Sehari-hari meniti liku-liku hidup kita seringkali diuji. Samada ujian dengan kesusahan dan keburukan atau kesenangan dan kebaikan. Betapa kita gundah dengan ujian-ujian dari Allah Taala jika tersalah langkah dek kerana tidak meneliti dengan kanta Islam. Sukar untuk kita ingat pada Dia tika riang gembira, lapang dan selesa tetapi bersungguh benar kita merapat diri kepadaNya apabila sempit dada, tersepit jiwa dan kerja. Bersama-samalah kita ingat selalu dan sentiasa kepadaNya.
Di bawah ini suatu kisah hidup yang pernah atau mungkin berlaku atau seakan-akan sama jalan peristiwanya dengan kehidupan kita. Mudahan diperolehi pengajaran dan kita lebih halus meneliti jambatan hidup ini.
----------------------------------------------------------------------------
Tuhan tidak pernah 'tinggalkan' kita...
Azamin Amin | Tue | Oct 27, 09 | 11:37:03 am MYT
"...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian."
Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang? Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 15 tahun lalu.
"Azamin...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.
"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.
"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.
"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata saya mula bergelinangan.
Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan. Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"
Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding saya.
"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.
"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah Azamin tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!
"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakalanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan saya terdiam seketika.
Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.
Kira-kira enam tahun lalu, saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.
Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.
Dalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.
Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu di muka keluarga.
Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.
"Nah, wang belanja sedikit untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.
Sangka orang, saya sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.
Peristiwa kedua cukup menyeramkan saya, ketika dalam perjalanan pulang daripada menziarahi pengebumian jenazah seorang bapa saudara (adik ayahanda saya pula) di Setiawan, Perak pada tahun yang sama. Waktu itu kira-kira 12 tengah malam.
Entah macamana, saya tersesat mencari jalan susur keluar menuju ke Kuala Lumpur. Kalau tidak silap, saya berpusing di tempat yang sama, sekitar kawasan Cenderung Balai, Teluk Intan.
Malam cukup pekat. Tidak ada 'sebiji' kereta pun pada masa itu yang lalu lalang, apatah lagi orang pejalan kaki untuk saya bertanya haluan. Kiri kanan ladang kelapa sawit dan tiada lampu di sepanjang jalan raya.
Lebih menakutkan, tiada papan tanda atau 'sign board' penunjukk jalan kelihatan dan makin mengerikan bilamana minyak kereta sudah hampir habis. Aduhai.
Saya cuba untuk bertenang, supaya isteri yang duduk di kerusi belakang kereta sambil membelai anak berusia setahun tidak berkongsi kepayahan yang dilalui hati nurani ini. Apatah lagi, minyak kereta juga sudah kekeringan yang amat sangat. Lampu minyak, menyala tanpa henti menandakan bahaya bakal menimpa jika tidak diisi.
"Abang...rasa macam lama je...tak jumpa jalan ke?," soal isteri mengesyaki sesuatu.
"Taklah, abang tengah cari stesen minyak ni..." kata saya berselindung. Memang benar kata isteri, sudah lebih sejam saya memandu di kawasan yang sama, sama gelap dan likat tanpa jumpa jalan keluar.
Tiba-tiba saya nampak sebuah warung dipenuhi orang di sebelah bertentangan kanan jalan. Asalnya mahu gembira, tetapi terbit rasa aneh dan ganjil, bila sebuah warung, di sepanjang jalan gelap dipenuhi orang, jam 12 tengah malam. Sedangkan saya sudah melalui jalan tersebut berkali-kali, tetapi baru kini bertemu warung aneh di malam hari.
Sesat selama sejam
Lantas, dengan kocakan dada yang cukup berdebar, saya memberhentikan kereta di kiri jalan. Pada hemat saya, akal, minda dan perasaan saya sudah cukup letih dan berselirat sehingga melihat perkara-perkara aneh pula.
"Abang...kenapa berhenti?
"Rehat sekejap...rasa mengantuk sikit," kata saya menyembunyikan perasaan takut tadi. Sah..isteri saya tidak nampak, apa yang saya lihat.Lalu, dengan kekuatan yang saya ada, saya baca surah-surah pendek seperti al-Ikhlas, al-Kafirun dan an-Nas. Lebih kurang 10 minit juga, saya cebiskan beberapa doa yang diajar bonda antaranya:
"Dengan Nama Allah yang dengan nama-Nya tidak akan memberi mudharat apa pun yang ada di bumi dan di langit dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Riwayat Tirmidzi & Abu Daud)
"Ya, Allah selamatkan aku, isteri dan anakku daripada sebarang malapetaka. Kasihanilah anakku yang tidak berdosa," doa saya kepada Tuhan sambil merenung sikecil yang tidur lena sejak dari tadi.Saya tarik nafas panjang, dan berserah pada Allah. Kelibat warung sudah tidak kelihatan dan kemudian saya memandu dan terus memandu tanpa hala tuju.
Tiba-tiba, kurang lima minit saya terlihat sebuah papan tanda tertulis 'Kuala Lumpur' dan lima minit kemudian, sebuah stesen minyak kelihatan di sebuah simpang empat. Alhamdullilah, Allah menyelamatkan saya ketika saya berharap benar pertolongan-Nya.
Suatu hari, sekitar tahun 2002, rumah saya kehabisan barang keperluan. Ketika itu, dalam hati saya berdoa, janganlah ada tetamu yang datang kerana tidak ada sebarang 'habuk' pun untuk dijamu. Buruk sungguh kelaku saya sehingga berdoa begitu. Bukan apa tetapi saya malu dan khuatir tidak dapat meraikan tetamu dengan juadah yang boleh dijamu.
Ya, kita fikir perancangan dan doa kita betul padahal Allah itu lebih menyayangi kita. Sebenarnya, sudah diajar jika ada tetamu, jamu dan layan sedaya mampu kerana kehadiran mereka, 'membawa' rahmat dan 'membersihkan' dosa.
Bonda saya ada berpesan, jika ada tetamu, apa yang ada di dapur jangan disimpan. Jamulah semuanya kerana utamakan tetamu adalah ajaran Nabi dan agama.
Lantas, selesai sahaja berdoa, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Doa saya tidak diperkenan, dan tetamu pun datang. Hati saya berbolak-balik. Saya memandang wajah isteri dan memberi isyarat bertenang. Dalam keadaan gelisah, kami mampu jua hidangkan 'teh o bujang' tanpa sekeping biskut pun ada sebagai hidangan.
"Tak pa, Min...kami datang ni nak tengok anak sulung awak, janganlah susah-susah. Lagipun kami ada hal lain lagi," sambil tetamu bersalaman, mengepilkan wang not RM50.00 ke telapak tangan.
Kemudian, air mata basah mula menjadi teman...
Benarlah kata Tuhan, Nabi dan agama. Janganlah kita memandai-mandai berdoa yang tidak baik atau berfikir yang bukan-bukan sedangkan Allah tidak pernah tinggalkan kita.
Apa-apa yang kita rasa dan lalui, adakalanya kita rasakan tidak baik bagi kita sedangkan ianya elok untuk kita dan hanyalah Allah sahaja yang mengetahui.
Ujian yang bertindih, bertali-arus adakala membuatkan saya kerdil dan 'menyumpah' diri dengan kata-kata tidak baik seolah-olah dimurkai tuhan sedangkan ujian itu cukup baik dan manis bagi saya selepas itu.
"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al- Baqarah, ayat 216)
Teringat ketika putus cinta lantaran kekasih meninggalkan diri saya yang sudah menjalinkan hubungan yang agak lama. Remuk hati dan berkecai perasaan. Kasih yang dibaja, kononnya untuk membina mahligai, hancur di tengah jalan. Tahun itu, sekitar 1994. Saya sujud dan bermunajat duka bahawa selepas ini, hanya Allahlah yang menentukan dan memilih buat saya tanpa perlu saya tercari-cari lagi, getus hati kecewa.
Saya adukan keperitan yang ditanggung kepada majikan, yang menjadi kawan rapat saya juga di kala susah. Saya ketika itu berusia 20an manakala majikan yang dikenali Encik Rakha itu, berusia lewat 40an.
"Beginilah Min...kau rasa kereta proton Satria itu segak bergaya dan cukup cantik bagi kau sedangkan Allah nak 'mengurniakan' sebuah 'Mercedez Benz' bagi kau di kemudian hari...tetapi kau tak tahu lagi.
"Jika suatu hari nanti, kau dah dapat yang jauh lebih baik dari sekarang...jangan lupa beritahu aku," kata bos lelaki itu yang suka membahasa diri sebagai 'aku'.
Ya, setahun selepas saya berdoa duka lara itu, Allah sekali lagi 'menjawab' keresahan hati saya dan kini saya sekali tersenyum dengan simpulan kata-kata bos lelaki itu tatkala memandang tiga cahaya mata hasil perkongsian kasih nan bahagia bersama jodoh, isteri yang tercinta.
Ya. Setiap yang berlaku ada hikmah. Dan tidak berlaku sia-sia. Sungguhpun perit dilalui ketika berlaku, di kemudiannya, Allah persiapkan kebahagiaan dan kejayaan setelah lama bersabar.
Dan selepas itu, ujian demi ujian terus datang dari Allah yang cukup sayang pada hambaNya dan tidak pernah menghampakan, jika diperlukan.
"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar" (An Nisaa ayat 40) .
---------------------------------------------------------------
Terima kasih kepada penulis ( Sdr. Azamin ) kerana dapat memberikan satu input yang baik kepada saya dan para pembaca untuk kita lebih teliti dan halusi dalam perihal hubungan seharian kita dengan Allah Taala.
Rujuk:Isnin 2 November 2009 | 14 Dzulka'edah 1430 Hijrah- Harakahdaily
Sayu hati nie bila baca, tersentuh hati. mngkin Allah ingin menguji kita, cuma kita tak tahu semua itu ada hikmahnya.. kdg2 terlintas d'hati, klu hidup susah pun bagus sbb kita sentiasa ingat pada Nya.Tpi kita pun nak bahgia mcam org len, sbb kita tak hdup sorang2.. knp kita tak penah puas dgn apa yng kita da????? Smg kita semua diberikan k'kuatan.
BalasPadamYer...kita selalu rasa tidak cukup dgn apa yg ada.Itu sebab Islam anjurkan sift qanaah (berpada). & bahagia itu pada tinggi dan kuatnya iman seseorg,krn dia rasa cukp dgn apa yg dberi tuhan.
BalasPadam