3 Mac 2013

3 Mac: Memperingati Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah


Khilafah Turki Uthmaniah jatuh pada tanggal 3 Mac 1924 bersamaan 28 Rejab 1342 Hijrah. Sejarah yang cukup perit untuk dinukilkan di sini. Bermula tarikh inilah, hilangnya kekuasaan yang mutlak pada Islam. Ia telah dirampas oleh musuh-musuh Islam yang sudah berusaha sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi untuk menjatuhkan Islam.

Segala perancangan yang diatur berkurun-kurun lamanya, akhirnya membuahkan hasil. Teringat memori pada 3 Mac lalu, saya mula bertolak dari Mesir ke Syria, bumi yang bakal menjadi pusat pemerintahan akhir zaman, walaupun ada yang mengatakan bumi Palestin.

Ya, kita perlu sedar, Islam jatuh di bumi Turki, dan akan naik kembali di Syria atau Palestin, mengikut perbezaan pandangan ulama. Anda juga jangan lupa, Islam mula berkembang dari Mekah, bumi kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan beberapa orang sahaja pejuang Islam ketika itu.

Kemudian ia beralih ke Madinah dan membentuk lebih banyak pejuang-pejuang Islam. Segalanya bermula dengan “usrah”. Seterusnya berkembang lagi ke negara-negara berhampiran dan negara-negara besar ketika zaman Khulafa ar Rasyidin.

Ia terus berkembang dengan beberapa perjuangan-perjuangan umat terdahulu, sehinggalah mencapai kemuncak pada zaman kegemilangan Baghdad sekitar 700 Hijrah yang banyak melahir para ulama Islam. Perjuangan bertukar bentuk kepada perjuangan memartabatkan ilmu Islam, sehinggakan orang kafir berlumba-lumba mengkaji Islam.

Sedikit demi sedikit kegemilangan Islam mula terhakis disebabkan dengki, sombong, gila kuasa, isu khilafiah, perpecahan, dan sebagainya, sehingga menyebabkan kejatuhan khilafah pada tanggal 3 Mac 1924 di Turki.

Zaman ini menyaksikan perpecahan masih berlaku di beberapa buah tempat, dan di beberapa buah tempat yang lain dalam proses kebangkitan Islam. Dunia yang selama ini diselaputi dengan kejahilan, hari ini semakin menyerlah kebangkitan Islam yang menembusi selaput kejahilan tersebut. Selepas beberapa kurun dinafikan, akhirnya Islam itu bangkit semula dengan perjuangan yang tidak berhenti...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...