Sudah seminggu kita berada di awal bulan Hijriah 1433. Dan esok merupakan hari 9 Zulhijjah, hari yang menjadi cita-cita Rasulullah SAW untuk berpuasa sunat yang mana kebiasaaan Baginda SAW berpuasa pada 10 Zulhijah. Oleh itu mari kita bersama-sama menunaikan sunnah Rasulullah SAW dan mendapatkan fadhilat amalan tersebut.
-----------------------------------------------
Pada
bulan Muharram ini, disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a’ (9hb) dan
Asyura’ (10hb) berdasarkan perbuatan nabi SAW dan sarananya kepada kita
semua. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa:
Ketika
Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan menyuruh berpuasa
padanya, mereka berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah hari
kebesaran orang Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW berkata: Pada
tahun hadapan, jika diizinkan Allah kita akan berpuasa pada hari
kesembilan. Dia (perawi) berkata: Sebelum sempat sampai tahun
berikutnya, Rasulullah SAW wafat. (Riwayat Muslim)
Puasa pada 10hb Muharram mempunyai sebab yang tersendiri. Ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa:
Apabila
nabi SAW sampai di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa
pada hari Asyura’, maka nabi SAW bertanya: Ada apa (dengan hari ini)?
Mereka menjawab: Ini adalah hari baik, ini adalah hari yang Allah
selamatkan bani Israel daripada musuh mereka, maka nabi Musa berpuasa
pada hari ini. Nabi SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan nabi Musa
berbanding kamu, baginda pun berpuasa dan menyuruh berpuasa padanya.
(Riwayat al-Bukhari)
Jika diteliti daripada hadith di atas, hukum asal puasa adalah pada
tarikh 10hb iaitu Asyura’ sahaja, namun bagi membezakan dengan Yahudi
maka nabi SAW menyatakan puasa pada tanggal 9hb iaitu Tasu’a’ juga.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Hendaklah
kamu berpuasa hari Asyura’ dan bezakanlah dengan Yahudi, maka puasalah
sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Riwayat Ahmad)
Maka berpuasa hanya pada 10hb iaitu Asyura’ sahaja tidak digalakkan, ia
mesti bergandingan dengan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya,
bahkan terdapat pandangan yang mencadangkan agar berpuasa sebanyak tiga
hari iaitu 9,10 dan 11 Muharram. Tujuannya adalah agar berbeza dengan
amalan Yahudi. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Adalah
nabi SAW suka menyamai ahli Kitab dalam perkara yang tidak ada perintah
padanya, lebih-lebih lagi dalam perkara yang membezakan dengan
penyembah berhala. Apabila Kota Mekah dibuka dan Islam semakin dikenali,
nabi SAW suka berbeza daripada ahli Kitab juga sebagaimana yang thabit
dalam (riwayat) yang sahih, dan ini (puasa 9hb dan 11hb Muharram)
termasuk daripadanya. Pada mulanya nabi SAW menyamai mereka dan
bersabda: Kami lebih berhak dengan Musa berbanding kamu, kemudian nabi
SAW suka berbeza daripada mereka, lalu memerintahkan agar ditambah
kepadanya (10hb) sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Ibn Hajar, Fathu
al-Bari)
Selain daripada tujuan untuk membezakan daripada amalan Yahudi,
terdapat pendapat yang menyatakan bahawa suruhan gandingan berpuasa pada
hari Tasu’a’ dan Asyura’ adalah sebagai langkah ihtiati (ambil
pendapat yang lebih berat) dalam kemungkinan kesalahan mengira awal
bulan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang kitab al-Fiqh
al-Manhaji:
Dan
sesungguhnya hikmah puasa hari Tasu’a’ dengan Asyura’ ialah sebagai
ihtiati kemungkinan kesilapan pada awal bulan, dan untuk membezakan
dengan Yahudi, mereka berpuasa pada hari kesepuluh. Sebab itu disunatkan
berpuasa pada hari kesebalas jika hanya berpuasa Asyura’ tanpa Tasu’a’.
(Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhabi
al-Imam al-Shafie)
Fadhilat puasa Asyura’
Walaupun berpuasa pada hari Asyura’ hukumnya adalah sunat, iaitu
sesiapa yang ingin berpuasa boleh melaksanakannya dan bagi yang tidak
mahu berpuasa boleh meninggalkannya, namun fadhilatnya cukup besar. Maka
sepatutnya kita tidak melepaskan peluang yang datang hanya sekali
setahun sahaja. Tambahan pula bulan Muharram ini sekarang berada dalam
musim sejuk seperti di Jordan ini, yang siangnya pendek tidak sampai dua
belas jam pun untuk kita berpuasa. Fadhilat ini sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Abu Qatadah bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Berpuasa pada hari Asyura’ aku mengira bahawa Allah akan mengampunkan (dosa) setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim)
Sekiranya tiada sebarang keuzuran, rebutlah peluang ini tanpa
membiarkan hari penting ini berlalu begitu sahaja. Jika kita tidak dapat
merebut level tertinggi jangan pula kita terlepas level yang paling rendah. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Peringkat
berpuasa padanya ada tiga; yang paling sempurna ialah berpuasa juga
sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Peringkat) Selepas itu ialah
berpuasa hari kesembilan dan kesepuluh, ia berdasarkan kebanyakan
hadith. Kemudian (peringkat) seterusnya ialah berpuasa hanya pada hari
kesepuluh sahaja. (Ibn al-Qaiyim, Zaad al-Ma’ad)
Kesimpulannya, Muharram adalah salah satu daripada bulan-bulan haram.
Jangan lepaskan peluang berpuasa sunat pada Tasu’a’ dan Asyura’ dalam
bulan ini
Sumber: Anhar Opir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...