13 Disember 2011

Iblis: Makhluk pertama membuat perbandingan salah


Perbandingan Iblis dengan Nabi Adam a.s.

Surah al-A’araf ayat 11-12:
 
" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah Taala berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah. "

Dari ayat ini Allah Taala telah mengisahkan berkenaan keingkaran iblis terhadap perintah Allah dan membandingkan dirinya dengan Adam a.s.  Al- Imam Hasan al-Basri telah menyebutkan bahawa: Iblis telah membuat perbandingan dan dialah makhluk pertama yang membuat perbandingan. Manakala Muhammad bin Sirin berkata: makhluk pertama yang membuat kiasan adalah iblis dan matahari itu disembah dan bukannya bulan tidak lain adalah dengan sebab ada perbandingan (berbeza). Iblis telah memandang bahawa dirinya lebih mulia dari Adam. Maka dia menolak untuk bersujud kepada Adam a.s. sedangkan wujud perintah kepadanya dan seluruh malaikat untuk bersujud (kepada Adam).

Dan al-qiyas (kiasan/bandingan) itu apabila berlawanan dengan nas (al-Quran dan as-Sunnah) maka ia menjadi suatu iktibar yang rosak. Kemudian ia menjadi fasad (rosak) pula pada dirinya.

Maka sesungguhnya tanah itu lebih bermanfaat dan bersifat baik dari api, kerana tanah itu padanya bersifat sopan (bertakung air), lembut, tenang dan tumbuh. Dan pada api pula bersifat tidak tentu arah/tujuan, berkilau, cepat (tergesa-gesa), dan membakar.

Kemudian Allah Taala telah memuliakan Adam dengan menciptanya melalui tanganNya dan meniupkan pada penciptaan itu dari ruhNya. Dan kerana inilah Allah Taala telah memerintahkan malaikat sujud kepada Adam a.s.

Dalam kitab safwatu tafasir, Syeikh Muhammad ‘Ali as-Sobuni menyebutkan bahawa sebab iblis menolak perintah Allah Taala untuk sujud kepada Adam pada firman Allah Taala:
خلقتني من نار و خلقته من طين
Iaitu: Aku (iblis) lebih mulia daripadanya (Adam) kerana kemuliaan unsurku (kejadianku) melebihi darinya, kerana aku makhluk dari api dan api lebih mulia dari tanah. Sedang iblis yang miskin itu tidak memerhati pada perintah/arahan itu siapa yang telah memerintahnya supaya sujud, iaitulah Allah Taala (yang telah menjadikan dia dan sekalian makhluk).

Pengajaran:

Sifat sombong dan membandingkan kelebihan diri dengan orang lain akan memakan amalan baik kita dan diri sendiri (jatuh dalam kesalahan); kecuali membandingkan dengan seseorang untuk mengikut contoh yang baik padanya.


Rujukan: Qososul Anbiya': Ibnu Kathir, Safwah at-Tafasir: al-Imam as-Sobuni, terjemahan Al-Quran-Darul Iman.
Muzakarah Berkelompok Abu Dzar al-Ghifari, 2011.