15 Ogos 2012

Pejuang Islam & Al-Quran Al-Karim

Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW. Ia adalah mukjizat yang kekal hingga hari qiamat. Quran sahaja yang masih kekal dan segar, segala mukjizat nabi SAW yang lain, kita tidak sempat melihat. Tetapi al-Quran ia kekal sampai hari kiamat. Kerana ini adalah janji Allah di dalam al-Quran.Maksud firman Allah SWT “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Zikr (al-Quran), dan sesungguhnya kami yang memeliharanya”.

Semoga Allah menggolongkan kita sebagai pejuang Islam berminat untuk membaca al-Quran dan meneliti kandungannya. Kemudian digolongkan pula sebagai golongan yang memelihara al-Quran dan Al Quran pula memelihara kita. Kita mengharapkan Allah menjadikan kita di kalangan orang yang mendirikan hukum Allah.
Ketika kita membaca al-Quran kita membayangkan ia adalah panduan hidup kita. Ia juga merupakan perlembagaan parti kita. Sudah tentu kita berbangga kerana yang di baca, telah menjadi rujukan kepada perjuangan kita.

Membaca al-Quran ganjarannya besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT
“Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian dari rezki yang kami kurniakan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi, agar Tuhan mencukupkan pahala mereka serta menambahkan mereka dari kurnianya, sesungguhnya dia Maha pengampun dan pembalas” (Surah Fatir, 29-30)

Al-Quran menjadi wajib kepada ahli Pas, terutama yang bertaraf pemimpin dari semua peringkat. Tidak layak kita menamakan diri kita sebagai pejuang Islam jika al-Quran kita tidak membacanya. Sebaik-baiknya al-Quran mesti dibaca disetiap hari, jangan lebih daripada tiga hari kita tidak membaca al-Quran. Telahan lagi di bulan Ramadan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran. Kerana al-Quran diturunkan daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia secara sekali gus di dalam bulan Ramadan dan diturunkan kepada nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun. Tiga belas tahun di Makkah, ayat yang ditekankan ialah ayat Aqidah. Manakala di Madinah selama 10 tahun ayat yang berhubung kait dengan susun atur kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
 
Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang membaca al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, dicatat baginya satu kebajikan. Dan setiap kebajikan dilipat gandakan menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf”
Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat di akhirat. Sebagai sabda Rasulullah SAW
“Bacalah al-Quran, kelak dihari qiamat ia akan mensyafaatkan tuannya”
Berkata Saidina Ali karramallahuwajhah siapa yang membaca al-Quran sedang ia berdiri di dalam sembahyang, maka baginya atas setiap huruf seratus kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia duduk di dalam sembahyang , maka atas setiap huruf lima puluh kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia berada di luar sembahyang dalam keadaan bersuci, maka baginya atas setiap huruf dua puluh lima kebajikan. Siapa yang membacanya sedang ia berada di dalam keadaan tiada bersuci , maka baginya atas setiap huruf sepuluh kebajikan.

Sebagai pejuang agama Allah mesti ada kelainan daripada orang lain ketika mengadap al-Quran. Kita memaca, bukan sekadar membaca, tetapi mesti teliti dengan baik dan menyerap di dalam hati. Sedikit yang kita membaca sambil merenung dan memahami maksudnya adalah lebih baik daripada membaca tanpa merenung dan memahaminya. Apabila kita membaca al-Quran, maka hendaklah kita teliti, fahamkan dan renungkan tiap-tiap ayat al-Quran. Perhatikan setiap ayat yang mengandungi perintah Allah, atau larangannya, janjinya dan ancamannya. Selepas itu kita renungkan diri, keluarga kita adakah kita patuh dengan perintah itu dan menjauhi larangannya pula.
 
Jika kita membaca ayat berhubung dengan hijab dan pakaian seorang muslimah di dalam surah al-Nur. Kita segera muhasabah, adakah isteri dan anak-anak kita membalut aurat atau menutup aurat. Kalau hanya balut aurat segera betulkan keadaan supaya tidak mendatangkan fitnah kepada Pas, kerana ini adalah pandangan pertama orang kepada ahli dan pimpinan Pas. Tidak ada makna jika kita gagal menyerap ayat ini di dalam rumah tangga kita, walaupun kita bergegar untuk menegakkan al-Quran, sedangkan di dalam rumah tangga kita gagal menyerapkan penghayatan al-Quran.
Adakah kita percaya dan yakin dengan janji tuhan serta ancamannya? Jika memang ada , maka segeralah memuji Allah dan mensyukurinya, kerana yang demikian itu berlaku dengan taufik dan pertolongannya. Oleh itu hendaklah kita istiqamah melakukannya tanpa jemu.

Tetapi jika kita merasakan diri kita tidak patuh kepada perintah Allah dan tidak menjauhi larangannya, maka segeralah kita memohon keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepadanya kerana kesalahan kita. Sesudah itu hendaklah berazam untuk mematuhi perintahnya serta menjauhi larangannya.

Jika kita membaca ayat-ayat yang menyebut tentang musuh-musuh Allah dari kaum yang tidak beriman dengan menyebut sifat yang buruk itu, segera kita muhasabah diri kita, adakah kita tergolong dengan ciri yang disebut. Jika ada, terus bertaubat kepada Allah.
Berkata Imam Hasan Basri Rahimahullah, orang yang terdahulu dari kamu menganggap bahawa lambaran al-Quran sebagai surah yang dikirim Allah kepada mereka, maka mereka pun cuba menelitinya di waktu malam supaya mereka dapat menjalankan perintahnya di waktu siang kelak.

Membesarkan Allah serta berlaku khusyuk dan khudhuk ketika membaca al-Quran adalah sifat orang mukmin yang sebenarnya. Manakala sifat lalai, keras hati, sentiasa lupa dan kurang memerhatikan ketika membaca al-Quran adalah sifat orang yang membelakangkan al-Quran, keyakinannya hampir tidak ada, hatinya kosong dari hakikat mengenal Allah dan mengenal kalam Allah.
Seperti firaman Allah SWT
“Tidakkah mereka mahu memperhatikan isi al-Quran, ataukah hati mereka terkunci” (Muhammad, 24)

Mudah-mudahan Allah memelihara kita sekalian dari kelakuan tersebut, dan dia melindungi kita dari semua jenis bala dan bahaya.

25 Julai 2012

Ramadhan 1433 Hijrah

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tahun ini alhamdulillah, masih dapat berpuasa Ramadhan di negara Mesir. Sebuah negara yang sudah tentu berbeza cara menyambut Ramadan berbanding negara kita Malaysia; bacaan al-Quran bergema melalui corong2 pembesar suara masjid2 yang berdekatan, alunan bacaan al-Quran oleh para imam yang menyentuh hati dan menenangkan fikiran serta kedapatan beberapa buah masjid yang mengadakan qiyammullail. 

Walaupun keadaan ekonomi yang masih meruncing namun masih ada jemputan2 daripada  penduduk tempatan untuk menjamu juadah berbuka puasa kepada kami. Selain itu, terdapat juga beberapa tempat yang disediakan untuk menjamu orang ramai berbuka puasa. Maka, boleh dikatakan hampir setiap hari dalam sebulan Ramadhan kami hanya menyediakan juadah sahur.

Kita sebagai mukmin selayaknya di dalam bulan yang mulia ini bukanlah berbuka, sahur atau moreh jika di Malaysia yang menjadi perbincangan dalam hidup harian kita. Tetapi amal ibadah untuk dianugerahkan sifat TAQWA yang menjadi tujuan kewajipan puasa ke atas setiap muslim mukallaf. Perlu kita memahami bahawa amal ibadah itu bukan sahaja membuat kebaikan dan kebajikan tetapi jua menentang kejahatan, kemaksiatan dan kezaliman.

Selain dari itu, bulan yang berkat ini juga mempunyai hubungan yang amat erat dengan penurunan al-Quran al-Karim yang merupakan panduan dan petunjuk bagi orang2 yang bertaqwa. Sewajarnya muslim yang ingin mendapat sifat TAQWA menjadikan al-Quran al-Karim sebagai bahan bacaan utama dalam kehidupan terutama dalam bulan Ramadhan. Dan perlulah kita menafsirkan 'bacaan' itu dengan penafsiran yang luas, bukan tafsiran sempit.

"Ya Allah, selamatkanlah kami dan amal kami di bulan Ramadhan ini, bantulah kami untuk mengingatiMu, tahu bersyukur padaMU dan perbaikilah ibadah kami kepadaMu"-amin..

14 Julai 2012

Hudud, politik dan dakwah - TGHH

Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.

Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.

Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah. Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.

Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi. Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.

Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.

DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Presiden PAS

Rujukan: Web TGHH

3 Julai 2012

Jalan2 ke Iskandariah

Assalamualaikum w.b.t., salam bertemu kembali.
Sudah lama tidak bicara santai di sini dan hanya copy&paste melalui artikel2 yang diminati; sekaligus ia juga diharapkan menjadi saluran dakwah menjana kesatuan fikrah dan keselarian maklumat.

Alhamdulillah, setelah selesai peperiksaan beberapa minggu lalu, perancangan beberapa orang teman untuk mengadakan jaulah (berjalan pusing2) telah berjaya diadakan. Dari itu, saya bersama teman-teman di sini pada 28 Jun yang lalu mendapat kesempatan untuk jalan2 sekitar Iskandariah. Walau bagaimanapun, beberapa tempat sahaja yang sempat dilawati dan dapat bermandi-manda di pantai yang kebiruan..huh.

Beberapa kenangan kami di sini...Iskandariah

11 Jun 2012

Mereka yang tidak diberi cahaya oleh Allah

Allah berfirman yang bermaksud, "atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap gelita di lautan yang dalam, yang diluputi ombak bertindih ombak, di sebelah atasnya pula awan tebal; (demikian keadaanya) gelap gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengelurkan tangannya tidak dapat ia melihatnya sama sekali.

"Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah - menurut undang-undang peraturan-Nya - mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka tidaklah ia akan memperolehi sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)." (Surah al-Nur:40)

Oleh kerana itulah Allah menyatakan dalam ayat ini yang bermaksud, sesiapa yang Allah kehendaki akan disesatkannya dan sesiapa yang ia kehendaki akan dijadikannya berada di atas jalan yang betul." (Surah al-An'am:30)

Sesiapa pun tidak boleh memberi hidayah kepada seseorang melainkan Allah sahaja. Sebab itulah kita disuruh sentiasa meminta petunjuk daripada Allah SWT.

Islam telah mengajar umatnya supaya melakukan perkara ini dalam solat mereka di mana di dalam Suratul Fatihah (yang menjadi rukun dan wajib dibaca di dalam solat), setiap orang islam membaca ayat yang bermaksud, "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.) (Surah al-Fatihah:6)

Orang Islam yang mengerjakan sembahyang pasti membaca surah ini sekali gus bererti mereka sentiasa memohon petunjuk daripada Allah SWT.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "katakanlah (hai Muhammad):"khabarkanlah kepada aku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru selain Allah (untuk menolong kamu) jika betul kamu adalah orang-orang yang benar?" (Surah al-An'am :40)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bagaimana segala ketentuan Allah tidak boleh sesiapa pun mengubahnya. Allah akan buat apa yang Dia kehendaki dan setiap urusannya apabila Dia berkata jadilah maka jadilah perkara itu dengan kehendak-Nya jua tanpa ada sesiapa pun boleh menghalangnya walau sedikit pun.

Begitulah dalam urusan menurunkan azab dan berlakunya hari kiamat. Ayat ini Allah memerintahkan nabi Muhammad supaya bertanyakan orang-orang kafir itu tentang siapakah yang sebenarnya berkuasa untuk menghalang semua itu berlaku ke atas mereka, adakah berhala-berhala yang disembah selain Allah atau orang-orang yang berkuasa di muka bumi boleh menghalang semua itu berlaku. Adakah mereka sanggup menyeru tuhan atau sembahan atau orang yang berkuasa selain Allah untuk menghalang dari semua itu berlaku?

Soalan yang diperintahkan ini sebenarnya adalah soalan menghina atau menempelak perbuatan orang kafir yang sengaja tidak mahu kembali kepada ajaran Allah sekali gus menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Mereka sebenarnya mengetahui apa yang disembah itu atau manusia yang dipatuhi perintahnya selain Allah itu tidak berkuasa menghalang semuanya berlaku di hadapan mata mereka.

Allah berfirman yang bermaksud, "Bahkan Dialah (Allah) yang kamu serukan lalu ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadanya (supaya dihapuskan), jika ia dikehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah, dalam masa kamu ditimpa bahaya itu)." (surah al-An'am :41)

Yakni apabila mereka ditimpa musibah mereka tidak ingat lagi kepada berhala atau sesuatu yang mereka sembah dan patuh selain Allah, melainkan mereka akan minta pertolongan dari Allah, berhadap hati mereka kepada Allah, mengharapkan Allah membebaskan mereka dari bencana itu tidak lagi berharap kepada sembahan-sembahan mereka selama ini.

Saat itu mereka lupa kepada berhala dan tuhan-tuhan selain Allah. Penganut komunis pun ingat kepada Tuhan ketika mereka ditimpa azab atau nazak hampir mati sebagaimana berlaku kepada Lenin pemimpin besar komunis Rusia.

Apabila komunis hampir kalah pemimpin tersebut pernah meminta imam-imam masjid di Rusia sembahyang hajat memohon Allah memberi kemenangan kepada komunis. Inilah ragam mausia apabila kesempitan dan terdesak dihimpit musibah dan bencana dunia, mereka akan ingat kepada Allah.

Sebagai contoh apabila manusia ditimpa bencana dilambung ombak besar meggunung di lautan terbentang luas tidak bertepi, mereka merasakan mereka akan mati dengan bencana itu, di saat ini mereka lupa segala-gala yang lain melainkan Tuhan Yang Berkuasa Mentadbir Alam ini.

Tetapi selepas hilangnya musibah mereka kembali semula mengkufuri Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud, "Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk yang kamu seru selain Allah, maka apabila ia menyelamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatinya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat Allah)." (Surah al-Isra':67).