20 Jun 2015

PUASA RAMADHAN - Ulangkaji

Sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah Taala semestinya menerima dan melaksanakan perintah Allah Taala yang mewajibkan kepada hambaNya berpuasa apabila tibanya bulan Ramadhan. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu; dengan itu mudah-mudahan kamu bertaqwa ". Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam selain Syahadah, solat 5 waktu sehari semalam dan berzakat serta menunaikan haji.

Mari kita ulangkaji beberapa pelajaran berkenaan puasa Ramadhan.

Puasa membawa maksud menahan diri daripada makan, minum, nafsu syahwat dan daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa; bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Syarat-syarat wajib berpuasa:

1. Orang Islam
2. Sudah dewasa (baligh)
3. Berfikiran waras
4. Mampu berpuasa

Syarat-syarat sah puasa:

1. Orang Islam
2. Orang yang berakal
3. Perempuan yang suci dari haid dan nifas
4. Berniat puasa pada waktu malam
5. Pada hari-hari yang sah berpuasa

Perkara wajib dilakukan oleh orang yang berpuasa ( rukun puasa )

1. Niat pada waktu malam
2. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (Subuh) hingga terbenam matahari (Maghrib).


Perkara-perkara yang membatalkan puasa:

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka.
2. Makan dan minum.
3. Melakukan persetubuhan dengan sengaja.
4. Muntah dengan sengaja.
5. Gila walaupun sebentar.
6. Pitam sepanjang hari.
7. Berlaku haid, nifas dan wiladah bagi orang perempuan.
8. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
9. Berbuka puasa dalam keadaan syak samada sudah terbenam matahari atau belum.
10. Murtad.

* Haid = Darah yang keluar melalui faraj perempuan yang berumur sekurang-kurangnya 9 tahun. Diwajibkan mandi sebaik sahaja kering haidnya.

* Wiladah = perempuan yang melahirkan anak disertai dengan basah atau tidak. Termasuk juga perempuan yang keguguran.

* Nifas = Darah yang keluar selepas perempuan melahirkan anak. Maka diwajibkan mandi setelah kering darah nifasnya.


14 Jun 2015

RAMADHAN KARIM

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala pujian dan kesyukuran hanya kepada Allah Taala yang masih mengizinkan kita bernafas pada hari ini. Apatah lagi sebahagian kita yang dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang membahagiakan. 

Hari ini 27 Syaaban 1436 Hijrah. Lagi 3 hari kita umat Islam akan menerima kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang terdapat padanya kelebihan pada segala ibadah, banyak sejarah penting terpahat padanya, terdapat keistimewaan rohani dan jasmani dalam diri hamba Allah pada bulan itu dan sebagainya. 

Sepatutnya kita orang beriman sudah punyai azam untuk Ramadhan tahun ini. Apa azam aku pada Ramadhan kali ini? Kita sudah berkira-kira dengan amal kebaikan dan kebajikan serta keburukan dan kemaksiatan yang bakal kita hadapi pada bulan mulia ini. Bagaimana aku ingin perbaiki segala amal ibadahku? Menggandakan amal soleh?

Mudah-mudahan kita bersiap insyaAllah sebelum memasuki gerbang tarbiyah Ramadhan kali ini dengan penuh ikhlas kepada Allah. Bukan kita berubah diri kerana bulan Ramadhan tetapi kerana Allah S.W.T. Bulan Ramadhan hanya sebagai batu loncatan untuk kita tarbiyah diri agar lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya bagi menempuh kehidupan bulan-bulan selepasnya.

AHLAN YA RAMADHAN


5 Jun 2015

Kem Kecemerlangan UPSRI

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selesai sudah baru-baru ini sebuah program yang diadakan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI). Seramai 100 orang peserta telah menyertai Kem Kecemerlangan UPSRI tersebut. Kem ini bertujuan memberikan motivasi kepada para pelajar, mendedahkan bentuk-bentuk soalan yang biasa keluar dalam kertas ujian, cara menjawab soalan dan sebagainya.

Kem yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu turut mendedahkan kepada para pelajar cara belajar berkumpulan (study group) dan berbincang dengan kawan-kawan. Mereka juga dilatih untuk mengikuti aktiviti dan menepati waktu yang telah disusun. Aktiviti yang merangkumi pengisian rohani, 'aqli dan jasmani. 

Semestinya letih dan penat dirasai mereka dalam mengikuti aktiviti yang telah diaturkan; bermula dari bangun tidur pada jam 5 pagi sehingga tidur pada jam 11 malam. Namun, kegembiraan masih terpancar di wajah masing-masing. Terutama semasa aktiviti riadhah.

Mudah-mudahan mereka mendapat faedah yang besar dari segala pengisian yang telah dihidangkan dalam kem kecemerlangan ini. Ameen...









29 Mei 2015

Hari Guru 2015

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

16 Mei adalah sambutan Hari Guru yang disambut saban tahun. Sambutan hari guru diadakan sebagai meraikan para guru yang menabur bakti menyumbangkan ilmu dan pengetahuan mereka kepada hampir seluruh umat manusia. Siapalah seorang jurutera sekarang ini jika tanpa guru? Siapalah seorang mufti sekarang tanpa adanya guru? Setiap bidang kejayaan seorang manusia pada hari ini adalah antara sumbangan seorang yang bergelar guru, cikgu atau ulama'.

Di dalam Islam darjat ilmu sangat agung bahkan Al-Quran dan Al-Hadis menyatakan perbezaan antara darjat orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu iaitu jahil. Islam juga menyarankan umatnya agar meyampaikan ilmu walau hanya satu ayat. Inilah peranan penting umat Islam khususnya GURU.

Sambutan Hari Guru di MDI.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU









 

22 Mei 2015

Rohingya: Saudara kita yang dizalimi

Fakta PELARIAN ROHINGYA

Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara ini pada kurun ke-19 ketika pemerintahan Britain.
Orang Rohingya kebanyakannya adalah satu kumpulan etnik beragama Islam di utara Negeri Rakhine (Negeri Rakhine dahulunya Arakan adalah negeri di Myanmar)yang terletak di Barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah bandar utara Negeri Rakhine.
Menurut Amnesty International, orang Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978, dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh
"Gerakan pembebasan orang Rohingya disekat dengan keras dan pada hakikatnya sebahagian besar mereka telah dinafikan kewarganegaraan Myanmar mereka. Mereka juga tertakluk pada pelbagai bentuk pemerasan dan pencukaian sembarangan; penyitaan tanah; pengusiran paksa dan pemusnahan rumah; dan sekatan kewangan ke atas perkahwinan. Orang Rohingya terus menerus dipaksa menjadi buruh dalam pembinaan jalan raya dan di kem-kem tentera walaupun jumlah buruh paksa di utara Negeri Rakhine telah menurun sejak sedekad yang lalu."
"Pada tahun 1978, dianggarkan seramai 200,000 orang Rohingya telah melarikan ke Bangladesh berikutan operasi Nagamin’ (‘Raja Naga’) tentera Myanmar. Secara rasmi kempen ini mensasarkan "pemeriksaan setiap individu yang tinggal dalam negeri tersebut, menandai warganegara dan orang asing bertepatan dengan undang-undang dan mengambil tindakan terhadap orang asing yang menyusup masuk ke dalam negara secara haram". Kempen ketenteraan ini disasarkan secara terus kepada orang awam, dan mengakibatkan pembunuhan, rogol dan pemusnahan masjid serta penindasan agama secara besar-besaran."
"Semasa 1991-92, satu gelombang baru orang Rohingya yang dianggarkan berjumlah suku juta orang telah melarikan diri ke Bangladesh. Mereka melaporkan tentang buruh paksa di samping hukuman mati terus, penyeksaan dan rogol. Orang Rohingya dipaksa bekerja tanpa bayaran oleh tentera Myanmar di projek-projek infrastruktur dan ekonomi, lazimnya dalam keadaan yang teruk. Banyak pencabulan hak-hak kemanusiaan lain berleluasa dalam konteks buruh paksaan orang awam Rohingya oleh pasukan keselamatan."
Menurut Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali yang tinggal di negara ini sebelum kemerdekaan daripada Britain pada 1948 serta anak mereka, dianggap sebagai warganegara.
Justeru, mereka yang menetap di Myanmar selepas kemerdekaan secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara ini.
Pada asasnya, sukar untuk kebanyakan keturunan Bengali mendapatkan status warganegara dan mereka menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan, isu perkahwinan dan anak.
Teruskan doa dan sumbangan anda untuk Rohingya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui :
Bank Islam: 14014010147470   ( Muslim Care Malaysia )

Maybank:    564490413882  ( Muslim Care Malaysia )

RHB:              26-2120-0000-4747 ( Muslim Care )

Bank Muamalat: 14010007654717   ( Muslim Care Malaysia )