10 September 2010

Islam Jamin Kemanan Untuk Semua Makhluk

Salam Idulfitri: Kekalkan Hidup Beragama

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


Firman Allah SWT:

Bermaksud:

“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)

Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal 1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.

Asas kehidupan manusia yang beriman dan bertaqwa sudah pasti berpandukan agama. Ini kerana ajaran agama menyediakan perlembagaan hidup yang sebenar. Maka kehidupan orang yang taqwa sudah pasti hidupnya selari dengan agama, yakni perlembagaan hidup yang berteraskan agama. Justeru kehidupan seorang yang beragama adalah terlalu jauh bezanya dengan kehidupan berpandukan perlembagaan buatan (digubal) manusia. Ini kerana tuan punya dunia ini telah menetapkan adanya hari pembalasan dan ini wajib diulang-ulang berbelas-belas kali setiap hari di dalam solat (maliki yaumid din). Oleh yang demikian, apalah sangat pihak yang menggubal perlembagaan, apakah mereka dapat menjamin bahawa roh perlembagaan yang digubal manusia itu dapat memuaskan hati pihak hakim di akhirat kelak iaitu Allah SWT? Tanpa ada sebarang keraguan di mahkamah Allah (without any shadow of doubt). Bolehkah perlembagaan buatan itu dapat menyelamatkan seseorang manusia itu daripada neraka Allah SWT?

Perlembagaan sebenar (alsirat al-mustaqim) ialah al-Quran yang kita tadarus, yang kita baca di dalam solat, di pejabat, di dalam perjalanan ke pasar atau ke mana-mana. Ia mengandungi nur iaitu cahaya.

Cahaya itu bukan cahaya matahari, bulan, bintang tetapi cahaya yang menyuluhi qalbu insan, bagi menentukan halal dan haram, dosa pahala, taat maksiat dan syurga neraka. Tanpa adanya cahaya ini manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Itulah gunanya al-Quran, iaitu untuk menimbal kelemahan-kelemahan manusia.

Sebab itu di dalam saat manusia berhibur pada hari ini, galak dengan makan minum, pakaian yang baru, manusia tetap disuruh, melaungkan Allahuakbar sekuat-kuatnya, di merata-rata tempat, bukan sahaja di masjid dan di surau. Ini kerana jika Allahuakbar adalah Akbar, terbesar, terpenting, maka segala urusan hidup lain menjadi kecil, boleh diketepikan bila bertembung dengan kehendak Allah SWT. Di negara kita, umat Islam masih agak terikat dengan budaya bertakbir di masjid dan di surau sahaja. Saya mencadangkan agar kita mempelopori suasana yang baru, berteraskan sunnah, iaitu kita bertakbir di mana-mana tempat (di mana yang sesuai).

InsyaAllah jika semangat takbir ini dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku di dalam negara dapat diselesaikan. Masyarakat dapat hidup aman dan damai tanpa sebarang pertembungan yang melibatkan keturunan dan kebudayaan. Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil dari perbezaan kaum dan keturunan. Melayu misalnya dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bemertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India yang Muslim. Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata.

Alhamdulillah, ini dapat kita saksikan sepanjang Ramadhan khususnya apabila masjid-masjid dan madrasah-madrasah dipenuhi dengan kaum Muslimin. Tanpa mengira bangsa, semua kita melafazkan amiin apabila imam menghabiskan bacaan al-Fatihah. Kita tidak merasa kekok apabila bahu kita bersentuhan dengan saudara seagama dari kaum lain ketika mengerjakan solat. Kita tidak berasa janggal untuk menghulurkan salam kepada rakan sebelah yang berbeza keturunan. Persoalannya, kenapakah perasaan ini tidak muncul di luar masjid dan madrasah? Jawapannya, kerana kebesaran Allah SWT hanya diikrarkan di dalam masjid sahaja dan tidak dibawa keluar sebagai asas kehidupan.

Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar hari raya yang disambut pada tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya berjaya menjadi alat penyatuan di antara kaum yang berbeza dengan berteraskan kalimah takbir. Laungan takbir ini jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan-golongan yang tertentu. Bahkan masyarakat non muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan. InsyaAllah, jika ini dihayati, matlamat untuk menyatu padukan masyarakat Malaysia akan tercapai.

Pada kesempatan ini juga, tidak lupa saya berpesan agar anak-anak Kelantan di perantauan dapat berhati-hati semasa pulang berhari raya, terutama di sepanjang perjalanan. Perlulah diingat bahawa kepulangan kita ditunggu-tunggu oleh orang yang tersayang. Janganlah pula kepulangan di hari raya disambut dengan kedukaan.

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan khususnya diterima sebagai amalan yang soleh dan akan diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran.

Salam Idulfitri. Minal ’aidin wal faizin.

Rujukan : Blog Tok Guru

30 Ogos 2010

Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan

Ahli PAS : Pentingnya sifat cermat dalam membuat tindakan

Berempena dengan peristiwa turunnya Al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS disegenap lapisan peringkat untuk memanafaatkan baki Ramadhan yang tinggal ini agar ianya diisi dengan amal soleh dan mampu untuk menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.
Selain dari itu, saya juga ingin memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.

Janganlah kita bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu. Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri. Semuanya perlu dipertimbangkan bagi menjaga maslahat umum seperti disebutkan di dalam kaedah fiqh : Almaslahatul 'ammah muqaddamah 'ala maslahah khasah (Maslahat umum diutamakan dari maslahat khas) dan Dar'ul mafasid muqaddam 'ala jalbil masalih (menolak keburukan diutamakan daripada mengambil maslahah).

Selagi mana ia bukanlah satu perkara yang bersifat prinsip, atau sesuatu hukum yang qat'i, maka kaedah tersebut perlulah diguna pakai dalam tindakan-tindakan kita sebagai pejuang Islam, termasuklah dalam proses kita memperkasakan parti di peringkat Cawangan dan Kawasan. Semoga segala tindakan kita sentiasa dipimpin oleh syariat dan mendapat petunjuk dari Allah SWT.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Sumber

21 Julai 2010

Bulan Sya'ban

Assalamualaikum w.b.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sudah hampir 10 hari kita berada di bulan Syaaban 1431 Hijriah. Antara tiga bulan yang mulia dan punyai banyak kelebihannya tersendiri. Rasulullah S.A.W. telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Di antara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudhatul Ulama).


Lebih kurang 20 hari lagi kita menyambut pula bulan umat Nabi Muhammad S.A.W. iaitulah bulan Ramadhan. Bulan
rahmah (belas kasihan Allah), bulan maghfirah (keampunan) dan bulan perlepasan dari api Neraka. Sebagai sebuah koreksi diri untuk melangkah ke bulan pesta ibadah itu, mari sama-sama kita berfikir sejenak melalui tulisan Ustaz Nik Abduh di blog beliau- Panggilan bulan Ramadhan Al-Mubarak

Mari berfikir untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al Mubarak;
Pertama, kasihan belas Allah terhadap hambaNya yang terus menzalimi diri dan mudahnya Dia menerima taubat dan keampunan.
Kedua, Peluang demi peluang untuk kita kembali. Di sediakan bumi yang suci, rumah yang suci, bulan yang suci, minggu dan hari yang agung, saat yang mustajab, hati dan akal yang khusyu’ dan tafakkur, lidah yang ringan dan basah, kawan yang soleh dan lain – lain kemudahan untuk kembali kepadaNya.
Ketiga, jauhnya kita dari membaca, memahami dan mengamalkan al Quran, satu – satu kitab dari langit yang kekal di bumi memberi cahaya dan hidayat.
Keempat, lalainya kita dengan kehidupan dan dunia yang menipu dan kita tak pernah serik dan sesal terhadapnya.
Kelima, di mana kita daripada ulama, tempat terpancar hikmat tuhan dalam kehidupan sementara..
Mari memulakan tafakkur untuk bulan Ramadhan yang mulia. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadhan. Rindui Ramadhan, nescaya Ramadhan mengaminkan untuk kita dengan izinNya.

9 Julai 2010

80 TAHUN - PMRAM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang mula mengukir sejarah pada tahun 1930 dengan namanya ketika itu Persekutuan Putera-putera Semenanjung (PPS) telah pun berusia 80 tahun. Tarikh 11 April lalu merupakan tarikh rasmi ulangtahun PMRAM. Pelbagai sejarah dan pengalaman yang ditempuh oleh pimpinan dan ahli demi menjaga kesatuan dan kebajikan mahasiswa di Mesir. Semua itu menambah kematangan kesatuan ini agar terus bergerak untuk memelihara dan memulihara masyarakat PMRAM dan pentadbirannya.
Beberapa perkara menarik yang pernah dicatat di blog Us Zuhaili (Timb. Presiden PMRAM) sempena tahun bersejarah ini: Sila klik

Rujukan: HEWI PMRAM
Tambahan : Typeace

28 Jun 2010

Generasi dahulu..kini...mendatang

Buat pendidik ( Ibu bapa, guru-guru, pemerintah dsb),

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita...Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan...Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar...Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar...Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir...Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir...Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu

* Anak-anak kita : M. Nasir

Generasi hari ini adalah amanah bagi kejayaan umat akan datang. Jangan kesenangan dan kebebasan mereka hari ini mengundang petaka di kemudian hari. Jangan kerana fikrah kebendaan, jiwa dan diri mereka digadai. Lengkapkanlah kehidupan mereka dengan celupan rabbani dan akhlak terpuji...