18 Disember 2012

FB- Selepas tiada jihad di Palestin kini Qardhawi pula Khawarij

Salmiyah Harun,17 Dis 2012

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyifatkan pemikiran ulama Qatar, Dr Yusuf Al-Qardhawi (gambar) tidak ada kaitan dengan pemikiran Khawarij sebagaimana didakwa oleh Ketua Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya.

Bagi Pemuda PAS,  kelompok agamawan seperti Ulama Muda Umno adalah pengampu kerajaan dan wujud di mana-mana negara umat Islam yang dibayar upah untuk menghalalkan kebejatan pemerintah.


Demikian kata Ketua Penerangannya, Ridhuan Mohd Nor yang mengulas dakwaan Fathul Bari yang mendakwa pemikiran Yusuf Al-Qardhawi sama dengan Khawarij.

Fathul mengatakan pemikiran Yusuf Al- Qardhawi cenderung kepada khawarij.

Kenyataannya tersebar dalam laman Youtube sejak beberapa bulan yang lalu dan kini sedang hebat dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook.

Sebelum ini, Ulama Muda Umno juga membuat kenyataan kontroversi apabila berkata tidak ada jihad di Palestin sekarang.

Khawarij yang muncul pada tahun 37 Hijrah menentang kerajaan Islam Saidina Ali namun, namun umat Islam hari ini jauh daripada syariat Islam dan menentang syariat Islam.


Bagi Riduan (gambar) , Yusuf Al-Qardhawi memahami gejolak perasaan rakyat serta kehebatan beliau menentang kezaliman pemerintah adalah berdasarkan ajaran Islam dan jauh sekali daripada nilai-nilai pendokong khawarij.

Menerusi karya, kata Ridhuan, beliau telah membuktikan ketokohan intelektualnya di samping komited untuk sama-sama memahami kemelut dan pergolakan yang melingkari setiap ruang lingkup kehidupan umat Islam kontemporari hari ini.


Katanya, ketegasan Qardhawi dalam mendokong hak dan kebenaran, dan menolak kemungkaran serta kebatilan harus diteladani oleh cendekiawan Islam yang lain. 

Tambahnya, kemampuan beliau untuk turut sama menyelami denyut dan nadi umat seharusnya menjadi obor untuk menyemarakkan semangat di kalangan generasi muda.

"Qardhawi telah menghasilkan ratusan karya dan beliau adalah kader terbaik Ikhwanul Muslimin abad 21," katanya.

Dari sudut peribadinya Riduan berkata beliau beruntung berkesempatan untuk mengenali pemikiran Dr. Yusuf al-Qardhawi menerusi penglibatan dalam gerakan Islam serta karya-karyanya yang membuktikan ketokohannya. 

"Kemampuan karya beliau telah teruji, contohnya sepertimana dalam bukunya 'Halal & Haram dalam Islam', yang mendapat sambutan di kalangan umat Islam seluruh dunia di samping dijadikan rujukan di pelbagai institusi pendidikan dan ulama di seluruh dunia Islam sehingga ke hari ini," katanya ketika dihubungi.

8 November 2012

SYRIA : RAKYAT MANGSA , PEMIMPIN BERLAGA DAN MUSUH UNTUNG

Republik Arab Syria (selepas ini ditulis Syria) adalah termasuk dari kalangan negara Arab di Asia Barat, bersempadankan Lubnan dan Laut Mediterranean di sebelah barat, Turki di utara, Iraq di timur, Jordan di selatan dan negara haram Israel di sebelah barat dayanya. Syria adalah termasuk di kalangan negara Arab yang turut menerima arus perubahan kebangkitan rakyat. Umum menyangkakan bahawa sepatutnya perubahan akan lebih mudah berlaku di Syria berbanding negara lain kerana rakyat majoriti besarnya iaitu 74% adalah muslim-sunni manakala kerajaannya pula dikuasai oleh golongan minoriti Alawi (lebih kurang 3 % – 4 %) berideologikan sosialis Parti Ba’ath paling kiri di kalangan negara Arab.
Dari segi hubungan dengan negara jirannya, terdapat tanda-tanda sejak awal yang menunjukkan adanya hubungan sulit antara Syria sendiri dengan negara Barat dan negara haram Israel, walau pun secara zahir sikapnya menunjukkan keras terhadap mereka khususnya Israel. Namun yang nyata ialah sejak awal sehingga kini, Syria tidak menjadi sasaran serangan terbuka daripada Israel seperti yang dialami oleh Lubnan, Iraq dan Sudan.

Sebenarnya sudah terang lagi bersuluh, bahawa adanya kerjasama melalui beberapa tindakan membantu pihak Barat apabila menghalang dengan keras terhadap pengaruh politik Islam yang menjadi ancaman terbuka kepada Israel dan Barat, disamping Syria mendapat dukungan kuasa besar Rusia dan China.
Kebangkitan rakyat berlaku sejak awal 80-an yang dipimpin oleh gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Pada ketika itu, Bandar Hama yang paling kuat pengaruh Islam menjadi mangsa kekejaman. Puluhan ribu rakyat menjadi korban mangsa kezaliman kerajaan Parti Ba’ath Alawi pimpinan Presiden Hafez al-Assad (1970 – 2000). Media tidak membuat liputan, manakala negara Arab lain dan jirannya diam membisu. Maklumat hanya melalui berita kecil dalam ruang yang sempit. Majoriti rakyat bermazhab Sunni bernaung dan berpijak di atas bara yang membakar. Kalangan ulama yang berani dan pemimpin anti kerajaan terpaksa menjadi mangsa dipenjara, ada dibunuh dan ada yang hidup dalam buangan di luar negara. Hanya kalangan yang menyembunyikan diri atau membisu boleh menyelamatkan diri. Adapun kalangan pengampu mendapat liputan yang sebaik-baiknya dan diletak ditempat penting dalam urusan agama Islam untuk menjadi topeng melindungi kesesatan dan kezalimannya.

2 November 2012

Sebulan sudah

Assaamualaikum w.b.t.
Salam sejahtera buat semua pembaca,
Sudah agak lama tidak update blog usang ini. Jarang2 sekali dapat berdepan mengadap komputer untuk mengambil masa menulis. Apatah pula sebulan berada di Malaysia, sebuah kampung yang agak pedalaman menyukarkan lagi untuk melayari internet.
Sudah sebulan mendirikan rumahtangga. Macam tak percaya memetik bunga di taman luar negeri. Jika sudah itu yang Allah Taala taqdirkan untuk hambaNya, diri ini hanya mampu menerima. Mudahan itu yang Allah Taala redhoi. Mengharapkan perjalanan baitul muslim ini sentiasa dinaungi rahmat dan keberkatanNya.

Taiping

Kuala Terengganu

15 Ogos 2012

Pejuang Islam & Al-Quran Al-Karim

Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW. Ia adalah mukjizat yang kekal hingga hari qiamat. Quran sahaja yang masih kekal dan segar, segala mukjizat nabi SAW yang lain, kita tidak sempat melihat. Tetapi al-Quran ia kekal sampai hari kiamat. Kerana ini adalah janji Allah di dalam al-Quran.Maksud firman Allah SWT “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya kami yang memeliharanya”.

Semoga Allah menggolongkan kita sebagai pejuang Islam berminat untuk membaca al-Quran dan meneliti kandungannya. Kemudian digolongkan pula sebagai golongan yang memelihara al-Quran dan Al Quran pula memelihara kita. Kita mengharapkan Allah menjadikan kita di kalangan orang yang mendirikan hukum Allah.
Ketika kita membaca al-Quran kita membayangkan ia adalah panduan hidup kita. Ia juga merupakan perlembagaan parti kita. Sudah tentu kita berbangga kerana yang di baca, telah menjadi rujukan kepada perjuangan kita.

Membaca al-Quran ganjarannya besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT
“Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian dari rezki yang kami kurniakan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi, agar Tuhan mencukupkan pahala mereka serta menambahkan mereka dari kurnianya, sesungguhnya dia Maha pengampun dan pembalas” (Surah Fatir, 29-30)

Al-Quran menjadi wajib kepada ahli Pas, terutama yang bertaraf pemimpin dari semua peringkat. Tidak layak kita menamakan diri kita sebagai pejuang Islam jika al-Quran kita tidak membacanya. Sebaik-baiknya al-Quran mesti dibaca disetiap hari, jangan lebih daripada tiga hari kita tidak membaca al-Quran. Telahan lagi di bulan Ramadan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran. Kerana al-Quran diturunkan daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia secara sekali gus di dalam bulan Ramadan dan diturunkan kepada nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun. Tiga belas tahun di Makkah, ayat yang ditekankan ialah ayat Aqidah. Manakala di Madinah selama 10 tahun ayat yang berhubung kait dengan susun atur kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
 
Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang membaca al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, dicatat baginya satu kebajikan. Dan setiap kebajikan dilipat gandakan menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”
Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat di akhirat. Sebagai sabda Rasulullah SAW
“Bacalah al-Quran, kelak dihari qiamat ia akan mensyafaatkan tuannya”
Berkata Saidina Ali karramallahuwajhah siapa yang membaca al-Quran sedang ia berdiri di dalam sembahyang, maka baginya atas setiap huruf seratus kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia duduk di dalam sembahyang , maka atas setiap huruf lima puluh kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia berada di luar sembahyang dalam keadaan bersuci, maka baginya atas setiap huruf dua puluh lima kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia berada di dalam keadaan tiada bersuci , maka baginya atas setiap huruf sepuluh kebajikan.

Sebagai pejuang agama Allah mesti ada kelainan daripada orang lain ketika mengadap al-Quran. Kita memaca, bukan sekadar membaca, tetapi mesti teliti dengan baik dan menyerap di dalam hati. Sedikit yang kita membaca sambil merenung dan memahami maksudnya adalah lebih baik daripada membaca tanpa merenung dan memahaminya. Apabila kita membaca al-Quran, maka hendaklah kita teliti, fahamkan dan renungkan tiap-tiap ayat al-Quran. Perhatikan setiap ayat yang mengandungi perintah Allah, atau larangannya, janjinya dan ancamannya. Selepas itu kita renungkan diri, keluarga kita adakah kita patuh dengan perintah itu dan menjauhi larangannya pula.
 
Jika kita membaca ayat berhubung dengan hijab dan pakaian seorang muslimah di dalam surah al-Nur. Kita segera muhasabah, adakah isteri dan anak-anak kita membalut aurat atau menutup aurat. Kalau hanya balut aurat segera betulkan keadaan supaya tidak mendatangkan fitnah kepada Pas, kerana ini adalah pandangan pertama orang kepada ahli dan pimpinan Pas. Tidak ada makna jika kita gagal menyerap ayat ini di dalam rumah tangga kita, walaupun kita bergegar untuk menegakkan al-Quran, sedangkan di dalam rumah tangga kita gagal menyerapkan penghayatan al-Quran.
Adakah kita percaya dan yakin dengan janji tuhan serta ancamannya? Jika memang ada , maka segeralah memuji Allah dan mensyukurinya, kerana yang demikian itu berlaku dengan taufik dan pertolongannya. Oleh itu hendaklah kita istiqamah melakukannya tanpa jemu.

Tetapi jika kita merasakan diri kita tidak patuh kepada perintah Allah dan tidak menjauhi larangannya, maka segeralah kita memohon keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepadanya kerana kesalahan kita. Sesudah itu hendaklah berazam untuk mematuhi perintahnya serta menjauhi larangannya.

Jika kita membaca ayat-ayat yang menyebut tentang musuh-musuh Allah dari kaum yang tidak beriman dengan menyebut sifat yang buruk itu, segera kita muhasabah diri kita, adakah kita tergolong dengan ciri yang disebut. Jika ada, terus bertaubat kepada Allah.
Berkata Imam Hasan Basri Rahimahullah, orang yang terdahulu dari kamu menganggap bahawa lambaran al-Quran sebagai surah yang dikirim Allah kepada mereka, maka mereka pun cuba menelitinya di waktu malam supaya mereka dapat menjalankan perintahnya di waktu siang kelak.

Membesarkan Allah serta berlaku khusyuk dan khudhuk ketika membaca al-Quran adalah sifat orang mukmin yang sebenarnya. Manakala sifat lalai, keras hati, sentiasa lupa dan kurang memerhatikan ketika membaca al-Quran adalah sifat orang yang membelakangkan al-Quran, keyakinannya hampir tidak ada, hatinya kosong dari hakikat mengenal Allah dan mengenal kalam Allah.
Seperti firaman Allah SWT
“Tidakkah mereka mahu memperhatikan isi al-Quran, ataukah hati mereka terkunci” (Muhammad, 24)

Mudah-mudahan Allah memelihara kita sekalian dari kelakuan tersebut, dan dia melindungi kita dari semua jenis bala dan bahaya.

25 Julai 2012

Ramadhan 1433 Hijrah

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tahun ini alhamdulillah, masih dapat berpuasa Ramadhan di negara Mesir. Sebuah negara yang sudah tentu berbeza cara menyambut Ramadan berbanding negara kita Malaysia; bacaan al-Quran bergema melalui corong2 pembesar suara masjid2 yang berdekatan, alunan bacaan al-Quran oleh para imam yang menyentuh hati dan menenangkan fikiran serta kedapatan beberapa buah masjid yang mengadakan qiyammullail. 

Walaupun keadaan ekonomi yang masih meruncing namun masih ada jemputan2 daripada  penduduk tempatan untuk menjamu juadah berbuka puasa kepada kami. Selain itu, terdapat juga beberapa tempat yang disediakan untuk menjamu orang ramai berbuka puasa. Maka, boleh dikatakan hampir setiap hari dalam sebulan Ramadhan kami hanya menyediakan juadah sahur.

Kita sebagai mukmin selayaknya di dalam bulan yang mulia ini bukanlah berbuka, sahur atau moreh jika di Malaysia yang menjadi perbincangan dalam hidup harian kita. Tetapi amal ibadah untuk dianugerahkan sifat TAQWA yang menjadi tujuan kewajipan puasa ke atas setiap muslim mukallaf. Perlu kita memahami bahawa amal ibadah itu bukan sahaja membuat kebaikan dan kebajikan tetapi jua menentang kejahatan, kemaksiatan dan kezaliman.

Selain dari itu, bulan yang berkat ini juga mempunyai hubungan yang amat erat dengan penurunan al-Quran al-Karim yang merupakan panduan dan petunjuk bagi orang2 yang bertaqwa. Sewajarnya muslim yang ingin mendapat sifat TAQWA menjadikan al-Quran al-Karim sebagai bahan bacaan utama dalam kehidupan terutama dalam bulan Ramadhan. Dan perlulah kita menafsirkan 'bacaan' itu dengan penafsiran yang luas, bukan tafsiran sempit.

"Ya Allah, selamatkanlah kami dan amal kami di bulan Ramadhan ini, bantulah kami untuk mengingatiMu, tahu bersyukur padaMU dan perbaikilah ibadah kami kepadaMu"-amin..