13 Julai 2011

BERSIH 2.0: Catatan seorang peserta Cina

Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS
Chen Shu Yong | Jul 12, 2011 06:36:14 pm
Siapa pengganas?
... Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?"  Saya menuding jari ke depan.  Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan.  Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.  Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu?  Berarak adalah hak kita.  Mengapa pula saya takut?  Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda.  Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.  Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap.  Saya tahu beliau cuba menakutkan saya.  Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka.  Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka.  Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu.  Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang.  Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang.  Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib!  Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi.  Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan.  Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami.  Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA?  Pemuda UMNO?  Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!"  Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama.  Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!"

Bersambung… Merdeka Review

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.