15 Julai 2011

Gurauan...

Terdapat di dalam wasiat Imam Hassan Al-Banna yang menyebutkan bahawa: 
" Anda hendaklah bersikap serius dan sentiasa bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun sikap serius ini tidak bermakna anda mengenepikan senda gurau yang benar dan ketawa ".
Ada cara dalam kita bersenda gurau bagi mengeratkan ukhuwah Islamiah dan menghiburkan sebentar hati meraikan fitrah insaniah. Dan Islam meletakkan garis panduannya agar tidak tersasar...
-----------------------------------------
Salam untuk semua pengunjung blog saya. Hari ni nak cerita pasal gurau senda. Hidup tanpa gelak tawa atau gurau senda ibarat hidup yang suram. Islam membolehkan kita untuk bergurau senda di samping insan-insan yang berada disekeliling kita.

Cuma sekarang ni, adakah gurau senda kita itu menepati Sunnah, para sahabat dan amalan ulama-ulama terdahulu. Islam bukanlah agama yang skeptik kepada hukum hakam semata-mata. Inilah agama terbaik yang meliputi keseluruhan hidup manusia. Allahuakbar..

Sufyan bin 'Uyainah pernah ditanya oleh seorang lelaki :

" Adakah gurausenda itu sesuatu yang dilarang ?"

Jawab Sufyan :

 " Tidak. Bahkan ianya Sunnah. Tetapi untuk mereka yang tahu menjaganya dan meletakkan ditempat yang sepatutnya."

Melihat kepada masyarakat kita sekarang ini, kadangkala gurauan itu melampui batas yang sepatutnya. Gurauan di zaman ini bukan sekadar berdepan dengan orang-orang disekeliling kita, malah lebih daripada itu. Dengan kewujudan teknologi canggih yang dah tak terkejar dek kita,macam-macam boleh berlaku. Gurau di 'handphone', internet dan macam-macam lagi.

Jadi saya bawakan beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan dalam gurau senda kita seharian.

1. Tidak mempersendakan agama.

Berhati-hatilah bila berbicara tentang agama. Jangan dibawa bergurau perkara yang ada hukum hakam agama. Saya pernah melihat beberapa video di You Tube beberapa pelajar-pelajar bergurau senda ketika melakukan solat dan zikir. Semoga Allah memberikan mereka hidayah.

2. Gurauan yang benar. Bukan yang direka cipta atau sengaja diada-adakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Celakalah mereka yang berkata-kata kemudian menipu lalu ditertawakan oleh kaumnya". (Riwayat Abu Dawud )

3. Jangan menakut-nakutkan orang lain.

Kebiasaannya kepada mereka yang ada kuasa. Seperti pihak berkuasa menggunakan kuasa yang ada mereka  untuk mengugut secara bergurau.

4. Jangan mempersendakan dan mengata keburukan orang lain.

Sabda Nabi SAW. 

" Jangan dizahirkan keburukan saudara kamu. Kamu akan dirahmati Allah"
(Sahih menurut Albani )

5. Jangan bergurau terlalu kerap.

Ada di antara kita amat gemar bergurau sehinggakan menjadi kebiasaan harian. Ini akan menjadikan kita tidak proaktif. Berguraulah sekadar yang perlu sahaja.

Kata Khalifah Umar Abdul Aziz :

" Berjaga-jagalah dengan gurauan, kerana sesungguhnya kebodohan itu mewarisi dendam"

6. Mengetahui cara bergurau mengikut kadar usia.

Ini penting kerana gurauan ada yang bersesuaian dan ada yang tidak. Cara untuk bergurau dengan orang tua berlainan dengan cara gurau orang muda. Kanak-kanak tidak sama dengan orang dewasa. 

7. Jangan mengumpat orang lain di dalam gurauan kita.

Banyak hadis Nabi tentang dosa mengumpat orang lain.

8.  Memilih waktu yang bersesuaian untuk bergurau.

Ibnu Umar pernah ditanya : " Adakah sahabat-sahabat nabi ketawa? "

Jawab Ibnu Umar : " Ya. Dan iman di hati mereka ibarat bukit tinggi."

Sekian dulu untuk entri kali ini. Moga ada manfaatnya. :)
 Zakaria Md Yusoff
Newcastle, Australia.

Sumber: Blogger Zakaria