5 Jun 2015

Kem Kecemerlangan UPSRI

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selesai sudah baru-baru ini sebuah program yang diadakan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI). Seramai 100 orang peserta telah menyertai Kem Kecemerlangan UPSRI tersebut. Kem ini bertujuan memberikan motivasi kepada para pelajar, mendedahkan bentuk-bentuk soalan yang biasa keluar dalam kertas ujian, cara menjawab soalan dan sebagainya.

Kem yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu turut mendedahkan kepada para pelajar cara belajar berkumpulan (study group) dan berbincang dengan kawan-kawan. Mereka juga dilatih untuk mengikuti aktiviti dan menepati waktu yang telah disusun. Aktiviti yang merangkumi pengisian rohani, 'aqli dan jasmani. 

Semestinya letih dan penat dirasai mereka dalam mengikuti aktiviti yang telah diaturkan; bermula dari bangun tidur pada jam 5 pagi sehingga tidur pada jam 11 malam. Namun, kegembiraan masih terpancar di wajah masing-masing. Terutama semasa aktiviti riadhah.

Mudah-mudahan mereka mendapat faedah yang besar dari segala pengisian yang telah dihidangkan dalam kem kecemerlangan ini. Ameen...