30 November 2014

Islam Liberal: Kebebasan yang merosakkan

 Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kali ini penulis akan paparkan lagi sekali tajuk berkenaan liberal yang telah diposkan dalam keluaran yang lepas. Tajuk ini penting untuk kita umat Islam mengetahui dan memahaminya supaya tidak terjerat dengan perangkap musuh yang cuba merosakkan Islam dan umatnya. Musuh ini tidak hanya mereka yang bukan Muslim tetapi yang warna kulit seperti kita, dari bangsa kita bahkan beragama seperi kita. Cuma barangkali kelompok ini telah terkena virus dan racun musuh kuffar. Awasi ucapan dan tulisan mereka.

Mendobrak Kesesatan Islam Liberal

1.  Aliran Liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah. Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu. Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu (dari cengkaman agama) dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal.

2.  Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari'at dan Fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulama termasuklah tafsiran dari Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama-ulama mujtahid.

3.  Menurut Syeikh Abdullah Khatib dalam bukunya (Islam adalah penyelesaian; jawapan kepada pendakyah-pendakyah free thinker); Golongan pemikiran bebas mempunyai agenda-agenda tersendiri yang menjadi matlamat mereka, iaitu; 1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan Syariat Islam dari kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan di atas dasar riba. 2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib dan dari segala ikatan dengan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah. 3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan (materialis) dan ilhad (ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan politik.

4.  .....tokoh-tokoh Islam Liberal di Timur Tengah seperti Ahmad Amin, Thaha Husain dan sebagainya amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah khususnya Asya'irah yang dituduh jumud, beku dan anti-rasional. Ahmad Amin pernah menulis; "Kaum Muslimin lemah dan mundur kerana mereka tidak menggunakan cara berfikir Muktazilah.....". (Lihat; al-Muamarat 'Ala al-Islam, oleh Anuar al-Jundi, hlm 19).
........Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal Indonesia dan Malaysia. Sebagai contohnya, Kassim Ahmad dalam bukunya " Hadis; Jawapan kepada Pengkritik"

5.Aliran Islam Liberal wujud hampir di setiap negara umat Islam hari ini. Nama mereka mungkin berbeza-beza dan mungkin tidak dikenali dengan nama tertentu, akan tetapi manhaj dan gaya mereka tetap sama iaitu meragui Syariat dan hukum-hakam agama, berprasangka buruk terhadap ulama dan mentafsir agama dan al-Quran melalui akal secara bebas.

6.Di Malaysia kelompok Islam liberal mewujudkan jaringan tersendiri , antaranya forum Islam liberal (FIL) yang secara konsisten menebarkan fahaman sesat ini. Penulis teringat pertemuan dengan almarhum Ustaz Hussein Umar, ketua Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia pada awal 2005 di Jakarta yang mengingatkan penulis dan anak muda Islam untuk mengawasi penularan Islam Liberal di Malaysia. Almarhum mengingatkan tentang NGO yang bernama SIS yang gencar menyebarkan fahaman sesat ini, malah dengan kunjungan -kunjungan tokoh Islam liberal Malaysia yang kerap ke Utan Kayu Jakarta iaitu markas besar JIL. Hari ini ingatan Ustaz Husein Umar menjadi realiti apabila arus Islam Liberal dan pluralisme agama makin mendapat tempat dihati umat Islam yang jahil dan lingkungan sosial yang semakin jauh daripada Islam.

Mendobrak Kesesatan Islam Liberal
Penulis ialah AJK PAS Pusat, juga Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah PAS