5 Jun 2011

Berita Harian- Jangan kelirukan masyarakat

PMRAM mengingatkan bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan melalui media terutamanya perkara yang melibatkan isu keagamaan perlu diteliti terlebih dahulu agar tidak mengelirukan kefahaman masyarakat awam.

Hal ini ekoran terdapat satu kenyataan di Berita Harian yang bertarikh 30 Mei 2011 berkenaan penjelasan kes penceraian yang berlaku di tanah air.

Bagi pihak PMRAM, kenyataan dan ulasan yang dilontarkan boleh mengelirukan masyarakat awam berkaitan penceraian. Bahkan menjadikan penceraian sebagai jalan mudah dalam menyelesaikan kes yang melibatkan rumah tangga.

Apa yang sepatutnya ditekankan ialah sikap dalam mendirikan rumah tangga Islam supaya tidak menganggap bahawa perkahwinan hanya semata-mata menyalurkan nafsu secara fitrah dan bercinta. Akan tetapi kesedaran mengenai perkahwinan merupakan tuntutan agama dalam mengembangkan risalah Islam dan menjamin kelangsungan Islam mesti ditekankan oleh setiap pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga. Sebab itulah, Nabi SAW meletakkan ciri utama dalam calon ialah beragama.

Selain itu, penceraian bukanlah sebagai jalan 'biasa' dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Akan tetapi ia merupakan jalan terakhir apabila tiada jalan yang lain melainkan dengan cara bercerai. Sebab itu, kenyataan yang ditimbulkan bahawa “Perceraian pasangan Islam setiap 15 minit di negara ini menggambarkan satu kesedaran bahawa banyak kes yang tidak menemui jalan penyelesaian sebelum ini, sudah diselesaikan melalui lunas undang-undang" adalah mengelirukan masyarakat.

Ia seolah-olah akan memudahkan masyarakat awam untuk bercerai apabila ditimpa masalah dalam rumah tangga. Apa yang perlu difahami, penceraian adalah jalan terakhir sekiranya ikatan perkahwinan diteruskan akan mendatangkan mudharat yang besar. Sebab itu adanya medium penceraian. Bukannya penceraian adalah sebab jalan penyelesaian yang nampak mudah. Disebabkan itu dalam syariat, walaupun isteri yang nusyuz bukan disyariatkan cerai serta merta bahkan perlu didik dan ditarbiyah dengan jalan yang terbaik.

PMRAM mengharapkan mana-mana pihak selepas ini yang mahu mengeluarkan kenyataan khususnya berhubung dengan soal keagamaan tidak begitu mudah dikeluarkan supaya masyarakat awam tidak terkeliru dan mempermudah-mudahkan agama. Justeru, peranan media juga sangat penting dalam  menyebarkan kecantikan agama supaya masyarakat lebih mendekati agama dan mendepat penjelasan yang terang.

Muhammad Zuhaili bin Saiman
Presiden
Ketua Lajnah Perhubungan Antarabangsa
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011.

Sumber: Web PMRAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...