22 Disember 2011

FEQAH DAKWAH DALAM HADIS RASULULLAH S.A.W


Antara kaedah penting yang perlu diketahui oleh para pendakwah ialah, setiap seruan itu memiliki dua ukuran yang berlainan. Ada ukuran yang boleh kita siar-bicarakan untuk tatapan umum, dan ada juga yang mesti di-khususkan (tidak boleh disebut melainkan orang yang benar-benar faham). Masyarakat biasa dikategorikan di tempat yang umum, manakala mereka yang terpelajar dan mampu memahami nilai perbicaraan tanpa menimbulkan fitnah, maka mereka ini dikategorikan di tempat yang khusus.

Dalam sejumlah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan juga Muslim, hal ini turut dinyatakan oleh Al Imam Al Allamah Al Qasimi RH di dalam kitab-nya, Qawa’id At Tahdis : “Tidak semua hadis sahih itu boleh engkau bicarakan ke pangkuan awam. Buktinya hadis yang pernah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan juga Imam Muslim, dari Muaz RA katanya, “Ketika aku di belakang Baginda SAW di atas seekor keldai lalu Baginda bersabda; Wahai Muaz, apakah engkau tahu tentang hak Allah ke atas hamba-hambaNYA, dan apakah dia hak hamba-hambaNYA kepada Allah? Aku berkata, “Allah dan RasulNYA lebih mengetahui”. Kemudian Baginda menyambung, “Sesungguhnya hak Allah ke atas hambaNYA ialah mereka menyembahNYA dan tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu, dan hak hamba-hambaNYA ke atas Allah ialah tidak mengazab sesiapa yang tidak menyekutukanNYA dengan sesuatu”. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah boleh aku beritahu kepada orang ramai? Rasulullah menjawab, “Jangan engkau beritahu kepada mereka, mereka akan menjadi malas (tidak beribadat)”.  Yakni, hanya berpegang dengan maksud zahir hadis ini dan tidak mahu menambah amalan-amalan soleh yang lain.

Muaz RA mengkhabarkan hal ini sewaktu saat-saat beliau hampir menemui ajal, kerana khuatir ia menjadi dosa.Penegahan di sini adalah kerana maslahah (suatu kepentingan yang perlu dipelihara), bukan mengharamkan maklumat ini dari sampai ke pengetahuan umat, berdasarkan maksud zahir hadis, “Sampaikan kepadaku walau sepotong ayat”. Imam Bukhari menghuraikan maksud hadis ini sebagai saranan kepada para pendakwah hendaklah mengkhususkan sesuatu ilmu pengetahuan kepada satu kelompok manusia dan tidak kepada kelompok yang lain, kerana bimbang jika kelompok yang lain itu tidak memahaminya lalu ia menjadi fitnah (porak-peranda).
Manakala Ibn Mas’ud RA berkata mengenai hadis ini, “Jangan engkau memperkatakan kepada satu kaum sebuah hadis yang tidak difahami oleh akal mereka, aku khuatir ia menjadi fitnah kepada sesetengah mereka”.
Hakikat ini dijelaskan oleh Saidina Ali R.A, “Sampaikan kepada sekalian manusia apa yang sampai ke akal pengetahuan (kefahaman) mereka, adakah kamu suka melakukan pendustaan terhadap Allah dan Rasul-NYA?
Di dalam pengajian Usul Dakwah yang pernah disampaikan oleh Dr.Tola’at Mohamad Afifi, pensyarah di Universiti Al Azhar, beliau menyebut; Jika terdapat sebuah hadis yang mampu mempengaruhi (kerana nilai mistik, ajaib dan lain-lain lagi) kepada orang ramai (walaupun sahih), sedangkan ia tidaklah mustahak, tidak menjadi dalil yang menentukan sesuatu hukum, ataupun jika orang ramai tidak mendengar hadis tersebut sepanjang hayatnya hal itu tidak mengurangi nilai agama mereka, maka tidak perlulah ia dihebahkan tanpa keperluan yang wajar.

Maka hadis-hadis yang mengandungi butiran-butiran yang sukar difahami oleh akal manusia seperti kisah Nabi Musa AS menampar Malaikat Maut, hadis-hadis yang mengandungi perselisihan Salaf dan Khalaf sekitar masalah sifat-sifat khabariyyah dan fie’liyyah bagi Allah Taala, hadis mengenai penyakit dan penawar yang ada pada sayap lalat, jika tidak ada keperluan yang memaksanya untuk disebut, tidak perlulah ia ditimbulkan. Oleh kerana itu, setiap pendakwah yang gemar menarik para pendengar dengan keunikan-keunikan bicaranya bersandarkan keabsahan dalil, maka awal-awal lagi dia perlu meletakkan setiap matlamat bicaranya itu di tempat yang betul sekalipun sumbernya sahih, di samping turut bertujuan menghilangkan keraguan dan kekeliruan orang ramai.
Boleh jadi apa yang mahu ditampilkan oleh seseorang pendakwah itu benar, tetapi hasilnya kurang benar kerana tidak menilai dahulu kesesuaian intelek para mad’u-nya. Apalagi hari ini hal-hal sedemikian rupa bukan sekadar boleh didengar, malah boleh dibaca, boleh ditulis oleh sesiapa jua sekalipun mereka ‘bukan ahli’ yang mampu untuk memahaminya. Akibatnya, timbullah perkara-perkara yang mengelirukan masyarakat dan bercanggah dengan hakikat sebenar. Bid'ah qunut, bid’ah tarawih 20 rakaat, bid’ah maulid, bid’ah solat sunat sebelum solat jumaat dan sebagainya itu merupakan manifestasi kecelaruan.

Inilah bahayanya bila kita mahu bercakap tentang agama semahunya tanpa melihat asas-asas yang lain. Kita perlu mengetahui bahawa adanya tadarruj  dalam men-tarbiyah manusia, tanawwu’  dalam menyampaikan sesuatu ilmu kepada setiap kategori mereka. Lihatlah mengenai hakikat hadis ini, jika dalam hal menyampaikan kebenaran sebuah hadis-pun Para Sahabat R.A sangat berhati-hati kerana khuatir ia di-salah fahami, apatah lagi dalam komunikasi biasa sesama mereka. Berbeza dengan umat manusia hari ini yang suka menggunakan ruang bercakap seluas-luasnya tanpa menyedari adakala ia mempunyai petaka fitnah atau malapetaka lain yang bakal menimpa dari akibat enaknya kita meluncurkan bicara.Semoga Allah men-tarbiyah saya dan kita semua.

Rujukan: TARBAWI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...