serta kekuatan untuk memikulnya. Boleh jadi seorang yang mafdhul daripada aspek ilmu dan amalnya, dia lebih bijak dan lebih kuat menanggung beban dalam aspek kepimpinan. (al-Iji, al-Mawaqif)

10. Oleh sebab itu para ulama Ilmu al-Kalam telah berbeza pendapat dalam menentukan keafdhalan para sahabat. Sebahagian mereka menyatakan semua para Khulafa’ Rasyidun adalah afdhal, sebahagian mereka pula menyebut Abu Bakar RA yang paling afdhal selepas nabi SAW. Perselisihan juga berlaku dalam menentukan tertib afdhal selepas Umar al-Khattab RA sama ada Utman RA atau Ali RA. Walau apapun perselisihan mereka tentang tertib afdhal para sahabat, kita perlu terima bahawa generasi sahabat adalah lebih afdhal daripada umat Islam seluruhnya. Ini berdasarkan sebuah hadith nabi SAW:
Janganlah kamu mencerca para sahabatku. Jika seseorang daripada kamu menginfakkan emas seperti gunung Uhud sekalipun nescaya tidak akan sama dengan segenggam tangan mereka dan tidak separuhnya. (Riwayat Muslim)

11. Hukum harus melantik pemimpin mafdhul adalah kerana maslahat dan keperluan. Al-Tabari (310H) menyatakan bahawa mereka juga bersandarkan kepada kisah nabi SAW melantik ‘Amru bin al-‘As sebagai panglima peperangan Dzat al-Salasil sedangkan Abu Bakar RA dan Umur RA wujud pada ketika itu, yang membawa kepada masuk Islam kaumnya Bani ‘Azrah. Rasulullah SAW juga melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang sedangkan ayahnya yang lebih afdhal wujud ketika itu.

12. Kesimpulannya, harus melantik pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang afdhal dengan sebab maslahat dan hajat. Namun jika tiada hajat dan maslahat maka pemimpin yang afdhal lebih utama.

Sumber:
22 Jumada al-Awwal 1433H
Sweileh, Amman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...