23 Disember 2011

MEMAHAMI POLITIK ISLAM

Ditulis oleh Presiden PAS Khamis, 22 Disember 2011 16:50


Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah :
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَافَّةً فَلَوْلاَ نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُواْ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)
Sabda Rasulullah S.A.W.
مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam  perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada  kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.
Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia  juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain. 

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya yang bermaksud :

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.
Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura  pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS. PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya  sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman  dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.
Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.
Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib  menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
الشَّيْطَانُ ذِئْبُ ابْنِ آدَمَ كَذِئْبِ الْغَنَمِ ، فَإِنَّ الذِّئْبَ يَجِيءُ فَيَأْخُذُ الشَّاذَّةَ وَالنَّاحِيَةَ وَالْمُنْفَرِدَةَ ، فَالْزَمُوا الْعَامَّةَ
(Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.
Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.


Khadam Perjuangan Islam

22 Disember 2011

FEQAH DAKWAH DALAM HADIS RASULULLAH S.A.W


Antara kaedah penting yang perlu diketahui oleh para pendakwah ialah, setiap seruan itu memiliki dua ukuran yang berlainan. Ada ukuran yang boleh kita siar-bicarakan untuk tatapan umum, dan ada juga yang mesti di-khususkan (tidak boleh disebut melainkan orang yang benar-benar faham). Masyarakat biasa dikategorikan di tempat yang umum, manakala mereka yang terpelajar dan mampu memahami nilai perbicaraan tanpa menimbulkan fitnah, maka mereka ini dikategorikan di tempat yang khusus.

Dalam sejumlah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan juga Muslim, hal ini turut dinyatakan oleh Al Imam Al Allamah Al Qasimi RH di dalam kitab-nya, Qawa’id At Tahdis : “Tidak semua hadis sahih itu boleh engkau bicarakan ke pangkuan awam. Buktinya hadis yang pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan juga Imam Muslim, dari Muaz RA katanya, “Ketika aku di belakang Baginda SAW di atas seekor keldai lalu Baginda bersabda; Wahai Muaz, apakah engkau tahu tentang hak Allah ke atas hamba-hambaNYA, dan apakah dia hak hamba-hambaNYA kepada Allah? Aku berkata, “Allah dan RasulNYA lebih mengetahui”. Kemudian Baginda menyambung, “Sesungguhnya hak Allah ke atas hambaNYA ialah mereka menyembahNYA dan tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu, dan hak hamba-hambaNYA ke atas Allah ialah tidak mengazab sesiapa yang tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu”. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah boleh aku beritahu kepada orang ramai? Rasulullah menjawab, “Jangan engkau beritahu kepada mereka, mereka akan menjadi malas (tidak beribadat)”.  Yakni, hanya berpegang dengan maksud zahir hadis ini dan tidak mahu menambah amalan-amalan soleh yang lain.

Muaz RA mengkhabarkan hal ini sewaktu saat-saat beliau hampir menemui ajal, kerana khuatir ia menjadi dosa.Penegahan di sini adalah kerana maslahah (suatu kepentingan yang perlu dipelihara), bukan mengharamkan maklumat ini dari sampai ke pengetahuan umat, berdasarkan maksud zahir hadis, “Sampaikan kepadaku walau sepotong ayat”. Imam Bukhari menghuraikan maksud hadis ini sebagai saranan kepada para pendakwah hendaklah mengkhususkan sesuatu ilmu pengetahuan kepada satu kelompok manusia dan tidak kepada kelompok yang lain, kerana bimbang jika kelompok yang lain itu tidak memahaminya lalu ia menjadi fitnah (porak-peranda).
Manakala Ibn Mas’ud RA berkata mengenai hadis ini, “Jangan engkau memperkatakan kepada satu kaum sebuah hadis yang tidak difahami oleh akal mereka, aku khuatir ia menjadi fitnah kepada sesetengah mereka”.
Hakikat ini dijelaskan oleh Saidina Ali R.A, “Sampaikan kepada sekalian manusia apa yang sampai ke akal pengetahuan (kefahaman) mereka, adakah kamu suka melakukan pendustaan terhadap Allah dan Rasul-NYA?
Di dalam pengajian Usul Dakwah yang pernah disampaikan oleh Dr.Tola’at Mohamad Afifi, pensyarah di Universiti Al Azhar, beliau menyebut; Jika terdapat sebuah hadis yang mampu mempengaruhi (kerana nilai mistik, ajaib dan lain-lain lagi) kepada orang ramai (walaupun sahih), sedangkan ia tidaklah mustahak, tidak menjadi dalil yang menentukan sesuatu hukum, ataupun jika orang ramai tidak mendengar hadis tersebut sepanjang hayatnya hal itu tidak mengurangi nilai agama mereka, maka tidak perlulah ia dihebahkan tanpa keperluan yang wajar.

Maka hadis-hadis yang mengandungi butiran-butiran yang sukar difahami oleh akal manusia seperti kisah Nabi Musa AS menampar Malaikat Maut, hadis-hadis yang mengandungi perselisihan Salaf dan Khalaf sekitar masalah sifat-sifat khabariyyah dan fie’liyyah bagi Allah Taala, hadis mengenai penyakit dan penawar yang ada pada sayap lalat, jika tidak ada keperluan yang memaksanya untuk disebut, tidak perlulah ia ditimbulkan. Oleh kerana itu, setiap pendakwah yang gemar menarik para pendengar dengan keunikan-keunikan bicaranya bersandarkan keabsahan dalil, maka awal-awal lagi dia perlu meletakkan setiap matlamat bicaranya itu di tempat yang betul sekalipun sumbernya sahih, di samping turut bertujuan menghilangkan keraguan dan kekeliruan orang ramai.
Boleh jadi apa yang mahu ditampilkan oleh seseorang pendakwah itu benar, tetapi hasilnya kurang benar kerana tidak menilai dahulu kesesuaian intelek para mad’u-nya. Apalagi hari ini hal-hal sedemikian rupa bukan sekadar boleh didengar, malah boleh dibaca, boleh ditulis oleh sesiapa jua sekalipun mereka ‘bukan ahli’ yang mampu untuk memahaminya. Akibatnya, timbullah perkara-perkara yang mengelirukan masyarakat dan bercanggah dengan hakikat sebenar. Bid'ah qunut, bid’ah tarawih 20 rakaat, bid’ah maulid, bid’ah solat sunat sebelum solat jumaat dan sebagainya itu merupakan manifestasi kecelaruan.

Inilah bahayanya bila kita mahu bercakap tentang agama semahunya tanpa melihat asas-asas yang lain. Kita perlu mengetahui bahawa adanya tadarruj  dalam men-tarbiyah manusia, tanawwu’  dalam menyampaikan sesuatu ilmu kepada setiap kategori mereka. Lihatlah mengenai hakikat hadis ini, jika dalam hal menyampaikan kebenaran sebuah hadis-pun Para Sahabat R.A sangat berhati-hati kerana khuatir ia di-salah fahami, apatah lagi dalam komunikasi biasa sesama mereka. Berbeza dengan umat manusia hari ini yang suka menggunakan ruang bercakap seluas-luasnya tanpa menyedari adakala ia mempunyai petaka fitnah atau malapetaka lain yang bakal menimpa dari akibat enaknya kita meluncurkan bicara.Semoga Allah men-tarbiyah saya dan kita semua.

Rujukan: TARBAWI

14 Disember 2011

Pattani: Akhbar Malaysia tidak siarkan

Pada khamis 7/12 lalu di Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia pertemuan diantara Pattani United Liberation Organization atau PULO dengan beberapa pertubuhan Islam termasuk Persatuan Islam, Al Ittihadiyah dan media media Islam.

Pattani United Liberation Organization, PULO merupakan satu organisasi Islam yang berjuang untuk kemerdekaan Pattani dari kekejaman Rejim Thailand.

Dalam perbahasan dimajlis tersebut, Ustadz Abu Jihad dari PULO mengemukakan keprihatinanya atas penjajahan yang dilakukan pemerintah Thailand terhadap umat muslim di Pattani. Ia mendedahkan bahwa hingga detik ini kehidupan muslim di selatan Thailand tidak banyak berbeza, bahkan semakin buruk. Walaupun sudah bertukar tampuk kepimpinan PM Thailand dari Abhisit Vejjajjiva kepada Yingluck Shinawatra yg tidak banyak menghasilkan apa-apa perkembangan positif.

Pemerintahan Darurat tentera masih diteruskan, bahkan sekarang penambahan pasukan tentera semakin ramai,” katanya.

Sebelum pilihanraya, Parti Phuea Thai berjanji akan mengurangi jumlah tentara mereka di daerah Pattani. Mereka juga bersedia memberikan lapangan pekerjaan bagi para penduduk Pattani. Namun janji itu hanya tinggal janji.

Ustaz Abu Jihad juga berkata “sejumlah fakta yang menimpa para rakyat dan wanita Pattani termasuk diambil kesempatan pasukan tentera Thailand membuat kekacauan banyak kes para istri Melayu dirogol oleh tentara Thailand,” tambahnya lagi.

Sayangnya, berita ini jarang diketahui orang luar. Negara jiran yg dekat seperti Malaysia pun tidak banyak mengungkap kesah ini. "akhbar akhbar di Malaysia tidak berani menyiarkan. Berita pembunuhan penjajah tentera Thailand tidak ada, yang ada pula berita pejuang Pattani yang membunuh tentara Thailand," kata nya dengan rasa kecewa.

Kerajaan Thailand memang menutup rapat maklumat mengenai ketidakadilan terhadap muslim Pattani. Supaya kekejaman tentara Thailand tidak sampai ke media antarabangsa.PULO atau Pattani United Liberation Organization ditubuhkan pada tahun 1968 di Pakistan dan disahkan di Arafah oleh para ulama Pattani. Penggagas utama PULO adalah Kabir Abdurrahman. – ahmadzimar teks asal e/muslim.

Sumber: NurMuhammed

13 Disember 2011

Iblis: Makhluk pertama membuat perbandingan salah


Perbandingan Iblis dengan Nabi Adam a.s.

Surah al-A’araf ayat 11-12:
 
" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah Taala berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah. "

Dari ayat ini Allah Taala telah mengisahkan berkenaan keingkaran iblis terhadap perintah Allah dan membandingkan dirinya dengan Adam a.s.  Al- Imam Hasan al-Basri telah menyebutkan bahawa: Iblis telah membuat perbandingan dan dialah makhluk pertama yang membuat perbandingan. Manakala Muhammad bin Sirin berkata: makhluk pertama yang membuat kiasan adalah iblis dan matahari itu disembah dan bukannya bulan tidak lain adalah dengan sebab ada perbandingan (berbeza). Iblis telah memandang bahawa dirinya lebih mulia dari Adam. Maka dia menolak untuk bersujud kepada Adam a.s. sedangkan wujud perintah kepadanya dan seluruh malaikat untuk bersujud (kepada Adam).

Dan al-qiyas (kiasan/bandingan) itu apabila berlawanan dengan nas (al-Quran dan as-Sunnah) maka ia menjadi suatu iktibar yang rosak. Kemudian ia menjadi fasad (rosak) pula pada dirinya.

Maka sesungguhnya tanah itu lebih bermanfaat dan bersifat baik dari api, kerana tanah itu padanya bersifat sopan (bertakung air), lembut, tenang dan tumbuh. Dan pada api pula bersifat tidak tentu arah/tujuan, berkilau, cepat (tergesa-gesa), dan membakar.

Kemudian Allah Taala telah memuliakan Adam dengan menciptanya melalui tanganNya dan meniupkan pada penciptaan itu dari ruhNya. Dan kerana inilah Allah Taala telah memerintahkan malaikat sujud kepada Adam a.s.

Dalam kitab safwatu tafasir, Syeikh Muhammad ‘Ali as-Sobuni menyebutkan bahawa sebab iblis menolak perintah Allah Taala untuk sujud kepada Adam pada firman Allah Taala:
خلقتني من نار و خلقته من طين
Iaitu: Aku (iblis) lebih mulia daripadanya (Adam) kerana kemuliaan unsurku (kejadianku) melebihi darinya, kerana aku makhluk dari api dan api lebih mulia dari tanah. Sedang iblis yang miskin itu tidak memerhati pada perintah/arahan itu siapa yang telah memerintahnya supaya sujud, iaitulah Allah Taala (yang telah menjadikan dia dan sekalian makhluk).

Pengajaran:

Sifat sombong dan membandingkan kelebihan diri dengan orang lain akan memakan amalan baik kita dan diri sendiri (jatuh dalam kesalahan); kecuali membandingkan dengan seseorang untuk mengikut contoh yang baik padanya.


Rujukan: Qososul Anbiya': Ibnu Kathir, Safwah at-Tafasir: al-Imam as-Sobuni, terjemahan Al-Quran-Darul Iman.
Muzakarah Berkelompok Abu Dzar al-Ghifari, 2011.

4 Disember 2011

Puasa sunat 10 Muharam


Sudah seminggu kita berada di awal bulan Hijriah 1433. Dan esok merupakan hari 9 Zulhijjah, hari yang menjadi cita-cita Rasulullah SAW untuk berpuasa sunat yang mana kebiasaaan Baginda SAW berpuasa pada 10 Zulhijah. Oleh itu mari kita bersama-sama menunaikan sunnah Rasulullah SAW dan mendapatkan fadhilat amalan tersebut.  

-----------------------------------------------
Pada bulan Muharram ini, disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a’ (9hb) dan Asyura’ (10hb) berdasarkan perbuatan nabi SAW dan sarananya kepada kita semua. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa:
Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan menyuruh berpuasa padanya, mereka berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah hari kebesaran orang Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW berkata: Pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan. Dia (perawi) berkata: Sebelum sempat sampai tahun berikutnya, Rasulullah SAW wafat. (Riwayat Muslim)    
Puasa pada 10hb Muharram mempunyai sebab yang tersendiri. Ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa:
Apabila nabi SAW sampai di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’, maka nabi SAW bertanya: Ada apa (dengan hari ini)? Mereka menjawab: Ini adalah hari baik, ini adalah hari yang Allah selamatkan bani Israel daripada musuh mereka, maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Nabi SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan nabi Musa berbanding kamu, baginda pun berpuasa dan menyuruh berpuasa padanya. (Riwayat al-Bukhari)  

Jika diteliti daripada hadith di atas, hukum asal puasa adalah pada tarikh 10hb iaitu Asyura’ sahaja, namun bagi membezakan dengan Yahudi maka nabi SAW menyatakan puasa pada tanggal 9hb iaitu Tasu’a’ juga. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Hendaklah kamu berpuasa hari Asyura’ dan bezakanlah dengan Yahudi, maka puasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Riwayat Ahmad)

Maka berpuasa hanya pada 10hb iaitu Asyura’ sahaja tidak digalakkan, ia mesti bergandingan dengan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya, bahkan terdapat pandangan yang mencadangkan agar berpuasa sebanyak tiga hari iaitu 9,10 dan 11 Muharram. Tujuannya adalah agar berbeza dengan amalan Yahudi. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Adalah nabi SAW suka menyamai ahli Kitab dalam perkara yang tidak ada perintah padanya, lebih-lebih lagi dalam perkara yang membezakan dengan penyembah berhala. Apabila Kota Mekah dibuka dan Islam semakin dikenali, nabi SAW suka berbeza daripada ahli Kitab juga sebagaimana yang thabit dalam (riwayat) yang sahih, dan ini (puasa 9hb dan 11hb Muharram) termasuk daripadanya. Pada mulanya nabi SAW menyamai mereka dan bersabda: Kami lebih berhak dengan Musa berbanding kamu, kemudian nabi SAW suka berbeza daripada mereka, lalu memerintahkan agar ditambah kepadanya (10hb) sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Ibn Hajar, Fathu al-Bari)

Selain daripada tujuan untuk membezakan daripada amalan Yahudi, terdapat pendapat yang menyatakan bahawa suruhan gandingan berpuasa pada hari Tasu’a’ dan Asyura’ adalah sebagai langkah ihtiati (ambil pendapat yang lebih berat) dalam kemungkinan kesalahan mengira awal bulan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:
Dan sesungguhnya hikmah puasa hari Tasu’a’ dengan Asyura’ ialah sebagai ihtiati kemungkinan kesilapan pada awal bulan, dan untuk membezakan dengan Yahudi, mereka berpuasa pada hari kesepuluh. Sebab itu disunatkan berpuasa pada hari kesebalas jika hanya berpuasa Asyura’ tanpa Tasu’a’. (Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhabi al-Imam al-Shafie)

Fadhilat puasa Asyura’
Walaupun berpuasa pada hari Asyura’ hukumnya adalah sunat, iaitu sesiapa yang ingin berpuasa boleh melaksanakannya dan bagi yang tidak mahu berpuasa boleh meninggalkannya, namun fadhilatnya cukup besar. Maka sepatutnya kita tidak melepaskan peluang yang datang hanya sekali setahun sahaja. Tambahan pula bulan Muharram ini sekarang berada dalam musim sejuk seperti di Jordan ini, yang siangnya pendek tidak sampai dua belas jam pun untuk kita berpuasa. Fadhilat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Berpuasa pada hari Asyura’ aku mengira bahawa Allah akan mengampunkan (dosa) setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim)

Sekiranya tiada sebarang keuzuran, rebutlah peluang ini tanpa membiarkan hari penting ini berlalu begitu sahaja. Jika kita tidak dapat merebut level tertinggi jangan pula kita terlepas level yang paling rendah. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Peringkat berpuasa padanya ada tiga; yang paling sempurna ialah berpuasa juga sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Peringkat) Selepas itu ialah berpuasa hari kesembilan dan kesepuluh, ia berdasarkan kebanyakan hadith. Kemudian (peringkat) seterusnya ialah berpuasa hanya pada hari kesepuluh sahaja. (Ibn al-Qaiyim, Zaad al-Ma’ad)

Kesimpulannya, Muharram adalah salah satu daripada bulan-bulan haram. Jangan lepaskan peluang berpuasa sunat pada Tasu’a’ dan Asyura’ dalam bulan ini

Sumber: Anhar Opir

27 November 2011

Fiqh As-Siasah As-Syar'iyah Satu Pengenalan


Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Agak terkejut juga saya bila ada seorang kawan (mahasiswa di sini juga) mengatakan bahawa "semua politik sama je.." dengan nada sinis, apabila terbaca 'Freedom And Justice Party'. Seolah-olah semua politik kotor dan rosak begitu juga dengan parti-parti berpolitik. Lupakah kita pada Siasah Syar'iyah Islamiyah ?
---------------
Muqaddimah
Perkara siasah syar'iyyah yang berbangkit daripada kewajipan khalifah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala kepada manusia di atas muka bumi. Ia merupakan bidang yang sangat penting dan dilupakan oleh orang Islam di zaman mutakhir ini akibat malapetaka pemikiran serangan musuh-musuh Islam ke atas umat Islam.
Catatan ini saya bangkitkan sebagai memperkenalkan fiqh As-siasah As-syar'iyyah secara ringkas kerana الحكم على الشىء فرع عن تصوره

Pengertian Fiqh As-Siasah As-Syar'iyyah
Fiqh bermakna الفهم ( memahami ) dan العلم ( mengetahui ) .
Firman Allah Taala :
"لا يكادون يفقهون حديثا  - اى لا يفقهون"
Manakala السياسه  berasal dari perkataan: ساس يسوس  سياسة bermaksud mentadbir sesuatu urusan dengan perkara yang memberi maslahah.
Di dalam hadis : "كان بنى اسرائيل تسوسهم ابنائهم"

Perkataan siasah menurut pandangan ulama' silam, merujuk kepada dua makna, umum dan khusus.
Maknanya yang umum adalah mentadbir urusan manusia berhubung hal keduniaan mereka dengan syariat agama. Justeru mereka menakrifkan khilafah :
نيابه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فى حراسة الدين وسياسة الدنيا به
Maksudnya: menggalang ganti dari Rasulullah dalam menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengannya (agama).
Adapun makna-makna yang khusus adalah pandangan-pandangan imam atau hukum-hukum dan peraturan yang dikeluarkan oleh imam sebagai mencegah dari berlakunya kerosakkan atau untuk menghindari dari wujudnya suasana yang rosak.
Mafhum siasah syar'iyyah yang dikehendaki adalah siasah yang ditegakkan di atas dasar syarak.
Berkata ulama' Syafie: لا سياسة الا ما وقف الشرع

As-siasah As-syar'iyyah : antara usul dan furu'
Sebahagian dari hukum siasah syar'iyyah berpindah daripada kitab-kitab furu' ke kitab- kitab usul iaitu Usuluddin. Kitab-kitab aqidah atau tauhid membahaskan maudu' imamah atau khalifah. Syiah Imamiah menganggap permasalahan imamah (pemerintahan/kepimpinan) adalah daripada usuluddin dan sebahagian dari aqidah di sisi mereka sehingga menyebabkan ulama' Ahli Sunnah membincangkanya dalam kitab-kitab aqidah mereka walaupun ianya di sisi Ahli Sunnah termasuk dalam perkara furu' kerana ia bersangkut dengan amal perbuatan bukannya dengan aqidah.
Namun ianya tidak boleh dijadikan hujah untuk mempermudahkan dalam perkara ini kerana Islam bukan terdiri daripada aqidah semata-mata tetapi juga melibatkan amal. Solat dan zakat umpamanya perkara furu' bukan usul tetapi sesiapa yang mengingkari kewajipannya atau mempermudahkannya boleh menjadikan ia kafir. Begitu juga dengan imamah atau berhukum dengan hukum Allah daripada perkara furu' tetapi iktiqad wajib mengimaminya adalah perkara usul dan termasuk dalam soal keimanan.

(sambungan boleh rujuk pada sumber di bawah)

Sumber: DUPP

18 November 2011

Muzakarah Berkelompok lagi....

(Lagi2 MB... baca dulu sebelum menilai)
Sudah lama tidak update blog ni. Sudah sebulan berlalu. Walaupun http://www.blogger.com dah up to date. Kali ini nak citer lagi tentang Muzakarah Berkelompok yang merupakan satu nama dari pelbagai nama namun matlamatnya sama, isinya tidak jauh berbeza. Kita akan rasai kepentingannya jika kita mengambil penting akan MB. Ok, baca hingga habis... Selamat membaca.


Kepentingan Muzakarah Berkelompok (MB) menjadi tunjang kepada gerakan dakwah yang dibawa oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan ia merupakan kunci penting dalam memastikan kelangsungan dakwah di kalangan mahasiswa/wi Islam terus subur.
PMRAM begitu optimis menggerakkan MB di seluruh peringkat samada di Kaherah mahupun di muhafazah kerana ia merupakan sunnah para pejuang agama Allah semenjak zaman Nabi Muhammad SAW yang bermula di rumah Abu Abdillah al-Arqam bin Abi al-Arqam.
Penanaman fikrah yang jelas terhadap Islam disemai di dalam MB kerana sebab itu MB menjadi suatu gerak kerja yang sangat penting bagi memastikan agenda dakwah berjaya.
Kesilapan dalam memahami konsep MB sebagai tempat bertalaqqi seratus peratus menyebabkan kegagalan sesuatu MB. 
MB bukan sekadar tempat perbincangan ilmiah bahkan ia menjadi tempat pembentukan fikrah melalui berpincangan 2 hala bagi mendapatkan pencerahan sesuatu dalil atau hujah.
Sebab itu, bukan semua yang menguasai ilmu mempunyai fikrah yang mantap, kerana fikrah perlu dibentuk dan ia bermula dengan MB.

sambunganya di pmram.org

15 Oktober 2011

MUZAKARAH BERKELOMPOK PMRAM





Jom bersama perkasakan Muzakarah Berkelompok PMRAM Cawangan Mansurah. 
 
وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الأثم والعدوان

13 September 2011

Usrah: Di mana kefahaman kita?

Apa itu usrah yang anda fahami? Perjumpaan untuk berukhuwah? Perbincangan ilmiah?

Kelas menadah kitab? Tempat tarbiyah diri?

Usrah membosankan? Tidak minat usrah-usrah? Malas nak berusrah?

Golongan usrah syadid? Golongan usrah skema? Golongan usrah jumud?

Naqib lembab? Naqib tiada ilmu? Naqib pulun cakap sorang? Naqib tidak tahu take care?

1- Fahamilah asal usul kita.
2- Fahamilah peranan kita.
3- Fahamilah apa itu usrah dan sejarahnya.
4- Fahamilah apa peranan dan kepentingan usrah.
5- Fahamilah ketua dan rakan usrah anda.

JOM KOREKSI MUZAKARAH BERKELOMPOK ! NANTIKAN KEMUNCULANNYA...!


30 Ogos 2011

Ucapan Hari Raya Aidilfitri 1432 H- Presiden PAS

Ditulis oleh Presiden PAS

Ahad, 28 Ogos 2011 14:29

Assalamualaikum. Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia PAS, saya ingin mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam, dengan harapan kita telah menyempurnakan ibadah puasa dibulan ramadhan yang menjadi medah tarbiah untuk melahirkan manusia yang bertaqwa. Bukan sekadar kita dapat menunaikan kewajipan berpuasa dan mengisi ibadah lain di bulan ramadhan, tetapi dapat membentuk jatidiri kita bagi melaksanakan taggungjawab sebagai manusia di muka bumi ini.

Begitu juga dengan ibadah puasa yang telah kita laksanakan ini, dapat mendidik kita untuk dekat dengan Allah dengan mentaati Nya laksana malaikat yang taat, seterusnya menjadi manusia yang memiliki kekuatan roh dan jasad yang berbeza dengan binatang.

Apabila berjaya ditarbiah di bulan ramadhan, dengan sendirinya kita akan menjunjung tinggi agama yang membezakan hak dan batil dan yang menjadi pertarungan dunia sejak dahulu hingga kini.
Selain itu, ibadah puasa juga melatih diri bertarung dengan hawa nafsu yang bukan sahaja untuk mengalahkan hawa nafsu tetapi juga melatih diri mengalahkan musuh-musuh Islam dan memberi kemenangan kepada Islam yang akan terlaksana keadilan di seluruh dunia yang dihuni oleh pelbagai manusia.

Mudah-mudahan kita dapat menyambut hari raya sebagaimana yang dikurniakan kepada kita dengan membesarkan Allah, bukan berhibur dengan leka dan melupakan kehidupan akhirat. Sekiranya kita dapat melaksanakan hal tersebut dalam kehidupan kita khususnya hari raya ini, kita akan bertemu dengan Allah dalam penuh bahagia. Selamat hari raya.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
28 Ogos 2011.

28 Ogos 2011

Bagaimana Ramadhan Kita

Dua atau tiga hari lagi kita akan tinggalkan bulan mulia ini- Ramadhan al-Mubarak. Pada awal kedatangannya penuh kegembiraan hati menyambut. Pada hujungnya penuh sedih mahu tinggalkan. Pada hari-hari bersama Ramadhan penuh ujian dan dugaan untuk memenuhi tuntutannya. 

Bagaimana Ramadhan kita tahun ini? Lebih baikkah dari tahun lalu? 

Pada hujung bulan mulia ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri dan menghitung amal baik dan buruk kita untuk kita perbaiki pada hari-hari yang berbaki ini. Mudah-mudahan masih ada kesempatan waktu untuk kita isi hari-hari itu dengan segala kebaikan dan menghindar dari segala kejahatan. Moga pimpinan Allah Taala sentiasa mengiringi kita.



Harap sambutan Syawal pada kali ini bertambah lagi sifat penghambaan kita kepada Allah Taala dan taqwa kepadaNya dengan keluarnya kita dari madrasah Ramadhan.

Firman Allah Yang Maha Pendidik Alam:
“Wahai orang-orang yang beriman difardhukan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa". -al-Baqarah: ayat 183.

Maksud hamba atau manusia bertaqwa ialah mereka yang melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

20 Ogos 2011

Ketua Dewan Ulama': Perutusan Badar Kubro

Alhamdulillah kita telah melepasi 15 hari pertama bulan Ramadhan dan menunggu hari terbaik yang dijanjikan oleh Allah s.w.t iaitu malam lailatul Qadar yang dijanji di dalam al-Quran seumpama seribu bulan beribadat.
Di kala kita mengejar amalan ibadat pada bulan Ramadhan, marilah sama-sama kita mengingati satu peristiwa besar yang berlaku bulan Ramadhan iaitu peristiwa Badar al-Kubra. Peristiwa di mana umat Islam dikekang dari segenap penjuru oleh rangkaian jahiliah yang menzalimi umat Islam.

Bulan Ramadhan telah membuahkan semangat juang yang sangat luar biasa ke atas para sahabat yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. Ketika mana panas terik berpuasa, semangat  untuk meninggikan kalimah Allah dan menghapuskan kezaliman mengatasi segal-galanya apatah lagi setiap titis perlu pasti akan ditimbang oleh Allah s.w.t di timbangan Mizan-Nya di hari akhirat nanti.

Para pejuang Islam,
Meninggikan kalimah Allah s.w.t dan mencatas kezaliman bukannya suatu perkara yang ringan, ianya memerlukan kepada pendekatan diri kepada Allah s.w.t dalam erti kata yang sebenar tanpa dicemari dengan pergantungan selain daripada Allah. Itulah di antara cirri-ciri yang dimiliki oleh para sahabat yang terlibat dalam peperangan badar al-kubra. Akhirnya mereka diberikan pertolongan oleh Allah s.w.t. Kita hendaklah berusaha supaya kezaliman terus ditentang habis-habisan sehingga ke akar umbi!

Kita mahu tahun ini merupakan tahun terakhir kita berpuasa di bawah sistem dan kerajaan yang zalim! Ayuh kita bangkit memperkuatkan hubungan kita dengan Allah s.w.t dan seterusnya berpuasa pada tahun hadapan dengan kemenangan ke atas kebatilan dan kezaliman. Kemenangan bukan suatu yang mustahil ! Peperangan Badar al-Kubra telah membuktikan bahawa sahabat yang hanya terdiri daripada satu pertiga kekuatan musuh dengan segala bentuk kekurangan berbanding kekuatan musuh akhirnya telah berjaya memperolehi kemenangan yang sangat bererti kepada perjuangan Islam dengan bantuan Allah s.w.t !

Sumber: Harakahdaily

17 Ogos 2011

Somalia: Krisis kebuluran semakin parah

KAHERAH , 15 Ogos  :Isu krisis kebuluran yang berlaku di Somalia yang semakin parah akhir-akhir ini mendapat perhatian Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Somalia yang dikenali sebagai negara yang menjadi pengasas Pertubuhan Persidangan Islam termasuk menjadi ahli PBB dan NAM, telah mengalami krisis kebuluran yang sangat teruk akibat musim kemarau, keganasan dan pergolakan politik dalaman yang berlaku.

PMRAM melihat bahawa isu yang berlaku di Somalia adalah isu besar yang memerlukan kepada kebersamaan seluruh masyarakat Islam untuk membantu mereka dengan kemampuan yang ada.  

"Fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta' Misriyyah bahawa membantu rakyat Somalia adalah 'wajib syarie' hukumnya di samping keseriusan Turki,Iran dan beberapa negara lain beserta PBB dan Palang Merah Antarabangsa sendiri untuk membantu mereka  menunjukkan bahawa isu yang berlaku di Somalia adalah isu yang sangat besar dan serius", ujar saudara Syeikh muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011 ketika dihubungi.

"Untuk menunjukkan kebersamaan dan kesatuan kita dalam membantu rakyat Somalia berhadapan krisis yang besar ini, PMRAM berharap agar kita sama-sama dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada  untuk meringankan beban yang dihadapi oleh mereka", ujarnya lagi.

Sesiapa juga yang ingin menyumbang boleh menyerahkan sumbangan  melalui unit kebajikan di peringkat BKAN dan DPM masing-masing.

Sumber: Web PMRAM

12 Ogos 2011

Mesyuarat Agung Tahunan DPMM kali Ke 19

Assalamualaikum w.b.t. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, selesai sudah perjalanan aktiviti organisasi Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah untuk sesi 2010/2011. Langkahan baru perlu diatur dengan lebih baik dan bersemangat. Pimpinan dan ahli perlu saling berganding tangan menjayakan satu fikrah satu amal mengikut landasan Islam dengan sepenuh ikhlas hati. Ikhlas mencari mardhotillah dan membina kesatuan.

InsyaAllah, usia DPMM yang telah mencecah 20 tahun akan mematangkan lagi usia muda itu dalam mengemudi bahtera kesatuan ini.

Selamat bertugas kepada pimpinan baru, selamat membantu buat ahli-ahli di musim baru - 2011/2012.

1 Ogos 2011

Ramadhan Kareem - 1432 H

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Penyayang.
Ahlan wasahlan ya Ramadhan. Ramadhan kareem. Kullu 'am wa antum bikheir. Itulah antara ucapan2 yang meniti di bibir2 masyarakat di sini. Sambutan mereka terhadap bulan Ramadhan meriah walaupun dunia kini menghadapi kemelesetan ekonomi dan peristiwa thaurah yang belum ada noktah penghujungnya.

Apa yang best berpuasa Ramadhan di sini adalah alunan ayat-ayat al-Quran sentiasa bergema saban hari terutama ketika solat terawih didirikan. Manakan tidak, masjid2 di sini yang agak rapat2 menyebabkan alunan ayat2 suci itu bergema ke gegendang telinga. Mudahan ia menyentuh hati dan meneranginya.

Apa yang penting sempena awal Ramadhan ini adalah azam/niat/cita2 kita untuk menjadikan pengisian Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Dan apabila kita menanam azam sudah pasti kita memasak langkah-langkah dan perancangannya. Samada dari sudut ibadah ( membaca dan mentadabbur Al-Quran, qiyammullail, tarawih, sedekah, menuntut ilmu, kerja kebajikan dsb ), akhlak ( mujahadah menanam sikap mahmudah dan menghakis sifat mazmumah ), dan perbaiki segala amal ibadah yang khusus dan umum.

Bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan semua itu, tetapi keyakinan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan, dan (ditegaskan lagi) sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan...", -menjadi satu semangat untuk terus berusaha. Maka peranan kita untuk sama-sama bermujahadah dan saling mengingati serta menasihati untuk mencapai redha Allah Taala.

Ya Allah, pimpinlah kami ke redha Mu...Siiru 'ala barakatillah.

-Kalau UMNO/KBMK berani nak buat zalim di bulan mulia ini...... taubat dan mohon maaflah!

23 Julai 2011

Orientalis: Dahulu...

Sebagai sambungan dari tajuk berkenaan missionnary (ruj.), insyaAllah kali ini kita kenali pula serba sedikit tentang satu golongan yang memusuhi Islam. Golongan ini terdiri dari kalangan orang-orang Barat yang juga kebanyakkan mereka terdiri daripada rahib-rahib kristian. Mereka ini dikenali sebagai orientalis atau dalam bahasa Arab disebut mustasyrikhin.

Orientalis boleh didefinasikan sebagai orang-orang yang mengkaji dan menceduk ilmu-ilmu pengetahuan dari negara-negara timur Islam. Kajian mereka meliputi ilmu pengetahuan agama, adab, adat, bahasa, politik, ekonomi dan sebagainya. Tujuan kajian dan penyelidikan tersebut adalah demi membentuk perkembangan kemajuan Barat dalam menyaingi dunia Islam pada zaman kegemilangannya. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil daripada mereka ada yang belajar dan mengkaji  hanya untuk mencari pengetahuan dan kebenaran. Hatta, terdapat sebilangan kecil daripada mereka mendapat hidayah Allah Taala dan memeluk Islam.

Ahli-ahli bersejarah berselisih pendapat pada permulaan timbulnya golongan ini. Sebahagiannya berpendapat pada kurun 10 Masihi yang dimulai oleh pendita berbangsa Perancis iaitu Gerbect De Oraliac ( 938-1003 M ) yang telah pergi ke Andalus dan menuntut ilmu dengan beberapa orang guru (Islam) di Asybiliah dan Cordova. Dari itu, berkembanglah di zamannya ahli-ahli ilmu di Eropah dengan pengetahuan-pengetahuan Bahasa Arab, Matematik, ilmu Falak (kaji bintang) dan sebagainya. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Pope di Rom dengan mendapat gelaran Silvester II (999-1003).

Sebahagian ahli bersejarah pula berpendapat, orientalis bermula pada awal kurun ke 11 masihi dan sebahagian pula berpendapat pada kurun ke 12 Masihi apabila telah sempurnanya pertejemahan makna-makna Al-Quran ke bahasa Latin dan terbitnya kamus Bahasa Latin-Bahasa Arab yang pertama, dan terdapat juga beberapa pendapat yang lain.

Walau bagaimanapun, tujuan kita di sini ialah untuk mengenali serba sedikit latar belakang mereka dan yang utama adalah peranan dan misi sebahagian besar mereka dalam merosakkan umat Islam.

Sebab-sebab muncul golongan orientalis

1- Agama Islam yang tersebar dengan cepat di Timur dan Barat
2- Pertembungan yang berlakui di antara dua dunia iaitu dunia Islam dan Nasrani (Kristian) di Andalus dan Sokhliah di Itali.
3- Peperangan-peperangan salib (yang berlaku berturutan)
4- Menjaga penganut Kristian dari memeluk Islam
5- Perluasan kawasan dunia Masihi

Matlamat golongan orientalis

1- Agama
2- Penjajahan (kuasa pemerintahan)
3- Perdagangan (ekonomi)
4- Politik
5- Ilmu pengetahuan

Sumber: al-Isytisyraq wa Tabsyir Fi Mizanil Islam: 
Dr. Bidir Muhammad Bidir, Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar As-Syarif.

15 Julai 2011

Gurauan...

Terdapat di dalam wasiat Imam Hassan Al-Banna yang menyebutkan bahawa: 
" Anda hendaklah bersikap serius dan sentiasa bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun sikap serius ini tidak bermakna anda mengenepikan senda gurau yang benar dan ketawa ".
Ada cara dalam kita bersenda gurau bagi mengeratkan ukhuwah Islamiah dan menghiburkan sebentar hati meraikan fitrah insaniah. Dan Islam meletakkan garis panduannya agar tidak tersasar...
-----------------------------------------
Salam untuk semua pengunjung blog saya. Hari ni nak cerita pasal gurau senda. Hidup tanpa gelak tawa atau gurau senda ibarat hidup yang suram. Islam membolehkan kita untuk bergurau senda di samping insan-insan yang berada disekeliling kita.

Cuma sekarang ni, adakah gurau senda kita itu menepati Sunnah, para sahabat dan amalan ulama-ulama terdahulu. Islam bukanlah agama yang skeptik kepada hukum hakam semata-mata. Inilah agama terbaik yang meliputi keseluruhan hidup manusia. Allahuakbar..

Sufyan bin 'Uyainah pernah ditanya oleh seorang lelaki :

" Adakah gurausenda itu sesuatu yang dilarang ?"

Jawab Sufyan :

 " Tidak. Bahkan ianya Sunnah. Tetapi untuk mereka yang tahu menjaganya dan meletakkan ditempat yang sepatutnya."

Melihat kepada masyarakat kita sekarang ini, kadangkala gurauan itu melampui batas yang sepatutnya. Gurauan di zaman ini bukan sekadar berdepan dengan orang-orang disekeliling kita, malah lebih daripada itu. Dengan kewujudan teknologi canggih yang dah tak terkejar dek kita,macam-macam boleh berlaku. Gurau di 'handphone', internet dan macam-macam lagi.

Jadi saya bawakan beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan dalam gurau senda kita seharian.

1. Tidak mempersendakan agama.

Berhati-hatilah bila berbicara tentang agama. Jangan dibawa bergurau perkara yang ada hukum hakam agama. Saya pernah melihat beberapa video di You Tube beberapa pelajar-pelajar bergurau senda ketika melakukan solat dan zikir. Semoga Allah memberikan mereka hidayah.

2. Gurauan yang benar. Bukan yang direka cipta atau sengaja diada-adakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Celakalah mereka yang berkata-kata kemudian menipu lalu ditertawakan oleh kaumnya". (Riwayat Abu Dawud )

3. Jangan menakut-nakutkan orang lain.

Kebiasaannya kepada mereka yang ada kuasa. Seperti pihak berkuasa menggunakan kuasa yang ada mereka  untuk mengugut secara bergurau.

4. Jangan mempersendakan dan mengata keburukan orang lain.

Sabda Nabi SAW. 

" Jangan dizahirkan keburukan saudara kamu. Kamu akan dirahmati Allah"
(Sahih menurut Albani )

5. Jangan bergurau terlalu kerap.

Ada di antara kita amat gemar bergurau sehinggakan menjadi kebiasaan harian. Ini akan menjadikan kita tidak proaktif. Berguraulah sekadar yang perlu sahaja.

Kata Khalifah Umar Abdul Aziz :

" Berjaga-jagalah dengan gurauan, kerana sesungguhnya kebodohan itu mewarisi dendam"

6. Mengetahui cara bergurau mengikut kadar usia.

Ini penting kerana gurauan ada yang bersesuaian dan ada yang tidak. Cara untuk bergurau dengan orang tua berlainan dengan cara gurau orang muda. Kanak-kanak tidak sama dengan orang dewasa. 

7. Jangan mengumpat orang lain di dalam gurauan kita.

Banyak hadis Nabi tentang dosa mengumpat orang lain.

8.  Memilih waktu yang bersesuaian untuk bergurau.

Ibnu Umar pernah ditanya : " Adakah sahabat-sahabat nabi ketawa? "

Jawab Ibnu Umar : " Ya. Dan iman di hati mereka ibarat bukit tinggi."

Sekian dulu untuk entri kali ini. Moga ada manfaatnya. :)
 Zakaria Md Yusoff
Newcastle, Australia.

Sumber: Blogger Zakaria