28 November 2010

Larangan Allah duduk bersama orang jahat

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٦٨) وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِمْ مِنْ شَيْءٍ وَلَكِنْ ذِكْرَى لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (٦٩)

68. Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

69. Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

-------------------------------

Larangan Allah duduk bersama orang jahat

Ditulis oleh Presiden PAS : Isnin, 19 Julai 2010 15:07

ALLAH berfirman yang bermaksud,“Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan.” (Surah al-Aníam: 68) Ertinya jika syaitan menyebabkan kamu lupa untuk menghindarkan diri daripada majlis seumpama itu, kamu dimaafkan kerana sebab lupa. Bagaimanapun Allah berfirman yang bermaksud, “Maka jangan kamu duduk selepas ingat semula bersama kaum yang zalim itu.” (Surah al- An’am: 68)

Selepas kamu ingat akan amaran Allah, maka berkewajipan kepada kamu menghindarkan diri daripada majlis tersebut melainkan mereka tidak lagi bercakap menghina Islam, menghina hukum Allah SWT dan menghina Nabi s.a.w.

Ayat ini mengajar kita umat Islam, menjadi manusia mulia dan sukakan perkara yang mulia. Ia juga termasuk dalam perkara dakwah dan perjuangan.

Bukan sahaja mengajar umat Islam cintakan kemuliaan tetapi mengajar manusia sedar, bahawa orang yang menghina Islam dan Nabinya s.a.w. adalah manusia yang jahat atau zalim bahkan kufur terhadap Allah SWT

Kemuliaan seseorang terjadi dengan Islam dan iman kepada Allah SWT, satu-satunya Tuhan yang sebenar, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya tetap diteruskan. Sama ada ada atau tidak orang menghina Islam, perjuangan untuk menyampaikan Islam wajib diteruskan di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

Oleh kerana itu Imam Hassan Al-Banna pernah pergi ke kelab malam bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada penghuninya. Ertinya menghadiri kelab seumpama itu untuk tujuan menyampaikan dakwah Islam, suatu yang dipandang mulia dan diizinkan oleh syarak.

Justeru Islam menetapkan cara bersosial yang selamat daripada fitnah, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah. Inilah sikap kita para pejuang Islam di sepanjang zaman.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ngejek) itu. Akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingatkan (larangan Allah itu), supaya mereka bertakwa.” (Surah al-An’am: 69)

Berkata Ibnu Abbas r.a. apabila datang larangan Allah supaya tidak duduk bersama majlis kaum musyrikin dan perintah supaya tinggalkan majlis mereka, maka berkata, orang-orang Islam pada zaman Nabi s.a.w.: “Tidak mungkin kami boleh memasuki masjid dan tawaf di sekeliling Kaabah.

Maka Allah menurunkan ayat yang bermaksud, “Akan tetapi kewajipan orangorang Islam mengingatkan larangan Allah itu.” (Surah al-An’am: 69) Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini dikatakan telah dinasakhkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam kitab (al- Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan kaum munafik) maka janganlah kamu duduk (bergaul) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah al-Nisa’: 140) Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah memberi keringanan kepada umat Islam untuk bergaul dengan golongan musyrikin Makkah sebelum pembukaan kota suci tersebut sebagai “taqiyyah” (takut menzahirkan Islam dalam keadaan tertentu).

Sumber: Presiden PAS

23 September 2010

Di Aidilfitri 1431 H

Bismillahirrahmanirrahim
Segala pujian hanyalah kepada Allah. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka hingga ke hujung usia alam.

Alhamdulillah. Tahun ini dapat jua menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung. Walaupun seorang ketinggalan untuk menyambut Syawal ini bersama.Tetapi keseronokkan bersama keluarga itu lebih dirasai ketika sebulan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Sedangkan sambutan Aidilfitri pula labih seronok apabila bertemu dengan saudara-mara dan rakan-rakan. Apatah lagi dapat ziarah-menziarahi bersama mereka. Sekurang-kurangnya impian untuk berkumpul semula bersama rakan-rakan yang hampir 10 tahun tidak bertemu dapat bersua semula.

Pertemuan muqaddimah sebagai penyambung ikatan berterusan. Bagaimanapun target impian itu hanya 50-60 peratus sahaja berjaya. Al-maklum, masing-masing bekerja di luar negeri (bukan luar negara)- tidak dapat balik kampung, ketiadaan kenderaan, pembahagian masa, putus talian perhubungan (bukan terputus silaturrahim) dsb. Tidak dapat bertemu semua dan pertemuan yang santai semata. Harap sekali dapat berkumpul lagi di suatu masa nanti untuk Islam.

Walaupun bertemu dan berhari raya bersama rakan-rakan suatu episod yang mengembirakan tetapi masih ada cerita duka daripada mereka. Sebahagian rakan-rakan yang tidak sempat bertemu dikhabarkan dilanda ribut jahiliah moden. Dan kini tidak diketahui sudahkah ada tempat berteduh dan berlindung. Krisis kekeluargaan, hilang identiti diri dan sebagainya. Biarpun tidak ramai tetapi dahulunya akrab menyebabkan terasa ianya perkara besar.

Tidak kurang juga kawan-kawan yang berlumba-lumba membina mahligai kehidupan dunia semata. Tidak menghairankan jika mereka keluaran SK, SMK dsb. tetapi adalah sebaliknya. Sukar juga untuk menghadapi mereka apatah lagi hanya dapat bertemu untuk sekali itu sahaja. Maka sudah tentu mereka yang tidak dapat bersua muka bertambah jauh untuk saling memahami. Hanya doa yang mampu diutuskan. Bagaimanapun insyaAllah dengan masa yang berbaki ini akan diusahakan jua untuk menziarahi kalian.

.: Bertemu dan berpisah kerana Allah :.

10 September 2010

Islam Jamin Kemanan Untuk Semua Makhluk

Salam Idulfitri: Kekalkan Hidup Beragama

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


Firman Allah SWT:

Bermaksud:

“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)

Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal 1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.

Asas kehidupan manusia yang beriman dan bertaqwa sudah pasti berpandukan agama. Ini kerana ajaran agama menyediakan perlembagaan hidup yang sebenar. Maka kehidupan orang yang taqwa sudah pasti hidupnya selari dengan agama, yakni perlembagaan hidup yang berteraskan agama. Justeru kehidupan seorang yang beragama adalah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan berpandukan perlembagaan buatan (digubal) manusia. Ini kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang menggubal perlembagaan, apakah mereka dapat menjamin bahawa roh perlembagaan yang digubal manusia itu dapat memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT? Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatan itu dapat menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT?

Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.

Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.

Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah Akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah, iaitu kita bertakbir di mana-mana tempat (di mana yang sesuai).

InsyaAllah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India yang Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.

Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum Muslimin. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amiin apabila imam menghabiskan bacaan al-Fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. InsyaAllah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.

Pada kesempatan ini juga, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa pulang berhari raya, terutama di sepanjang perjalanan. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.

Rujukan : Blog Tok Guru

30 Ogos 2010

Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan

Ahli PAS : Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan

Berempena dengan peristiwa turunnya Al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS disegenap lapisan peringkat untuk memanafaatkan baki Ramadhan yang tinggal ini agar ianya diisi dengan amal soleh dan mampu untuk menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.
Selain dari itu, saya juga ingin memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.

Janganlah kita bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu. Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri. Semuanya perlu dipertimbangkan bagi menjaga maslahat umum seperti disebutkan di dalam kaedah fiqh : Almaslahatul 'ammah muqaddamah 'ala maslahah khasah (Maslahat umum diutamakan dari maslahat khas) dan Dar'ul mafasid muqaddam 'ala jalbil masalih (menolak keburukan diutamakan daripada mengambil maslahah).

Selagi mana ia bukanlah satu perkara yang bersifat prinsip, atau sesuatu hukum yang qat'i, maka kaedah tersebut perlulah diguna pakai dalam tindakan-tindakan kita sebagai pejuang Islam, termasuklah dalam proses kita memperkasakan parti di peringkat Cawangan dan Kawasan. Semoga segala tindakan kita sentiasa dipimpin oleh syariat dan mendapat petunjuk dari Allah SWT.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Sumber

21 Julai 2010

Bulan Sya'ban

Assalamualaikum w.b.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah hampir 10 hari kita berada di bulan Syaaban 1431 Hijriah. Antara tiga bulan yang mulia dan punyai banyak kelebihannya tersendiri. Rasulullah S.A.W. telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudhatul Ulama).


Lebih kurang 20 hari lagi kita menyambut pula bulan umat Nabi Muhammad S.A.W. iaitulah bulan Ramadhan. Bulan
rahmah (belas kasihan Allah), bulan maghfirah (keampunan) dan bulan perlepasan dari api Neraka. Sebagai sebuah koreksi diri untuk melangkah ke bulan pesta ibadah itu, mari sama-sama kita berfikir sejenak melalui tulisan Ustaz Nik Abduh di blog beliau- Panggilan bulan Ramadhan Al-Mubarak

Mari berfikir untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak;
Pertama, kasihan belas Allah terhadap hambaNya yang terus menzalimi diri dan mudahnya Dia menerima taubat dan keampunan.
Kedua, Peluang demi peluang untuk kita kembali. Di sediakan bumi yang suci, rumah yang suci, bulan yang suci, minggu dan hari yang agung, saat yang mustajab, hati dan akal yang khusyu’ dan tafakkur, lidah yang ringan dan basah, kawan yang soleh dan lain – lain kemudahan untuk kembali kepadaNya.
Ketiga, jauhnya kita dari membaca, memahami dan mengamalkan al Quran, satu – satu kitab dari langit yang kekal di bumi memberi cahaya dan hidayat.
Keempat, lalainya kita dengan kehidupan dan dunia yang menipu dan kita tak pernah serik dan sesal terhadapnya.
Kelima, di mana kita daripada ulama, tempat terpancar hikmat tuhan dalam kehidupan sementara..
Mari memulakan tafakkur untuk bulan Ramadhan yang mulia. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadhan. Rindui Ramadhan, nescaya Ramadhan mengaminkan untuk kita dengan izinNya.