21 April 2011

Kalau Dr. Abdul Aziz Bari kata....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemuraha Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum w.b.t.

Selesai sahaja pilihanraya Negeri Sarawak timbul pula cerita agak panas-panas goreng pisang, apabila Prof. Dr. Abdul Aziz Bari membuat kenyataan supaya Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar dari jawatan tersebut. Atas alasan siri-siri kekalahan PAS dalam pilihanraya kecil. Itu pandangan peribadi beliau tetapi tiada kesan pada mereka yang setia dengan perjuangan yang di bawa oleh PAS.

Sepatutnya Dr. Abdul Aziz Bari mengeluarkan kenyataan secara besar-besaran di sidang media supaya BN perlu ditumbangkan atau D.S. Najib ditukarkan dari jawatan selaku PM, itupun kalau beliau mahir sangat dengan perlembagaan. Tetapi apa sangat faedahnya jika tidak berjiwa rakyat. Sedang beliau pun tahu kezaliman-kezaliman BN seperti rampasan licik negeri Perak dan termasuklah yang terbaru konspirasi video yang dikaitkan dengan DSAI.

Apa kata TG Nik Abdul Aziz Nik Mat...

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya.

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar?

Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.
Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Rujukan: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...