16 November 2008

Usrah...MB....SC....tiada bezanya. Penting mengikutinya.

Assalamualaikum w.b.t. ,

Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah SWT yang mencipta dan mentadbir sekalian alam, langit dan bumi, dunia dan akhirat. Salawat dan salam buat junjungan Rasulullah saw yang mengunjuk kepada umatnya jalan kebenaran; juga buat ahli keluarga dan para sahabat baginda, pengikut setia baginda saw dan orang-orang yang mengikuti pengikut-pengikut setia baginda saw sehingga ke hari akkhirat.
Al-Quran dan As-Sunnah merupakan cahaya petunjuk yang tidak malap diharung zaman,sesuai di setiap tempat. Keduanya juga adalah harta peninggalan Rasulullah saw yang menjamin kebahagiaan untuk umatnya di dunia dan di akhirat.
Sesuatu penyelesaiaan yang kabur di dalam Al-Quran maka As-Sunnah menjadi rujukan. As-Sunnah adalah apa yang diucap,dibuat,sifat baginda saw– rupa tubuh atau akhlak serta apa yang dibenarkan oleh Rasulullah saw pada sesuatu perbuatan dari kalangan sahabat baginda.
Oleh itu, sirah Rasulullah saw juga perlu menjadi sumber rujukan umat baginda dalam melaksanakan kegiatan harian kehidupan seorang muslim.
Dengan itu usrah atau di sini lebih dikenali sebagai Muzakarah Berkelompok di DPMM manakala di PCM dipanggil Smart Circle merupakan aktiviti mingguan seluruh mahasiswa Islam di sini.

Apa itu usrah/MB/SC?

Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan silaturrahim yang sedia ada.
Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang kemas tersusun.

Apa tujuan usrah/MB/SC ?

01. Menghubungkan diri dengan Allah SWT selaku hambaNya.
02. Merapatkan ukhuwah Islamiah.
03. Meluaskan kefahaman terhadap Islam.
04. Memelihara dan menghubungkan diri sesama manusia dan alam semesta.
05. Mendalami ilmu fardhu ain.
06. Memberi galakan dan bimbingan dalam ibadah kepada generasi muda.
07. Meningkatkan kefahaman anggota-anggota terhadap Islam dan menentukan sikap terhadap satu-satu masalah sebagai umat Islam.
08. Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jamaah.
09. Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai din wa daulah, menghayatinya dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahkan Islam sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
10. Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
11. Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan pelbagai cabaran dan godaan yang mengancam kemurnian Islam.

Rukun usrah/MB/SC ?

Rukun ikatan usrah ini tiga perkara. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

Saling mengenali: Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan (taaruf) serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Elakkan perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung tinggi titah firman Allah SWT dan hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.: “Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara”. (Al-Hujurat, 26:10) “Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah”. (Ali Imran, 3:103) ‘ Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain’. (Hadis).

Saling memahami:(Tafahum) Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan.
Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat. Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat daripada sahabatnya. Pemberi nasihat janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu walau sejarak sehelai rambut sekali pun. Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam.

Saling memelihara nasib: Takaful bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya. Sabda Rasulullah s.a.w.(maksudnya), "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf sebulan di masjidku ini. (Hadis).

Daripada edaran pamplet Jabatan Muzakarah Berkelompok DPMM sesi 2008 / 2009