7 Mei 2014

Polis pernah setuju laksana hudud - Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Pihak polis didakwa pernah menyatakan kesediaan jika Undang-undang Jenayah Syariah mahu dilaksanakan di negara ini.
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ketika isu itu timbul pada tahun 70-an, ketua polis negara pada masa itu Tun Hanif Omar menyatakan pihaknya bersedia jika undang-undang itu dilaksana.
"Saya masih ingat lagi satu seminar yang diadakan di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) melibatkan professor Ahmad Ibrahim dan Tun Salleh Abas. Saya juga hadir dalam seminar itu.
"Pada masa itu timbul kefahaman tentang undang-undang jenayah syariah sehingga ketua polis negara pada masa itu Tun Hanif Omar memberitahu polis tidak ada masalah untuk melaksanakan undang-undang syariah islam," katanya dalam temubual bersama Harakahdaily semalam.
Sejarah panjang
Perjuangan melaksanakan hukum syariah ini kata beliau bermula sejak zaman awal kemerdekaan negara lagi selepas pendakwah yang datang ke Malaysia membawa islam yang sempurna.
Malah bukti kewujudan undang-undang ini katanya boleh dilihat dengan warisan sejarah iaitu Batu Bersurat di Terengganu, dan undang-undang jenayah negeri Melaka yang tersimpan dalam sejarah dan diamalkan sehinggalah kedatangan penjajah pada 1511.
"Saya sempat bersama orang tua yang pernah menyaksikan undang-undang hudud dilaksanakan di Terengganu dan mereka menerima bagaimana wujudnya keamanaan semasa syariat itu dilaksanakan.
"Dan hilangnya kuasa syariah di Terengganu pada tahun 1928, kerana jatuhnya kerajaan. Bagi Terengganu mereka berusaha selama 80 tahun," katanya lagi.
Selepas itu kata Ustaz Hadi, isu tersebut timbul semula pada sekitar tahun 50-an namun mendapat cemuhan daripada Masyarakat yang ketika itu terpengaruh dengan fahaman sekular yang menyerap masuk dalam pentadbiran, pendidikan dan media.
Sehingga kata beliau, ada yang mencemuh, 'kalau laksanakan hukum Islam ini maka ramailah yang kena potong tangan, ramailah yang akan cacat'.
"Maka ketika itu berlaku pertembungan dalam masyarakat Islam itu sendiri sehingga mereka-reka cerita menimbulkan kafir mengkafir ketika itu.
"Sepatutnya penjelasan bukannya isu kafir-mengkafir," kata beliau.
Kemudian daripada itu, PAS menyertai kerajaan campuran bersama BN pada 1974.
Ketika itu PAS katanya telah berusaha memperkenalkan Islam khusus dalam undang-undang jenayah sehinggalah ditendang keluar 1978.
Umno tak hadir
Selepas PAS menang kali kedua di Kelantan pada tahun 1990, PAS sekali lagi berbincang untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dan berjaya menggubalnya melibatkan qisas dan takzir.
Menurut beliau, sebelum dilulus di Kelantan melalui Dewan Undangan Negeri (Dun), terlebih dahulu dianjurkan satu seminar untuk didedahkan kepada umum dengan kerjasama Parti Melayu Semangat 46 di Hotel Concord tahun 1993.
"Kita menjemput parti-parti politik, kerajaan dan pembangkang, NGO Islam dan bukan Islam. Umno tidak hadir. Dan berlaku dialog dalam seminar itu. Saya dan Almarhum Haron Taib ditugaskan untuk membentangkan draf rang undang-undang itu," kata beliau.
"Kita menerima pandangan-pandangan, kritikan dan berbagai-bagai, kita menjawab semua persoalan dan hujah yang dikemukakan dan kita buat semula kepada jawatankuasa ini. Maka akhirnya setelah dikemaskini maka diluluskan dalam DUN Kelantan, saya difahamkan Tuanku Sulatan Kelantan tandantangani kelulusan cuma tidak digazetkan," katanya.
Langkah sama katanya dibuat di Terengganu selepas PAS menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.
"Akhirnya kita lulus di DUN Terngganu dan Tuanku Sultan Terengganu tandatangan dan digazetkan pada 1 Ramadan. Malaangnya PAS tidak menang di Terengganu pada 2004," jelasnya.
Sambut baik tapi hati-hati
Menurut beliau lagi, Isu hudud tidak wajar menjadi isu politik kenara ianya adalah tanggungjawab orang Islam.
Mengulas sambutan baik Umno setakat ini, beliau berkata PAS menerimanya secara positif namun tetap perlu berhati-hati.
Tegasnya, Umno yang menguasi kerajaan pusat perlu menggunakan segala kemudahan untuk memberi ruang kepada Kelantan bagi membolehkan undang-undang Islam ini dapat dilaksanakan.
"Isu ini adalah isu orang Islam, dan orang bukan islam jangan rasa bimbang dan rasa takut kerana ini berkait dengan orang Islam sahaja.
"Adapun orang bukan Islam sepatutnya tunggu, lihat dan faham. Kita bersedia untuk memberi penjelasan," katanya.
Menurut Ustaz Hadi lagi, undang-undang syariah kini satu keperluan kerana negara sedang menghadapi gejala jenayah yang sangat parah, khususnya jenyah yang berat dan tidak ada kehebatan undang-undang boleh membendungnya.
"Kehebatan undang-undang kena ada, malangnya kita dapati tidak ada kehebatan undang-undang, penjenayah tidak takut. Jadi perlu kepada satu undang-undang yang mendidik penjenayah supaya gerun.
"Dan perlu difahami konsep undang-undang jenayah Islam ialah mendidik masyarakat bukan menghukum masyarakat.
"Oleh sebab itu, konsep kehakiman Islamnya seorang hakim mesti mencari jalan untuk membebaskan orang yang dituduh, bukan hendak hukum semata-mata," katanya.
Beliau juga turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mempolemikkan isu hudud ini sehingga melupakan penentangan terhadap isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...