Sesungguhnya,kawan yang mukmin itu adalah cermin bagi diri kita. Hal demikian juga pada diri kita;cermin kepada mereka. Maka benarlah ungkapan 'ad-dakwah bil hal afsah min dakwah bil lisan'. Kerana itu, junjungan besar Rasulullah saw merupakan contoh tauladan yang baik terserlah di hadapan dan belakang masyarakat, disegani kawan dan lawan. Oleh kerana kawan adalah cermin kepada kita samada dari sudut kelebihan atau kekurangan mereka maka janganlah dipecahkan cermin itu. Padahnya, serpihan tersebut terkena pada kita juga. Jika cermin tersebut tercemar gilaplah ia, jika jernih berkilat manfaatkan sebaiknya.
Sedarlah bahawa setiap orang ada lebih dan kurang.Hargai kelebihan mereka,jadikan sempadan segala kekurangannya.Hormatilah mereka sepertimana kita hormati diri sendiri.Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
" Tidak beriman (tidak sempurna) seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri".
Ambillah yang jernih ,buang yang keruh. Kebaikan pada mereka kita kongsi bersama,kekurangan pada mereka jangan dicemuh. Di sinilah sifat husnu dzon perlu dipupuk dalam diri walau ianya sukar.
Walaupun begitu, agama tidak mengajar kita mementingkan diri sendiri. Setiap kekurangan kawan-kawan kita yang boleh mencemar agama dan peribadinya harus dinasihati. Ad Deen An-Nasihah adalah tanggungjawab setiap muslim mukmin. Sebuah hadis masyhur riwayat Imam Muslim sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw:
" Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Jawab Baginda saw: Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para Imam muslimin dan seluruh muslimin ( selain Imam-Imam)".
Tiadalah guna ilmu di dada andai tidak dimanfaat sepenuhnya; dikongsi bersama.
Patutkah kita seorang diri masuk ke Syurga sedang kawan kita dibiar terseksa? Walau bagaimanapun, untuk menasihati seseorang perlu diketahui adab-adabnya. Tidak sepatutnya di hadapan khalayak ramai walau dua tiga orang. Sebaiknya, hanya kita dan kawan kita sahaja. Selain itu,gunakan bahasa yang baik, kalam yang boleh diterima oleh mukhatab, reaksi yang baik. Niat kita juga bukan untuk kepentingan duniawi tetapi ukhrawi-Lillahi Taala.
Sememangnya sukar untuk melaksanakannya. Membaca dan memahami mungkin mudah tetapi untuk melaksanakannya.......yang menulis pun tidak mudah mengamalkannya. Namun, jika kita bersepakat bersama mewujudkan suasana ini, ia pasti terjadi.
+ Suburkanlah hidup biah solehah +
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...