11 Oktober 2009

Puasa Enam Hari Syawal - Kekalkan Tarbiyah Di Sepanjang Kehidupan II


Di dalam hadis yang lalu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawwal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah Taala berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.

Ibadah puasa adalah ibadah yang dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Demikianlah erti puasa pada zahir. Manakala, pada sudut batin puasa ialah menghalang diri dari melakukan segala macam perkara yang boleh membatalkan puasa dan pahala puasa tersebut. Iaitu dengan menjaga segala anggota tubuh badan, aqal dan jiwa dari segala sifat-sifat mazmumah.
Dari itu, hikmah dan faedah ibadat puasa dapat dirasai. Antaranya ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah SWT. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya. Selain itu, puasa dapat menyucikan diri kita dari segala dosa-dosa, lalu mengisi pula hati nurani yang kosong bersih itu dengan perkara mahmudah serta melatih anggota tubuh melakukan sebanyak mungkin ketaatan dan meninggalkan kemungkaran.
Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa" (Surah al-Baqarah:183)
Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."

Secara terperincinya puasa mempunyai hikmah dan faedah seperti:
• Tanda syukur kepada Allah SWT. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
• Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
• Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik.
• Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, kedekut, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
• Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.
• Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."

Demikianlah sebahagian dari kebaikan berpuasa enam hari di bulan Syawal khususnya dan puasa-puasa fardhu atau sunat yang lain umumnya. Inilah tarbiyah ( didikan ) yang paling berkesan dalam membentuk peribadi mukmin muttaqin. Tarbiyah yang merangkumi dua aspek iaitu rohani dan jasmani. Semoga mereka ini tergolong dari kalangan orang-orang yang cemerlang di dua alam; alam dunia –ketenangan dan kebahagian dan alam akhirat- nikmat yang tidak boleh dibayangkan.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ini. Apa yang penting ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahawa diri ini benar-benar ingin mencari dan memburu keredhaanNya. Semoga kita dimasukkan di dalam golongan yang mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...