4 Disember 2011

Puasa sunat 10 Muharam


Sudah seminggu kita berada di awal bulan Hijriah 1433. Dan esok merupakan hari 9 Zulhijjah, hari yang menjadi cita-cita Rasulullah SAW untuk berpuasa sunat yang mana kebiasaaan Baginda SAW berpuasa pada 10 Zulhijah. Oleh itu mari kita bersama-sama menunaikan sunnah Rasulullah SAW dan mendapatkan fadhilat amalan tersebut.  

-----------------------------------------------
Pada bulan Muharram ini, disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a’ (9hb) dan Asyura’ (10hb) berdasarkan perbuatan nabi SAW dan sarananya kepada kita semua. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa:
Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan menyuruh berpuasa padanya, mereka berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah hari kebesaran orang Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW berkata: Pada tahun hadapan, jika diizinkan Allah kita akan berpuasa pada hari kesembilan. Dia (perawi) berkata: Sebelum sempat sampai tahun berikutnya, Rasulullah SAW wafat. (Riwayat Muslim)    
Puasa pada 10hb Muharram mempunyai sebab yang tersendiri. Ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa:
Apabila nabi SAW sampai di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’, maka nabi SAW bertanya: Ada apa (dengan hari ini)? Mereka menjawab: Ini adalah hari baik, ini adalah hari yang Allah selamatkan bani Israel daripada musuh mereka, maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Nabi SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan nabi Musa berbanding kamu, baginda pun berpuasa dan menyuruh berpuasa padanya. (Riwayat al-Bukhari)  

Jika diteliti daripada hadith di atas, hukum asal puasa adalah pada tarikh 10hb iaitu Asyura’ sahaja, namun bagi membezakan dengan Yahudi maka nabi SAW menyatakan puasa pada tanggal 9hb iaitu Tasu’a’ juga. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Hendaklah kamu berpuasa hari Asyura’ dan bezakanlah dengan Yahudi, maka puasalah sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. (Riwayat Ahmad)

Maka berpuasa hanya pada 10hb iaitu Asyura’ sahaja tidak digalakkan, ia mesti bergandingan dengan sehari sebelumnya atau sehari selepasnya, bahkan terdapat pandangan yang mencadangkan agar berpuasa sebanyak tiga hari iaitu 9,10 dan 11 Muharram. Tujuannya adalah agar berbeza dengan amalan Yahudi. Ibn Hajar al-Asqolani (852H) menyatakan:
Adalah nabi SAW suka menyamai ahli Kitab dalam perkara yang tidak ada perintah padanya, lebih-lebih lagi dalam perkara yang membezakan dengan penyembah berhala. Apabila Kota Mekah dibuka dan Islam semakin dikenali, nabi SAW suka berbeza daripada ahli Kitab juga sebagaimana yang thabit dalam (riwayat) yang sahih, dan ini (puasa 9hb dan 11hb Muharram) termasuk daripadanya. Pada mulanya nabi SAW menyamai mereka dan bersabda: Kami lebih berhak dengan Musa berbanding kamu, kemudian nabi SAW suka berbeza daripada mereka, lalu memerintahkan agar ditambah kepadanya (10hb) sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Ibn Hajar, Fathu al-Bari)

Selain daripada tujuan untuk membezakan daripada amalan Yahudi, terdapat pendapat yang menyatakan bahawa suruhan gandingan berpuasa pada hari Tasu’a’ dan Asyura’ adalah sebagai langkah ihtiati (ambil pendapat yang lebih berat) dalam kemungkinan kesalahan mengira awal bulan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:
Dan sesungguhnya hikmah puasa hari Tasu’a’ dengan Asyura’ ialah sebagai ihtiati kemungkinan kesilapan pada awal bulan, dan untuk membezakan dengan Yahudi, mereka berpuasa pada hari kesepuluh. Sebab itu disunatkan berpuasa pada hari kesebalas jika hanya berpuasa Asyura’ tanpa Tasu’a’. (Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan, al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhabi al-Imam al-Shafie)

Fadhilat puasa Asyura’
Walaupun berpuasa pada hari Asyura’ hukumnya adalah sunat, iaitu sesiapa yang ingin berpuasa boleh melaksanakannya dan bagi yang tidak mahu berpuasa boleh meninggalkannya, namun fadhilatnya cukup besar. Maka sepatutnya kita tidak melepaskan peluang yang datang hanya sekali setahun sahaja. Tambahan pula bulan Muharram ini sekarang berada dalam musim sejuk seperti di Jordan ini, yang siangnya pendek tidak sampai dua belas jam pun untuk kita berpuasa. Fadhilat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Berpuasa pada hari Asyura’ aku mengira bahawa Allah akan mengampunkan (dosa) setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim)

Sekiranya tiada sebarang keuzuran, rebutlah peluang ini tanpa membiarkan hari penting ini berlalu begitu sahaja. Jika kita tidak dapat merebut level tertinggi jangan pula kita terlepas level yang paling rendah. Ibn al-Qaiyim (751H) menyatakan:
Peringkat berpuasa padanya ada tiga; yang paling sempurna ialah berpuasa juga sehari sebelum dan sehari selepasnya. (Peringkat) Selepas itu ialah berpuasa hari kesembilan dan kesepuluh, ia berdasarkan kebanyakan hadith. Kemudian (peringkat) seterusnya ialah berpuasa hanya pada hari kesepuluh sahaja. (Ibn al-Qaiyim, Zaad al-Ma’ad)

Kesimpulannya, Muharram adalah salah satu daripada bulan-bulan haram. Jangan lepaskan peluang berpuasa sunat pada Tasu’a’ dan Asyura’ dalam bulan ini

Sumber: Anhar Opir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...