Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Sudah sebulan lebih sesi persekolahan bagi tahun 2014 beroperasi. Tahun ini, madrasah tempat saya bekerja menerima pelajar baru teramai selama usia penubuhannya. Kelas untuk tahun satu sahaja pihak madrasah terpaksa sediakan enam kelas. Dan purata setiap kelas 30 orang. Jika bilangan tersebut memasuki sekolah-sekolah rendah kebangsaan, itu adalah perkara biasa. Tetapi ia berbeza bagi sebuah sekolah agama swasta yang pergantungan sumber operasinya daripada bantuan orang ramai dan yuran sekolah. Namun tidak mustahil jika itu yang ditaqdirkan oleh Allah Taala.
Kesedaran masyarakat Malaysia untuk kembali kepada cara hidup Islam semakin meningkat dari hari ke hari. Ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan sekular yang memisahkan ilmu duniawi dan ukhrawi semakin tampak jelas. Manakan tidak, sebilangan pelajar yang berada di madrasah terdiri dari ibubapa mereka yang berkhidmat sebagai guru-guru SRK (Sekolah Rendah Kebangsaan). Apakah mereka sangsi dengan sistem pendidikan negara yang mereka sendiri beri khidmat? Dan kedapatan ibubapa pelajar yang menghantar anak-anak mereka ke madrasah dengan kenderaan-kenderaan mewah. Orang ramai juga sedia maklum bahawa pusat-pusat pendidikan Islam dan tahfiz Al-Quran kian bercambah saban tahun.
Mudah-mudahan kesedaran masyarakat Malaysia untuk kembali kepada cara hidup Islam semakin menebal dari hari ke hari. Namun timbul musykil, apakah ibubapa hanya ingin anak-anak sahaja yang bersungguh menghayati cara hidup dan ilmu Islam, sedang ibubapa mengabai diri sendiri?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...