23 Januari 2008

Kerana Iman.....

Suatu hari saya terbaca web blog http://www.zaharuddin.net/ berkenaan rayuan seorang lelaki muslim yang berhajat sangat untuk menjaga imannya. Tahu ketinggian nilai sebuah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Beliau merayu kepada wanita-wanita muslimah khususnya, agar menjaga tubuh badan mereka yang boleh membawa ramai kaum Adam ke lembah neraka. Beliau meluahkan perasaan, membantunya agar tidak terpandang lagi wanita-wanita yang 'berpakaian tidak cukup kain' sedangkan mereka mampu membeli pakaian berfesyen dan berjenama dengan harga yang agak mahal. Lebih merisaukan saya ialah keadaan beliau yang sudah pun berumahtangga; apatah pula keadaan bagi remaja-remaja dan muda-mudi yang masih membujang...
Pernah saya terbaca dalam sebuah forum berkenaan individu yang mengalami masalah sama dengan saudara kita ini sedangkan dia seorang pelajar agama lepasan Timur Tengah (wallahu a'lam samada Syria,Mesir,Jordan,Mekah,Madinah atau selainnya). Mungkin sahabat-sahabat boleh fikirkan, seorang yang telah berumahtangga dan seorang yang mendapat pendidikan agama tidak mampu untuk menahan ujian ini,bagaimana pulalah keadaan muslimin lain yang tidak berstatus seperti mereka berdua..???
Sememangnya benar, kalau sekadar berilmu agama tetapi tidak dihayati dan diamalkan manakan iman dan taqwa akan tersemai. Umpama air dicurah ke daun keladi. Apabila saya menyebut menghayati dan beramal dengan ilmu agama tidak bermakna hanya Solat 5 waktu,Puasa Ramadhan,Zakat dan Haji sahaja tetapi pengamalan agama dengan skop yang lebih luas. Islam agama yang lengkap dan sempurna serta inginkan kemudahan serta keselamatan untuk penganutnya tetapi jangan pula kita mempermudah-mudahkannya. Demikian juga dalam kehidupan muslim yang telahpun berumahtangga, semestinya ada nilai-nilai Islam dalam setiap urusan hidup mereka. Bukan kedua pasangan sahaja yang mendapat untung bahkan zuriat mereka. Manakala, bagi mereka yang bercita-cita melangkah ke alam baru itu semestinya bersedia dari saat ini membentuk peribadi diri agar mereka mampu membina sebuah keluarga muslim contoh.
Namun demikian, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk membentuk a'lim yang beramal dengan ilmunya dan suami isteri serta ibu bapa mithali. Tetapi bukan suatu perkara yang mustahil jika ada keazaman tinggi,kebersamaan dan kesepakatan untuk membuat perubahan. Sukar jika dilaksana sendirian. Takut-takut jatuh di pertengahan jalan tiada yang menghulur tangan memberi bantuan. Dari pembentukan a'lim yang beramal dan suami isteri serta ibu bapa mithali inilah diharap dapat melahirkan generasi yang berkualiti dan tahan lasak dari godaaan jahiliyah moden kini.
Sebagai maudu' entri pada kali ini mari meneliti sebuah hadis sebagaimana disebutkan oleh Nabi s.a.w :-

المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان وأقرب ما تكون من ربها إذا هي في قعر بيتها

Ertinya : "Wanita itu adalah aurat (seluruh tubuhnya kecuali tangan dan wajah menurut jumhur ulama), dan apabila ia keluar dari rumah, maka Syaitan akan menghiaskannya (sehingga mampu menarik pandangan lelaki), dan paling hampir wanita dengan tuhannya adalah apabila ia berada di rumah" (Riwayat at-tirmidzi, no 1173, 3/476 ; Ibn Hibban, 12/413 ; Imam Tirmizi berkata : Hasan Gharib ; Syuaib Arnout : Sanadnya sohih ; Albani : Sohih )

Imam Al Hafiz Muhammad Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa wanita dihiasi Syaitan adalah apabila ia keluar dengan perhiasan ditayangkan (termasuk auratnya) yang sengaja untuk menarik perhatian lelaki kepadanya. (Tuhfatul ahwazi , 4/283).

Di sini link untuk sahabat-sahabat melihat dan mengamati perbincangan sepertimana yang saya sebutkan di atas:


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...