13 Julai 2011

BERSIH 2.0: Catatan seorang peserta Cina

Catatan seorang peserta Cina: Saya rasa selamat bersama orang PAS
Chen Shu Yong | Jul 12, 2011 06:36:14 pm
Siapa pengganas?
... Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?"  Saya menuding jari ke depan.  Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan.  Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu.  Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu?  Berarak adalah hak kita.  Mengapa pula saya takut?  Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda.  Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan.  Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap.  Saya tahu beliau cuba menakutkan saya.  Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka.  Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka.  Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu.  Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang.  Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang.  Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib!  Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi.  Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan.  Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami.  Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA?  Pemuda UMNO?  Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!"  Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama.  Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!"

Bersambung… Merdeka Review

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011. MerdekaReview akan memilih beberapa lagi tulisan untuk diterjemahkan, dan mengalu-alukan tulisan daripada pembaca. Sila email kepada editorial_bm@merdekareview.com. Terima kasih.

9 Julai 2011

"Semakin ditahan, ia akan terus melanda" - Ustaz Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 9 Julai:  Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan, tindakan menyekat perjuangan menegakkan Islam akan berhadapan dengan rempuhan.

Beliau menyifatkan ianya umpama gerakan air yang semakin ditahan,  ia akan terus melanda dan melanggar benteng penahan.

Ingatan ini dikeluarkan beliau menjelang perhimpunan Bersih di ibu negara petang ini yang kini berhadapan dengan sekatan umpama perang dari pihak kerajaan BN.

Seluruh Kuala Lumpur dikepung dan bilik-bilik hotel dan tempat tinggal digeledah umpama mencari pesalah besar yang sedang mahu menghancurkan negara.

Perhimpunan Bersih 2.0 dijadualkan berlangsung jam 2 hingga 4 petang ini di Stadium Merdeka namun pihak stadium serta polis tidak memberikan permit atau kebenaran.

Padahal, sebelum pemimpin Bersih 2.0 menghadap Yang Dipertuan Agung, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mencadangkan agar perhimpunan ini diadakan di stadium dan berjanji akan menguruskan penggunaannya.

Namun, selepas mesyuarat kabinet dan selepas Agung dan Bersih bersetuju agar ianya dipindahkan ke stadium, Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan kabinet menolak penggunaan stadium di Kuala Lumpur.

"Ingatlah sesungguhnya perjuangan menegakkan Islam ini ibarat aliran air yang ditahan, semakin ditahan, semakin dihalang ia akan terus melanda dan melanggar benteng penahan.

"Lumrah alam juga telah menetapkan bahawa suatu masa dan ketikanya benteng pasti akan pecah, ketika itu maka terbuak buaklah aliran air tersebut membanjiri pelusuk muka bumi. Yakin lah!" ingat Presiden PAS itu kepada pemimpin negara.

Ingatan itu dikeluarkan beliau melalui Facebooknya pagi ini.

Sumber: Harakahdaily

2 Julai 2011

MANUSIA JADI BAIK APABILA MENERIMA KEBENARAN

Firman Allah yang bermaksud : "Oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya". (Surah Al An'am:104).

Yakni sesiapa yang menerima keterangan dan hujah Al Quran dan sunnah Nabi SAW serta meyakininya dan beriman dengannya maka faedahnya ialah untuk dirinya sendiri, untuk kebaikan dunia dan akhirat sebagaimana dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya yang lain yang bermaksud, "Sesiapa yang memperolehi hidayah petunjuk (menurut panduan Al Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya keburukan kesesatannya hanya ditanggung oleh  dirinya juga". (Surah Al Isra':15).

Justeru Allah Taala menegaskan dalam ayat seterusnya yang bermaksud : "Dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka tertimpalah ke atas dirinya sendiri". (Surah Al An'am:104).

Yakni sesiapa yang sengaja tidak nampak kebenaran dalam keterangan ayat-ayat Allah dan hujah Nabi-Nya SAW maka keburukan keengganan dan penolakan itu akan menimpa diri sendiri sebagaimana Allah menjelaskan dalam ayat yang lain tentang apa sebenarnya berlaku yang bermaksud, "Keadaan sebenarnya bukanlah mata kepala buta tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada". (Surah Al Haj:46).

bersambung di  Tarbawi.my

27 Jun 2011

Ikhwan al-Muslimun dan Parti Hurriyah Wal A'dalah

Ikhwan Muslimin memimpin Pakatan Rakyat Mesir
MURSYIDUL AM Ikhwan Muslimin Mesir, Ustaz Dr Mohamad Badi’e Abdul Majid menyambut rombongan kami dengan penuh kemesraan.

Wajahnya penuh ceria, sambil bersalam dan memeluk kami semua, beliau mendoakan kesejahteraan kami serta kesejahteraan perjuangan Islam di Malaysia.
"Sampaikan salam hormat saya kepada pemimpin anda yang saya kasihi, Ustaz Abdul Hadi (Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang)," kata beliau kepada saya.

Pertemuan kami dengan beliau tidak lama, hanya sekitar 10 minit sahaja. Ianya pertemuan yang tidak dirancang, tiada temujanji dibuat dengan beliau.

Dr Mohamad Badi'e adalah Mursyidul Am ke sembilan Ikhwan Muslimin atau dikenali dengan nama Muslim Brotherhood. Ia diasaskan oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Imam Hassan al-Banna dibunuh tentera Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk pada tahun 1949.

Dalam kunjungan kami, rombongan saya bersama Yayasan Amal hanyalah untuk courtesy visit, sekadar membuat temujanji dengan Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Mesir, Profesor Dr Mahmoud Hussein setelah mendapat amanah daripada Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad yang berkesempatan menemui Dr Mohamad Badi'e dan Dr Mahmoud sebelum ini.

Tetapi pertemuan dengan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin begitu menyentuh perasaan dan terlalu amat bermakna. Di sebalik ketenangan wajahnya, tidak ramai yang mengetahui beliau adalah antara tahanan politik yang bertahun-tahun terpaksa merengkok di sebalik tirai besi semata-mata kerana mahu menegakkan Islam.

Di sebalik kesibukan beliau menerima kunjungan ramai tetamu dalam dan luar negara, Dr Mohamad Badi'e sudi menerima kami selepas dimaklumkan kepada beliau, ada wakil dari Malaysia yang berkunjung ke Mesir, selain menghulurkan bantuan ke Libya dan Palestin.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, Dr Mohamad Badi'e menyatakan cukup berbangga dengan PAS yang begitu istiqamah dalam menegakkan keadilan Islam di Malaysia.

sambung di sini: ASPIRASI