20 Mei 2012

BERSIH 4.0 - Keperluan Muzakarah


1. Sebelum ini saya telah mencadangkan agar BERSIH 4.0 dibuat dalam format Duduk dan Debat. Ertinya saya melihat ruang politik baru mendepani Pilihanraya Umum ke 13 adalah melalui persaingan hujjah yang sihat berpaksi fakta dan figure. Bukan lagi politik selak dan dedah atau politik tohmah dan fitnah.

2. Yb. Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang Presiden PAS pula telah menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan semua pihak asal sahaja menepati syarat yang telah ditetapkan oleh pihak beliau. Nada serupa ditegaskan oleh YAB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS.

3. Saya bangga dan sokong kesediaaan mereka untuk duduk dan berbincang, berdialog dan berbahas untuk mencari kebenaran dan tentu sahaja semua pihak berkewajipan tunduk kepada kebenaran. Sementara kebenaran itu pula pastilah datang dari Allah Jalla wa A'la Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam cakerawala ini.

4. Semua pihak tidak perlu angkuh atau skeptikal antara satu sama lain demi masa depan agama, bangsa dan negara. Ada kesungguhan dan keikhlasan, maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh menerima Islam sebagai dasar dan asas perjuangan serta hidup kita, malah pegangan dan prinsip politik kita juga mestilah melandasi Islam. Kepimpinan dan pemerintahan kita juga mesti tunduk kepada perintah dan kehendak Allah swt. Jangan angkuh terhadap kebenaran ! Biar sehebat mana anda mempertahankan kebathilan, apabila datang kebenaran ini, nescaya binasalah kebathilan itu.

5. Media massa sebagai penghubung pelbagai pihak secara umum mesti bersikap positif. Bukan menjalankan agenda pihak tertentu dan akhirnya suatu yang baik bukan sahaja gagal tetapi dilihat buruk dan jahat. Bukan sahaja orang politik bertanggungjawab memimpin dan mengurus rakyat, media juga mesti sedia membina pemikiran positif dikalangan rakyat bukan menjadi batu api yang menyemarakkan persengketaan dan kebencian melampau sesama manusia.

6. Telah saya tegaskan, kita selesaikan apa jua persoalan yang tercetus dengan debat, dialog atau muzakarah. Paksinya ialah tunduk dan akur dengan kebenaran. Justeru kebenaran itu suatu yang mulia dan terpuji. Hanya pesalah takutkan kebenaran, hanya orang yang lemah jiwanya takut kepada kebenaran, hanya orang yang mempunyai agenda buruk dan berkepentingan diri serta puak sendiri yang takut pada kebenaran. Sedarlah ! ahli politik hari ini mesti bina iklim politik yang lebih bistari dan harmonis bertunjangkan hujjah yang benar dan aqal yang rasional.

7. Rakyat dan negara tidak boleh membiarkan petualang agama dan bangsa terus melonjak nafsu politik mereka tanpa peduli letak duduknya kebenaran. Petualang inilah kelak merosakkan tamadun dan pemikiran generasi yang sedang membangun dengan nafsu politik yang tiada sempadan kawal. Sanggup rasuah, menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, menindas yang lemah, melobi yang kaya dan mengipas yang berkuasa akan menjadi rutin dipentas politik tanahair apabila mereka bergelar politikus atau penguasa melalui manipulasi politik dan kelicikan mereka meraih sokongan pengundi tanpa landasan ilmu dan hujjah yang benar , jauh sekali berpaksikan taqwa kepada Allah swt.

8. Banyak jalan dan cara untuk berkuasa dalam negara kita termasuk melalui manipulasi pilihanraya, sogokan, ugutan dan sebagainya. Kita tidak mahu jalan dan cara ini. Kita mahu pemimpin negara kita terdiri dari pemimpin yang benar dan memiliki nilai integriti yang baik menepati pelan integriti nasional dan yang lebih penting menepati piawaian akhlak kepimpinan yang telah dimuktamadkan oleh Islam. Lantas rakyat memilih pemimpin yang terbaik melalui standard piawaian tersebut setelah rakyat pula mendapat maklumat yang adil dan seimbang.

9. Al Quran telah menggariskan kaedah dialog, debat dan muzakarah ini sebagai strategi dakwah yang berhikmah untuk mengembalikan manusia kepada Allah swt. Ingatlah, sebagai seorang muslim malah seluruh ummat manusia, kita berpolitik adalah bersaing untuk mencari individu atau pihak [ parti ] yang terbaik sebagai pengurus dan penyelia urusan hidup manusia di muka bumi ini berpandukan pedoman dan petunjuk Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta.

10. Kita tidak berhak dan kita juga tiada authoriti untuk membuat pilihan lain selain apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt. bagi menyelamatkan negara dan rakyat dari pengaruh politik jijik dan keji. Pelaku politik jijik dan keji tidak suka muzakarah, tidak suka debat dan tidak suka dialog kerana apa yang mereka suka ialah dedah dan selak keaiban individu, fitnah dan tohmahan liar serta berdendang dengan lagu politik lapuk dan primitif. Mereka tidak ada hujjah tapi mahu cari kuasa. Mereka tidak ada ilmu tapi mahu cari pengaruh. Mereka tidak milik kebenaran tetapi mahu memimpin. Hancur masa depan negara kita !

Nasrudin bun Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

5 Mei 2012

Islam Mesti Ditafsir Sebagai Addin

Baru-baru ini TG Haji Abdul Hadi Awang telah ditemuramah oleh beberapa wartawan News Straits Time (NST) berkenaan beberapa isu semasa termasuk isu BERSIH 3.0 dan perlembagaan negara. Namun beberapa akhbar telah cuba menyalahfahamkan apa yang telah disampaikan oleh beliau dan beberapa kritikan yang tidak bermoral diluahkan. Terutama berkaitan isu perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam sebagai agama rasmi (religion).
Oleh itu, mari kita melihat ulasan Dewan Ulama' PAS Pusat berkenaan isu ini dan video asal temuramah tersebut. Tontonlah sehingga tamat mudahan ada manfaat.
------------------------
HULU TERENGGANU – PAS bercadang membuat perubahan kepada Perlembagaan Persekutuan yang hanya meletakkan Islam sebagai agama rasmi (religion) menjadi Islam sebagai Addin, satu cara hidup yang lengkap, sekiranya di beri mandat oleh rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  berkata dalam dunia hari ini dunia manusia mengenali dua pendekatan iaitu ‘religion’ yang bermakna agama dan Addin iaitu cara hidup.

Katanya, ‘religion’ atau agama itu mengikut ensiklopedia barat adalah yang berkait dengan hubungan manusia dan tuhan iaitu aspek spiritual sahaja, manakala cara hidup adalah bergantung kepada ideologi dan teori manusia.

“Islam adalah Addin tiada pemisahan antara agama dan cara hidup. Sebab itu Islam tidak boleh diterjemah dengan agama sahaja tidak boleh diterjemah dengan ‘religion’ sahaja (kerana) Addin tidak tepat (jika) diterjemah dengan agama (atau) religion sahaja,

“kerana dalam itu (Addin) ada segala-galanya termasuklah yang berkait dengan teori, ideology, termasuklah aspek politik, ekonomi (dan) sosial,”jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, dalam al-Quran yang menjadi panduan hidup orang-orang Islam bukan sahaja terdapat ayat-ayat yang berkaitan dengan aqidah dan ibadat, tetapi termassuk ayat yang berkaitan undang-undang dan hubungan antarabangsa.

Katanya, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang digubal di The Hague Belanda selepas perang dunia pertama adalah merujuk kepada al-Quran.

Contohnya, kata beliau adalah dalam masalah suaka politik, piagam Geneva mengatakan pelarian tidak boleh diapa-apakan dan mesti diberikan perlindungan adalah terdapat dalam al-Quran, dalam surah al-Anfal. Kataya, ia adalah bukti yang jelas menunjukkan Islam ini bukan hanya ‘religion’, bahkan lebih luas daripada itu.

“Disana ada piagam Geneva yang mengatakan pelarian tidak boleh diapa-apakan, ini ada dalam al-Quran dalam surah al-Anfal, jika sekiranya seorang seorang musyrikin yang menyembah berhala (yang) tidak sama agama agama dengan kita,

“dia dianiyai di negeri dia, dia mari (lari) ke tempat kita, maka beri perlindungan kepada mereka,
“menunjukkan Islam ini bukan ‘religion’ (bahkan) ia lebih luas daripada itu."tegasnya.

Ustaz Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat Pemuda Pas Terengganu tahunan di Kampung Kubang Lembek , Manir di sini semalam, Selasa 1 Mei.

Beliau berkata perlembagaan persekutuan yang sedia ada sebenarnya boleh diguna pakai tetapi perkataan Islam sebagai agama rasmi perlu ditafsir sebagai Addin bukannya ‘religion’.

“Sebenarnya, kita boleh pakai perlembagaan (persekutuan) ini, cumanya perkataan Islam sebagai agama persekutuan kita tak boleh tafsir dengan ‘religion’, kita tafsir dengan Addin,”katanya.

Menyentuh tentang politik Terengganu, beliau yang juga Penasihat Badan Perhubungan PAS Terengganu menolak ‘andaian’ pemimin Umno yang mendakwa yakin dapat merampas empat dari lapan kerusi dimenangi PAS pada pilihanraya umum lalu.

Katanya, sekiranya Umno boleh membuat andaian, PAS juga boleh membuat sebarang andaian.
“saya tak bolej jawab soalan andaian, kalau dia boleh buat andaian, saya (PAS) juga boleh membuat andaian, PAS pernah menang 28 kerusi (yang) dulu dia kata mustahil macam mimpi siang hari,
“(tapi) kita pernah menang (dan menjadi kenyataan),”tambahnya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu haji Muhyiddin Abdul Rashid dan Ketua Pemuda, Ustaz Mohd Nor Hamzah

Dipetik dari buletinonline.
----------------------------------


29 April 2012

BERSIH 3.0 = aman

BERSIH 3.0 akan aman sejahtera jika tidak diganggu. Penganjur juga ada pihak2 keselamatannya sendiri.

Mereka berhujah kita salah kerana mengganggu keamanan. Kita berkata;

1) Kerajaan tak salahkah MEMULAKAN gangguan terhadap perhimpunan aman itu? Yang tak hadir hanya dengar dari TV3 suku. Yang hadir, mereka tahu siapa memulakan. Dengar daripada yang hadir jauh lebih selamat daripada mendengar daripada suara media propaganda.

2) Selama ini, dalam sejarah politik Malaysia, siapa yang banyak mengganggu keamanan? BN mengganggu pembangkang atau pembangkang mengganggu BN. Janganlah berhujah dengan hujah berkulat yang memuakkan. 

3) Larangan berhimpun di padang Dataran Merdeka. Mengapa pula nak berhimpun di sekitar Dataran tak dibenarkan? Kerajaan nak jadi Mahkamah Tinggi jugakah?

4) Perhimpunan anti-Lynas di Kuantan yang disertai puluhan ribu, apabila tiada provokasi oleh pihak kerajaan, maka ia telah berlangsung aman dan meriah iklim demokrasinya. 

5) BERSIH yang nak berhimpun di tempat awam, kerajaan pula yang memandai-mandai nak menentukan tempat perhimpunan. Memang sebuah kerajaan tua yang tak sedar diri. Tunggulah masa anak muda MALAYSIA menarik mereka turun dari tampuk pemerintahan.

6) Selagi Dataran Merdeka tak diisytiharkan sebagai Dataran BN, selagi itulah rakyat BERHAK BERHIMPUN di situ. Bukan hanya BN yang merdeka daripada penjajahan Inggeris, tetapi, bahkan, bekas pejuang daripada kalangan pembangkanglah yang banyak bertumpah darah demi kemerdekaan.

7) Selagi SPR tidak dibersihkan daripada anasir kotor dan tipu, selagi itulah kerajaan yang menjadi punca kekalutan yang merosakkan ketenteraman rakyat. BERSIH ditujukan khas untuk keamanan berterusan rakyat Malaysia yang bebas.

8) Selagi polis terlalu dikerah untuk menundukkan rakyat mengikut telunjuk pemerintah, jangan diharap sebuah kerajaan akan mencipta keamanan sebenar. BERSIH adalah medan rakyat bertembung dengan polis secara paksa dan sengaja diciptakan. BN takut berhadapan dengan rakyat secara profesional dan berani.

9) Sejarah PAS gagal membuktikan mereka sebuah parti yang ganas yang sukakan keganasan, bahkan ia adalah sebuah parti yang sentiasa tunduk kepada keluhuran demokrasi yang benar dan diterima rakyat. Jangan bohong terhaap sejarah PAS yang gemilang.

10) Perhimpunan BERSIH akan terus menjadi medan BN membina propaganda merosakkan reputasi pembangkang, sedang ia akan terus menjadi medan suara rakyat yang berani dan sedia berkorban demi kebenaran, keadilan dan keamanan.

Sumber: Ustaz Nik Abduh

24 April 2012

Pemimpin: Antara Afdhal dan Mafdhul


Sebagai pencerahan kita bersama di dalam memahami kaedah perlantikan pemimpin dalam Islam. Bukanlah semua pemimpin yang afdhal itu dapat ditabalkan sebagai pemimpin mengikut kepada maslahat. Teruskan membaca...


HUKUM MELANTIK PEMIMPIN MAFDHUL



2. Memilih calon pemimpin yang layak dan baik adalah satu perkara yang tidak boleh ditolak. Setiap insan pastinya inginkan yang terbaik untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan negaranya. Maka pemimpin juga mestilah yang terbaik atau afdhal walaupun ia hanya untuk sebuah persatuan.

3. Di antara dua calon yang bertanding mesti salah seorang daripadanya lebih afdhal daripada yang seorang lagi menurut pandangan pengundi. Calon A lebih afdhal daripada calon B kerana akademiknya bagus menurut penyokong calon A. Menurut penyokong calon B pula, calonnya lebih baik daripada calon A kerana dia pandai mengawal mesyuarat. Jadi kedua-duanya lebih layak dan lebih baik menurut penyokong masing-masing, dan lawannya adalah mafdhul. Maka afdhal dalam situasi ini adalah nisbi, ia tidak tetap.

4. Perbincangan tentang pemimpin afdhal dan mafdhul ini telah berlaku sejak zaman sahabat RA terutamanya dalam membincangkan tertib afdhal para Khulafa’ Rasyidun. Dr. Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-Islam wa Falsafatu al-Hukm menyatakan:
Ia bersempena dengan dakwaan golongan Syi’ah yang menuduh para sahabat menafikan Ali daripada kepimpinan yang menurut mereka dia lebih afdhal daripada yang lain, maka berlakulah perbincangan tentang afdhal dan susunan tertibnya dalam kalangan sahabat, begitu juga keharusan pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang lebih afdhal. (Dr. Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa Falsafatu al-Hukm).

5. Apabila kita merujuk al-Qur’an, afdhal atau lebih baik boleh berlaku di antara seseorang dengan seorang lain, seorang nabi lebih afdhal daripada bukan nabi, bahkan sesama para nabi pun sebahagiannya lebih afdhal berbanding sebahagian yang lain dengan kelebihan yang Allah SWT berikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 253 bermaksud:
Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikannya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa Ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran, serta Kami kuatkan dia dengan Ruh al-Qudus (Jibril).

6. Allah Azza wa Jalla juga maha berkuasa untuk melebihkan satu umat ke atas yang lain. Manusia itu sendiri lebih afdhal daripada makhluk yang lain sebagaimana firmanNya dalam surah al-Israa’ ayat 70 bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah berikan mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada perkara yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

7. Afdhal berlaku dengan kelebihan tertentu, lawannya adalah mafdhul iaitu yang tiada kelebihan tersebut. Maka pemimpin mafdhul yang kita bincangkan adalah berkaitan dengan pemilihannya ketika wujud pemimpin yang lebih afdhal. Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) menegaskan bahawa maksud afdhal di sini bukannya yang lebih tinggi kedudukannya di sisi Allah atau lebih taqarrub kepada Allah SWT, katanya:
Bercakap tentang al-fadhil dan al-mafdhul bukannya yang lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat taqarrub kepada Allah dalam amalannya. Boleh jadi seorang wali Allah yang menjadi tonggak dan rujukan seluruh alam yang jika dia bersumpah dengan nama Allah pasti akan terjadi, tetapi pada zamannya terdapat seorang yang lebih sesuai dan layak daripadanya untuk menguruskan urusan umat Islam. (al-Juwaini, al-Ghiyathi)

8. Kepimpinan berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran yang tidak semua orang sesuai dan layak untuk memikulnya. Ia juga melibatkan ketajaman pemikiran dan keluasan pandangan. Manusia itu sendiri kemampuannya berbeza-beza di antara satu sama lain. Belum tentu seorang pensyarah lebih afdhal menjadi pemimpin masyarakat berbanding anak-anak muridnya. Dan belum pasti seorang yang cemerlang akademiknya lebih afdhal untuk menjadi ketua bagi persatuan mahasiswa/wi. Terdapat manusia yang cerdik otaknya tetapi lemah jasadnya. Tidak kurang yang kelihatan gagah badannya tetapi tewas dengan harta dan rasuah.

9. Dalam soal kepimpinan, yang kita maksudkan dengan afdhal dan mafdhul ialah keupayaan dan kesesuaian seseorang dalam memikul tanggungjawab. ‘Adhuddin al-Iji (756H) menyatakan ada kemungkinan pemimpin mafdhul lebih sesuai dengan jawatan kepimpinan berbanding afdhal, al-Iji menegaskan:
Yang diambil kira dalam sesuatu wilayah (kekuasaan) ialah mengetahui kebaikan dan keburukan, serta kekuatan untuk memikulnya. Boleh jadi seorang yang mafdhul daripada aspek ilmu dan amalnya, dia lebih bijak dan lebih kuat menanggung beban dalam aspek kepimpinan. (al-Iji, al-Mawaqif)

10. Oleh sebab itu para ulama Ilmu al-Kalam telah berbeza pendapat dalam menentukan keafdhalan para sahabat. Sebahagian mereka menyatakan semua para Khulafa’ Rasyidun adalah afdhal, sebahagian mereka pula menyebut Abu Bakar RA yang paling afdhal selepas nabi SAW. Perselisihan juga berlaku dalam menentukan tertib afdhal selepas Umar al-Khattab RA sama ada Utman RA atau Ali RA. Walau apapun perselisihan mereka tentang tertib afdhal para sahabat, kita perlu terima bahawa generasi sahabat adalah lebih afdhal daripada umat Islam seluruhnya. Ini berdasarkan sebuah hadith nabi SAW:
Janganlah kamu mencerca para sahabatku. Jika seseorang daripada kamu menginfakkan emas seperti gunung Uhud sekalipun nescaya tidak akan sama dengan segenggam tangan mereka dan tidak separuhnya. (Riwayat Muslim)

11. Hukum harus melantik pemimpin mafdhul adalah kerana maslahat dan keperluan. Al-Tabari (310H) menyatakan bahawa mereka juga bersandarkan kepada kisah nabi SAW melantik ‘Amru bin al-‘As sebagai panglima peperangan Dzat al-Salasil sedangkan Abu Bakar RA dan Umur RA wujud pada ketika itu, yang membawa kepada masuk Islam kaumnya Bani ‘Azrah. Rasulullah SAW juga melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima perang sedangkan ayahnya yang lebih afdhal wujud ketika itu.

12. Kesimpulannya, harus melantik pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang afdhal dengan sebab maslahat dan hajat. Namun jika tiada hajat dan maslahat maka pemimpin yang afdhal lebih utama.

Sumber:
22 Jumada al-Awwal 1433H
Sweileh, Amman

9 April 2012

Mesyuarat = Syura

SYURA: WAJIB DILAKSANAKAN ATAU TIDAK?

1. Syura atau bermesyuarat dalam sesuatu perkara adalah disyari’atkan dalam Islam. Ia bertujuan untuk mengambil satu keputusan bersama dalam semua peringkat kehidupan manusia daripada yang paling tinggi seumpama urusan pemerintahan negara hinggalah kumpulan yang paling kecil iaitu urusan keluarga. Apa yang menjadi persoalan ialah adakah keputusan itu wajib dilaksanakan atau hanya sekadar cadangan semata-mata yang tidak wajib dituruti?

2. Menoleh sejarah, pengamalan syura ini bukan perkara yang baharu, ia juga dilakukan oleh umat terdahulu lalu mereka melaksanakan hasil keputusannya secara bersama. Kita boleh lihat wujudnya maksud berunding ini ketika Firaun yang zalim ingin berhadapan dengan nabi Musa AS, Firaun telah berbincang dengan kaumnya yang hanya menurut sahaja tanpa sebarang pandangan lain, jauh sekali bantahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf ayat 51-54 bermaksud:
Dan Firaun menyeru kaumnya, katanya: Wahai kaumku, bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku, tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan gelang-gelang emas, atau datang malaikat bersama-sama dengannya, maka Firaun menakutkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik.
3. Begitu juga Raja Saba’ yang telah berbincang dengan kaumnya ketika menerima surat daripada nabi Sulaiman AS. Firman Allah SWT dalam surah al-Naml ayat 29-33 bermaksud:
Raja perempuan itu berkata lagi: Wahai ketua-ketua kaum, berilah pandangan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini, aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; namun perkara itu terserahlah kepadamu. Oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
4. Menerusi kedua-dua ayat tadi, kita dapati Firaun berunding dengan kaumnya namun tidak berlaku bertukar-tukar pandangan dan idea, mereka hanya menurut sahaja kata-kata Firaun tanpa membantah. Kaum Saba’ pula memberikan respon tetapi memulangkan semula sebarang keputusan kepada ketuanya. Nampaknya seperti tidak berlaku sebarang rundingan pun. Jadi, kita perlu mengetahui apakah maksud syura yang sebenarnya?

Maksud Syura

5. Syura maksudnya ialah berunding dan bertukar-tukar pandangan. Paling minimum dua orang dan maksimum tanpa sebarang had. Ia melibatkan urusan umum atau khusus untuk menyaring pendapat yang paling sesuai dan paling tepat demi merealisasikan kepentingan manusia dan negara serta menolak kerosakan secara menyeluruh. Semua ini hanya berlaku jika sesuatu perkara itu dibentangkan untuk dibahaskan. Ibn al-‘Arabi (543H) mendifinisikan syura sebagai:
Perhimpunan ke atas satu perkara untuk meminta pandangan setiap seorang dan mengeluarkan apa yang ada padanya. (Ibn al-‘Arabi, Ahkam al-Qur’an)

6. Ia membawa maksud kumpulan yang terdiri daripada lebih seorang yang masing-masing memberikan pendapat. Pandangan yang pelbagai diperlukan untuk mencari yang paling tepat. Ini seperti yang ditegaskan oleh Dr. Abd Rahman Abd Khaliq bahawa syura ialah:
Meminta pandangan daripada orang yang pakar dalam perkara yang dibincangkan untuk sampai kepada yang paling hampir dengan kebenaran. (Abd Rahman Abd Khaliq, al-Syura fi Dzilli Nizomi al-Hukmi al-Islami, Dar al-Salafiah, Kuwait, 1975, hlmn 14)

7. Dengan makna dan maksud di atas, kita dapati dalam Islam syura mempunyai kedudukan yang penting. Sebab itu Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa bermesyuarat. Bahkan salah satu daripada nama-nama surah di dalam al-Qur’an adalah al-Syura yang menunjukkan kepentingannya untuk dijadikan mekanisme utama dalam kehidupan seharian kita dengan menjaga adab-adabnya. Allah SWT meletakkan syura sebaris dengan ibadat solat dan zakat yang hukum kedua-duanya adalah wajib. Firman Allah SWT dalam surah al-Syura ayat 38 bermaksud:
Dan juga  orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepadanya.
8. Demikian syura yang diperintahkan dengan maksud mencari keputusan yang paling hampir dengan tepat yang perlu dijaga adab-adabnya dalam kehidupan seorang muslim. Sehingga dalam urusan kekeluargaan terutamanya pasangan suami isteri pun ia sangat dituntut. Ini jelas kita dapati menerusi firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 233 bermaksud:
Kemudian jika kedua-duanyanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
9. Syura dengan maksud ini juga yang telah nabi SAW sebutkan kepada Abu Bakar RA dan Umar RA apabila kedua-duanya telah bersetuju terhadap suatu perkara, maka nabi SAW tidak akan menyalahinya, sabdanya:
Sekiranya kamu berdua telah sepakat melalui mesyuarat nescaya aku tidak akan menyalahinya. (Riwayat Ahmad).

10. Maka syura dianggap satu mekanisma yang berkesan untuk mengetahui keputusan terbaik yang paling sesuai melalui proses perbincangan dan perbahasan. Ia diyakini mampu mengurangkan kesalahan dan kesilapan. Ia lebih utama jika berkaitan dengan urusan pemerintahan negara. Sebab itu ia menjadi pemisah di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi dan selainnya. Seorang sarjana Arab Farid Abd Khaliq menerangkan bahawa:
(Pemisah) di antara pemerintahan Islam dengan pemerintahan kuku besi ialah meninggalkan syura. (Farid Abd Khaliq, Fi al-Fiqhi al-Siyasi al-Islami, Dar al-Syuruq, 1998, hlmn 39)

Syura: mulzimah atau mu’limah?