8 April 2009

Manisnya IMAN


Manis iman bukan seperti gula-gula atau manisan. Manis iman bukan seperti ais kacang atau air tebu. Kerana manis iman bukan dirasai oleh anggota zahir tetapi roh. Kerana manis makanan dan minuman kita suka, gembira dan ketawa. Tetapi manis iman......

Apa perasaan kita apabila berdiri tegak menghadap Allah Taala?
Apa rasa kita apabila rukuk, sujud di hadapan Allah Yang Maha Agung?
Apa respon kita apabila mengungkap di bibir dan meneliti di aqal satu persatu surah Al-Fatihah?

Bagaimana kita membaca al-Quran?
Tahukah kita makna dan maksud apa yang sedang kita bacakan?

Apa perasaan kita apabila membaca atau diceritakan sirah Rasulullah s.a.w. kepada kita?
Tika baginda ditimpa penghinaan, kesusahan, fitnah, celaan ?
Tika senda gurau baginda s.a.w. dengan keluarga dan para sahabat ?

Hanya mereka yang benar-benar memahami dan menghayati sahaja dapat membayangi apa yang mereka sedang lakukan (baca, dengar, tadabbur, fikir, yakini, amal, sampaikan).
Dari situlah akan timbul rasa manisnya iman. Walau kadangkala rasanya sering bertukar-tukar - pahit, masin, kelat, masam, tawar. Tatkala hilang manis itu sukar sungguh mencarinya semula. Terpaksa berperang. Terpaksa berdiam. Terpaksa menyendiri seketika. Kerana rasa manisnya iman itu lazat.

Macam mana rasa manis iman ??? Rasailah sendiri.....

11 Mac 2009

Ya Rasulullah


Sudah lebih seribu empat ratus tahun Rasulullah s.a.w. meninggalkan kita umat akhir zaman. Cintanya para sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. hingga terasa kering kontang jiwa mereka tika mendengar khabar kewafatan baginda s.a.w. Sebahagiannya terkunci (kelu) lidah mereka dan ada terduduk diam tidak bergerak. Antaranya adalah Umar al-Khattab r.a., sahabat yang menghunus pedangnya kepada sesiapa yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Dan dia merasakan bahawa dirinya telah dungu. Tetapi Abu Bakr r.a. orang yang tetap tegas hatinya, beliau masuk menziarahi Rasulullah s.a.w. yang sedang tenang kaku di atas hamparan pembaringan baginda s.a.w. Abu Bakr mencium baginda s.a.w. lalu menangis dan berkata kepada baginda: "Demi ayahku dan ibuku ,engkau wahai Rasulullah sangat wangi di tika hidup dan juga tika mati mu. Adapun kematian itu Allah telah tetapkan ke atas mu maka sesungguhnya engkau telah merasai mati itu, kemudian engkau tidak akan merasai lagi mati itu selamanya. Wahai Rasulullah, ingatlah kami di sisi Tuhanmu".

Kemudian Abu Bakr keluar di hadapan rombongan orang ramai. Maka beliau berkhutbah kepada mereka: " Wahai manusia ! sesiapa yang mengabdikan diri kepada Muhammad maka sesungguhnya Muhammad telah mati, dan sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah Taala maka Allah S.W.T. Maha Hidup tidak akan mati, kemudian Abu Bakr r.a. membacakan ayat 144 dari surah Ali Imran yang bermaksud :"Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul, sebelumnya telah berlalu beberapa orang Rasul, apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berpaling ke belakang (murtad)? Barangsiapa berpaling ke belakang maka dia tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur".

Mungkin antara kita pernah kehilangan orang yang dikasihi, kematian ibu, bapa atau anak. Bagaimana keadaan mereka yang ditimpa kehilangan selama-lamanya itu? Hingga ada yang tidak mempercayai bahawa orang yang dicintai itu telah pergi selamanya. Begitulah keadaan kecintaan para sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. Orang yang telah mengunjukkan petunjuk kepada mereka hingga merasai kemanisan iman. Orang yang telah menyelamatkan mereka dari kegelapan jahiliyyah kepada sinaran cahaya Islam dan mengubah corak hidup mereka serta membuka aqal dan mata mereka dan menaikkan mereka hingga menjadi pemimpin dan contoh tauladan kepada umat sedunia. Bagindalah pendidik mereka, ketua, penunjuk jalan hidup, mereka berlindung kepadabaginda s.a.w. tika menghadapi pelbagai musibah dan huru-hara.

Namun, suka duka, susah senang bersama Rasulullah s.a.w. selama lebih kurang 23 tahun telah berakhir. Dan hari ini kitalah mata rantai penyambung risalah dakwah yang di bawa baginda s.a.w. Apakah kita merasai cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. ? Apakah bukti kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. ? Sedangkan kitalah kelompok umat yang paling dikasihi baginda jika kita mencintai baginda s.a.w. dan mengamalkan sunnah baginda dalam keadaan kita tidak pernah bertemu Rasul utusan Allah itu.

Apa peranan kita selepas ini ??? Dalami ilmu dan fikir-fikirkankanlah.....

-Sirah Nabawiyah: Durusun Wa 'Ibar
-Feqh Sirah

9 Februari 2009

Moga ada keredhaanNya


Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya layak untuk Allah SWT yang menentukan segala pengaturan hidup kita. Tidak dapat tidak pergantungan kita terhadapNya sangat-sangat diperlukan. Tidak kira samada tika susah mahupun senang. sempit atau lapang.Moga-moga kita terdiri dari kalangan orang-orang yang sentiasa mengingati Allah Taala; samada tika kita berdiri, berjalan,bekerja,duduk diam, berbaring dan sambil merehatkan diri serta berfikir akan keagungan ciptaan Allah dengan pelbagai karenah pergerakan alam (termasuk karenah manusia).
Alhamdulillah, selesai sudah beberapa aktiviti/program yang sememangnya memenatkan badan dan otak.Sebuah program canaian minda kepada pelajar-pelajar baru sesi 2008/2009 dengan harapan mereka dapat memahami Islam dengan lebih mendalam dan meluas, Islam dan isu sekitar umatnya, Islam dan musuh-musuh yang ingin memadam cahayanya serta membunuh umatnya. Bukan mencabut nyawa mereka tetapi lebih zalim dari itu, mencabut fitrah insan yang mengesakan Allah SWT. Hingga menjadikan manusia umpama binatang dan lebih ditakuti apabila manusia lebih teruk daripada binatang. Semua jelas, terang benderang dalam Al-Quran Al-Karim. Sedarkah kita...??? Atau hanya melagukan Al-Quran di halqum dan kotak suara???
Moga Allah memberkati kami yang terlibat untuk menjayakan program tersebut dan peserta-peserta yang tidak jemu mengikutinya hingga selesai majlis. Aamin...

5 Februari 2009

Kekuatan Aqidah Islamiyah


Aqidah adalah merupakan satu ikatan keyakinan yang mengikat diri seseorang, pemikiran seseorang hati seseorang dengan suatu kepercayaan yang dia yakini dan dengan itu kehidupannya menjadi satu kehidupan yang terarah dan terpimpin.

Aqidah bukan hanya mencorakkan minda atau pemikiran tetapi juga perasaan interaksi, sikap, sahsiah dan struktur budaya, sistem hidup dan akhlak seseorang. Aqidah merujuk kepada keyakinan bahawa sumber nilai norma dan hukum hakam ialah Allah SWT yang maha esa. Segala-galanya dijadikan berkhidmat untuk Allah, sesuai dengan kehendak Allah.

Maksud firman Allah :" Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah:177.)

Sabda Nabi SAW “ Iman adalah hendaknya engkau percaya pada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasulNya, dan kamu percaya pada hari kemudian dan kepada qadar (ketentuan) yang baik mahupun yang buruk". ( HR Muslim)

Aqidah Islam selaras dengan fitrah manusia. Allah berfirman:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا

Maksudnya " Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".(Surah Al-Rum 30).

Kerana kita datang dari Allah Taala

يأيها الناس اعبدوا ربكم الذى خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون

" Wahai sekalian manusia! Beribadatlah (mengesakan dan taat) kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang –orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa”. (S. al-Baqarah:21).


Firman Allah Taala yang brmaksud:"Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina. Kemudian dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur". (As-Sajadah: 7-9).


"Demi jiwa serta penyempurnaan ciptaanNya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu bertambah–tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut (rosak) dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”. (As Shams: 7 - 10).


Dan kepada Allah pula kita akan kembali samada membawa bekalan keuntungan atau kerugian.

"Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, Kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan. Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, Maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." ( As-Sajdah:11-12). Ketika itu sudah tiada lagi gunanya penyesalan.



Pentingnya aqidah islamiyah pada diri seseorang insan pada segenap sudut hidupnya:

1. Bahawa keperluan kita terhadap aqidah adalah di atas segala kepentingan sebab tidak ada kebahagiaan , kenikmatan, dan kegembiraan bagi hati kecuali dengan beribadah kepada Allah Rabb pencipta segala sesuatu.

2. Bahawa aqidah islamiyah adalah kewajiban yang paling besar dan yang paling ditekankan dalam kehidupan, kerana semua rasul diutuskan untuk menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah yang esa. Sabda Rasulullah SAW: "Aku diperintah untuk memerangi manusia sampai mereka bersaksi bahwa tidak ada sembahan yang lain kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. (HR Bukhori dan Muslim)

3. Bahawa aqidah islamiyah adalah satu-satunya aqidah yang boleh mewujudkan keamanan. Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 112. "(Tidak demikian) bahkan barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, Maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati".

4. Demikian pula , hanya aqidah islamiyalah satu-satunya aqidah yang boleh mewujudakan kecukupan dan kesejahteraan . Allah berfirman. "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya". (Surah Al-'Araf : 96) .

5. Sesungguhnya aqidah islamiyah adalah kekuatan sehingga dapat berkuasa di muka bumi dan sebab bagi berdirinya daulah islamiyah. "Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah Kami tulis dalam Lauh Mahfuz bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang sholeh".


Orang yang beriman tidak boleh membuat pilihan sendiri di dalam sesuatu hukum malah ia mesti menerima segala hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasul – Nya. Firman Allah :

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة اذا قضى الله ورسوله امرا ان يكون لهم الخيرة من امرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا.

Maksudnya : Tidaklah harus bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan rasulnya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum – hukum Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”. (Al-Ahzab: 26).


Bagi membina aqidah yang jitu, mestinya kita mengabdikan diri hanya kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu yang lain. Hendaklah kita merasa takut kepada Allah semata-mata dan tidak takut kepada yang selain daripadaNya. Dan ketakutan kita kepada Allah seharusnyalah menjadi pendorong untuk kita menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dimurkai dan diharamkan oleh Allah SWT. Kita juga mestilah sentiasa mengingati Allah SWT dalam apa jua suasana dan mestilah mencintai Allah SWT lebih daripada kecintaan terhadap perkara-perkara yang lain.


Kita perlu bertawakkal (serah diri) kepada Allah SWT dan kita bertawakkal ini hendaklah dalam semua urusan dan perkara. Disamping itu perbanyakkan bersyukur terhadap nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita dan sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT dan bertaubat kepadaNya kerana taubat itu merupakan kifarat bagi segala kesalahan disamping menjadi penenang hati bagi mereka yang insaf dan sedar. Akhir sekali, untuk kita memperolehi aqidah yang benar perlulah kita sentiasa di dalam keadaan bermuraqabah terhadap Allah SWT (merasai bahawa Allah melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan) baik dalam keadaan terang atau pun tersembunyi.


Mudah-mudahan dengan kekuatan aqidah islamiyah yang kita miliki dapat menepis segala arus jahiliyyah moden kini. Fikiran dan jiwa kita terpelihara dari tipu daya musuh Islam. Selain itu, Allah Taala sentiasa mengawasi kita sehingga kita menemuiNya dengan tenang dan dalam keredhaanNya.

7 Januari 2009

Antara sikap kita dengan 'MEMBACA'

Oleh KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM

MENGAPA kita dikatakan kurang membaca? Adakah disebabkan pengaruh kajian membaca kebangsaan? Sejauh manakah kebenaran itu? Bolehkah ia dibuktikan dengan kajian pemerhatian sendiri?. Apakah kajian itu mengambil kira faktor-faktor mengapa keadaan sebegitu berlaku? Adakah kita perlukan kajian penanda aras ke atas budaya membaca kita berbanding dengan negara-negara yang mempunyai tahap membaca yang tinggi?

Itu adalah antara persoalan yang berlegar-legar di fikiran penulis ketika melihat senario di kalangan masyarakat kita apabila menyentuh tentang budaya membaca. Tidak keterlaluan untuk penulis katakan bahawa purata dua buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam. Angka itu masih boleh dipersoalkan walaupun negara telah menyaksikan bahawa penambahan jumlah pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Penganjuran pesta itu dikatakan telah mencapai matlamat apabila menerima kunjungan lebih 1 juta pengunjung. Atau penambahan pembaca buku-buku popular, tetapi seperti yang diucapkan oleh Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-Kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979 dahulu bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Bahan bacaan perlu dipilih. Ini kerana membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu.

Kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya dua buah buku secara purata dibaca oleh rakyat Malaysia dalam setahun? Tentunya bersebab. Daripada pemerhatian dan pembacaan penulis, didapati bahawa:

Membaca tidak menjadi budaya orang Malaysia

Faktor ini mungkin didorong oleh kesibukan masa yang diperuntukkan untuk bekerja. Sekurang-kurangnya dua jam atau lebih dihabiskan di atas jalan raya untuk pergi ke tempat kerja dan kembali ke rumah. Apabila sampai di rumah, penat dan letih. Mungkin juga kerana semasa di bangku sekolah, tidak ditekankan kepentingan membaca, kecuali buku-buku teks. Mungkin juga kerana pengaruh ibu bapa atau keluarga yang tidak menitikberatkan budaya membaca. Tidak pernah dihadiahkan buku, dan tidak pernah terfikir bahawa buku itu penting dan membaca itu penting. Mungkin juga kerana pengaruh media massa yang semakin menjauhkan penontonnya dengan buku, sebaliknya menjadikan artis itu sebagai idola utama mereka.

Pengaruh suasana dan faktor sekeliling

Mungkin telah menjadi amalan kita untuk membaca dalam keadaan sunyi. Seperti mana yang seringkali menjadi amalan di dalam sesebuah perpustakaan disuruh diam. Memang amalan itu tidak salah tetapi kesannya secara tidak sedar ialah kita turut terpengaruh untuk membaca di dalam keadaan sunyi. Kerana itulah agak sukar untuk kita membaca di dalam LRT, bas atau di tempat-tempat awam.

Malah mungkin persepsi orang ramai bahawa orang yang membaca (terutamanya di tempat-tempat awam) adalah untuk menunjuk-nunjuk, dan memberikan gambaran ‘negatif’ bahawa pembaca itu ‘ulat buku’ yang tidak boleh dibuat kawan (kerana hanya berkepit dengan buku). Ulat buku mungkin dianggap antisosial atau antisukan. Persepsi-persepsi sedemikian amat berbahaya kerana ia akan menjauhkan buku dengan masyarakat.

Harga buku yang dianggap mahal

Mungkin ini juga antara faktor utama untuk tidak membaca. Harga buku yang mahal mungkin disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti kadar tukaran wang asing yang tinggi yang menyebabkan harga buku import menjadi mahal, kos penerbitan dan percetakan yang tinggi, dan keengganan kita sendiri untuk keluarkan wang dari saku untuk membeli buku. Apatah lagi dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, maka perbelanjaan perlulah dirancang dengan memasukkan elemen buku sebagai belanja wajib seperti mewajibkan makanan lain yang sentiasa dibeli.

Merasakan membaca tidak penting

Mungkin sifat untuk merasakan tidak ada kepentingan untuk membaca merupakan antara faktor utama rakyat Malaysia kurang membaca. Sama ada sebagai seorang bekas mahasiswa universiti atau bekas pelajar sekolah, kebanyakan daripada kita tidak mahu memegang buku apatah lagi membacanya. Ini juga satu kemungkinan. Hasil pemerhatian penulis, didapati amat kurang daripada mereka yang mahu membaca. Dan tidak ada satu perasaan gembira dan keseronokan untuk membaca. Sehingga seterusnya memberikan alasan kerana pengaruh masa (kerja) yang membatasi mereka daripada membaca. Mungkin kerana memikirkan bahawa buku tidak akan memberi sebarang faedah secara langsung kepada mereka, jika dibandingkan dengan perkara-perkara lain. Misalnya, dengan membeli kereta (atau bertukar-tukar kereta), secara langsung memberikan kepuasan kepada mereka dari segi nilai estetik dan kemewahan.

Inilah antara persoalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu dalam usaha kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya.

( PENULIS ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Setiausaha Agung, Komuniti bukuonline.org)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
........................................................................................

Kita akan berbicara dan membuka minda lagi berkenaan membaca. Mungkin kawan-kawan telah mendapat beberapa isi penting berkenaan sikap membaca di kalangan kita masyarakat Malaysia (mungkin Melayu kot) apabila membaca penulisan di atas. Apa faedah yang kawan-kawan telah perolehi? Fikir-fikirkan...

Kekuatan diri kita dan pengaruh sekeliling cukup penting untuk membentuk sesuatu biah (suasana) samada suasana yang baik atau buruk. Oleh itu, kesepakatan, tolak ansur, kerjasama dan sebagainya amat penting bagi membentuk sebuah masyarakat membaca. Pelbagai pihak, dari peringkat atasan (pemerintah) hingga ke peringkat institusi keluarga perlu memainkan peranan bersama.

Walau bagaimanapun, sepertimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, bahawa sesuatu bahan bacaan lama kelamaan akan mempengaruhi minda seseorang pembaca. Diri mereka akan terbentuk secara tidak langsung dengan sesuatu bahan bacaan yang mereka gemari. Mungkin kita boleh renung-renungkan dan perhatikan sikap masing-masing pembaca komik, majalah hiburan, majalah fesyen, buku motivasi, novel, buku-buku agama, politik dan lain-lain. Buat perbandingan antara mereka. Cukup cuma di kalangan kawan-kawan sekeliling kita.

Maka, pemilihan bahan bacaan yang baik amat penting bagi membentuk peribadi individu dan masyarakat. Bukan sahaja keluarga iaitu ibu bapa yang hanya memainkan peranan untuk menjaga anak-anak mereka tetapi penjual, penerbit hinggalah kepada pemerintah. Jika kita mengharapkan kesejahteraan dan peradaban mulia masyarakat kita maka perlulah korbankan sedikit sifat keduniaan.