8 November 2014

MENDOBRAK KESESATAN ISLAM LIBERAL

oleh Dr Riduan Mohamad Nor

Aliran Liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah. Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu.

Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu (dari cengkaman agama) dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal. Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam. Bagi pendukung fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Sepertimana Muktazilah, golongan Islam meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu. Kerana itu mereka layak digelar Muktazilah moden atau Neo-Muktazilah. Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional. Tidak ada yang dapat dikategorikan sebagai Qat'iyyat atau Musallamat iaitu ajaran-ajaran agama mesti diterima kebenarannya tanpa merujuk kepada akal terlebih dahulu (yakni diterima atas dasar iman dan keyakinan kepada Allah dan Rasul) sebagaimana yang menjadi pegangan umat Islam selama ini. Semua ajaran dalam agama bagi mereka adalah Dzanniyat (tidak pasti) dan Muhtamalat (mengandungi pelbagai kemungkinan). Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan akal dan rasional.

Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari'at dan Fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulama termasuklah tafsiran dari Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama-ulama mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi' (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat'ie (putus). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Menurut Syeikh Abdullah Khatib dalam bukunya (Islam adalah penyelesaian; jawapan kepada pendakyah-pendakyah free thinker);

Golongan pemikiran bebas mempunyai agenda-agenda tersendiri yang menjadi matlamat mereka, iaitu;

1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan Syariat Islam dari kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan di atas dasar riba.

2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib dan dari segala ikatan dengan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah.

3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan (materialis) dan ilhad (ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan politik.

Golongan Islam Liberal mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menghidupkan kembali pemikiran Muktazilah yang menurut mereka mewakili kumpulan Islam Rasional dalam sejarah peradaban Islam. Kerana itu, tokoh-tokoh Islam Liberal di Timur Tengah seperti Ahmad Amin, Thaha Husain dan sebagainya amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah khususnya Asya'irah yang dituduh jumud, beku dan anti-rasional. Ahmad Amin pernah menulis; "Kaum Muslimin lemah dan mundur kerana mereka tidak menggunakan cara berfikir Muktazilah.....". (Lihat; al-Muamarat 'Ala al-Islam, oleh Anuar al-Jundi, hlm 19).

Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal Indonesia dan Malaysia. Sebagai contohnya, Kassim Ahmad dalam bukunya " Hadis; Jawapan kepada Pengkritik", telah menegaskan; "Untuk mengetahui di mana umat Islam telah tersilap bila mereka mendapati diri mereka terjebak dalam kemerosotan berpanjangan, kita harus mengesan langkah-langkah kita kembali ke dalam sejarah. Sebelum kaum teologi Assy'ariyyah menang mengatasi kaum rasional Muktazilah dalam abad-abad kesepuluh, kesebelas dan kedua belas, aliran saintifik dan rasional kuat dalam sains Islam, yang sememangnya telah menyebabkan terbina sains dan tamadun saintifik Islam yang agung. Di antara masalah-masalah yang hangat diperdebatkan di kalangan mereka ialah kebebasan dan tanggungjawab manusia di atas perbuatannya dan keadilan dan keesaan Ilahi. Dalam perbahasan ini, kaum Muktazilah mewakili aliran saintifik dan rasional. Malangnya, keadaan di Timur pada masa itu tidak memihak kepada mereka, berbeza dengan keadaan di Barat. Kaum Muktazilah tewas. Peristiwa bersejarah ini memberi laluan kepada kaum Assy'ariyyah berkuasa di seluruh Timur".(Halaman 80)

Aliran Islam Liberal wujud hampir di setiap negara umat Islam hari ini. Nama mereka mungkin berbeza-beza dan mungkin tidak dikenali dengan nama tertentu, akan tetapi manhaj dan gaya mereka tetap sama iaitu meragui Syariat dan hukum-hakam agama, berprasangka buruk terhadap ulama dan mentafsir agama dan al-Quran melalui akal secara bebas. Apabila menyebut tentang tokoh-tokoh Islam Liberal, terdapat satu kesamaan antara mereka semua iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi Barat. Pengalaman ini menyebabkan mereka cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa memisahkan antara yang baik dan yang salah.

Manakala di rantau Asia Pasifik pula, negara Indonesia yang merupakan negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai dalam dunia telah menerima serangan yang sangat hebat daripada jalur pemikiran liberal dan pluralisme teologi. Negara ini semenjak zaman penjajahan kuasa Belanda telah diterjah dengan pelbagai serangan pemikiran malah kini menjadi markas rantau Asia Pasifik bagi gerakan Kristianisasi.

Menurut Adian Husaini (2002), di Indonesia untuk menyebar dan menyemarakkan fahaman ini tokoh Islam Liberal yang terdiri daripada kalangan tempatan atau luar negara sentiasa dimunculkan di dalam wacana berkaitan dengan fahaman ini.

Kelompok ini menerima dana yang besar daripada pendana luar negara seperti Asia Foundation, dan sebagainya. Mereka aktif dalam pelbagai wacana awam dan kelihatan berprestij dengan program yang diadakan di hotel, saluran radio tv dan pelbagai medium yang lain. Di Malaysia kelompok Islam liberal mewujudkan jaringan tersendiri , antaranya forum Islam liberal (FIL) yang secara konsisten menebarkan fahaman sesat ini. Penulis teringat pertemuan dengan almarhum Ustaz Hussein Umar, ketua Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia pada awal 2005 di Jakarta yang mengingatkan penulis dan anak muda Islam untuk mengawasi penularan Islam Liberal di Malaysia. Almarhum mengingatkan tentang NGO yang bernama SIS yang gencar menyebarkan fahaman sesat ini, malah dengan kunjungan -kunjungan tokoh Islam liberal Malaysia yang kerap ke Utan Kayu Jakarta iaitu markas besar JIL. Hari ini ingatan Ustaz Husein Umar menjadi realiti apabila arus Islam Liberal dan pluralisme agama makin mendapat tempat dihati umat Islam yang jahil dan lingkungan sosial yang semakin jauh daripada Islam.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, juga Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah PAS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...