26 Ogos 2015

Catatan Awal Pagi

Assalamualaikum, apa khabar semua?
Ramai yang sudah tidur. Mungkin ada yang baru bangun. Atau ada yang masih bersengkang mata. Apa pun keadaan anda pastikan sentiasa berada dalam kebaikan.

Sifat sabar memerlukan kepada sifat redha dengan segala ketentuan Allah Taala sambil berusaha sungguh hingga tercapai apa yang dihajati. Dalam masa yang sama juga perlu diiringkan tawakkal dan pengharapan kepada Allah Taala. Rangkuman sifat-sifat ini akan menatijahkan sebuah kejayaan samada berjaya beroleh apa yang kita hajati atau berjaya menjadi hamba Allah Taala yang redha dan sabar pada ketentuanNya.


"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan tetapkanlah kesabaran, siap siagalah dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya". Surah Ali Imran: 200

Didalam ayat yang lain, Allah Taala perintahkan agar orang-orang beriman supaya bersabar dan mendirikan solat.

Mudah-mudahan kita mendapat panduan ini dengan berguna.

11 Ogos 2015

Kenangan Ramadhan dan Syawal 2015

Assalamualaikum w.b.t.

Ini sahajalah beberapa rakaman kenangan sepanjang Ramadhan dan Syawal tahun ini. Jenis dah malas dan segan ambil gambar dan bergambar ni maka ini sahajalah yang ada...









SELAMAT PENGHUJUNG SYAWAL!

HABIS DAH KER PUASA ENAM?

16 Julai 2015

Ramadhan dan Syawwal

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ramadhan sudah berada di penghujung hari. Sudahkah kita bermuhasabah diri? Membanci segala kerja buat kita sepanjang Ramadhan tahun ini. Bagaimana timbangan antara amal soleh dan toleh kita? Mudahan perbuatan-perbuatan kita yang baik diterima Allah Taala dan segala perbuatan buruk kita diampunkan Allah Taala.

Marilah kita menjadi hamba Allah bukan menjadi hamba Ramadhan. Teruskanlah segala amal kebaikkan kita di bulan mulia ini pada bulan-bulan yang lain. Mohon kepada Allah Taala kurniakan istiqomah kepada kita dalam beribadah kepadaNya. Masa akan terus berlalu tanpa boleh disekat. Justeru, apa sahaja kesempatan waktu yang ada kita isikan dengan perbuatan soleh dan menjauhi diri dari perbuatan toleh. 

1 Syawal yang akan kita raikan sepatutnya membawa bersama tarbiyah Ramadhan. Ditakuti jika pada hari pertama kita meninggalkan Ramadhan sudah hilang kesan tarbiyahnya maka boleh jadi pada hari-hari berikut kesan tarbiyah Ramadhan kian pudar..... lalu hilang. Dan kita menjadi seperti insan yang tidak bertemu Ramadhan pada tahun ini. Malang sekali, selama sebulan kita hanya berlapar dan berdahaga. Usahakanlah agar 1 Syawal diisi dengan pelbagai amal kebaikan dan menjauhi amal kejahatan. Mahkluk-mahkluk pembisik kejahatan sering berada di sekeliling kita, berhati-hatilah. Telitilah setiap langkah dan gerak kita bersama naungan rahmat Allah Taala.

Selamat tinggal Ramadhan. Moga kita bertemu lagi di tahun hadapan dengan kenangan yang lebih indah dan bermakna.

Selamat datang bulan Syawwal. Moga kehadiran mu menjadikan diri kami menepati fitrah insan soleh.

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
كل عام وأنتم بألف خير


27 Jun 2015

RAMADHAN- Bulan Tarbiyyah


Sudah 10 hari umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadhan pada tahun ini. Masa berlalu sangat cepat. Masa yang lepas tidak dapat diundurkan lagi. 

Apa khabar ibadah kita 10 hari yang pertama Ramadhan ini? Bagaimana jamaah surau dan masjid di kampung, taman dan bandar kita? Bacaan Al-Quran kita masih berterusan setiap hari?

Mudah-mudahan segala amal soleh kita terus berterusan hingga.......MATI. Bukan hanya berhenti di penghujung Ramadhan. Amal soleh kita bukan kerana Ramadhan tetapi kerana Allah Taala. Semoga Allah memberikan istiqomah kepada kita untuk terus mentaati dan beribadah kepadaNya. 

اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك  آمين

" Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati Mu dan bersyukur kepada Mu serta elokkanlah ibadah kami kepada Mu ".

Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah (pendidikan). Iaitu bulan mendidik nafsu, akal, perasaan dan jasmani untuk tunduk dan mengikut segala perbuatan yang baik bertepatan dengan perintah Allah Taala. Perbuatan baik (amal soleh) yang merangkumi empat elemen tersebut tanpa ada pengecualian. Empat elemen tersebut salin kait mengait antara satu sama lain yang menjadikan kita seorang insan bukan haiwan. Namun empat elemen ini tidak mencukupi untuk membentuk diri insan soleh jika tidak ada suatu silibus pendidikan. Silibus pendidikan ini pula tidak sempurna dan akan ada cacat cela jika ia dicerna melalui akal. Silibus pendidikan untuk membentuk insan soleh ini perlu datang dari penguasa yang mencipta dan mentadbir alam ini. Alam adalah segala benda yang wujud selain Allah. Tiada penguasa lain melainkan Allah Taala yang Maha Pencipta dan Pentadbir alam ini yang telah menetapkan kepada kita silibus itu. Bagaimanapun amat malang apabila manusia meninggalkan silibus pendidikan itu di dalam proses kehidupan mereka seharian. Akhirnya umat menjadi hina dan dan takut berhadapan dengan musuh.

Silibus pendidikan tersebut adalah AL-QURAN AL-KARIM. Silibus ini juga telah diturunkan Allah Taala pada bulan pendidikan yang mulia ini. Al-Quran adalah silibus tarbiyah manakala Ramadhan adalah bulan tarbiyah, bulan diturunkan Al-Quran.

RAMADHAN AL-MUBARAK

20 Jun 2015

PUASA RAMADHAN - Ulangkaji

Sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah Taala semestinya menerima dan melaksanakan perintah Allah Taala yang mewajibkan kepada hambaNya berpuasa apabila tibanya bulan Ramadhan. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu; dengan itu mudah-mudahan kamu bertaqwa ". Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam selain Syahadah, solat 5 waktu sehari semalam dan berzakat serta menunaikan haji.

Mari kita ulangkaji beberapa pelajaran berkenaan puasa Ramadhan.

Puasa membawa maksud menahan diri daripada makan, minum, nafsu syahwat dan daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa; bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Syarat-syarat wajib berpuasa:

1. Orang Islam
2. Sudah dewasa (baligh)
3. Berfikiran waras
4. Mampu berpuasa

Syarat-syarat sah puasa:

1. Orang Islam
2. Orang yang berakal
3. Perempuan yang suci dari haid dan nifas
4. Berniat puasa pada waktu malam
5. Pada hari-hari yang sah berpuasa

Perkara wajib dilakukan oleh orang yang berpuasa ( rukun puasa )

1. Niat pada waktu malam
2. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (Subuh) hingga terbenam matahari (Maghrib).


Perkara-perkara yang membatalkan puasa:

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka.
2. Makan dan minum.
3. Melakukan persetubuhan dengan sengaja.
4. Muntah dengan sengaja.
5. Gila walaupun sebentar.
6. Pitam sepanjang hari.
7. Berlaku haid, nifas dan wiladah bagi orang perempuan.
8. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
9. Berbuka puasa dalam keadaan syak samada sudah terbenam matahari atau belum.
10. Murtad.

* Haid = Darah yang keluar melalui faraj perempuan yang berumur sekurang-kurangnya 9 tahun. Diwajibkan mandi sebaik sahaja kering haidnya.

* Wiladah = perempuan yang melahirkan anak disertai dengan basah atau tidak. Termasuk juga perempuan yang keguguran.

* Nifas = Darah yang keluar selepas perempuan melahirkan anak. Maka diwajibkan mandi setelah kering darah nifasnya.


14 Jun 2015

RAMADHAN KARIM

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala pujian dan kesyukuran hanya kepada Allah Taala yang masih mengizinkan kita bernafas pada hari ini. Apatah lagi sebahagian kita yang dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang membahagiakan. 

Hari ini 27 Syaaban 1436 Hijrah. Lagi 3 hari kita umat Islam akan menerima kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang terdapat padanya kelebihan pada segala ibadah, banyak sejarah penting terpahat padanya, terdapat keistimewaan rohani dan jasmani dalam diri hamba Allah pada bulan itu dan sebagainya. 

Sepatutnya kita orang beriman sudah punyai azam untuk Ramadhan tahun ini. Apa azam aku pada Ramadhan kali ini? Kita sudah berkira-kira dengan amal kebaikan dan kebajikan serta keburukan dan kemaksiatan yang bakal kita hadapi pada bulan mulia ini. Bagaimana aku ingin perbaiki segala amal ibadahku? Menggandakan amal soleh?

Mudah-mudahan kita bersiap insyaAllah sebelum memasuki gerbang tarbiyah Ramadhan kali ini dengan penuh ikhlas kepada Allah. Bukan kita berubah diri kerana bulan Ramadhan tetapi kerana Allah S.W.T. Bulan Ramadhan hanya sebagai batu loncatan untuk kita tarbiyah diri agar lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya bagi menempuh kehidupan bulan-bulan selepasnya.

AHLAN YA RAMADHAN


5 Jun 2015

Kem Kecemerlangan UPSRI

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selesai sudah baru-baru ini sebuah program yang diadakan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI). Seramai 100 orang peserta telah menyertai Kem Kecemerlangan UPSRI tersebut. Kem ini bertujuan memberikan motivasi kepada para pelajar, mendedahkan bentuk-bentuk soalan yang biasa keluar dalam kertas ujian, cara menjawab soalan dan sebagainya.

Kem yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu turut mendedahkan kepada para pelajar cara belajar berkumpulan (study group) dan berbincang dengan kawan-kawan. Mereka juga dilatih untuk mengikuti aktiviti dan menepati waktu yang telah disusun. Aktiviti yang merangkumi pengisian rohani, 'aqli dan jasmani. 

Semestinya letih dan penat dirasai mereka dalam mengikuti aktiviti yang telah diaturkan; bermula dari bangun tidur pada jam 5 pagi sehingga tidur pada jam 11 malam. Namun, kegembiraan masih terpancar di wajah masing-masing. Terutama semasa aktiviti riadhah.

Mudah-mudahan mereka mendapat faedah yang besar dari segala pengisian yang telah dihidangkan dalam kem kecemerlangan ini. Ameen...









29 Mei 2015

Hari Guru 2015

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

16 Mei adalah sambutan Hari Guru yang disambut saban tahun. Sambutan hari guru diadakan sebagai meraikan para guru yang menabur bakti menyumbangkan ilmu dan pengetahuan mereka kepada hampir seluruh umat manusia. Siapalah seorang jurutera sekarang ini jika tanpa guru? Siapalah seorang mufti sekarang tanpa adanya guru? Setiap bidang kejayaan seorang manusia pada hari ini adalah antara sumbangan seorang yang bergelar guru, cikgu atau ulama'.

Di dalam Islam darjat ilmu sangat agung bahkan Al-Quran dan Al-Hadis menyatakan perbezaan antara darjat orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu iaitu jahil. Islam juga menyarankan umatnya agar meyampaikan ilmu walau hanya satu ayat. Inilah peranan penting umat Islam khususnya GURU.

Sambutan Hari Guru di MDI.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU









 

22 Mei 2015

Rohingya: Saudara kita yang dizalimi

Fakta PELARIAN ROHINGYA

Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara ini pada kurun ke-19 ketika pemerintahan Britain.
Orang Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine (Negeri Rakhine dahulunya Arakan adalah negeri di Myanmar)yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine.
Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh
"Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu."
"Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan "pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran."
"Semasa 1991-92, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan."
Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara.
Justeru, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.
Pada asasnya, sukar untuk kebanyakan keturunan Bengali mendapatkan status warganegara dan mereka menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan, isu perkahwinan dan anak.
Teruskan doa dan sumbangan anda untuk Rohingya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui :
Bank Islam: 14014010147470   ( Muslim Care Malaysia )

Maybank:    564490413882  ( Muslim Care Malaysia )

RHB:              26-2120-0000-4747 ( Muslim Care )

Bank Muamalat: 14010007654717   ( Muslim Care Malaysia )





15 Mei 2015

Mahasiswa malas membaca ?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


"BUKU mengasuh diri sasa bersuara, membaca menjadi jambatan bertuah, kita merindu buku dan ghairah baca, agar sentiasa canggih dan berhemah".

Itulah kata-kata Sasterawan Negara, Datuk Dr A Samad Said menggambarkan betapa pentingnya membaca.

Selain itu, kempen membaca setiap tahun menunjukkan budaya membaca perlu ditanam dalam masyarakat terutama pelajar.

Namun, sejauh mana kempen itu memberi impak dan kesedaran kepada masyarakat terutama mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT)?

Benarkah berlaku kegersangan minat membaca di kalangan mahasiswa sehingga ia dijadikan topik perbincangan Wacana Malaysia Membaca di Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Majlis anjuran pelajar semester empat jurusan Sarjana Muda Sains Pengurusan Maklumat, Pengurusan Pusat Sumber itu mendedahkan kepincangan membaca di kalangan mahasiswa.

Tetapi pelik juga, mengapa mereka yang melanjutkan pelajaran di menara gading itu tiada minat membaca?

Jika tidak membaca, bagaimana mampu memperoleh diploma atau ijazah?

A Samad melihat senario golongan muda khususnya pelajar IPT hanya membaca buku teks untuk mendapatkan segulung ijazah dan selepas itu, mereka tidak lagi membaca.

Kebanyakan pelajar masa kini juga ghairah membaca bahan bacaan sia-sia, hiburan dan berbau seksual. Tetapi, apa faedah pelajar peroleh daripada bahan bacaan sedemikian?

"Banyak ilmu diperoleh daripada membaca dan buku adalah sumber ilmu sangat berharga, bukan sekadar lulus peperiksaan," katanya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairusy Syakirin Has Yun Hashim, berkata secara persepsinya, pelajar universiti kurang membaca dan hanya berkepit dengan buku bersifat ilmiah.

Beliau berkata, mereka membaca hanya untuk lulus peperiksaan serta memenuhi kriteria pemarkahan kerja kursus.

Namun, berdasarkan kajian terhadap 42 pelajar IPT mendapati mereka minat membaca walaupun skop tertumpu kepada karya fiksyen.

"Kesimpulan daripada kajian ini membuktikan pelajar membaca lebih daripada lima buku setahun.

"Kajian itu turut mengubah kajian yang pernah dilakukan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) satu ketika dulu yang mengatakan rakyat di negara ini hanya membaca dua buku setahun," katanya.

Namun, dari segi pembelian bahan bacaan di kalangan pelajar, hanya 48 peratus pelajar membeli buku dan baki 52 peratus tidak membeli buku.

"Ini bukan bermakna pelajar tidak membaca, sebaliknya kebanyakan mereka menggunakan perpustakaan universiti atau koleksi keluarga sebagai sumber mendapatkan bahan bacaan.

"Kebanyakan pelajar mahu membeli buku tetapi faktor harga membantut hasrat mereka, akhirnya mereka tidak membeli apa-apa.

"Kebanyakan buku ilmiah yang diimport mahal dan di perpustakaan, jumlahnya kecil berbanding mereka yang meminjam," katanya.

Justeru, bagi menangani masalah itu dan menambah minat membaca, Khuirusy menyarankan gerakan membaca perlu lebih digiatkan terutama di kalangan pelajar.

"Wujudkan pengurusan pembacaan di universiti sebagai lambang kepada bermulanya satu generasi baru yang minat dan menyintai buku," katanya.

Bagi bekas Pegawai Perancangan Bahasa Kanan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Jaafar Abdul Rahim, kegersangan minat membaca di kalangan pelajar IPT memang ada tetapi itu tidak penting.

Menurutnya, apa yang perlu difokuskan adalah mereka yang minat membaca dan pelajar patut memburu gelaran pakar buku dengan membuka pemikiran melalui pembacaan dalam pelbagai bidang.

"Biasanya kita memperdebatkan mereka yang tidak minat membaca tetapi bagaimana pula mereka yang gila membaca?

"Dengan membaca, mereka punya idea selain membangunkan karakter seseorang.

"Justeru, saya meminta pensyarah memberi markah lebih kepada pelajar yang memberikan idea bernas, bukan 100 peratus daripada nota," katanya.

Jaafar berkata, ilmu berubah setiap masa dan ia mengikut peredaran masa. Justeru, sebagai masyarakat terutama pelajar, kita perlu mendapatkan ilmu itu dengan membaca.

"Pembacaan bahan bacaan tidak akan mati walaupun teknologi kini semakin canggih kerana walau apapun yang terjadi, buku akan kekal menjadi sumber ilmu sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar tahun akhir Pengurusan Maklumat, Mohd Nabil Zulhemay, 24, berkata minat membaca itu akan lahir jika bahan bacaan itu difahami selain diminati.

Bagaimanapun, daripada minat sebenar pelajar untuk membaca, katanya, kebanyakan pelajar hanya membaca buku untuk mendapatkan ijazah.

"Sebagai pelajar, saya tidak menafikan kebenaran terhadap kerisauan A Samad itu kerana pelajar hanya membaca untuk lulus peperiksaan.

"Mereka gemar keluar dengan rakan atau menghabiskan masa melakukan aktiviti lain selain membaca. Jika membaca pun, majalah hiburan," katanya.

Rujukan:

10 Mei 2015

GST : Rakyat tunjuk rasa

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah sebulan lebih rakyat Malaysia menanggung sengsara kemelut ekonomi. Bagai jatuh ditimpa tangga. Dalam keadaan harga barang yang naik tanpa turun-turun sebahagiannya ditambah pula dengan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan yang buta; tidak mengenal miskin dan kaya. Semua lapisan masyarakat akan dikenakan GST; kaya, miskin, dewasa, kanak-kanak, orang kampung, orang bandar dsb. 

Akhirnya rakyat bangkit menyatakan tidak puasan hati dengan mengadakan himpunan tunjuk rasa. Program HINDAR, Himpunan 1 Mei dan jelajah beberapa ketua masyarakat setempat dan NGO setiap negeri mengadakan tunjuk rasa ketidakpuasan hati terhadap tekanan kerajaan melalui GST.

Di Kuala Terengganu...







29 April 2015

Mengapa ISLAM 4

          Inilah tuntutan iman. Kerana tuntutan iman inilah umat Islam berkesinambungan selama 13 kurun tanpa mengenal satu peraturan (syariat) selain peraturan Tuhannya. Al-Quran adalah perlembagaannya. Syariat Islam adalah undang-undang yang dia berhukum dan mengguna pakainya. Dan dengan undang-undang itu juga umat Islam berlindung di dalam keadilan berfatwa dan penghakiman serta pada semua urusan. Walaupun di sana ada pengurangan mahupun penyelewengan. Di sana juga ada kesalahfahaman pada syariat Islam dan kecacatan dalam melaksanakan hukum-hukumnya. Tetapi tidak berlaku penentangan terhadap syariat itu ataupun menolaknya. Tiada seorang pun yang berkuasa atas perkara ini. Manusia yang jahat dan angkuh sekalipun tidak memiliki kuasa apabila dihadapkan padanya hukum Allah dan RasulNya, dia akan dengar dan patuh.

            Al-Hajjaj Bin Yusuf Ath-Thaqafi seorang pelampau lagi angkuh, yang terkenal (ketika pemerintahannya) menangkap orang hanya dengan sebab berasa curiga dan menghukum bunuh disebabkan ada keraguan. Al-Hajjaj pada suatu hari telah menahan seorang lelaki sedangkan dia bukan seorang penjenayah  atau ada membuat kesalahan. Tetapi sebahagian kaum kerabatnya yang telah membuat jenayah itu. Maka lelaki itu telah didatangkan ke hadapan Al-Hajjaj lalu dia bertanya kepada lelaki itu tentang perihalnya. Maka lelaki itu berkata:
“ Seorang penjenayah telah melakukan jenayahnya kerana menceroboh maruah kabilah itu sedangkan dia juga daripada kaum kerabat itu, maka saya telah ditangkap dan dipenjara sebagai ganti daripadanya. Lalu Al-Hajjaj berkata: “ Sesungguhnya seorang penyair telah mengungkapkan:
Kamu mendapat tuduhan sebagai penjenayah kerana orang yang berbuat jenayah kepada kamu.
Kadangkala orang yang sihat itu terkena jangkitan penyakit kulit ( kurap / sopak ).
Boleh jadi seseorang itu mendapat kesalahan disebabkan perbuatan kaumnya.
Sedangkan si pelakunya terselamat dari dijatuhi hukuman.

Iaitu manusia kadangkala dihukum dengan sebab kesalahan orang lain, demikianlah kata penyair”.

Maka lelaki itu berkata: “ Bila penyair berkata sedemikian, sesungguhnya Allah Taala telah berfirman melalui lidah Nabi Yusuf a.s. “ Dia (Yusuf) berkata, Aku memohon perlindungan kepada  Allah dari menahan (seseorang), kecuali orang yang kami temukan harta kami padanya, jika kami (berbuat) demikian, beerti kami orang yang zalim ”. [ Surah Yusuf: 79 ].
Dan inilah dia makna yang Al-Quran telah kuatkannya tika Allah Taala berfirman yang bermaksud: “ … dan seseorang itu tidak akan memikul beban dosa orang lain …” [ al-An’am : 164 ],

tanggungjawab individu atau peribadi. Tatkala al-Hajjaj mendengar ayat ini daripada lelaki itu, dia berkata: Bebaskan perjalanan lelaki itu ! Allah itu benar dan penyair yang menipu.

3 April 2015

Balik kampung

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, syukur pada Allah Taala kerana diberi peluang dan kesempatan yang baik untuk menziarahi emak dan ayah di kampung. Setelah lebih kurang 4 bulan tidak menjenguk keluarga di kampung halaman, kini ada waktu yang sesuai untuk pulang ziarah. Walaupun tidak dapat berada lama di sana namun terubat juga rindu kepada keluarga dan kampung halaman.

Moga dapat bercuti lagi di kampung halaman tercinta. Apa mungkin akan menetap di sana suatu hari nanti?








16 Mac 2015

SUKMADI 2015

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Taala kerana baru-baru ini kami para guru Madrasah Darul Iman telah selesai menjayakan program tahunan madrasah iaitu sukaneka- Sukaneka Madrasah Darul Iman (SUKMADI).

Sukaneka tersebut berlangsung pada 11 dan 12 Mac lalu sebagai penutup tirai penggal pertama persekolahan. SUKMADI tahun ini lebih meriah kerana ahli keluarga kami semakin bertambah. Walaupun dalam keadaan cuaca panas, perjalanan program dapat dijalankan dengan baik dan tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Alhamdulillah. Suatu usaha yang baik apabila mudir madrasah dan beberapa orang guru merangkap AJK program menyediakan kanopi di tapak permainan. Hanya permainan bola sepak, bola jaring dan beberapa permainan sahaja yang terpaksa berlangsung di bawah sinar matahari. 

Pada tahun ini pasukan Rumah Kuning telah merangkul gelaran juara keseluruhan. Diikuti oleh pasukan juara tahun lepas iaitu Rumah Unggu. Tempat ketiga Rumah Hijau dan tempat keempat Rumah Merah.








13 Februari 2015

Al-Fatihah- Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

انا لله وانا اليه راجعون
Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepadaNya jua kita kembali.

Perginya Seorang Murobbi Ummah

Al-Fatihah buat Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabi'ul Akhir 1436
Khamis, 9.40 malam

Semoga berganti berpuluh orang seumpama beliau. Thabatkan kami di dalam perjuangan ini Ya Allah.