28 Disember 2010

TAHNIAH - PAS Representative Council of UK & Eire

KENYATAAN MEDIA
21 MUHARRAM 1432 / 27 DISEMBER 2010

TAHNIAH MAJLIS PERWAKILAN PAS LUAR NEGARA

Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) merakamkan ucapan tahniah kepada PAS Representative Council of UK & Eire (Majlis Perwakilan PAS Luar Negara) diatas perasmian penubuhannya kelmarin oleh YB Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Majlis Perwakilan PAS Luar Negara yang di ketuai oleh Ir. Jupri Bade seorang jurutera kanan di Manchester pada 26 Disember 2010 membuktikan PAS semakin di terima oleh para professional dan ilmuan Malaysia di luar Negara. Dengan keahlian permulaan seramai 100 orang sudah cukup untuk membuktikan kepada masyarakat dan rakyat Malaysia bahawa sememangnya PAS sudah bersedia bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrjaya. Ianya juga merupakan bukti bahawa PAS tidak ketandusan pelapis untuk mengisi ruang-ruang kepimpinnya disamping bersedia untuk mengisi ruang dalam kerajaan Pusat dan negeri sekiranya diberi peluang untuk memerintah Malaysia nanti.


Penubuhan Majlis Perwakilan PAS Luar Negara yang keahliannya terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bersedia untuk menerima PAS sebagai wadah perjuangan Negara. Terdiri daripada ahli –ahli professional, teknokrat dan mereka yang berkerjaya di United Kingdom dan Ireland adalah diharapkan Majlis Perwakilan PAS Luar Negara ini akan menjadi Duta Kecil PAS diluar Negara dimana ianya akan berpusat di United Kingdom.

PAS sememangnya telah lama bertapak di luar Negara melalui hubungannya dengan gerakan-gerakan Islam antarabangsa disamping hubungan antarabangsanya melalui Lajnah Antarabangsanya. PAS yang selama ini telah dikenali oleh dunia melalui penyertaannya dalam persidangan-persidangan, program-program kemanusiaan, ekonomi dan sosial. Kelantangan PAS dalam membawa isu-isu antarabangsa juga mendapat pengiktirafan dari pelbagai Negara luar dan juga dari gerakan-gerakan Islam antarabangsa. Isu Palestin umpamanya, adalah isu yang telah lama diperjuangkan PAS sejak penubuhannya sehingga ke hari ini. Kesungguhan PAS membawa isu Palestin sehingga ada pemimpin PAS yang ditahan oleh British seperti Prof Burhanuddin Al-Helmy dan oleh kerajaan Malaysia sendiri dalam bantahan anti-kriket Israel dimana menyaksikan Dato Mahfuz Omar dan Haji Salahudin Ayub di penjarakan kerana mempertahankan prinsip ummat Islam Malaysia. Begitu juga isu-isu umat Islam yang lain seperti isu Kashmir, Mindanao, Selatan Thailand, Rohingya di Burma, Chenya di Rusia dan Xianjing di China. Peranan aktif PAS dalam menjaga hak bukan Islam juga di hargai dunia apabila kejayaan PAS menubuhakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) telah membuktikan kepada dunia bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sememangnya adil dan sesuai dikongsi bersama bukan Islam.

Adalah diharapkan Majlis Perwakilan PAS UK Ireland ini akan Berjaya membawa mesej PAS kepada rakyat Malaysia di luar Negara dan benar-benar menjadi DUTA PAS di arena antarabangsa dalam memperkenalkan dan mewakili PAS dalam isu-isu dan hubungan luar PAS.

Disediakan oleh;

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Sumber: Web PAS

-----------------------------------------------------------

- Mudah-mudahan lebih banyak lagi perwakilan-perwakilan PAS di luar negara.

19 Disember 2010

Baliklah kepada Islam

Tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan aku kepada perutusan surat-surat Rasulullah SAW kepada raja-raja kuasa besar dunia suatu masa dahulu. Kalau yang itu kepada pemerintah kuffar tetapi ini kepada saudara-saudara muslim kita. Hayatilah...dan sebarkan kepada saudara-saudara anda.

Wahai UMNO baliklah kepada Islam Diterbitkan pada

Nampaknya isu Ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas. Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?

Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Firman-Nya (surah Ali-Imran ayat 19):

Maksudnya: Sesungguhnya, ad-Din (agama yang benar) di sisi Allah hanyalah Islam.

Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Ini kerana Islam adalah anugerah, maka bertuah dan rahmatnya mereka yang dianugerahkan hidayah Islam. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 164):

Bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al Hikmah. dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.

Namun, dukacita sekali apabila ada orang yang tidak memanfaatkan anugerah itu, kerana menolak Islam. Ini berlaku di kalangan orang Melayu yang mendukung UMNO, kerana amalan UMNO itu sendiri yang berjuang menegakkan Ketuanan Melayu dan menolak Ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima. Demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu?

Hakikatnya, apabila melaungkan Ketuanan Melayu, ia sudah dilihat sebagai mengenepikan Islam. Mengenepikan Islam bermakna tidak menerima asas-asas agama di dalam membela rakyat. Maka, tanpa memakai agama (Islam) orang Melayu hanya akan menjadikan bangsa yang hina, bukannya lebih mulia. Malah di dalam al-Quran sendiri Allah berfirman (surah Ali-Imran ayat 85):

Bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti.

Layakkah pimpinan yang dilihat hina dan rugi itu menjadi tempat rakyat bergantung? Dalam konteks UMNO yang memerintah negara ini, dan apabila kepimpinan mereka asyik dengan Ketuanan Melayu (menolak Islam) musibah kepimpinannya bukan sahaja orang Melayu, bahkan orang bukan Melayu akan disembelih dengan slogan seperti ini. Apa yang berlaku di Kelantan adalah buktinya, tatkala Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh pemimpin yang bertunjangkan Ketuanan Melayu. Begitu pula, satu ketika (selepas pilihann raya 2008) kerajaan Pakatan Rakyat membahagi-bahagikan tanah untuk penduduk Cina dalam kampung baru di Perak, pemimpin UMNO begitu lantang menentang. Semacam orang Cina tak layak menerima milikan tanah. Malah belum lagi kita lupa, kerajaan Selangor ketika diperintah UMNO (sebelum 2008) pernah mengambil tindakan merobohkan kuil-kuil Hindu atas alasan pembinaan haram.

Kesemuanya adalah angkara perjuangan Ketuanan Melayu yang tidak relevan dan perjuangan yang sia-sia. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman kerana Islam itu adalah agama untuk semua orang.

Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai ad-Din (din dan daulah). Justeru itu, wahai UMNO, marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, iaitu suatu penyelesaian yang datang daripada Allah SWT. Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun, jauh sama sekali dari sifat kehinaan. Firman Allah SWT (surah al-An’am ayat 115):

Bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Akidah kita umat Islam, al-Quran ialah manual dari Allah SWT untuk manusia mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam. Justeru marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang dihidapi. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT (surah al-Hujurat ayat 13) :

Bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia, akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam!

Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui Kerajaan Negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala al-Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua kum di setiap pelusuk negeri. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan. Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan rasa dendam dalam diam dan api membakar di dalam senyap.

Cuba kita semua ingat kembali, natijah amalan Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu dan kesannya hari ini lahirnya generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara hina berkafankan Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.

Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju sama ada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang menjadi bacaan wajib di dalam solat. Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat. Firman Allah (surah al-Fatihah ayat 4):

Bermaksud: Yang menguasai di hari Pembalasan.

Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!

Catusan di Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian 6 Muharram 1432H/13 Disember 2010M

Sumber: Blog Tok Guru

13 Disember 2010

Perutusan Maal Hijrah 1432: Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Bagi pihak Parti Islam SeMalaysia(PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Maal Hijrah 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi. Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam. Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.


Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010


Sumber: Laman Rasmi Presiden PAS

28 November 2010

Larangan Allah duduk bersama orang jahat

وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٦٨) وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِمْ مِنْ شَيْءٍ وَلَكِنْ ذِكْرَى لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (٦٩)

68. Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

69. Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

-------------------------------

Larangan Allah duduk bersama orang jahat

Ditulis oleh Presiden PAS : Isnin, 19 Julai 2010 15:07

ALLAH berfirman yang bermaksud,“Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan.” (Surah al-Aníam: 68) Ertinya jika syaitan menyebabkan kamu lupa untuk menghindarkan diri daripada majlis seumpama itu, kamu dimaafkan kerana sebab lupa. Bagaimanapun Allah berfirman yang bermaksud, “Maka jangan kamu duduk selepas ingat semula bersama kaum yang zalim itu.” (Surah al- An’am: 68)

Selepas kamu ingat akan amaran Allah, maka berkewajipan kepada kamu menghindarkan diri daripada majlis tersebut melainkan mereka tidak lagi bercakap menghina Islam, menghina hukum Allah SWT dan menghina Nabi s.a.w.

Ayat ini mengajar kita umat Islam, menjadi manusia mulia dan sukakan perkara yang mulia. Ia juga termasuk dalam perkara dakwah dan perjuangan.

Bukan sahaja mengajar umat Islam cintakan kemuliaan tetapi mengajar manusia sedar, bahawa orang yang menghina Islam dan Nabinya s.a.w. adalah manusia yang jahat atau zalim bahkan kufur terhadap Allah SWT

Kemuliaan seseorang terjadi dengan Islam dan iman kepada Allah SWT, satu-satunya Tuhan yang sebenar, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya tetap diteruskan. Sama ada ada atau tidak orang menghina Islam, perjuangan untuk menyampaikan Islam wajib diteruskan di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

Oleh kerana itu Imam Hassan Al-Banna pernah pergi ke kelab malam bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada penghuninya. Ertinya menghadiri kelab seumpama itu untuk tujuan menyampaikan dakwah Islam, suatu yang dipandang mulia dan diizinkan oleh syarak.

Justeru Islam menetapkan cara bersosial yang selamat daripada fitnah, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah. Inilah sikap kita para pejuang Islam di sepanjang zaman.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ngejek) itu. Akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingatkan (larangan Allah itu), supaya mereka bertakwa.” (Surah al-An’am: 69)

Berkata Ibnu Abbas r.a. apabila datang larangan Allah supaya tidak duduk bersama majlis kaum musyrikin dan perintah supaya tinggalkan majlis mereka, maka berkata, orang-orang Islam pada zaman Nabi s.a.w.: “Tidak mungkin kami boleh memasuki masjid dan tawaf di sekeliling Kaabah.

Maka Allah menurunkan ayat yang bermaksud, “Akan tetapi kewajipan orangorang Islam mengingatkan larangan Allah itu.” (Surah al-An’am: 69) Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini dikatakan telah dinasakhkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam kitab (al- Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan kaum munafik) maka janganlah kamu duduk (bergaul) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah al-Nisa’: 140) Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah memberi keringanan kepada umat Islam untuk bergaul dengan golongan musyrikin Makkah sebelum pembukaan kota suci tersebut sebagai “taqiyyah” (takut menzahirkan Islam dalam keadaan tertentu).

Sumber: Presiden PAS

23 September 2010

Di Aidilfitri 1431 H

Bismillahirrahmanirrahim
Segala pujian hanyalah kepada Allah. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka hingga ke hujung usia alam.

Alhamdulillah. Tahun ini dapat jua menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung. Walaupun seorang ketinggalan untuk menyambut Syawal ini bersama.Tetapi keseronokkan bersama keluarga itu lebih dirasai ketika sebulan menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Sedangkan sambutan Aidilfitri pula labih seronok apabila bertemu dengan saudara-mara dan rakan-rakan. Apatah lagi dapat ziarah-menziarahi bersama mereka. Sekurang-kurangnya impian untuk berkumpul semula bersama rakan-rakan yang hampir 10 tahun tidak bertemu dapat bersua semula.

Pertemuan muqaddimah sebagai penyambung ikatan berterusan. Bagaimanapun target impian itu hanya 50-60 peratus sahaja berjaya. Al-maklum, masing-masing bekerja di luar negeri (bukan luar negara)- tidak dapat balik kampung, ketiadaan kenderaan, pembahagian masa, putus talian perhubungan (bukan terputus silaturrahim) dsb. Tidak dapat bertemu semua dan pertemuan yang santai semata. Harap sekali dapat berkumpul lagi di suatu masa nanti untuk Islam.

Walaupun bertemu dan berhari raya bersama rakan-rakan suatu episod yang mengembirakan tetapi masih ada cerita duka daripada mereka. Sebahagian rakan-rakan yang tidak sempat bertemu dikhabarkan dilanda ribut jahiliah moden. Dan kini tidak diketahui sudahkah ada tempat berteduh dan berlindung. Krisis kekeluargaan, hilang identiti diri dan sebagainya. Biarpun tidak ramai tetapi dahulunya akrab menyebabkan terasa ianya perkara besar.

Tidak kurang juga kawan-kawan yang berlumba-lumba membina mahligai kehidupan dunia semata. Tidak menghairankan jika mereka keluaran SK, SMK dsb. tetapi adalah sebaliknya. Sukar juga untuk menghadapi mereka apatah lagi hanya dapat bertemu untuk sekali itu sahaja. Maka sudah tentu mereka yang tidak dapat bersua muka bertambah jauh untuk saling memahami. Hanya doa yang mampu diutuskan. Bagaimanapun insyaAllah dengan masa yang berbaki ini akan diusahakan jua untuk menziarahi kalian.

.: Bertemu dan berpisah kerana Allah :.