22 Januari 2010

Dunia rosak akibat zionis dan penjajah

Khamis 10 Julai 2008 | 6 Rajab 1429 Hijrah

D
ato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu | J
ul 10, 08 | 7:00:31 am MYT

Semua di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan yang strategik di peta dunia.Negara-negara umat Islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang turut sama memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Umat Islam bertebaran di seluruh dunia sama ada di Timur atau Barat.

Mereka merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam, yang mengajak kepada keamanan , keadilan dan persaudaraan antara sesama manusia. Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran global yang luas. Umat Islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan tamadun manusia dan mentajdidkannya. Namun kesan dan pengaruh penjajah masih lagi utuh dan teguh.

Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk mambangunkan manusia keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.

Marilah kita menyedari bahawa Orde baru dunia hari ini adalah merupakan hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan untuk membendung kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.

Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebasan dalam menyusun hal ehwal ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan media. Mereka masih dibelenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah. Namun pada masa ini peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dengan bahasa kita. Dalam masa yang sama, gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan dengan berbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalam atau luar.

Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah demokrasi, kebebasan hak asasi manusia, keadilan dan berbagai syiar yang dimomokkan oleh order baru pada masa ini, gerakan Islam masih dihalang daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang dikehendaki oleh mereka.

Jika kita mengimbau sejarah umat Islam, kita dapati umat Islam telah berjaya memberikan sumbangan yang besar kepada umat manusia khususnya di zaman keagungan Islam. Islam telah mengemukakan sistem yang terbaik dalam menguruskan sumber manusia sama ada dalam pembentukan individu, sistem pemerintahan, pengurusan ekonomi dan sebagainya.

Islam juga berjaya memberikan definisi yang jelas mengenai nilai-nilai baik, keadilan,
persaudaraan antara sesama manusia dan hak-hak asasi kemanusiaan. Dari sudut yang lain Islam juga berjaya meletakkan manusia sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Antara keistimewaan Islam adalah kesesuaiannya dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia. Oleh itu al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia sama ada melalui peraturan-peraturannya atau kisah-kisah yang dipaparkan supaya ia menjadi panduan kepada manusia dalam semua urusan mereka.Islam merupakan agama yang paling sempurna mengatasi segala idealogi dan pemikiran yang dijadikan asas kepada order baru dunia hari ini. Kepincangan dan kelemahan idealogi manusia ini boleh mengancam keamanan dan kestabilan dunia sehingga tersebarnya gejala-gejala buruk dalam masyarakat dan negara. Manusia diancam kebuluran dan ketakutan sehingga akhirnya boleh membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara kita di Turki yang telah menganjurkan muktamar tahunan yang menghimpunkan seluruh persatuan-persatuan dan gerakan Islam di seluruh dunia.

Muktamar ini diharap akan dapat menyatukan saf perjuangan umat Islam. Saya juga berharap semoga muktamar ini akan dapat menyelaraskan kerja-kerja ini dengan lebih baik dan teratur supaya kita akan berjaya memimpin umat ini untuk mencapai objektif yang diharapkan dan menyelamatkan umat manusia daripada agama yang menyimpang serta idealogi yang merosakkan. Mudah-mudahan usaha ini akan menyebabkan kita berjaya menjulang tinggi agama Islam yang mulia ini sekalipun ia dibenci oleh orang yang kufur.

Islam sebagai agama yang syumul dan global memerlukan kita bersikap positif dalam menangani isu-isu berkaitan dengan politik, keamanan, ekonomi, akhlak, alam sekitar dan sebagainya. Sungguhpun gerakan Islam disekat daripada bergerak secara bebas kita masih boleh berdepan secara aman dalam negara yang demokrasi. Dari sudut yang lain, kita juga tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan bagi menghalang kemenangan kita di setiap tempat. Begitu juga kezaliman yang menyekat kemajuan kita dalam bidang sains dan teknologi serta paksaan untuk kita patuh dan tunduk dalam usaha untuk menjajah bumi umat Islam dan menghalang hak-hak kita untuk hidup.

Dalam perayaan memperingati pembukaan kota Istanbul oleh orang-orang Turki yang keluar dari Asia Tengah dengan dipimpin oleh Muhammad al-Fatih r.h. mengingatkan kita kembali bahawa Islam akan memuliakan mereka yang berpegang dengan ajarannya. Sebagaimana Allah telah memuliakan masyarakat Arab yang keluar dari tengah padang pasir dan berjaya menewaskan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Rom dan Parsi.

Mereka berjaya memimpin dunia setelah mereka berpegang kepada ajaran Islam. Kita juga akan berjaya memulihkan dunia yang telah dirosakkan oleh golongan Zionis dan penjajah moden ini jika kita kembali kepada Islam kerana kita berada di atas landasan yang benar.

Kebenaran akan terus kekal dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Mereka membuat perancangan-perancangan jahat mereka sedang Allah juga merancang untuk mereka dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menyalahi janji kepada para rasul-Nya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bertindak. - mks.

[Terjemahan intipati ucapan YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa berucap di 17th International Congress of Muslim Communities Union, 29 & 30 Mei 2008, Istanbul, Turki. Ucapan diberikan dalam Bahasa Arab]
-------------------------------
Kemenangan umat Islam pasti akan berlaku kerana itu sudah janji Allah dan RasulNya. Apa yang penting adakah kita sedang atau akan tergolong di kalangan mereka yang menyumbang kepada kemenangan itu ??
Kembali kehidupan di bawah petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah akan menjamin kemenangan. Kemenangan kita - berjaya tegakkkan kalimatullah di muka bumi atau
kematian menjemput dalam keadaan kita masih istiqomah atas kebenaran itu.

Sumber: Harakahdaily

4 Januari 2010

Muslim Blogger

Pada zaman kini, penyebaran maklumat samada isu semasa, ilmu pengetahuan, pengiklanan dan sebagainya boleh didapati dengan mudah dan cepat. Kuasa internet telah menjadi tempat kepada masyarakat kini. Ketepatannya pula bergantung kepada sumber maklumat tersebut samada boleh dipercayai atau tidak.

Blog dan web blog antara tempat yang telah menjadi mekanisma penting dalam proses penyebaran maklumat. Jika dahulu perkongisan maklumat melalui internet hanya melalui chatting, e-mail, forum web dan seumpamanya. Namun masyarakat kini lebih gemar menjadikan tapak blog yang pelbagai jenis untuk dijadikan tempat menyebar atau menyalurkan sebarang maklumat. Apatah lagi tapaknya disediakan secara percuma. Melalui blog, para pengguna bukan sahaja boleh menyebarkan maklumat berbentuk teks bahkan video, audio, gambar dan dapat meletakkan pautan bagi web-web dan blog-blog yang lain. Selain itu, para pengunjung boleh bertukar-tukar pandangan dan idea bersama tuanpunya web blog dan pelbagai lagi kelebihan yang terdapat pada web blog.

Seorang penulis di sebuah akhbar tanahair telah mengeluarkan suatu ungkapan berkenaan blog, " Semasa dan selepas era reformasi, blogger politik lahir bagai cendawan tumbuh lepas hujan. Pengunjung warung kopi yang bergelar "Penganalisa, speaker, ahli politik dan wakil rakyat" bertukar tempat. Dari warung ke komputer. Mereka mula mainkan peranan lebih berkesan."

Bukanlah niat penulis untuk menceritakan 'apa itu blog/web blog?' atau kelebihannya dalam tulisan kali ini, tetapi sikap dan tanggungjawab sebagai penulis atau blogger. Apatah lagi kita selaku muslim yang memegang kuat prinsip aqidah, syariat dan akhlak Islam.

Kita boleh mengambil saranan dan peringatan dari beberapa petikan ucapan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam sebuah konvensyen blogger.
------------------
KUALA LUMPUR, 20 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan para blogger supaya tidak ghairah menyebarkan maklumat yang boleh memecahbelahkan masyarakat biarpun maklumat tersebut difikirkan benar.

Bercakap sewaktu merasmikan konvensyen blogger di Taman Melewar hari ini, Hadi berkata tidak semua yang benar boleh didedahkan apatah lagi jika yang benar itu boleh membawa kepada mudarat yang besar terhadap masyarakat.

"Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat.

"Kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul," katanya.

- Lebih penting katanya, para blogger perlu memahami bagaimana Islam mengajar kita agar teliti dalam setiap penyebaran maklumat mahupun berita.

-"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perlu di lakukan dengan akhlak," katanya.

- "Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela Islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna," katanya.
--------------------

Dari itu, amatlah malang umat ini jika suatu platform terbaik yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat dan dakwah atau berkongsi ilmu telah disalahgunakan. Dan lebih malang apabila kedapatan blogger muslim yang menggunakan web blog untuk menyebarkan kejahatan dan maksiat. Muslimkah mereka ?!


Rujukan:
1- Wikipedia
2- Harakahdaily

10 Disember 2009

Memahami maksud ayat Surah Al-Baqarah ayat 195

Kesilapan menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau Al-Hadis menyebabkan diri seseorang dibelenggu kesesatan. Dan lebih membahayakan apabila penafsiran tersebut didengari atau dihebahkan kepada khalayak umum. Pemikiran dan pemahaman masyarakat akan terpesong dari konsep sebenar, sepertimana yang dikehendaki oleh syariat Islam itu sendiri apabila berdepan dengan sesuatu masalah atau suasana.
Oleh itu, amat penting untuk seseorang mukmin meneliti terlebih dahulu sesuatu maksud yang dikehendaki oleh syariat dalam menafsirkan sesuatu ayat dari Al-Quran ataupun Al-Hadis. Tidak sekadar hanya melihat kepada maknanya. Walaupun ada usul menyebutkan bahawa "Al-'Ibrah bi 'Umumi al-Lafdzi La bi Khususi al-Sabab"; maka ia perlu digunakan betul pada tempatnya dengan mengambil penelitian dari pelbagai sudut ilmu.
Mari kita membaca dan meneliti maksud ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ini pada ayat 195. Dalam masa yang sama kita menilai bersama kelebihan orang berjihad pada jalan Allah Taala dan bahaya bagi mereka yang tidak menyertainya. Layari:

Berjuanglah untuk menegakkan agama Allah

Selamat menuntut ilmu

29 November 2009

Fitnah: Peringatan - Pengajaran - Pemutihan

Sesekali buka internet pasti inginkan entri baru dari dua blog yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia yang cintakan dan impikan ' Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'. Apatah lagi bagi mereka yang bergelar pemuda.Blog Us. Nik Abduh dan blog Us Nasaruddin menjadi tatapan selain dari beberapa akhbar dan web/blog yang lain.
Penulisan Us Nik Abduh setiap kali dibaca pasti perlu diamati dengan baik apa isi dan fakta yang ingin diutarakan oleh beliau serta aturan ceritanya. Lenggokan bahasa beliau menyebabkan aku perlu baca sendirian tanpa gangguan. Dalam maksudnya, penuh isi dan hikmah. Fakta aku dapat, ilmu kerohanian pun dapat. Alhamdulillah.
Tulisan terbaru beliau masih berkenaan TGNA ayahanda beliau dan keluarga. Bila kenangkan apa yang menimpa mereka, teringat semula aku akan kisah keluarga Rasulullah SAW dan beberapa kisah para sahabat. Hebat benar fitnah apabila melanda seseorang. Makin berat jika berkait dengan keluarga dan saudara mara. Sudah hujung benar usia dunia ini.
Aku juga membaca komen2 di penulisan terbaru beliau. Pelbagai pandangan dan reaksi pembaca. Cuma ingin sekali aku paparkan buat pembaca satu tajuk kupasan ilmiah sebagai peringatan kepada kita: Aids Al Haraki

Mudah-mudahan Allah Taala perkukuhkan dan merapatkan saf perjuangan seluruh pendukung jamaah Islam yang ikhlas berjuang di jalanNya sehingga kebenaran itu ternyata. Aminn Ya Allah.

2 November 2009

Kita selalu alpa dan jahil....

Sehari-hari meniti liku-liku hidup kita seringkali diuji. Samada ujian dengan kesusahan dan keburukan atau kesenangan dan kebaikan. Betapa kita gundah dengan ujian-ujian dari Allah Taala jika tersalah langkah dek kerana tidak meneliti dengan kanta Islam. Sukar untuk kita ingat pada Dia tika riang gembira, lapang dan selesa tetapi bersungguh benar kita merapat diri kepadaNya apabila sempit dada, tersepit jiwa dan kerja. Bersama-samalah kita ingat selalu dan sentiasa kepadaNya.
Di bawah ini suatu kisah hidup yang pernah atau mungkin berlaku atau seakan-akan sama jalan peristiwanya dengan kehidupan kita. Mudahan diperolehi pengajaran dan kita lebih halus meneliti jambatan hidup ini.
----------------------------------------------------------------------------
Tuhan tidak pernah 'tinggalkan' kita...
Azamin Amin | Tue | Oct 27, 09 | 11:37:03 am MYT

"...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam ujian."

Kadang-kadang ujian silih berganti, pasang-surut tanpa henti membuatkan saya pernah bertanya apakah sebab dilahirkan ke dunia ini. Adakah untuk merasai kesakitan dan 1000 kepayahan mendatang? Kata-kata itu terpacul tatkala, saya masih cukup naif agama dan kosong jiwa. Lantas, bertanya kepada seorang tua, di sebuah warung, berhampiran rumah bujang saya kira-kira 15 tahun lalu.

"Azamin...pasti kamu sangka Allah membenci dirimu kerana menurunkan bermacam-macam ujian. Jangan bersangka buruk kepada tuhan," kata lelaki beruban, lewat usia 50an itu, membuatkan saya tertunduk.

"Muhammad, kekasih Allah itu dibaling batu, dilempar najis dan kakinya terpijak duri-duri yang sengaja di letakkan di tepi jalan. Giginya patah dan pipinya berdarah sewaktu perang.

"Pernah disihir dan usaha untuk membunuhnya tidak pernah surut. Lawannya sentiasa mengejek dan menghinanya.

"Lalu adakah ujian-ujian itu tanda Muhammad itu dibenci dan dipinggirkan Tuhan?" soalnya lagi dan kali ini air mata saya mula bergelinangan.

Dan dialog itu, terus menerkam sanubari, bilamana saya dihurung musibah. Kadang-kadang saya merasa penat dan adakalanya hampir putus asa. Sebabnya, tak jemu-jemu ujian dan masalah hinggap dalam kehidupan. Bila saya mengaji dan terbaca terjemahan surah Al-Baqarah, ayat 155, barulah hati saya reda dan tenang semula.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:"

Saya bertanya lagi kepada pakcik itu, kenapa orang lain bahagia, kaya, berjaya dan hidup aman makmur berbanding saya.

"Sebenarnya kamu lihat dengan mata kepala bukan dengan mata hati...lantas apa yang dilihat hanya zahir semata-mata. Kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan mereka dinilai dengan apa yang ada di depan mata kamu.

"Kamu tidak tahu di sebalik semua itu. Hutang keliling pinggang, penipuan, kesakitan, kepayahan dan ujian-ujian yang dihadapi mereka. Dan tidakkah Azamin tahu, ujian paling bahaya adalah ujian kesenangan!

"Jika kita sakit serta susah, kita mengadu dan menyebut Allah tetapi bila sihat dan senang, adakalanya kita lupa dan alpa..." katanya membuatkan saya terdiam seketika.

Ya benar, kita sentiasa lupa pada-Nya tetapi Allah tidak pernah lupa dan tinggalkan kita, apatah lagi di kala berlaku kesulitan dan kepayahan.

Kira-kira enam tahun lalu, saya menerima panggilan bahawa bapa saudara saya meninggal dunia di utara. Berat sungguh ujian ketika itu. Sudahlah sayu dan pilu, saya yang 'kurang' harta ini pula bercampur-baur antara mahu pergi ataupun tidak menziarahi jenazahnya yang juga merupakan adik kepada bonda tercinta.
Saya di Kuala Lumpur, ibu di Negeri Sembilan dan jenazah arwah di Kedah sana. Kocek, cukup-cukup tampung perjalanan pergi sahaja. Kereta juga uzur. Saya bertawakal dan berserah diri bulat kepada Allah. Niat saya untuk membawa ibu, dan mengadap arwah buat kali penghabisan.
Dalam perjalanan, hati cukup resah tanpa disedari ibu, isteri yang sedang menyusukan anak sulung. Apakah sampai di sana nanti, saya akan mengemis atau meminta-minta belas ihsan mendapatkan wang untuk 'tambang' pulang.

Ya Allah, saya berdoa, jauhilah diri saya melakukan sebarang aib dan malu di muka keluarga.
Selesai pemakaman jenazah, saya ditepuk seorang hamba Allah (pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu) sambil bersalam dengan saya.

"Nah, wang belanja sedikit untuk Azamin. Pakcik dah pasang niat bila nampak Azamin tiba subuh tadi. Pakcik tahu Azamin pun susah payah datang sini..." katanya menyebabkan saya menangis termanggu-manggu.

Sangka orang, saya sayu menghadapi pemergian bapa saudara tetapi, saya cukup pilu kerana di sebalik kepayahan dan kerisauan, Allah 'menjawab' keresahan dan kerisauan saya dengan bantuan yang tidak diduga.

Peristiwa kedua cukup menyeramkan saya, ketika dalam perjalanan pulang daripada menziarahi pengebumian jenazah seorang bapa saudara (adik ayahanda saya pula) di Setiawan, Perak pada tahun yang sama. Waktu itu kira-kira 12 tengah malam.
Entah macamana, saya tersesat mencari jalan susur keluar menuju ke Kuala Lumpur. Kalau tidak silap, saya berpusing di tempat yang sama, sekitar kawasan Cenderung Balai, Teluk Intan.
Malam cukup pekat. Tidak ada 'sebiji' kereta pun pada masa itu yang lalu lalang, apatah lagi orang pejalan kaki untuk saya bertanya haluan. Kiri kanan ladang kelapa sawit dan tiada lampu di sepanjang jalan raya.

Lebih menakutkan, tiada papan tanda atau 'sign board' penunjukk jalan kelihatan dan makin mengerikan bilamana minyak kereta sudah hampir habis. Aduhai.
Saya cuba untuk bertenang, supaya isteri yang duduk di kerusi belakang kereta sambil membelai anak berusia setahun tidak berkongsi kepayahan yang dilalui hati nurani ini. Apatah lagi, minyak kereta juga sudah kekeringan yang amat sangat. Lampu minyak, menyala tanpa henti menandakan bahaya bakal menimpa jika tidak diisi.

"Abang...rasa macam lama je...tak jumpa jalan ke?," soal isteri mengesyaki sesuatu.

"Taklah, abang tengah cari stesen minyak ni..." kata saya berselindung. Memang benar kata isteri, sudah lebih sejam saya memandu di kawasan yang sama, sama gelap dan likat tanpa jumpa jalan keluar.

Tiba-tiba saya nampak sebuah warung dipenuhi orang di sebelah bertentangan kanan jalan. Asalnya mahu gembira, tetapi terbit rasa aneh dan ganjil, bila sebuah warung, di sepanjang jalan gelap dipenuhi orang, jam 12 tengah malam. Sedangkan saya sudah melalui jalan tersebut berkali-kali, tetapi baru kini bertemu warung aneh di malam hari.

Sesat selama sejam

Lantas, dengan kocakan dada yang cukup berdebar, saya memberhentikan kereta di kiri jalan. Pada hemat saya, akal, minda dan perasaan saya sudah cukup letih dan berselirat sehingga melihat perkara-perkara aneh pula.

"Abang...kenapa berhenti?

"Rehat sekejap...rasa mengantuk sikit," kata saya menyembunyikan perasaan takut tadi. Sah..isteri saya tidak nampak, apa yang saya lihat.Lalu, dengan kekuatan yang saya ada, saya baca surah-surah pendek seperti al-Ikhlas, al-Kafirun dan an-Nas. Lebih kurang 10 minit juga, saya cebiskan beberapa doa yang diajar bonda antaranya:

"Dengan Nama Allah yang dengan nama-Nya tidak akan memberi mudharat apa pun yang ada di bumi dan di langit dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Riwayat Tirmidzi & Abu Daud)

"Ya, Allah selamatkan aku, isteri dan anakku daripada sebarang malapetaka. Kasihanilah anakku yang tidak berdosa," doa saya kepada Tuhan sambil merenung sikecil yang tidur lena sejak dari tadi.Saya tarik nafas panjang, dan berserah pada Allah. Kelibat warung sudah tidak kelihatan dan kemudian saya memandu dan terus memandu tanpa hala tuju.

Tiba-tiba, kurang lima minit saya terlihat sebuah papan tanda tertulis 'Kuala Lumpur' dan lima minit kemudian, sebuah stesen minyak kelihatan di sebuah simpang empat. Alhamdullilah, Allah menyelamatkan saya ketika saya berharap benar pertolongan-Nya.

Suatu hari, sekitar tahun 2002, rumah saya kehabisan barang keperluan. Ketika itu, dalam hati saya berdoa, janganlah ada tetamu yang datang kerana tidak ada sebarang 'habuk' pun untuk dijamu. Buruk sungguh kelaku saya sehingga berdoa begitu. Bukan apa tetapi saya malu dan khuatir tidak dapat meraikan tetamu dengan juadah yang boleh dijamu.

Ya, kita fikir perancangan dan doa kita betul padahal Allah itu lebih menyayangi kita. Sebenarnya, sudah diajar jika ada tetamu, jamu dan layan sedaya mampu kerana kehadiran mereka, 'membawa' rahmat dan 'membersihkan' dosa.
Bonda saya ada berpesan, jika ada tetamu, apa yang ada di dapur jangan disimpan. Jamulah semuanya kerana utamakan tetamu adalah ajaran Nabi dan agama.
Lantas, selesai sahaja berdoa, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang. Doa saya tidak diperkenan, dan tetamu pun datang. Hati saya berbolak-balik. Saya memandang wajah isteri dan memberi isyarat bertenang. Dalam keadaan gelisah, kami mampu jua hidangkan 'teh o bujang' tanpa sekeping biskut pun ada sebagai hidangan.

"Tak pa, Min...kami datang ni nak tengok anak sulung awak, janganlah susah-susah. Lagipun kami ada hal lain lagi," sambil tetamu bersalaman, mengepilkan wang not RM50.00 ke telapak tangan.

Kemudian, air mata basah mula menjadi teman...

Benarlah kata Tuhan, Nabi dan agama. Janganlah kita memandai-mandai berdoa yang tidak baik atau berfikir yang bukan-bukan sedangkan Allah tidak pernah tinggalkan kita.
Apa-apa yang kita rasa dan lalui, adakalanya kita rasakan tidak baik bagi kita sedangkan ianya elok untuk kita dan hanyalah Allah sahaja yang mengetahui.
Ujian yang bertindih, bertali-arus adakala membuatkan saya kerdil dan 'menyumpah' diri dengan kata-kata tidak baik seolah-olah dimurkai tuhan sedangkan ujian itu cukup baik dan manis bagi saya selepas itu.

"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al- Baqarah, ayat 216)

Teringat ketika putus cinta lantaran kekasih meninggalkan diri saya yang sudah menjalinkan hubungan yang agak lama. Remuk hati dan berkecai perasaan. Kasih yang dibaja, kononnya untuk membina mahligai, hancur di tengah jalan. Tahun itu, sekitar 1994. Saya sujud dan bermunajat duka bahawa selepas ini, hanya Allahlah yang menentukan dan memilih buat saya tanpa perlu saya tercari-cari lagi, getus hati kecewa.
Saya adukan keperitan yang ditanggung kepada majikan, yang menjadi kawan rapat saya juga di kala susah. Saya ketika itu berusia 20an manakala majikan yang dikenali Encik Rakha itu, berusia lewat 40an.

"Beginilah Min...kau rasa kereta proton Satria itu segak bergaya dan cukup cantik bagi kau sedangkan Allah nak 'mengurniakan' sebuah 'Mercedez Benz' bagi kau di kemudian hari...tetapi kau tak tahu lagi.

"Jika suatu hari nanti, kau dah dapat yang jauh lebih baik dari sekarang...jangan lupa beritahu aku," kata bos lelaki itu yang suka membahasa diri sebagai 'aku'.

Ya, setahun selepas saya berdoa duka lara itu, Allah sekali lagi 'menjawab' keresahan hati saya dan kini saya sekali tersenyum dengan simpulan kata-kata bos lelaki itu tatkala memandang tiga cahaya mata hasil perkongsian kasih nan bahagia bersama jodoh, isteri yang tercinta.
Ya. Setiap yang berlaku ada hikmah. Dan tidak berlaku sia-sia. Sungguhpun perit dilalui ketika berlaku, di kemudiannya, Allah persiapkan kebahagiaan dan kejayaan setelah lama bersabar.
Dan selepas itu, ujian demi ujian terus datang dari Allah yang cukup sayang pada hambaNya dan tidak pernah menghampakan, jika diperlukan.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar" (An Nisaa ayat 40) .
---------------------------------------------------------------
Terima kasih kepada penulis ( Sdr. Azamin ) kerana dapat memberikan satu input yang baik kepada saya dan para pembaca untuk kita lebih teliti dan halusi dalam perihal hubungan seharian kita dengan Allah Taala.

Rujuk:Isnin 2 November 2009 | 14 Dzulka'edah 1430 Hijrah- Harakahdaily