Ditulis oleh Presiden PAS -
Isnin, 05 November 2012 11:15
Republik Arab Syria (selepas ini
ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat,
bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di
utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di
sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab
yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat. Umum menyangkakan
bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria
berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah
muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti
Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath
paling kiri di kalangan negara Arab.
Dari segi hubungan dengan negara
jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya
hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram
Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap
mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga
kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel
seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan.
Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh,
bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat
apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang
menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria
mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China.
Kebangkitan rakyat berlaku sejak
awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika
itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa
kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan
Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media
tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam
membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit.
Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang
membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa
menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan
di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu
boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang
sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam
untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya.
Mantan diplomat Amerika yang menulis
makalah mengenai Fundamentalisme di Asia Barat sejak dua puluh tahun
lalu, mendedahkan pengetahuan Barat yang mendukung demokrasi dan hak
asasi manusia, bahawa mereka tahu dan faham kedudukan di Syria. Pihak
Barat menyedari bahawa kerajaan minoriti Alawi Parti Ba’ath menguasai
majoriti golongan Sunni yang kuat beragama dan betapa Hafez al-Assad dan
anaknya berlakon sembahyang dan berbagai ibadat yang tidak ada dalam
ajaran Alawi, demi menghalang kumpulan Islam yang menjadi ancaman paling
bahaya kepada Israel dan kepentingan Barat.
Dalam senario sebegini, Bashar al-Assad
pula bermain politik talam banyak muka, apabila dari satu sudut dilihat
membenarkan para pejuang Palestin daripada Hamas dan Jihad, membenarkan
Syria menjadi laluan bantuan pihak tertentu kepada Palestin dan
Hezbollah dengan bebas, bahkan diberi kemudahan membuka pejabat, pusat
latihan dan kemudahan yang lain; manakala di satu sudut yang lain
mempunyai hubungan sulit dengan Barat dan Negara haram Israel. Adapun
seluruh negara Arab yang lain tidak memberi tempat dan peluang
sepertinya. Sebaliknya pula Bashar al-Assad mengharamkan kumpulan Islam
yang sama sekiranya terdiri daripada rakyat Syria sendiri.
Kebangkitan rakyat yang berwajah Islam,
secara demonstrasi aman pada awalnya mendapat sambutan rakyat. Tiba-tiba
mendapat perhatian dunia luar khususnya negara Barat yang ada
kepentingan masing-masing dan Israel, sama ada pergantungan sumber
tenaga petrol dan gas, atau pergantungan dengan negara Zionis yang
berpengkalankan di negara haram Israel. Dua perkara yang dianggap rukun
hidup kepada barat : Minyak dan Israel.
Setiap pengamat politik yang insaf wajib
melihat kepada aspek yang penting tersebut, sebelum menentukan sikap
yang adil dan istiqamah. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama
parti-parti Islam di negara lain mengadakan wacana khas bagi menangani
isu ini.
Kami berpendapat bahawa Regim Bashar
wajib diturunkan oleh rakyat Syria dan digantikan dengan kumpulan Islam
tulen dengan proses demokrasi yang sebenarnya dan adil. Campur tangan
asing hendaklah ditentang habis-habisan. Kerajaan Islam Iran juga
hendaklah menarik sokongannya terhadap regim yang zalim itu, demi
menjaga maruah negara itu kepada umat Islam. Negara-negara Arab dan
berjiran seperti Turki pula jangan menjadi hamba kepada negara Barat
yang menjaga keselamatan Israel, minyak dan gas, dan bukannya ikhlas
terhadap rakyat Syria yang dizalimi. Barat bukan sahaja dilihat bahkan
terus bertindak dengan menunjukkan usaha mereka yang jelas untuk mencari
pemimpin pro Barat yang lebih menjaga kepentingan mereka selain
daripada Bashar, dan bukannya melihat kepada kepentingan 74% umat Islam
di Syria. Selagi pemimpin yang dikehendaki oleh pihak Barat ini tidak
berhasil, maka Bashar akan terus dikekalkan, kerana mereka berpendapat
bahawa kedudukannya lebih baik di kalangan yang zalim itu daripada yang
lain.
Negara Arab, Turki dan Iran pula
sepatutnya bersatu menghadapi negara haram Israel, bukannya berkhilaf
dalam isu Syria sehingga terperangkap dengan agenda musuh timur dan
barat. Semua pihak perlu kembali kepada sejarah secara ikhlas,
meninggalkan kepentingan mazhab, fanatik perkauman dan kerusi
singgahsana masing-masing. Ingatlah bahawa semua negara besar itu turut
terlibat dalam penubuhan negara haram Israel tahun 1948, dan masih terus
mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel sehingga kini. Mereka
jugalah yang terus membuat desakan supaya negara Arab dan Islam untuk
menerima Penyelesaian Two State Solution, antaranya menerusi Persidangan
Annapolis pada November 2007; yang membahagiakan dua negara iaitu satu
untuk Zionis dan satu untuk Arab Palestin (satu pembahagian yang zalim
dan khianat).
Sekiranya negara-negara Arab, Iran dan
Turki saling menyatukan sumber tenaga manusia, sumber semula jadi di
perut bumi dan teknologi yang sudah mencapai kemampuan menghadapi
cabaran, maka sudah tentu ancaman negara haram Israel ini dapat diatasi.
Hingga kini kita masih terus menunggu
setakat mana pencapaian Resolusi Makkah daripada sidang kemuncak OIC
yang berlangsung pada bulan Ramadan lalu. Penyelesaian sebenar hanya
akan dicapai apabila OIC dibebaskan dari berkiblat ke arah kuasa asing
dan mula berkiblatkan Kaabah di Makkah. Perhatikan sehingga mana usaha
penemuan susulan OIC di kalangan empat negara penting terdekat dengan
masalah yang sedang berlaku iaitu : Mesir, Turki, Arab Saudi dan Iran.
Atau adakah Syria akan atau sedang turut menjadi medan ujian senjata
kuasa barat dan timur, di mana negara-negara jiran menjadi pengkalan
bekalannya, dibayar pula dengan duit dan minyak Arab, akhirnya yang
kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.
Penyelesaiannya ialah memperkasakan OIC,
supaya benar- benar mewakili umat Islam. Syria adalah medan paling
sesuai supaya dipulangkan hak kepada rakyat dengan pilihanraya adil
secara langsung di bawah kendalian OIC. Pemimpin negara menjadi ujian
sama-sama beramanah atau bersedia jadi pengkhianat dan menerima hukum
Allah Yang Maha Adil.
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...