oleh Dr Riduan Mohamad Nor
Aliran Liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman
Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah. Ia adalah hasil daripada
tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap
ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk
memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu.
Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di
atas kebebasan individu (dari cengkaman agama) dan perasaan syak atau
ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal.
Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah
pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam. Bagi pendukung
fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap
kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Sepertimana
Muktazilah, golongan Islam meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu.
Kerana itu mereka layak digelar Muktazilah moden atau Neo-Muktazilah.
Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada
penilaian akal dan rasional. Tidak ada yang dapat dikategorikan sebagai
Qat'iyyat atau Musallamat iaitu ajaran-ajaran agama mesti diterima
kebenarannya tanpa merujuk kepada akal terlebih dahulu (yakni diterima
atas dasar iman dan keyakinan kepada Allah dan Rasul) sebagaimana yang
menjadi pegangan umat Islam selama ini. Semua ajaran dalam agama bagi
mereka adalah Dzanniyat (tidak pasti) dan Muhtamalat (mengandungi
pelbagai kemungkinan). Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan
akal dan rasional.
Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan
diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di
sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran,
menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari'at dan
Fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot
mengenai agama termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulama
termasuklah tafsiran dari Rasulullah SAW, para sahabat dan ulama-ulama
mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi'
(realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan
agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat'ie (putus). Jika
terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka
hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.
Menurut Syeikh Abdullah Khatib dalam bukunya (Islam adalah penyelesaian; jawapan kepada pendakyah-pendakyah free thinker);
Golongan pemikiran bebas mempunyai agenda-agenda tersendiri yang menjadi matlamat mereka, iaitu;
1. Untuk menggugurkan agama secara sepenuhnya dari masyarakat iaitu
memisahkan agama dari pendidikan, menjauhkan Syariat Islam dari
kedudukannya sebagai sumber perundangan dan mengasaskan di atas dasar
riba.
2. Untuk menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia dari
setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib dan dari
segala ikatan dengan akhlak, aqidah dan keimanan kepada Allah.
3. Untuk memartabatkan ketuanan akal, kebendaan (materialis) dan ilhad
(ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu) dalam setiap urusan kehidupan
dan menjadikan Islam hanya sebagai agama rohani semata-mata dan menolak
agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan politik.
Golongan
Islam Liberal mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menghidupkan
kembali pemikiran Muktazilah yang menurut mereka mewakili kumpulan Islam
Rasional dalam sejarah peradaban Islam. Kerana itu, tokoh-tokoh Islam
Liberal di Timur Tengah seperti Ahmad Amin, Thaha Husain dan sebagainya
amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah
khususnya Asya'irah yang dituduh jumud, beku dan anti-rasional. Ahmad
Amin pernah menulis; "Kaum Muslimin lemah dan mundur kerana mereka tidak
menggunakan cara berfikir Muktazilah.....". (Lihat; al-Muamarat 'Ala
al-Islam, oleh Anuar al-Jundi, hlm 19).
Tidak terkecuali dari
kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal Indonesia dan
Malaysia. Sebagai contohnya, Kassim Ahmad dalam bukunya " Hadis; Jawapan
kepada Pengkritik", telah menegaskan; "Untuk mengetahui di mana umat
Islam telah tersilap bila mereka mendapati diri mereka terjebak dalam
kemerosotan berpanjangan, kita harus mengesan langkah-langkah kita
kembali ke dalam sejarah. Sebelum kaum teologi Assy'ariyyah menang
mengatasi kaum rasional Muktazilah dalam abad-abad kesepuluh, kesebelas
dan kedua belas, aliran saintifik dan rasional kuat dalam sains Islam,
yang sememangnya telah menyebabkan terbina sains dan tamadun saintifik
Islam yang agung. Di antara masalah-masalah yang hangat diperdebatkan di
kalangan mereka ialah kebebasan dan tanggungjawab manusia di atas
perbuatannya dan keadilan dan keesaan Ilahi. Dalam perbahasan ini, kaum
Muktazilah mewakili aliran saintifik dan rasional. Malangnya, keadaan di
Timur pada masa itu tidak memihak kepada mereka, berbeza dengan keadaan
di Barat. Kaum Muktazilah tewas. Peristiwa bersejarah ini memberi
laluan kepada kaum Assy'ariyyah berkuasa di seluruh Timur".(Halaman 80)
Aliran Islam Liberal wujud hampir di setiap negara umat Islam hari ini.
Nama mereka mungkin berbeza-beza dan mungkin tidak dikenali dengan nama
tertentu, akan tetapi manhaj dan gaya mereka tetap sama iaitu meragui
Syariat dan hukum-hakam agama, berprasangka buruk terhadap ulama dan
mentafsir agama dan al-Quran melalui akal secara bebas. Apabila menyebut
tentang tokoh-tokoh Islam Liberal, terdapat satu kesamaan antara mereka
semua iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat atau pernah
berkhidmat di mana-mana institusi Barat. Pengalaman ini menyebabkan
mereka cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa
memisahkan antara yang baik dan yang salah.
Manakala di rantau
Asia Pasifik pula, negara Indonesia yang merupakan negara yang mempunyai
penduduk Islam paling ramai dalam dunia telah menerima serangan yang
sangat hebat daripada jalur pemikiran liberal dan pluralisme teologi.
Negara ini semenjak zaman penjajahan kuasa Belanda telah diterjah dengan
pelbagai serangan pemikiran malah kini menjadi markas rantau Asia
Pasifik bagi gerakan Kristianisasi.
Menurut Adian Husaini
(2002), di Indonesia untuk menyebar dan menyemarakkan fahaman ini tokoh
Islam Liberal yang terdiri daripada kalangan tempatan atau luar negara
sentiasa dimunculkan di dalam wacana berkaitan dengan fahaman ini.
Kelompok ini menerima dana yang besar daripada pendana luar negara
seperti Asia Foundation, dan sebagainya. Mereka aktif dalam pelbagai
wacana awam dan kelihatan berprestij dengan program yang diadakan di
hotel, saluran radio tv dan pelbagai medium yang lain. Di Malaysia
kelompok Islam liberal mewujudkan jaringan tersendiri , antaranya forum
Islam liberal (FIL) yang secara konsisten menebarkan fahaman sesat ini.
Penulis teringat pertemuan dengan almarhum Ustaz Hussein Umar, ketua
Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia pada awal 2005 di Jakarta yang
mengingatkan penulis dan anak muda Islam untuk mengawasi penularan Islam
Liberal di Malaysia. Almarhum mengingatkan tentang NGO yang bernama SIS
yang gencar menyebarkan fahaman sesat ini, malah dengan kunjungan
-kunjungan tokoh Islam liberal Malaysia yang kerap ke Utan Kayu Jakarta
iaitu markas besar JIL. Hari ini ingatan Ustaz Husein Umar menjadi
realiti apabila arus Islam Liberal dan pluralisme agama makin mendapat
tempat dihati umat Islam yang jahil dan lingkungan sosial yang semakin
jauh daripada Islam.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, juga Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah PAS)