20 Mei 2012

BERSIH 4.0 - Keperluan Muzakarah


1. Sebelum ini saya telah mencadangkan agar BERSIH 4.0 dibuat dalam format Duduk dan Debat. Ertinya saya melihat ruang politik baru mendepani Pilihanraya Umum ke 13 adalah melalui persaingan hujjah yang sihat berpaksi fakta dan figure. Bukan lagi politik selak dan dedah atau politik tohmah dan fitnah.

2. Yb. Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang Presiden PAS pula telah menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan semua pihak asal sahaja menepati syarat yang telah ditetapkan oleh pihak beliau. Nada serupa ditegaskan oleh YAB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat al Mursyidul Am PAS.

3. Saya bangga dan sokong kesediaaan mereka untuk duduk dan berbincang, berdialog dan berbahas untuk mencari kebenaran dan tentu sahaja semua pihak berkewajipan tunduk kepada kebenaran. Sementara kebenaran itu pula pastilah datang dari Allah Jalla wa A'la Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam cakerawala ini.

4. Semua pihak tidak perlu angkuh atau skeptikal antara satu sama lain demi masa depan agama, bangsa dan negara. Ada kesungguhan dan keikhlasan, maka tiada sebab kenapa kita tidak boleh menerima Islam sebagai dasar dan asas perjuangan serta hidup kita, malah pegangan dan prinsip politik kita juga mestilah melandasi Islam. Kepimpinan dan pemerintahan kita juga mesti tunduk kepada perintah dan kehendak Allah swt. Jangan angkuh terhadap kebenaran ! Biar sehebat mana anda mempertahankan kebathilan, apabila datang kebenaran ini, nescaya binasalah kebathilan itu.

5. Media massa sebagai penghubung pelbagai pihak secara umum mesti bersikap positif. Bukan menjalankan agenda pihak tertentu dan akhirnya suatu yang baik bukan sahaja gagal tetapi dilihat buruk dan jahat. Bukan sahaja orang politik bertanggungjawab memimpin dan mengurus rakyat, media juga mesti sedia membina pemikiran positif dikalangan rakyat bukan menjadi batu api yang menyemarakkan persengketaan dan kebencian melampau sesama manusia.

6. Telah saya tegaskan, kita selesaikan apa jua persoalan yang tercetus dengan debat, dialog atau muzakarah. Paksinya ialah tunduk dan akur dengan kebenaran. Justeru kebenaran itu suatu yang mulia dan terpuji. Hanya pesalah takutkan kebenaran, hanya orang yang lemah jiwanya takut kepada kebenaran, hanya orang yang mempunyai agenda buruk dan berkepentingan diri serta puak sendiri yang takut pada kebenaran. Sedarlah ! ahli politik hari ini mesti bina iklim politik yang lebih bistari dan harmonis bertunjangkan hujjah yang benar dan aqal yang rasional.

7. Rakyat dan negara tidak boleh membiarkan petualang agama dan bangsa terus melonjak nafsu politik mereka tanpa peduli letak duduknya kebenaran. Petualang inilah kelak merosakkan tamadun dan pemikiran generasi yang sedang membangun dengan nafsu politik yang tiada sempadan kawal. Sanggup rasuah, menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, menindas yang lemah, melobi yang kaya dan mengipas yang berkuasa akan menjadi rutin dipentas politik tanahair apabila mereka bergelar politikus atau penguasa melalui manipulasi politik dan kelicikan mereka meraih sokongan pengundi tanpa landasan ilmu dan hujjah yang benar , jauh sekali berpaksikan taqwa kepada Allah swt.

8. Banyak jalan dan cara untuk berkuasa dalam negara kita termasuk melalui manipulasi pilihanraya, sogokan, ugutan dan sebagainya. Kita tidak mahu jalan dan cara ini. Kita mahu pemimpin negara kita terdiri dari pemimpin yang benar dan memiliki nilai integriti yang baik menepati pelan integriti nasional dan yang lebih penting menepati piawaian akhlak kepimpinan yang telah dimuktamadkan oleh Islam. Lantas rakyat memilih pemimpin yang terbaik melalui standard piawaian tersebut setelah rakyat pula mendapat maklumat yang adil dan seimbang.

9. Al Quran telah menggariskan kaedah dialog, debat dan muzakarah ini sebagai strategi dakwah yang berhikmah untuk mengembalikan manusia kepada Allah swt. Ingatlah, sebagai seorang muslim malah seluruh ummat manusia, kita berpolitik adalah bersaing untuk mencari individu atau pihak [ parti ] yang terbaik sebagai pengurus dan penyelia urusan hidup manusia di muka bumi ini berpandukan pedoman dan petunjuk Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta.

10. Kita tidak berhak dan kita juga tiada authoriti untuk membuat pilihan lain selain apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt. bagi menyelamatkan negara dan rakyat dari pengaruh politik jijik dan keji. Pelaku politik jijik dan keji tidak suka muzakarah, tidak suka debat dan tidak suka dialog kerana apa yang mereka suka ialah dedah dan selak keaiban individu, fitnah dan tohmahan liar serta berdendang dengan lagu politik lapuk dan primitif. Mereka tidak ada hujjah tapi mahu cari kuasa. Mereka tidak ada ilmu tapi mahu cari pengaruh. Mereka tidak milik kebenaran tetapi mahu memimpin. Hancur masa depan negara kita !

Nasrudin bun Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

5 Mei 2012

Islam Mesti Ditafsir Sebagai Addin

Baru-baru ini TG Haji Abdul Hadi Awang telah ditemuramah oleh beberapa wartawan News Straits Time (NST) berkenaan beberapa isu semasa termasuk isu BERSIH 3.0 dan perlembagaan negara. Namun beberapa akhbar telah cuba menyalahfahamkan apa yang telah disampaikan oleh beliau dan beberapa kritikan yang tidak bermoral diluahkan. Terutama berkaitan isu perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam sebagai agama rasmi (religion).
Oleh itu, mari kita melihat ulasan Dewan Ulama' PAS Pusat berkenaan isu ini dan video asal temuramah tersebut. Tontonlah sehingga tamat mudahan ada manfaat.
------------------------
HULU TERENGGANU – PAS bercadang membuat perubahan kepada Perlembagaan Persekutuan yang hanya meletakkan Islam sebagai agama rasmi (religion) menjadi Islam sebagai Addin, satu cara hidup yang lengkap, sekiranya di beri mandat oleh rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  berkata dalam dunia hari ini dunia manusia mengenali dua pendekatan iaitu ‘religion’ yang bermakna agama dan Addin iaitu cara hidup.

Katanya, ‘religion’ atau agama itu mengikut ensiklopedia barat adalah yang berkait dengan hubungan manusia dan tuhan iaitu aspek spiritual sahaja, manakala cara hidup adalah bergantung kepada ideologi dan teori manusia.

“Islam adalah Addin tiada pemisahan antara agama dan cara hidup. Sebab itu Islam tidak boleh diterjemah dengan agama sahaja tidak boleh diterjemah dengan ‘religion’ sahaja (kerana) Addin tidak tepat (jika) diterjemah dengan agama (atau) religion sahaja,

“kerana dalam itu (Addin) ada segala-galanya termasuklah yang berkait dengan teori, ideology, termasuklah aspek politik, ekonomi (dan) sosial,”jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, dalam al-Quran yang menjadi panduan hidup orang-orang Islam bukan sahaja terdapat ayat-ayat yang berkaitan dengan aqidah dan ibadat, tetapi termassuk ayat yang berkaitan undang-undang dan hubungan antarabangsa.

Katanya, undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang digubal di The Hague Belanda selepas perang dunia pertama adalah merujuk kepada al-Quran.

Contohnya, kata beliau adalah dalam masalah suaka politik, piagam Geneva mengatakan pelarian tidak boleh diapa-apakan dan mesti diberikan perlindungan adalah terdapat dalam al-Quran, dalam surah al-Anfal. Kataya, ia adalah bukti yang jelas menunjukkan Islam ini bukan hanya ‘religion’, bahkan lebih luas daripada itu.

“Disana ada piagam Geneva yang mengatakan pelarian tidak boleh diapa-apakan, ini ada dalam al-Quran dalam surah al-Anfal, jika sekiranya seorang seorang musyrikin yang menyembah berhala (yang) tidak sama agama agama dengan kita,

“dia dianiyai di negeri dia, dia mari (lari) ke tempat kita, maka beri perlindungan kepada mereka,
“menunjukkan Islam ini bukan ‘religion’ (bahkan) ia lebih luas daripada itu."tegasnya.

Ustaz Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat Pemuda Pas Terengganu tahunan di Kampung Kubang Lembek , Manir di sini semalam, Selasa 1 Mei.

Beliau berkata perlembagaan persekutuan yang sedia ada sebenarnya boleh diguna pakai tetapi perkataan Islam sebagai agama rasmi perlu ditafsir sebagai Addin bukannya ‘religion’.

“Sebenarnya, kita boleh pakai perlembagaan (persekutuan) ini, cumanya perkataan Islam sebagai agama persekutuan kita tak boleh tafsir dengan ‘religion’, kita tafsir dengan Addin,”katanya.

Menyentuh tentang politik Terengganu, beliau yang juga Penasihat Badan Perhubungan PAS Terengganu menolak ‘andaian’ pemimin Umno yang mendakwa yakin dapat merampas empat dari lapan kerusi dimenangi PAS pada pilihanraya umum lalu.

Katanya, sekiranya Umno boleh membuat andaian, PAS juga boleh membuat sebarang andaian.
“saya tak bolej jawab soalan andaian, kalau dia boleh buat andaian, saya (PAS) juga boleh membuat andaian, PAS pernah menang 28 kerusi (yang) dulu dia kata mustahil macam mimpi siang hari,
“(tapi) kita pernah menang (dan menjadi kenyataan),”tambahnya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu haji Muhyiddin Abdul Rashid dan Ketua Pemuda, Ustaz Mohd Nor Hamzah

Dipetik dari buletinonline.
----------------------------------