27 September 2007

AL-QURAN AL-KARIM -Bacalah..


Kehidupan sebagai seorang insan yang mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT, tidak dapat tidak dibatasi dengan had-had syariatNya yang merupakan tuan milik sekalian alam ini. Oleh itu, Dia jugalah Penggubal undang-undang alam semesta yang kita dan makhluk lain diami ini. Dengan itu, beberapa suhuf dan kitab suci telah diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi-nabiNya untuk diamal dan disampaikan kepada setiap umat manusia. Sehinggalah utusan yang terakhir iaitu Rasulullah SAW yang diturunkan pada baginda Al-Quran Karim.


Al-Quranul Karim adalah wahyu Allah SWT yang juga merupakan perlembagaan hidup manusia. Bahkan lebih dari itu, ia juga adalah mukjizat agung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dengan sebahagiannya adalah perantaraan melalui malaikat Jibril a.s. Ia jua adalah petunjuk bagi orang -orang yang taat pada agama dan yakin pada kehidupan sesudah mati. Di dalam surah al-Baqarah ayat 1-5 sudah jelas menerangkan perkara tersebut. Oleh itu, tidak sewajarnya sebagai seorang muslim mukmin meninggalkan atau membiarkan dirinya tidak membaca Al-Quran. Membaca al-Quran bukan sahaja pada masa-masa tertentu seperti pada hari -hari kebesaran Islam, hari kelahiran atau kematian dan sebagainya. Tetapi perlu dibaca setiap hari seperti selepas solat fardhu atau pada waktu-waktu tertentu dalam sehari yang diperuntukkan untuk membaca al-Quran.

Membaca al-Quran bukan seperti membaca buku novel, majalah, surat khabar dan seumpamanya. Membaca al-Quran mempunyai beberapa tatatertib, syarat dan adab. Antaranya dimestikan suci dari hadas kecil dan besar dan berwudhu' (jika menyentuh mushaf) serta membacanya dengan tertib dan bertajwid. Antara adab lain ialah menghadap kiblat, baca dengan khusyu', memahami isinya dan menghayatinya. Bahkan dituntut untuk beramal dengan apa yang difahami tersebut. Inilah al-Quran yang merupakan kitab petunjuk jalan kehidupan kita di dunia ini dalam menuju ke jalan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Ingatlah sabda baginda Rasulullah SAW tentang beberapa keutamaam membaca al-Quran:
- Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam: "Bacalah Al-Qur'an, karena ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafa'at bagi pembacanya." (HR. Muslim dari Abu Umamah).
- Dari An-Nawwas bin Sam'an radhiallahu 'anhu, katanya: Aku mendengar Rasul shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Didatangkan pada hari Kiamat Al-Qur'an dan para pembacanya yang mereka itu dahulu mengamalkannya di dunia, dengan didahului oleh surah Al Baqarah dan Ali Imran yang membela pembaca kedua surah ini." (HR, Muslim).
Bacalah Al-Quran Al-Karim setiap hari walau satu muka surat, walau tanpa wudhu' dengan menggunakan terjemahan Al-Quran, mudahan amalan kita itu menjadi bekalan sesudah mati.

18 Ogos 2007

Malunya.......anda bagaimana?

IPOH 21 Dis. – Walaupun baru berusia 11 tahun, Afiqah Ramatullah Khan telah membaca sebanyak 2,200 buah buku termasuk novel yang menjadi teman setianya setiap hari.
Pelajar tahun 5, Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh itu memberitahu, judul buku-buku tersebut mula dicatatkan sejak tahun 1 dan ini bermakna jumlah buku yang dibacanya mungkin lebih daripada itu.
Setiap hari sudah menjadi rutin baginya menghabiskan satu hingga dua buku setebal antara 70 dan 100 muka surat.
Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk bacaan ringan seperti buku-buku agama, akhbar dan majalah serta komik untuk kanak-kanak.
Antara buku yang digemarinya ialah buku cerita, fiksyen, bukan fiksyen, ilmiah, sama ada dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris serta tulisan jawi dan rumi.
“Saya kumpulkan judul-judul buku yang telah saya baca dan setakat ini jumlahnya telah mencapai 2,200 buah.
“Saya yakin menjelang tahun depan jumlah buku yang saya baca akan mencapai 3,500 unit,” katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris ketika ditemui selepas diumumkan sebagai Tokoh Pembaca Negeri Perak di sini hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Afiqah membawa pulang wang tunai RM400 bersama trofi dan sijil serta baucar buku bernilai RM500 untuk dihadiahkan kepada sekolahnya.
Hadiah Tokoh Pembaca itu disampaikan oleh Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Ir. Mohammed Zakaria Mohd. Noor.
“Sebenarnya, saya mula minat membaca buku sejak tadika lagi hasil dorongan ibu bapa sehinggalah sekarang sebuah perpustakaan dapat diwujudkan di rumah,” katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm
22 Disember 2006
1 Zulhijjah 1427
------------------------------------------------

Ambillah tauladan yang baik dan sesuai dengan profile kita dari laporan berita ini. Umurnya tidak sama dengan kita, bidangnya tidak serupa dengan kita.

5 Ogos 2007

Pentingnya membaca....


Sebagaimana badan memerlukan makanan dan minuman maka begitu juga fikiran dan otak yang memerlukan curahan ilmu dan pengetahuan. Antara cara menimba pengetahuan dan ilmu adalah dengan membaca. Betapa pentingnya membaca sepertimana kita maklumi melalui ayat Al-Quran yang pertama turun adalah gesaan supaya membaca : اقرأ . ( Membacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu). Mungkin saudara boleh membuka seketika kitab Safwatut Tafasir yang telah menjelaskan bahawa Surah al-A'laq ini bermula dengan seruan supaya membaca dan belajar. Selain itu, turut disebut seruan supaya menulis kerana semua itu merupakan syiar Islam.
Sebenarnya, diri kita sendiri mengakui bahawa membaca adalah merupakan suatu aset penting dalam menambah ilmu, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta buah fikiran dengan penulis. Dan perkara ini akan lebih jelas apabila penulis mengarang tulisannya seolah-olah sedang berkomunikasi dengan kita.
Dari mula saya membicarakan tentang kepentingan membaca dalam masyarakat kita tetapi apakah yang ingin dibaca; buku, papan iklan, surat, surat khabar, majalah, blog, web atau hati dan fikiran manusia?? Bacalah! Baca apa sahaja yang berada di sekeliling anda. Namun, apa yang penting bahan bacaan anda tersebut adalah bahan yang penting untuk kebaikan dan perkembangan minda serta menuntun jiwa ke arah kebaikan. Awas! Bahan bacaan yang boleh merosak dan menyesatkan akal dan jiwa anda dari menerima tadahan iman dan akal yang sejahtera.



“ANDA 5 TAHUN AKAN DATANG BERGANTUNG KEPADA BUKU APA YANG ANDA BACA HARI INI DAN DENGAN SIAPA ANDA BERSAHABAT” - Hukama’

25 Januari 2007

Puisi : Jazirah al-Ward

Jazirah al-Ward
di persadamu aku ditakdirkan menumpang cuma
secebis waktu
demi mencari bekalan diri,
bekal kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dikau mengenalkanku erti hidup asing ini;
asing dari alam kehidupankusebelumnya.

Jazirah al-Ward
dikau mengajarku matang menilai
kehidupan ini
mendidikku berdikari
jauh dari bumi sendiri
melangkah setapak demi setapak
mencari erti sebuah kehidupan.

Jazirah al-Ward
di persadamu teguh berdiri menara ilmu
yang banyak berjasa untuk diri dan masyarakat
mengajar erti kehidupan sebenar dan kematian hakiki.
Di sini juga daku mengenali teman-teman seperjuangan
mewarnai kehidupanku dengan warna-warni pelangi,
tidak kurang juga liku hidup yang bersimpang siur
melewati curam-curam dalam
nyaris-nyaris terbabas.

Jazirah al-Ward,
dengan keberadaanmu
daku menadah ilmu guru-guru
sentiasa menaruh harapan tinggi buat anak-anak muridnya
menuntut dan mencari sekadar
kemampuanku yang sememangnya lemah
cuba melangkah kadang terjatuh
hanya kepada Tuhan kumengharap petunjuk bimbingan
moga tidak terus jatuh tanpa bangun kembali.

( telah diedit oleh Mohd Zaki-Johor-Cairo )

Jazirah al-Ward- Pemukiman kami..

Mansurah sebuah bandar yang sememang terkenal dengan pelbagai lakaran sejarah yang menarik meliputi dinasti Firaun , pemerintahan Rom, perkembanagan ajaran Kristian, dan kemasukan Islam. Mansurah antara yang dikenali sebagai kuasa besar dalam tamadun Islam di rantau benua Afrika. Bandar ini juga merupakan bandar ketiga terbesar di Republik Arab Mesir lantaran kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang terus membangun. Selain Universiti Al-Azhar yang merupakan cawangan di Mansurah, di sini juga telah ditubuhkan kuliah kuliah perubatan terbesar di Mesir sehingga diberi nama Madinah at-Tib.
Bumi Mansurah merupakan bandar tua yang dikenali dengan Jazirah al-Ward, iaitu pertemuan di antara sebuah pulau dengan sungai kecil dan laut hingga membentuk delta yang ditumbuhi bunga-bunga mawar yang segar dan mekar. Bersempena nama yang unik itu, dewan utama siswa-siswi Malaysia di sini yang mula beroperasi pada tahun 1996 telah diberi nama- Dewan Persada Jazirah al-Ward (DPJA). Manakala pada tahun 2004 sebuah program mega telah dilaksanakan oleh Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah (DPMM) dengan nama Interaksi al-Ward' 04.
Semoga Persada Jazirah al-Ward yang penuh dengan peristiwa dan sejarah silam; bermula dari Dinasti Firaun hinggalah kemasukan agama Islam yang dibawa oleh Amru al-A'sh r.a. melalui kota Iskandariah terus berada dalam rahmat dan keberkatan Allah s.w.t.