28 Disember 2010

TAHNIAH - PAS Representative Council of UK & Eire

KENYATAAN MEDIA
21 MUHARRAM 1432 / 27 DISEMBER 2010

TAHNIAH MAJLIS PERWAKILAN PAS LUAR NEGARA

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) merakamkan ucapan tahniah kepada PAS Representative Council of UK & Eire (Majlis Perwakilan PAS Luar Negara) diatas perasmian penubuhannya kelmarin oleh YB Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Majlis Perwakilan PAS Luar Negara yang di ketuai oleh Ir. Jupri Bade seorang jurutera kanan di Manchester pada 26 Disember 2010 membuktikan PAS semakin di terima oleh para professional dan ilmuan Malaysia di luar Negara. Dengan keahlian permulaan seramai 100 orang sudah cukup untuk membuktikan kepada masyarakat dan rakyat Malaysia bahawa sememangnya PAS sudah bersedia bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrjaya. Ianya juga merupakan bukti bahawa PAS tidak ketandusan pelapis untuk mengisi ruang-ruang kepimpinnya disamping bersedia untuk mengisi ruang dalam kerajaan Pusat dan negeri sekiranya diberi peluang untuk memerintah Malaysia nanti.


Penubuhan Majlis Perwakilan PAS Luar Negara yang keahliannya terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bersedia untuk menerima PAS sebagai wadah perjuangan Negara. Terdiri daripada ahli –ahli professional, teknokrat dan mereka yang berkerjaya di United Kingdom dan Ireland adalah diharapkan Majlis Perwakilan PAS Luar Negara ini akan menjadi Duta Kecil PAS diluar Negara dimana ianya akan berpusat di United Kingdom.

PAS sememangnya telah lama bertapak di luar Negara melalui hubungannya dengan gerakan-gerakan Islam antarabangsa disamping hubungan antarabangsanya melalui Lajnah Antarabangsanya. PAS yang selama ini telah dikenali oleh dunia melalui penyertaannya dalam persidangan-persidangan, program-program kemanusiaan, ekonomi dan sosial. Kelantangan PAS dalam membawa isu-isu antarabangsa juga mendapat pengiktirafan dari pelbagai Negara luar dan juga dari gerakan-gerakan Islam antarabangsa. Isu Palestin umpamanya, adalah isu yang telah lama diperjuangkan PAS sejak penubuhannya sehingga ke hari ini. Kesungguhan PAS membawa isu Palestin sehingga ada pemimpin PAS yang ditahan oleh British seperti Prof Burhanuddin Al-Helmy dan oleh kerajaan Malaysia sendiri dalam bantahan anti-kriket Israel dimana menyaksikan Dato Mahfuz Omar dan Haji Salahudin Ayub di penjarakan kerana mempertahankan prinsip ummat Islam Malaysia. Begitu juga isu-isu umat Islam yang lain seperti isu Kashmir, Mindanao, Selatan Thailand, Rohingya di Burma, Chenya di Rusia dan Xianjing di China. Peranan aktif PAS dalam menjaga hak bukan Islam juga di hargai dunia apabila kejayaan PAS menubuhakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) telah membuktikan kepada dunia bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sememangnya adil dan sesuai dikongsi bersama bukan Islam.

Adalah diharapkan Majlis Perwakilan PAS UK Ireland ini akan Berjaya membawa mesej PAS kepada rakyat Malaysia di luar Negara dan benar-benar menjadi DUTA PAS di arena antarabangsa dalam memperkenalkan dan mewakili PAS dalam isu-isu dan hubungan luar PAS.

Disediakan oleh;

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Sumber: Web PAS

-----------------------------------------------------------

- Mudah-mudahan lebih banyak lagi perwakilan-perwakilan PAS di luar negara.

19 Disember 2010

Baliklah kepada Islam

Tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan aku kepada perutusan surat-surat Rasulullah SAW kepada raja-raja kuasa besar dunia suatu masa dahulu. Kalau yang itu kepada pemerintah kuffar tetapi ini kepada saudara-saudara muslim kita. Hayatilah...dan sebarkan kepada saudara-saudara anda.

Wahai UMNO baliklah kepada Islam Diterbitkan pada

Nampaknya isu Ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?

Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Firman-Nya (surah Ali-Imran ayat 19):

Maksudnya: Sesungguhnya, ad-Din (agama yang benar) di sisi Allah hanyalah Islam.

Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Ini kerana Islam adalah anugerah, maka bertuah dan rahmatnya mereka yang dianugerahkan hidayah Islam. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 164):

Bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Namun, dukacita sekali apabila ada orang yang tidak memanfaatkan anugerah itu, kerana menolak Islam. Ini berlaku di kalangan orang Melayu yang mendukung UMNO, kerana amalan UMNO itu sendiri yang berjuang menegakkan Ketuanan Melayu dan menolak Ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima. Demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu?

Hakikatnya, apabila melaungkan Ketuanan Melayu, ia sudah dilihat sebagai mengenepikan Islam. Mengenepikan Islam bermakna tidak menerima asas-asas agama di dalam membela rakyat. Maka, tanpa memakai agama (Islam) orang Melayu hanya akan menjadikan bangsa yang hina, bukannya lebih mulia. Malah di dalam al-Quran sendiri Allah berfirman (surah Ali-Imran ayat 85):

Bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti.

Layakkah pimpinan yang dilihat hina dan rugi itu menjadi tempat rakyat bergantung? Dalam konteks UMNO yang memerintah negara ini, dan apabila kepimpinan mereka asyik dengan Ketuanan Melayu (menolak Islam) musibah kepimpinannya bukan sahaja orang Melayu, bahkan orang bukan Melayu akan disembelih dengan slogan seperti ini. Apa yang berlaku di Kelantan adalah buktinya, tatkala Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh pemimpin yang bertunjangkan Ketuanan Melayu. Begitu pula, satu ketika (selepas pilihann raya 2008) kerajaan Pakatan Rakyat membahagi-bahagikan tanah untuk penduduk Cina dalam kampung baru di Perak, pemimpin UMNO begitu lantang menentang. Semacam orang Cina tak layak menerima milikan tanah. Malah belum lagi kita lupa, kerajaan Selangor ketika diperintah UMNO (sebelum 2008) pernah mengambil tindakan merobohkan kuil-kuil Hindu atas alasan pembinaan haram.

Kesemuanya adalah angkara perjuangan Ketuanan Melayu yang tidak relevan dan perjuangan yang sia-sia. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman kerana Islam itu adalah agama untuk semua orang.

Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai ad-Din (din dan daulah). Justeru itu, wahai UMNO, marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, iaitu suatu penyelesaian yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun, jauh sama sekali dari sifat kehinaan. Firman Allah SWT (surah al-An’am ayat 115):

Bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Akidah kita umat Islam, al-Quran ialah manual dari Allah SWT untuk manusia mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam. Justeru marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang dihidapi. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT (surah al-Hujurat ayat 13) :

Bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam!

Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui Kerajaan Negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala al-Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua kum di setiap pelusuk negeri. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan rasa dendam dalam diam dan api membakar di dalam senyap.

Cuba kita semua ingat kembali, natijah amalan Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu dan kesannya hari ini lahirnya generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara hina berkafankan Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.

Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju sama ada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang menjadi bacaan wajib di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat. Firman Allah (surah al-Fatihah ayat 4):

Bermaksud: Yang menguasai di hari Pembalasan.

Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!

Catusan di Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian 6 Muharram 1432H/13 Disember 2010M

Sumber: Blog Tok Guru

13 Disember 2010

Perutusan Maal Hijrah 1432: Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.


Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010


Sumber: Laman Rasmi Presiden PAS

28 November 2010

Larangan Allah duduk bersama orang jahat

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٦٨) وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِمْ مِنْ شَيْءٍ وَلَكِنْ ذِكْرَى لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (٦٩)

68. Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

69. Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

-------------------------------

Larangan Allah duduk bersama orang jahat

Ditulis oleh Presiden PAS : Isnin, 19 Julai 2010 15:07

ALLAH berfirman yang bermaksud,“Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan.” (Surah al-Aníam: 68) Ertinya jika syaitan menyebabkan kamu lupa untuk menghindarkan diri daripada majlis seumpama itu, kamu dimaafkan kerana sebab lupa. Bagaimanapun Allah berfirman yang bermaksud, “Maka jangan kamu duduk selepas ingat semula bersama kaum yang zalim itu.” (Surah al- An’am: 68)

Selepas kamu ingat akan amaran Allah, maka berkewajipan kepada kamu menghindarkan diri daripada majlis tersebut melainkan mereka tidak lagi bercakap menghina Islam, menghina hukum Allah SWT dan menghina Nabi s.a.w.

Ayat ini mengajar kita umat Islam, menjadi manusia mulia dan sukakan perkara yang mulia. Ia juga termasuk dalam perkara dakwah dan perjuangan.

Bukan sahaja mengajar umat Islam cintakan kemuliaan tetapi mengajar manusia sedar, bahawa orang yang menghina Islam dan Nabinya s.a.w. adalah manusia yang jahat atau zalim bahkan kufur terhadap Allah SWT

Kemuliaan seseorang terjadi dengan Islam dan iman kepada Allah SWT, satu-satunya Tuhan yang sebenar, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya tetap diteruskan. Sama ada ada atau tidak orang menghina Islam, perjuangan untuk menyampaikan Islam wajib diteruskan di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

Oleh kerana itu Imam Hassan Al-Banna pernah pergi ke kelab malam bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada penghuninya. Ertinya menghadiri kelab seumpama itu untuk tujuan menyampaikan dakwah Islam, suatu yang dipandang mulia dan diizinkan oleh syarak.

Justeru Islam menetapkan cara bersosial yang selamat daripada fitnah, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah. Inilah sikap kita para pejuang Islam di sepanjang zaman.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ngejek) itu. Akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingatkan (larangan Allah itu), supaya mereka bertakwa.” (Surah al-An’am: 69)

Berkata Ibnu Abbas r.a. apabila datang larangan Allah supaya tidak duduk bersama majlis kaum musyrikin dan perintah supaya tinggalkan majlis mereka, maka berkata, orang-orang Islam pada zaman Nabi s.a.w.: “Tidak mungkin kami boleh memasuki masjid dan tawaf di sekeliling Kaabah.

Maka Allah menurunkan ayat yang bermaksud, “Akan tetapi kewajipan orangorang Islam mengingatkan larangan Allah itu.” (Surah al-An’am: 69) Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini dikatakan telah dinasakhkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam kitab (al- Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan kaum munafik) maka janganlah kamu duduk (bergaul) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah al-Nisa’: 140) Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah memberi keringanan kepada umat Islam untuk bergaul dengan golongan musyrikin Makkah sebelum pembukaan kota suci tersebut sebagai “taqiyyah” (takut menzahirkan Islam dalam keadaan tertentu).

Sumber: Presiden PAS

23 September 2010

Di Aidilfitri 1431 H

Bismillahirrahmanirrahim
Segala pujian hanyalah kepada Allah. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka hingga ke hujung usia alam.

Alhamdulillah. Tahun ini dapat jua menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung. Walaupun seorang ketinggalan untuk menyambut Syawal ini bersama.Tetapi keseronokkan bersama keluarga itu lebih dirasai ketika sebulan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Sedangkan sambutan Aidilfitri pula labih seronok apabila bertemu dengan saudara-mara dan rakan-rakan. Apatah lagi dapat ziarah-menziarahi bersama mereka. Sekurang-kurangnya impian untuk berkumpul semula bersama rakan-rakan yang hampir 10 tahun tidak bertemu dapat bersua semula.

Pertemuan muqaddimah sebagai penyambung ikatan berterusan. Bagaimanapun target impian itu hanya 50-60 peratus sahaja berjaya. Al-maklum, masing-masing bekerja di luar negeri (bukan luar negara)- tidak dapat balik kampung, ketiadaan kenderaan, pembahagian masa, putus talian perhubungan (bukan terputus silaturrahim) dsb. Tidak dapat bertemu semua dan pertemuan yang santai semata. Harap sekali dapat berkumpul lagi di suatu masa nanti untuk Islam.

Walaupun bertemu dan berhari raya bersama rakan-rakan suatu episod yang mengembirakan tetapi masih ada cerita duka daripada mereka. Sebahagian rakan-rakan yang tidak sempat bertemu dikhabarkan dilanda ribut jahiliah moden. Dan kini tidak diketahui sudahkah ada tempat berteduh dan berlindung. Krisis kekeluargaan, hilang identiti diri dan sebagainya. Biarpun tidak ramai tetapi dahulunya akrab menyebabkan terasa ianya perkara besar.

Tidak kurang juga kawan-kawan yang berlumba-lumba membina mahligai kehidupan dunia semata. Tidak menghairankan jika mereka keluaran SK, SMK dsb. tetapi adalah sebaliknya. Sukar juga untuk menghadapi mereka apatah lagi hanya dapat bertemu untuk sekali itu sahaja. Maka sudah tentu mereka yang tidak dapat bersua muka bertambah jauh untuk saling memahami. Hanya doa yang mampu diutuskan. Bagaimanapun insyaAllah dengan masa yang berbaki ini akan diusahakan jua untuk menziarahi kalian.

.: Bertemu dan berpisah kerana Allah :.

10 September 2010

Islam Jamin Kemanan Untuk Semua Makhluk

Salam Idulfitri: Kekalkan Hidup Beragama

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


Firman Allah SWT:

Bermaksud:

“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)

Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal 1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.

Asas kehidupan manusia yang beriman dan bertaqwa sudah pasti berpandukan agama. Ini kerana ajaran agama menyediakan perlembagaan hidup yang sebenar. Maka kehidupan orang yang taqwa sudah pasti hidupnya selari dengan agama, yakni perlembagaan hidup yang berteraskan agama. Justeru kehidupan seorang yang beragama adalah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan berpandukan perlembagaan buatan (digubal) manusia. Ini kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang menggubal perlembagaan, apakah mereka dapat menjamin bahawa roh perlembagaan yang digubal manusia itu dapat memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT? Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatan itu dapat menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT?

Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.

Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.

Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah Akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah, iaitu kita bertakbir di mana-mana tempat (di mana yang sesuai).

InsyaAllah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India yang Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.

Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum Muslimin. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amiin apabila imam menghabiskan bacaan al-Fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. InsyaAllah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.

Pada kesempatan ini juga, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa pulang berhari raya, terutama di sepanjang perjalanan. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.

Rujukan : Blog Tok Guru

30 Ogos 2010

Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan

Ahli PAS : Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan

Berempena dengan peristiwa turunnya Al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS disegenap lapisan peringkat untuk memanafaatkan baki Ramadhan yang tinggal ini agar ianya diisi dengan amal soleh dan mampu untuk menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.
Selain dari itu, saya juga ingin memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.

Janganlah kita bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu. Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri. Semuanya perlu dipertimbangkan bagi menjaga maslahat umum seperti disebutkan di dalam kaedah fiqh : Almaslahatul 'ammah muqaddamah 'ala maslahah khasah (Maslahat umum diutamakan dari maslahat khas) dan Dar'ul mafasid muqaddam 'ala jalbil masalih (menolak keburukan diutamakan daripada mengambil maslahah).

Selagi mana ia bukanlah satu perkara yang bersifat prinsip, atau sesuatu hukum yang qat'i, maka kaedah tersebut perlulah diguna pakai dalam tindakan-tindakan kita sebagai pejuang Islam, termasuklah dalam proses kita memperkasakan parti di peringkat Cawangan dan Kawasan. Semoga segala tindakan kita sentiasa dipimpin oleh syariat dan mendapat petunjuk dari Allah SWT.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Sumber

21 Julai 2010

Bulan Sya'ban

Assalamualaikum w.b.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah hampir 10 hari kita berada di bulan Syaaban 1431 Hijriah. Antara tiga bulan yang mulia dan punyai banyak kelebihannya tersendiri. Rasulullah S.A.W. telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudhatul Ulama).


Lebih kurang 20 hari lagi kita menyambut pula bulan umat Nabi Muhammad S.A.W. iaitulah bulan Ramadhan. Bulan
rahmah (belas kasihan Allah), bulan maghfirah (keampunan) dan bulan perlepasan dari api Neraka. Sebagai sebuah koreksi diri untuk melangkah ke bulan pesta ibadah itu, mari sama-sama kita berfikir sejenak melalui tulisan Ustaz Nik Abduh di blog beliau- Panggilan bulan Ramadhan Al-Mubarak

Mari berfikir untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak;
Pertama, kasihan belas Allah terhadap hambaNya yang terus menzalimi diri dan mudahnya Dia menerima taubat dan keampunan.
Kedua, Peluang demi peluang untuk kita kembali. Di sediakan bumi yang suci, rumah yang suci, bulan yang suci, minggu dan hari yang agung, saat yang mustajab, hati dan akal yang khusyu’ dan tafakkur, lidah yang ringan dan basah, kawan yang soleh dan lain – lain kemudahan untuk kembali kepadaNya.
Ketiga, jauhnya kita dari membaca, memahami dan mengamalkan al Quran, satu – satu kitab dari langit yang kekal di bumi memberi cahaya dan hidayat.
Keempat, lalainya kita dengan kehidupan dan dunia yang menipu dan kita tak pernah serik dan sesal terhadapnya.
Kelima, di mana kita daripada ulama, tempat terpancar hikmat tuhan dalam kehidupan sementara..
Mari memulakan tafakkur untuk bulan Ramadhan yang mulia. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadhan. Rindui Ramadhan, nescaya Ramadhan mengaminkan untuk kita dengan izinNya.

9 Julai 2010

80 TAHUN - PMRAM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang mula mengukir sejarah pada tahun 1930 dengan namanya ketika itu Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS) telah pun berusia 80 tahun. Tarikh 11 April lalu merupakan tarikh rasmi ulangtahun PMRAM. Pelbagai sejarah dan pengalaman yang ditempuh oleh pimpinan dan ahli demi menjaga kesatuan dan kebajikan mahasiswa di Mesir. Semua itu menambah kematangan kesatuan ini agar terus bergerak untuk memelihara dan memulihara masyarakat PMRAM dan pentadbirannya.
Beberapa perkara menarik yang pernah dicatat di blog Us Zuhaili (Timb. Presiden PMRAM) sempena tahun bersejarah ini: Sila klik

Rujukan: HEWI PMRAM
Tambahan : Typeace

28 Jun 2010

Generasi dahulu..kini...mendatang

Buat pendidik ( Ibu bapa, guru-guru, pemerintah dsb),

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita...Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan...Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar...Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar...Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir...Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu

* Anak-anak kita : M. Nasir

Generasi hari ini adalah amanah bagi kejayaan umat akan datang. Jangan kesenangan dan kebebasan mereka hari ini mengundang petaka di kemudian hari. Jangan kerana fikrah kebendaan, jiwa dan diri mereka digadai. Lengkapkanlah kehidupan mereka dengan celupan rabbani dan akhlak terpuji...

21 Jun 2010

Antara pengalaman mereka...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Antara sifat yang mulia bagi seorang mukmin dalam gerak kerja harian (ibadah) mereka ialah jihad (bersungguh2) dan tadhiah (korban). Sifat yang memerlukan kefahaman dan pemerhatian tinggi dalam langkah kehidupan kita seharian.
Banyak saranan-saranan daripada Al-Quran dan As-Sunnah untuk kita mengamalkan sifat-sifat ini. Tidak kurang juga contoh-contoh daripada sirah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat a.s. yang boleh dijadikan sebagai pembakar semangat. Dan tidak kurang juga contoh tauladan yang boleh kita manfaatkan dari insan dan kehidupan sekeliling kita. Orang mukmin itu adalah cerminan bagi saudara mukminnya yang lain.

Sdr. Mahfuz Omar :
Pengalaman pahit saya ialah sewaktu berkempen rumah ke rumah dalam pilihanraya 1982 di Sungai Nibong Pulau Pinang dalam membantu Allahyarham Haji Yusuf Rawa calon DUN Sungai Nibong apabila kena “ligan” (kejar) dengan UMNO...
Us. Tuan Ibrahim :
Kenangan yang menarik semasa ingin meletakkan jawatan, saya beristikharah, memohon pertunjuk dari Ilahi; solat dan satu malam setelah niat solat istikharah saya bermimpi…

Saya sedang memandu kereta melalui satu persimpangan empat. Saya berhenti kerana lampu isyarat merah, setelah lampu hijau saya nak jalan, tiba-tiba ada dinding tinggi sampai ke langit yang menghalang saya daripada terus pergi ke depan....

Sdr. Salahuddin Ayub :

Perasaan tak menentu macam jiwa saya seolah-olah mencari suatu ketenangan dan suatu panduan yang saya ingin keluar daripadanya. Selepas itu saya berjumpa dengan seorang guru sekolah, saudara Hanizi Mohammad yang memperkenalkan PAS kepada saya....

Ikuti kolum 'Minda' mereka di Harakahdaily

18 Jun 2010

Salam takziah

Agak mengejutkan juga apabila mendapat mesej offline daripada YM beberapa orang kawan pada 14 Jun lalu berkenaan  tokoh veteran PAS - Al-Marhum Ustaz Hassan Shukri yang telah kembali ke rahmatullah. 2 - 3 hari menatap berita-berita dan laporan berkaitan 'kronologi' pemergian beliau. Pelbagai jasa, sejarah dan kenangan lampau berkenaan beliau dan perjuangan Islam meniti di bibir-bibir mereka yang mengenali beliau serta pelbagai catatan yang tertera di media massa dengan pelbagai cerita.

Seingat penulis pada 8 atau 9 tahun yang lalu, sempat jua menjamah kedua tangan beliau dan mengenali beliau dengan dekat dalam satu majlis alumni sekolah (Maahad Al-Yahyawiah). Dan dimaklumkan bahawa beberapa senior maahad telah mengadakan sekali lagi REUNION ALUMNI MAAHAD AL YAHYAWIAH di HOTEL DE PALMA SHAH ALAM pada 01 MEI 2010. Al-Marhum Us Hasan turut hadir.

Jaringan tambahan:

1. Us Hasan Shukri kembali ke rahmatullah

2. Saat yang paling sedih untuk Hj. Rahman

3. Us Hasan Shukri dalam kenangan

4. Us Hasan Shukri arkitek tak bertauliah

Majlis Alumni MAY        

Bersama dengan pengetua MAY,  Us Radhi Petah (berbaju merah)

 majlis=

 Menerima cenderahati daripada pelaksana majlis

Majlis Alumni MAY

Semoga Allah Taala merahmati beliau dan ditempatkan bersama para solihin serta mencambah generasi muda dari acuan seumpama beliau.

8 Mac 2010

Menerang… kurangkan menyerang

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Katakanlah: Inilah jalan (agama) ku. Aku dan orang-orang yang mengikutku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah (S.W.T.), dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik". ( Yusuf :108 )

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ
إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ


“ Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia[430]. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” ( S. Al-Maidah : 67 )
[430] Maksudnya: tidak seorang pun yang dapat membunuh Nabi Muhammad s.a.w.

Sabda Rasulullah SAW :
“Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat”. بلغوا عنى ولو أية

Tugas umat Islam tidak dapat lari dari tanggungjawab dakwah jika mereka benar-benar mukmin yang mengikut contoh tauladan Rasulullah S.A.W. Menyampaikan risalah Islam kepada semua lapisan masyarakat samada Muslim (yang masih dalam lembah kegelapan) atau non-Muslim perlu diperluaskan dari masa ke semasa. Sebagaimana dakwah itu terdiri daripada da’i, mad’u dan maudhu’ yang memerlukan kepada manhaj, wasilah dan uslub mengikut keadaan masa dan tempat dengan syar.

Perkembangan teknologi sekarang khususnya kemunculan blog dan web yang menjadi pilihan umat untuk menyampaikan dakwah Islam merupakan satu alternatif yang baik bagi membantu mencapai matlamat:
“ Menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya”.
“Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam”.

Oleh itu, kewajipan kita untuk memberikan penerangan dan menyatakan kebenaran berdasarkan bukti dan hujjah yang benar, bernas dan sihat perlu diperkasakan. Bukti dan hujjah itu boleh dikemukakan melalui sumber utama rujukan rasmi kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah; kemudian pendapat para sahabat r.a., salafus soleh rh, alim ulamak, logik akal (mantiq), kajian sejarah, fakta, sains dan sebagainya. Dan semestinya melalui pendekatan yang harmoni selagi berada dalam suasana yang sebegitu.

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ
وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ


“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” ( S. An-Nahl: 125 )

Namun apa yang penting adalah iltizam dan istiqamah para pendakwah memberi kenyataan dan keterangan sebenar kepada masyarakat mengikut taraf akal dan corak kehidupan mereka. Gunakanlah pelbagai alternatif bagi membantu penyebaran Islam ini ke pelusuk dunia dengan mengikut suasana masing-masing.

Sikap menyerang dan mengadu domba hanya akan mengeruhkan keadaan dan meretakkan saf umat. Pandangan serong mad’u dan kurang kepercayaan kepada da’i akan menyebabkan penyampaian risalah dakwah hambar dan mungkin terputus di pertengahan jalan. Walau bagaimanapun, prinsip dan disiplin masih perlu dipelihara mengikut neraca thawabit wa mutaghayyirat.

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ
“ Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)". (Surah An-Nur ayat 19)
--------------------------------------------
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.

Di samping itu, kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.

Pegangan kita dalam semuanya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah S.A.W. dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.” [ Wahai Pemuda: As-Syahid Hassan Al-Banna rh. ]

“Orang-orang yang menyampaikan risalah Tuhannya (Allah) dan takut hanya kepadaNya tidak kepada lainnya, cukuplah Allah sebagai Pengira segala amal dan makhlukNya.” ( Al-Ahzab:39)

Blogger adalah' people connector'