Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Sudah hampir 10 hari kita berada di bulan Syaaban 1431 Hijriah. Antara tiga bulan yang mulia dan punyai banyak kelebihannya tersendiri. Rasulullah S.A.W. telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudhatul Ulama).
Lebih kurang 20 hari lagi kita menyambut pula bulan umat Nabi Muhammad S.A.W. iaitulah bulan Ramadhan. Bulan rahmah (belas kasihan Allah), bulan maghfirah (keampunan) dan bulan perlepasan dari api Neraka. Sebagai sebuah koreksi diri untuk melangkah ke bulan pesta ibadah itu, mari sama-sama kita berfikir sejenak melalui tulisan Ustaz Nik Abduh di blog beliau- Panggilan bulan Ramadhan Al-Mubarak
Mari berfikir untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak;
Pertama, kasihan belas Allah terhadap hambaNya yang terus menzalimi diri dan mudahnya Dia menerima taubat dan keampunan.
Kedua, Peluang demi peluang untuk kita kembali. Di sediakan bumi yang suci, rumah yang suci, bulan yang suci, minggu dan hari yang agung, saat yang mustajab, hati dan akal yang khusyu’ dan tafakkur, lidah yang ringan dan basah, kawan yang soleh dan lain – lain kemudahan untuk kembali kepadaNya.
Ketiga, jauhnya kita dari membaca, memahami dan mengamalkan al Quran, satu – satu kitab dari langit yang kekal di bumi memberi cahaya dan hidayat.
Keempat, lalainya kita dengan kehidupan dan dunia yang menipu dan kita tak pernah serik dan sesal terhadapnya.
Kelima, di mana kita daripada ulama, tempat terpancar hikmat tuhan dalam kehidupan sementara..
Mari memulakan tafakkur untuk bulan Ramadhan yang mulia. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadhan. Rindui Ramadhan, nescaya Ramadhan mengaminkan untuk kita dengan izinNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...