22 September 2009

Eid Mubarak

Assalamualaikum w.b.t. Salam Aidilfitri.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, walillahil hamd.

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Allah maha besar,Allah maha besar,Allah maha besar sebesar-besarnya
Segala pujian bagi Allah,
dan maha suci Allah (dari kekurangan) pagi dan petang

لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ ، وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ،
وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ ، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ, اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah
Tidak kami perhambakan diri melainkan kepadaNya sahaja
dalam keadaan mengikhlaskan diri beragama kepadaNya walau dibenci oleh orang-orang kafir.
Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah sahaja (Yang Maha Esa),
Dia telah membenarkan janjiNya (memenangkan Rasul dan para pengikut baginda S.A.W.), Dia telah menolong(memenangkan) hambanya(Nabi Muhammad S.A.W.), Dia telah memperkuatkan /memuliakan tenteranya, Dia telah menewaskan tentera Al-Ahzab dengan sendirian (tanpa bantuan sesiapa).
Tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, bagi Allah segala puji-pujian.

Demikianlah untaian lafaz-lafaz mengagungkan Allah Taala, Rabbul 'Alamin; lantaran rasa syukur di atas segala nikmat yang masih dapat kita kecapi hingga detik ini. Dan nikmat yang paling berharga ialah nikmat IMAN dan ISLAM. Dua nikmat yang dapat menyempurnakan fitrah seorang insan supaya tidak menjadi seperti haiwan atau lebih darinya. Dua nikmat yang dapat membahagiakan dan menyelamatkan diri serta sesiapa sahaja dari azab dunia dan akhirat. Dua nikmat yang sukar dipelihara dan dipulihara tetapi manis bila mengecapinya.

Alhamdulillah, kita telah pun dapat melalui sebulan Ramadan dan menyambut Syawal pada tahun ini. Segalanya boleh dikira-kira dan ditilik-tilik sejauh mana penghayatan kita pada bulan jamiah Ramadan itu dan implikasinya di hari-hari mendatang, sehinggalah kita bertemu kembali di Ramadan akan datang (insyaAllah). Mengira dan menilik pada hablumminallah wa hablumminannas serta kembalikah kita pada fitrah seorang insan dan hamba kepadaNya...

Maksudnya " Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".(Surah Al-Rum 30).

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Get This from CyArena.com

4 September 2009

Jami'ah Ramadhan: Menambah eratkan hubungan dengan Khaliq


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, sudah hampir kita berada di pertengahan bulan mulia ini- Ramadhan al-
Mubarak. Dan kini juga kita telah pun berada di 10 hari yang kedua di bulan Ramadhan, hari-hari pengampunan dari Allah Taala. Sedang hari-hari rahmat telah berlalu. Kita hanya mampu merenung dan bermuhasabah sejauh mana perjalanan ibadah

Ramadhan kita kali ini. Sudah dapat mencongak prestasi kita dalam merebut kelebihan beribadah di bulan mulia ini. Dan hari-hari yang berbaki, moga kita dapat menyusun aktiviti-aktiviti ibadah dan berjaya melaksanakannya dengan jaya. Masa yang ada tidak kita sia-siakan.

Aktiviti ibadah kita janganlah sesempit pada fikiran awam. Pengertian ibadah kita luas. Malang sekali jika hanya menyepi di teratak sendiri dengan alasan untuk beribadah dan bermunajat kepada Allah Taala. Alangkah baiknya jika anggota bergerak ke sana ke mari untuk Islam sedang hati iltizam bermunajat kepadaNya. Dengan itu, ibadah kita dapat dikongsi sesama saudara muslim yang lain. Ibadah kita tidak ananiyah tetapi jama'iyah. Jika benarlah begitu, semakin rahmat, berkat dan bermaknalah alam ini. Moga dapat sama-sama kita pupuk nilai hidup sufi haraki.

Dan dari itu juga marilah sama-sama kita realisasikan Allah matlamat hidup kita.
Ia boleh direalisasi dalam perkara berikut secara urutan:

1. Memperbaiki niat dalam segenap amal soleh yang memimpin seseorang itu menuju jalan kepada Allah.
2. Bersangka baik kepada Allah dalam setiap apa yang berlaku ke atas dirinya.
3. Bersegera untuk bertaubat apabila mendapati diri tersasar jauh dari kebenaran
Islam dengan terlibat dalam dosa-dosa besar atau kecil.
4. Sentiasa berada dalam posisi ketaatan kepada Allah walaupun pada perkara yang
sukar untuk dilakukan.
5. Sentiasa mengingati kematian, kerana ia boleh membantu untuk memperbaiki diri
dalam menyediakan bekalan yang cukup untuk menemui Allah SWT.
6. Memperbanyak dan membentengi diri dengan zikrullah (zikir) seperti tasbih, tahmid,
takbir, tahlil, ma'thurat dan zikir-zikir harian yang lain.
7. Sentiasa komited dengan pembacaan al-Quran setiap hari, kerana ia merupakan kitab
Allah, apabila seseorang itu membacanya setiap hari, ia telah berinteraksi dengan Tuhannya dan Dia akan sentiasa sayang dan kasih kepadanya, termasuk mentadabbur (meneliti) isi-isi kandungannya.
8. Memohon doa restu Allah dalam segenap tindakan yang dilakukan.
9. Tidak jatuh pada perkara yang menjadikan seseorang itu merasa was-was dalam perkara ibadat, hingga akhirnya meninggalkannya kerana menganggap Islam itu sukar untuk dilaksanakan. Ia boleh diatasi dengan banyak duduk dalam majlis-majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang soleh yang boleh mengingatkan diri kepada Allah SWT.
10. Mesti memahami bahawa Islam itu adalah agama yang menyuruh untuk beramal atau bekerja dan menghasilkan sesuatu yang terbaik buat dirinya dan orang lain sesuai dengan tuntutan dan keperluan hidup.
11. Tidak membebankan diri dengan melakukan sesuatu yang sukar untuk dilakukannya seperti memaksa diri bangun setiap malam dengan melakukan 11 rakaat solat Tahajjud dan Witir, cukuplah buat peringkat awal dua rakaat Tahajjud dan satu Witir tetapi konsisten.
12. Mencontohi sebaik-baik contoh teladan yang terbit dari diri baginda Rasulullah s.a.w., para sahabat dan para tokoh ulama Islam terkemuka.
13. Menjauhkan diri segala perkara-perkara yang haram seperti rasuah, riba, makan harta anak yatim dan sebagainya.
14. Menyatakan taat setia kepada segenap suruhan Allah dan Rasul-nya dan meninggalkan segenap tegahan dan larangan Allah dan Rasul-Nya.
15. Merasakan segala habuan dunia boleh membawa kepada kehinaan pada diri.
16. Memperbanyak munajat kepada Allah (menyatakan rasa rindu dengan ibadat di tengah malam).
17. Tidak banyak berangan-angan untuk mencapai status pangkat dan kedudukan di dunia.
18. Tidak mengejar kamasyhuran dengan mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara.
19. Memperbanyak ibadat khusus dan umum yang boleh mengeratkan hubungan sesama manusia.
20. Merasakan keagungan Allah dalam seluruh penciptaan-Nya.
21. Mengadu nasib hanya kepada Allah dan meminta pertolongan hanya kepada-Nya jua.
22. Berusaha untuk sentiasa membantu orang-orang Islam dalam apa jua keadaan yang diperlukan.

Jika seseorang itu mampu mengikuti kaedah atau pendekatan seperti yang ditunjukkan di atas, insya-Allah dia akan dibayangi dengan rahmat serta kasih sayang Allah SWT yang akan menjadikan dirinya bersedia untuk diwakafkan hanya untuk agamanya yang disayangi.

Sumber: Harakahdaily- Agama